Melayu perlu
bermurah hati kepada para pemain politik di kalangan mereka. Tahniah kepada Tun
Dr. Mahathir Mohamad kerana berjaya menaik-taraf politik kotor di kalangan
pemimpin Melayu ke taraf yang lebih tinggi dan sampai ke puncaknya untuk
bertakhta sebagai tokoh pemain politik yang menjijikkan. Inilah mesej dan kesimpulan yang diberikan
oleh Puan Hamidah Osman yang mahu dihantar oleh Tun Dr. Mahathir ke Tanjung
Rambutan. Proses ini beliau mulai sejak tahun 1971, apabila Tunku Abdul Rahman
memberitahu Tengku Razaleigh Hamzah supaya menjauhkan diri daripada Dr.
Mahathir, yang ditegaskannya sebagai seorang pembohong. Adakah Tunku sendiri tidak pernah
berbohong? Akhir-akhir ini pakar sejarah
dan intelektual Melayu sudah mula melihat kembali dengan kritis sejarah
perjuangan bangsa Melayu. Mereka dapati yang disebut kemerdekaan itu
dihadiahkan oleh British di atas talam emas kepada rombongan kemerdekaan yang
diketuai oleh Tunku Abdul
Rahman dan rakan-rakannya. Dalil
terbesar, dan paling memalukan, ialah tugu negara, yang semuanya menggambarkan
Inggeris melawan para pejuang Melayu yang terdiri daripada para ulama. Nama-nama
yang tertulis di tugu itu adalah nama-nama Inggeris dan hamba-hamba Inggeris
dari India, Pakistan dan lain-lain. Mengapa tugu ini tidak dipecahkan,
sementara arca seniman terkenal Syed
Ahmad Jamal di bulatan berhampiran Parlimen dihancurkan oleh Dato Bandar ketika
itu.
Sungguh
celaka sebuah negara yang membela bekas penjajahnya; apatah lagi apabila pemain
politik Melayu sendiri bersungguh-sungguh berusaha untuk mendaulatkan bahasa
Inggeris yang kononnya hanya bahasa itu sahaja yang boleh digunakan jika negara
ini mahu mendaulatkan sains dan matematik. Apakah yang telah dibuat oleh para
pemain politik yang amat lantang mendaulatkan bahasa Inggeris sejak merdeka? Ke
mana perginya bahasa Melayu, mengapa begitu sukar hendak mendidik ahli sains
dalam bahasa Melayu? Sebenarnya mereka telah pun wujud, atas usaha mereka
sendiri. Mereka tidak terkenal kerana negara ini memberi penghormatan palsu
kepada para sasterawan picisan, bukan kepada tokoh ilmuwan dalam berbagai
bidang yang sesungguhnya sudah ada yang menulis dalam bahasa Melayu bertaraf
tinggi. Saya hanya ingin menyebut dua buah buku sebagai contoh karya ilmiah
daripada seorang tokoh matematik yang menulis dalam bahasa Melayu, Prof. Madya
Dr. Mat Rofa Ismail. Beliau banyak
menulis dan menerbitkan buku dengan tema yang pelbagai; tetapi di sini saya
hanya ingin sebut dua buah buku beliau tentang matematik, yang ditulis dalam
bahasa Melayu yang bagus. Penerbit Universiti Malaya menerbitkan buku beliau
dalam tahun 1994 berjudul, Mantik,
Matematik dan Budaya Ilmu: Pendekatan Bersepadu dalam Tradisi Pengajian Islam. Saya persilakan anda baca Bab 8 berjudul,
“Puisi dan Matematik dalam Penulisan Sarjana Islam Zaman Pertengahan.” Sepanjang pengetahuan saya yang terbatas,
inilah kali pertama dibicarakan subjek ini. Saya harap, benar-benar berharap,
supaya DBP boleh menjemput Prof. Mat Rofa Ismail dalam seminar khusus
membicarakan perkara ini, mudah-mudahan ada di antara sarjana dan sasterawan
diberi pengetahuan baru dan sekali gus mungkin boleh memahami mengapa Gagasan
Persuratan Baru penting dalam
perkembangan intelektual Malaysia. DBP tidak boleh mengelak dalam perkembangan
ilmu ini, walaupun saya faham tindakan ini akan mendapat tentangan hebat
daripada para sasterawan negara dan para sarjana sastera yang menyokong mereka.
Buku Prof.
Mat Rofa Ismail yang kedua mengenai matematik berjudul, Matematik Merentas Tamadun
(Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004.)
Terlanjur DBP telah menerbitkan buku ini, maka molek sangatlah jika KP
Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru, yang saya kenal sebagai seorang intelektual
yang terbuka kepada ilmu, menjemput
Prof. Mat Rofa memberikan ceramah mengenai kaitan matematik dan puisi dalam
tamadun Islam. Hendaknya jangan siapa-siapa mencari helah untuk membuat sesuatu
yang menentang perkembangan ilmu dalam persuratan Melayu. Prof. Mat Rofa Ismail
boleh dihubungi di Fakulti Sains dan Matematik di UPM. “Selamatlah jiwa yang sempurna!”
Saya telah
menulis tentang politik Melayu yang kotor dan menjijikkan; maka seberapa boleh
janganlah terjadi pula politik sastera yang kotor dan menjijikkan dalam
perkembangan ilmu dan perkembangan intelektual dalam bidang kreatif.
Kementerian
Pendidikan pula diharapkan akan mencuba sedaya upaya memahami makna pendidikan
seperti yang dimaksudkan dalam tamadun Islam. Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas telah menghuraikan persoalan ini ketika menghuraikan konsep ilmu yang
benar yang dihuraikan beliau dengan terperinci dan jelas dalam hubungannya dengan konsep adab dalam
pendidikan, dengan itu sudah wajar
diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan serius dan tidak ditolak begitu mudah
tanpa memahaminya terlebih dahulu. Saya mencadangkan supaya Kementerian
Pendidikan melantik Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai Penasihat
Pendidikan kepada Kementerian Pendidikan.
Baru-baru ini satu kerusi telah diwujudkan atas nama Prof. Al-Attas dan
telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Perak sendiri. Rasanya tiada alasan untuk menolak cadangan
ini.
Bagaimana
ini boleh dicapai? Saya telah
mencadangkan supaya kita perkenalkan bahasa Arab di sekolah-sekolah dari
sekolah rendah hingga ke peringkat universiti supaya orang Islam kenal dan
fasih dalam bahasa al-Quran, dengan itu membolehkan mereka memahami isi
al-Quran. Inilah kunci kejayaan dalam
menghapuskan politik kotor dan menjijikkan yang kini bermaharajalela dalam
politik Malaysia. Semuanya kerana tamak kuasa yang tidak kekal, dan bencikan kebenaran yang tidak menjamin
kekayaan, kerana kekayaan dalam politik hanya boleh diperolehi melalui korupsi. Tanpa disedari, korupsi ilmu kini menjadi
sesuatu yang dibanggakan oleh para sasterawan negara, para sarjana yang
menyokong kebodohan mereka, dan para manusia politik yang tamak kuasa dengan
memberi sokongan kepada penggiat korupsi ilmu yang diteruskan tanpa segan silu
oleh para sarjana sastera, para sasterawan negara dan sasterawan secara umum. Menteri Pendidikan Malaysia yang gemarkan
kasut hitam (menteri kasut hitam) pernah menyatakan pentingnya sifat caring/penyayang dalam pendidikan
anak-anak; tetapi dia sendiri telah mencampakkan dokumen mengenai PB yang saya
hantar untuk makluman beliau ke dalam tong sampah, tanpa sebarang jawapan
penerimaan sebagai tanda adanya sifat sopan dan caring itu. Bila kita berdepan dengan manusia seperti ini, apakah
yang patut kita buat? Saya perlukan
pandangan anda. Bolehkah kita berkata
dengan sopan seorang menteri sebagai seorang manusia tidak dapat terlepas dari
bersikap kurang ajar walaupun dia tidak mahu melakukannya. Bagi saya membawa
para sasterawan negara ke universiti adalah satu tindakan biadab, setelah kita
tahu bahawa mereka adalah sasterawan picisan yang bersikap anti-ilmu. Kalau ada di antara anda tidak menerima
kesimpulan ini, anda harus membaca dengan kritis, sehabis kritis, buku saya Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan
Melayu Moden (2019). Sila berikan
pandangan kritis anda itu dalam satu analisis yang objektif dan mantap.
Sikap kurang
ajar yang paling jijik ialah menggunakan masjid untuk kepentingan politik
peribadi. Masjid adalah rumah ibadat,
bukan tempat berkempen politik atau tempat mengutuk lawan politik, atau
mengadakan tahlil bukan kerana Allah tetapi kerana hendak menunjukkan diri
tidak bersalah. Bila politik sudah menjadi begitu rendah dan peribadi manusia
yang bermain politik sudah begitu rendah dan menjijikkan, maka rakyat perlu
diajar untuk mengenal sifat-sifat seorang pemimpin dan perilaku jijik seorang pemain
politik. Khusus untuk diri saya yang tidak pernah mendaftarkan diri
sebagai pemilih, kejadian akhir-akhir ini dalam politik Melayu menjadi bukti
tindakan saya itu betul; tetapi saya tidak menganjurkan orang lain mengikut
saya. Terpulang kepada anda yang telah menjadi pemilih untuk memilih anjing
atau babi; dalam politik Malaysia lembu dan kerbau takutkan anjing, oleh itu
lembu atau kerbau bukanlah pemain politik yang bebas, sentiasa dalam ketakutan. Sekarang yang galak menyalak ialah kumpulan
anjing dan babi jinak tetapi tetap najis. Bukan sebarang najis, tetapi najis
berat. Berapa ramai pemain politik najis
berat dalam politik Malaysia? Akhir-akhir
ini diadakan pertemuan untuk mengutuk lawan politik dengan menggunakan kediaman
rasmi seseorang yang berpangkat dalam politik dengan semua orang yang datang
sembahyang hajat (hajat apa?) memakai pakaian putih. Ketayap tentulah putih.
Pakaian
mereka memang putih dan bersih, tetapi bagaimana jantung yang berdetik? Apabila
hati kamu sudah hitam, kamu berusaha gigih memutihkannya dengan memakai pakaian
putih, padahal motifnya tetap hitam.
Yang kamu patut buat bukan menunjuk-nunjuk “kebersihan” kamu untuk ditonton,
padahal pakaian putih dan ketayap putih itu hanya lapis luaran, seperti ada
orang memelihara anjing memakaikan anjingnya dengan pakaian yang mahal. Tetapi tetap anjing juga,
tak mungkin berubah dengan pakaian yang dilekatkan ke badan!
Semua ini
terjadi sekarang dalam politik Malaysia kerana masing-masing ketua parti yang
mengaku kononnya berjuang untuk rakyat dan negara sedang berebut untuk mendapat
kedudukan dan kuasa. Dua faktor inilah yang membuat manusia bersengketa secara
terang-terangan dan diam-diam penuh dendam kesumat dengan matlamat yang jelas,
untuk menumpaskan lawan dengan apa cara sekali pun. Maka terjadilah peristiwa
paling jijik dalam politik Malaysia Baru apabila semburit telah dijadikan
budaya dalam kegiatan politik. Sekarang, politik telah disemburitkan oleh ahli
politik yang berjuang untuk rakyat supaya mendapat kedudukan dan kuasa. Politik
semburit ini menjadi bahan tertawa
budak-budak sekolah rendah yang mahu tahu apa makna semburit, lalu ditengking
oleh guru mereka dan ibu bapanya. Lagilah mereka mahu tahu. Mengapa pula mereka
tidak dibenarkan tahu? Kalau anak-anak ini ditegah daripada mengetahui atau
ambil tahu unsur-unsur politik Malaysia Baru di bawah regim Pakatan Harapan,
apa maknanya kebebasan itu hak semua
manusia kalau distratakan. Hanya Tun Dr. Mahathir yang boleh menjawabnya. Tanyalah
beliau … Tetapi jawapan paling bernas
dan jujur diberikan oleh Ketua Polis Negara, yang mengomel kerana dibebankan
dengan kerja remeh-temeh yang bukan kerja polis pun, apatah lagi jika yang
disyak melakukan semburit itu ahli politik kanan yang ada kedudukan tinggi dan
penting. Kata satu idiom yang entah
datang dari mana, yang berlaku dalam politik Pakatan Harapan hanyalah perilaku
yang disebut aping the monkeys! Baik
dibiarkan saja, polis tidak patut dibebankan dengan tugas pemburitan politik
ini.
Bercakap
tentang perisytiharan harta oleh ahli Parlimen, bagiku ini pun sejenis
pemburitan politik juga. Sesuai dengan
kedudukan Malaysia sebagai ahli waris penjajahan Inggeris, harta sepatutnya
diisytiharkan dalam akhbar, supaya diketahui oleh semua rakyat dan mereka pun
boleh bertanya kalau mereka sangsi bagaimana harta itu menjadi milik si anu
tertentu. Inilah yang dilakukan oleh Perdana Menteri dari Parti Buruh dalam
tahun 1976 ketika mereka menang pilihan raya tahun itu. Aku sebut ini dalam Hikayat Buyung Lurus, hal.134.
James
Callaghan, Perdana Menteri dari Parti Buruh yang baru menang pilihan raya,
menggunakan akhbar The Times of London
untuk mengisytiharkan harta beliau dan semua ahli kabinetnya. Seorang Timbalan
Menteri dikritik oleh pembaca kerana terlalu banyak harta, dari mana dia dapat.
Maka menjawablah Timbalan Menteri itu dengan memberitahu pembaca tadi dan
rakyat Britain bahawa dia seorang yang kacak dan pandai menyanyi, maka jadilah
dia seorang penyanyi Club Malam. Hasil dari situ jauh lebih banyak daripada
gaji seorang Timbalan Menteri. Bolehkah PH yang mendakwa mereka satu kerajaan
terbuka bebuat seperti orang kafir itu? Jelas nampak sangat ahli politik Islam
ini tidak boleh dipercayai dan lebih dekat kepada sifat munafik. Orang PAS bilang tidak perlu isytihar harta,
nanti menimbulkan sifat dengki. Begitukah pendirian Islam, atau itulah
pendirian PAS yang memang hanya cakap fasal Islam tetapi tidak menunjukkan
kepemimpinan yang bercorak Islam. Siapa yang tahu berapa orang pemimpin PAS
yang kaya? Saya tak berani nak tanya, kerana saya diberitahu semua ketua PAS
ini bengis. Takut saya nanti tak boleh masuk syurga kerana banyak bertanya!
Perisytiharan
harta, jika dibuat dengan betul, akan membina kepemimpinan politik yang sensitif kepada nilai-nilai Islam,
dengan itu akan lahir para pemimpin politik yang menjadikan nilai-nilai Islam
sebagai teras dalam kepemimpinan mereka. Ketika itulah kita berharap akan lahir
pemimpin Islam, tidak hanya ahli politik yang beragama Islam tetapi tidak
menunjukkan nilai-nilai dasar dalam kepemimpinan Islam. Misalnya sifat amanah,
yang menjadi nilai paling utama dalam kepemimpinan Islam. Bagaimana ini boleh
diwujudkan adalah mudah, jika Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa
setiap pemimpin hendaklah mengisytiharkan hartanya kepada umum melalui akhbar
seperti yang di buat oleh PM Britain, James Callaghan itu. Kalau orang kafir boleh dan
berani membuatnya, mengapa orang Islam tidak boleh? Kita juga perlu mendapat panduan secara rasmi
dari para ulama bahawa mengisytiharkan harta adalah haram kerana melanggar
etika Islam kerana sebaik saja rakyat tahu para pemimpin mereka banyak harta,
akan timbul fitnah dan segala macam tuduhan. Pada dasarnya inilah pendapat
rasmi PAS. Bagaimana perkara ini boleh dielakkan? Sebenarnya tidak sukar,
kerana sesiapa juga yang berani menggelarkan dirinya sebagai pemimpin umat
Islam, atau pemimpin politik negara yang juga penganut Islam, akan sentiasa
terbuka kepada kritikan dan pandangan kritis daripada masyarakat. Rakyat tidak
perlu ditakuti, kecuali para pemimpin tadi menggunakan agama untuk mendapat
kuasa dan kedudukan. Saya lihat inilah
yang kita lihat sedang berlaku sekarang. Macam-macam istilah agama digunakan
untuk meletakkan pemimpin yang korup ini sebagai seorang pemimpin berjiwa
Islam.
Baik aku kritik sasterawan negara, kerana
mereka memang suka dikritik supaya jadi lebih terkenal, dan dengan itu ada
peluang untuk dikenali oleh Panel Hadiah Nobel di Sweden. Cuma sayangnya, jika
ada calon dari Malaysia yang layak diberi pertimbangan untuk diberi Hadiah
Nobel, maka orang itu ialah …
Bagi aku
yang paling aneh mengapa para sasterawan negara dan sarjana yang menyokong
mereka mendiamkan diri? Siapa boleh jawab dengan meyakinkan aku bahawa mereka diberi hadiah lima ribu ringgit
sebulan, setelah dinilai oleh Panel Anugerah Sastera Negara wajar atau tidak
diberi hadiah itu. Dalam hal ini, jelas
orang kafir dari Britain itu jauh lebih ikhlas dan lebih terbuka untuk dinilai
dan dikritik oleh masyarakat mereka. Aneh, tetapi itulah dunia! Demikianlah istimewanya orang Melayu.
Itulah
gambaran politik Malaysia sekarang.
“Selamatlah
jiwa yang sempurna!”
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 22 Julai 2019.
No comments:
Post a Comment