Thursday, July 4, 2019

SASTERAWAN NEGARA MAKAN DEDAK? BIASA SAJA…!



Kritikan saya terhadap projek sasterawan negara yang palsu ini kini telah terbukti dengan jelas, dibuktikan oleh mereka sendiri, para sasterawan negara ini.  Kepalsuan projek ini telah saya huraikan dengan terperinci dalam buku saya yang baru diterbitkan (2019), berjudul  Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, tebalnya 169 halaman, termasuk Indeks. Saya telah mengkritik projek palsu ini sejak 1981 lagi; kini terbukti pandangan saya tepat setelah para sasterawan negara sendiri menegaskan bahawa mereka sudah sepatutnya diberi dedak sejak awal-awal lagi. Kata mereka, pengorbanan mereka terhadap negara dan sastera terlalu besar untuk diremehkan.  Betapa hebatnya pengorbanan itu disebut dengan bangga oleh salah seorang sasterawan negara bahawa beliau terpaksa berhenti kerja dan hidup menderita semata-mata untuk menulis karya sastera.  Dengan adanya pemberian berupa dedak sastera yang diberikan oleh DAP yang mewakili Kementerian Kewangan, maka terhiburlah sedikit hati yang rusuh, walaupun jumlah lima ribu (RM5000.00) adalah kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan dan kualiti karya mereka sebagai karya picisan yang bermutu!

Dua hujah besar yang saya gunakan untuk menolak projek ini ialah berdasarkan konsep ilmu, dan aspek  “pemikiran” yang tidak boleh kita kesan dalam karya para sasterawan negara ini. Mereka bukan golongan pemikir, seperti yang terbukti dalam karya mereka sendiri.  Untuk memberi satu contoh yang sering saya ulang ketika menghuraikan konsep berfikir ini, saya ulang sekali lagi dengan mengambil contoh dari karya Muhammad Haji Salleh, yang dianggap oleh teman-temannya sebagai sarjana ulung dalam sastera Melayu (yang saya tolak bulat-bulat kerana kesimpulan itu tidak terbukti dalam karya sarjana dan sasterawan ini; seperti yang saya huraikan dalam buku tentang sasterawan negara.)  Tidak seorang pun dari mereka yang boleh mencapai taraf seorang pemikir ulung yang dicontohkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya beliau.  Ada satu lagi contoh yang saya telah sebut beberapa kali. Bolehkah anda tonjolkan sebuah novel oleh sasterawan negara yang setaraf dengan War and Peace?  Tidak mungkin, kerana semua karya para sasterawan negara ini adalah karya picisan. Bagaimana saya sampai kepada kesimpulan ini telah juga saya jelaskan dalam blog ini dan dalam buku tentang sasterawan negara ini.   Pelantikan para sasterawan negara ini adalah satu jenayah intelektual yang besar, yang tidak sepatutnya berlaku sekiranya konsep ilmu yang benar itu difahami dan dipraktikkan dalam penulisan kreatif dan penilaiannya.

Penilaian Panel Anugerah Sastera Negara yang juga picisan telah saya bincang dengan mendalam dalam buku  Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, yang perlu ditolak secara akademik oleh para sarjana dan pengkritik sastera untuk mempertahankan para sasterawan negara yang picisan ini.  Perkara utama mengenai konsep picisan yang saya pakai perlu dilihat dalam konteks konsep ilmu yang benar, jika tidak akan menyesatkan anda. Sebagai contoh, sila rujuk halaman 81-82 tentang Kemala, satu contoh yang amat penting difahami oleh anda jika anda mahu mengkritik pandangan saya dan buku mengenai para sasterawan negara ini. Anda tidak ada pilihan, kecuali menaikkan sedikit taraf perbincangan anda untuk mengelak daripada menjadi peneliti sastera yang berada pada tahap picisan sahaja.  Baru-baru ini DBP telah mengadakan satu sesi penting untuk membincangkan karya Baha Zain. Salah seorang pembicara telah mengemukakan sesuatu yang amat menarik tentang Baha Zain, sebagai seorang pensajak sufi yang sajak-sajaknya mempunyai lapisan makna sekurang-kurangnya tiga lapis. Kata sang peneliti, apa yang kita lihat sepintas lalu ketika membaca sajak-sajak Baha Zain akan menyesatkan kita dalam membuat penilaian, kerana pensajak ini seorang pemikir yang begitu mendalam dan falsafahnya amat dikagumi oleh sang peneliti. Antara contoh yang diberikannya ketika membicarakan unsur-unsur kesufian dalam sajak-sajak Baha Zain ialah sajak beliau “Menangguh Kebenaran”. Bagaimana sajak ini boleh meningkat sebagai sajak sufi diberi pentafsiran oleh penulis kertas kerja ini, tanpa memberi penjelasan apakah maksud kebenaran dalam sajak itu dan mengapa kebenaran mesti ditangguhkan. Saya telah menulis tentang unsur munafik dalam sastera Melayu dan kritikan sastera, yang telah tersiar pada 27 Jun 2019. Adakah kebenaran dalam sajak itu dilihat dalam konteks sikap munafik yang sering kali dibangkitkan oleh para pengkritik sastera Indonesia dalam konteks yang kita hadapi ini.  Baha Zain boleh membantu kita untuk memahami aspek ini kerana beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang sastera Indonesia moden.  Di samping itu jangan lupa kritikan Shahnon Ahmad, seorang sasterawan negara, yang membantah pemilihan Baha Zain sebagai sasterawan negara, kerana menurut Shahnon, Baha Zain adalah penulis sajak-sajak kontot yang tidak bermutu.  Semua kemelut kecil ini tidak jadi masalah jika anda menilai karya para sasterawan negara ini dari perspektif ilmu yang benar, yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Para sasterawan negara tidak perlu takut kepada PB jika mereka yakin karya mereka adalah yang terbaik dalam sastera Melayu. Kalau sudah yang terbaik, tidak wajar penilaian yang kritis tidak boleh  dilakukan terhadap karya picisan para sasterawan negara ini.

Sebagai kumpulan pemakan dedak, para sasterawan negara ini tidak boleh diberi kedudukan yang lebih tinggi daripada para ulama dan ahli fikir kita, para cendekiawan Melayu yang telah membina budaya ilmu di negara kita.  Untuk membantu anda mengkritik saya sehabis kritis yang anda mahu, dalam entri bertarikh 26 Mei 2019 saya berikan sedikit rujukan yang boleh digunakan. Entri itu sendiri pun perlu dibaca dengan kritis, terutama perbincangan pendek tentang “makna” kebenaran dalam sastera.  Tujuan saya ialah untuk memberitahu anda bahawa jika kita sebenarnya serius tentang penulisan kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar, dan berupaya pula  menilai karya berasaskan konsep ilmu itu, maka kita perlu membuka gelanggang perbincangan ilmiah mengenai perkara ini. Sila terima cabaran ini, jangan lari!

Untuk melaksanakan maksud di atas, maka anda tiada pilihan lain melainkan membaca dengan kritis buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.  Kemunculan para sasterawan negara adalah satu musibah besar dalam perkembangan intelektual Malaysia, satu kecelakaan yang tidak patut dibiarkan begitu saja tanpa sanggahan yang wajar dan objektif.  Sekarang golongan yang berada dalam Mutual Admiration Club ini dengan rakus dan biadab menghancurkan budaya ilmu yang telah dipupuk begitu lama oleh para ulama dan cendekiawan Melayu selama lebih dari 500 tahun, yang berakhir dengan kerakusan memakan dedak yang diberikan oleh DAP. Salah seorang penyokong DAP yang terkuat di Malaysia ialah A. Samad Said, seorang yang kagum dengan “perjuangan” DAP.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 4 Julai 2019.



No comments:

Post a Comment