Dalam tahun
2006 saya dijemput DBP untuk bercakap fasal sastera Melayu. Saya menulis sebuah
kertas panjang berjudul, “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”. Tajuk pertemuan itu,
“Wacana Sastera – Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas
Perkembangan Sastera Kebangsaan.” Tarikh pertemuan 25 Mei 2006.
Kertas itu
panjang, sesuai dijadikan satu risalah yang bila dicetak akan setebal hanya
sekitar 50 halaman atau lebih sedikit.
Saya yakin kertas itu masih disimpan oleh DBP, dan ketika Anugerah
Sastera Negara sedang dipersoalkan dalam beberapa forum di DBP sendiri seminggu
dua ini, maka tepat sekali jika kertas itu dicetak. Ketika itu tidak timbul masalah dedak sastera
yang dihadapi sekarang, walaupun pendirian saya tetap kritis sesuai dengan
penolakan saya pada tahun 1981 lagi.
Ketika
meraikan Baha Zain sebagai sasterawan negara dalam satu program anjuran DBP
beberapa hari lepas, Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memberitahu satu maklumat
penting yang amat saya hargai. Kata beliau, ketika Panel Anugerah Sastera
Negara sedang mencari-cari calon untuk dijadikan sasterawan negara, Prof. Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad cepat-cepat menulis tentang sumbangan Baha Zain yang
istimewa dalam sastera Melayu, dalam hanya dua muka surat, kata beliau.
Pencalonannya terus diterima, maka jadilah Baha Zain seorang sasterawan negara.
Semudah itu untuk dijadikan sasterawan negara, jika anda berada dalam
gerombolan Mutual Admiration Club yang dipimpin secara rasmi oleh Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, pakar cerita penglipur lara itu, yang
menurut beliau cerita-cerita penglipur lara itulah asas ilmu dalam kebudayaan
Melayu, seperti juga Si Tanggang itulah tokoh terbesar dalam fiction Melayu yang menjadi teladan Melayu
moden sebagai penderhaka kepada kaum Melayu!
Kalau anda perhatikan cerita benar daripada Prof. Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad ini, anda akan faham mengapa saya mengatakan projek sasterawan negara
ini satu pengkhianatan besar kepada perkembangan ilmu dalam kebudayaan Melayu.
Terima kasih
Prof. Dr. Mohammad Saleeh Rahamad kerana menyokong kesimpulan saya tentang
kepalsuan pelantikan para sasterawan negara ini. Sila baca kembali dengan
teliti dan kritis buku Anugerah Sastera
Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden untuk mendapat penjelasan lanjut
mengenai penipuan intelektual ini.
Bolehkah
kedudukan palsu para sasterawan negara ini diteruskan dan dibiarkan? Secara ilmiah dan akademik, kedudukan para
sasterawan negara ini tidak boleh dipertahankan kerana karya mereka bukanlah
karya bermutu, tetapi karya picisan.
Saya mencadangkan kepada para sarjana dan pengkritik sastera supaya
mempertahankan mereka dengan menjadikan teori sastera Barat sebagai asas
penilaian. Mereka tidak dapat
melakukannya kerana di depan mereka tercokol Gagasan Persuratan Baru yang tidak
dapat ditolak oleh mereka walaupun mereka tidak suka. Mereka sedar, jika ukuran
PB dikenakan kepada para sasterawan negara, maka tidak seorang pun sasterawan
negara itu layak diberi gelaran itu kerana karya mereka adalah karya picisan
jika dinilai daripada perspektif
PB. Inilah duri dalam daging yang
menjadi dilema kepada kedudukan para sasterawan negara ini, yang menjadi bahan
ketawa para anak muda yang dapat membaca penipuan intelektual yang begitu jelas
kedudukannya.
Sekarang
menteri pendidikan kasut hitam yang memberi keutamaan kepada kaki, bukan
kepada otak para pelajar, sedang
berusaha membawa para sasterawan negara ini ke sekolah untuk diperkenalkan
kepada para pelajar. Ini pun satu pengkhianatan kepada ilmu juga, kerana
menteri pendidikan kasut hitam ini tidak mendedahkan para pelajar kepada
perkembangan baru dalam pemikiran tentang sastera yang diperkenalkan oleh PB.
Sekiranya menteri pendidikan kasut hitam ini jujur terhadap ilmu, beliau perlu
memperkenalkan konsep ilmu yang benar dalam sistem pendidikan negara, dengan
itu secara logik beliau tidak dapat mengetepikan kehadiran PB dalam dunia akademik yang secara
khusus membicarakan peranan ilmu dalam penulisan kreatif dan dalam kajian sastera.
Ini menteri
pendidikan kasut hitam boleh saja mengangkat para sasterawan negara, tetapi
beliau juga perlu menerima pandangan lain yang menolak para sasterawan negara
itu berasaskan penilaian yang lebih mantap yang diberikan oleh PB. Sekiranya menteri pendidikan kasut hitam
tidak berupaya menghadapi PB, maka beliau sendiri secara sukarela meletakkan
dirinya dalam kalangan sarjana picisan yang mengangkat para sasterawan negara
dengan misalnya menilai mereka dengan dua muka surat saja, dan terus diterima
oleh Panel Anugerah Sastera Negara!
Semudah itukah penipuan intelektual dan penipuan akademik dalam sastera
Melayu?
Kalau anda
membaca dengan kritis buku Anugerah
Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden anda akan mendapat jawapan
yang tepat dalam masalah ini. Siapakah
yang berani menampilkan sebuah novel para sasterawan negara ini yang boleh
menandingi novel War and Peace. Tidak
ada, tetapi Pujangga Melayu tampil
menyelamatkan maruah sastera Melayu dengan menerima cabaran itu sambil
menegaskan novel Melayu itu jauh lebih maju dan lebih bernilai daripada War and Peace. Kalau anda tidak dapat
menerima cabaran ini, anda diberi peluang untuk mengemukakan alasan anda untuk
mencemuh kesimpulan ini. Tetapi cemuhan
tidak menyelesaikan masalah, kerana masih akan dipersoalkan kedudukan sebenar
para sasterawan negara dalam hubungannya dengan konsep ilmu yang benar, yang
menjadi tradisi persuratan Melayu sejak beratus tahun lagi. Adakah para sarjana
dan sasterawan akan menghapuskan begitu saja satu tradisi panjang yang telah
membina kebudayaan Melayu itu?
Satu-satunya jalan yang terbuka kepada mereka ialah dengan menafikan
peranan persuratan dalam perkembangan intelektual Melayu. Secara tidak langsung, inilah yang mereka
lakukan, dalam keadaan yang tidak meyakinkan mereka sendiri. Inilah masalah
ilmu yang mereka cuba sedaya upaya menafikannya untuk menyelamatkan kepalsuan
mereka dan kepalsuan pelantikan para sasterawan negara yang karyanya picisan
dan anti-ilmu itu. Kalau ini bukan pembohongan intelektual, apakah nama yang
indah yang kita boleh berikan kepada pembohongan intelektual ini? Di sinilah pentingnya pengakuan Prof. Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad tentang pemilihan Baha Zain sebagai sasterawan negara
dengan memberikan kepada Panel Anugerah Sastera Negara dua helai kertas
pencalonan. Inilah kehebatan profesor ini dan tokoh yang dipilihnya; dan inilah
juga kehebatan sandiwara pembohongan intelektual yang dilakukan dengan bangga
oleh Panel Anugerah Sastera Negara.
Sungguh
celaka pembohongan ini; tetapi itulah yang dijadikan tradisi dengan pelantikan
para sasterawan negara ini.
Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Mohd. Affand
Hassan,
Petaling
Jaya, 7 Julai 2019.
No comments:
Post a Comment