Tuesday, July 9, 2019

PENGKHIANATAN TERHADAP ILMU DAN TRADISI



Permulaan pengkhianatan terhadap ilmu dan tradisi bermula bila sastera Melayu moden memakai slogan Marxism “sastera untuk masyarakat” sekitar tahun 1950an di Singapura. Idea ini dibawa ke DBP bila tokoh yang terpengaruh dengan slogan itu memasuki DBP; dan dari situlah tercetus idea untuk mengiktiraf golongan ini dengan memberikan mereka status istimewa sebagai sasterawan negara. Itulah sejarahnya secara ringkas.

Apakah isu penting dalam kes ini?  Sepanjang pemerhatian saya, semua  sasterawan dan sarjana sastera menerima kenyataan ini kerana itulah saja yang akan membolehkan mereka mendapat faedah semaksimum mungkin.  Itulah isunya. Ini telah dibuktikan, dan ditunjukkan dengan jelas, oleh Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika memilih Baha Zain sebagai sasterawan negara. Menurut beliau, dia hanya menulis dua halaman kertas cadangan, yang terus diterima oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Inilah bukti betapa kuatnya pengaruh Mutual Admiration Club yang diketuai oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.  Adakah ini bentuk pengkhianatan yang dimaksudkan dalam judul di atas? Kita lihat pertanyaan ini begini. Sekarang para sasterawan dan sarjana sastera secara sedar telah menerima dedak daripada DAP, yang diwakili Menteri Kewangan.  Inilah kehebatan perkembangan terbaru, yang berlaku tidak lagi melalui DBP, tetapi terus dari Kementerian Kewangan. Perhatikan, yang didakap Menteri bukan Ketua Pengarah DBP, tetapi seorang penyokong DAP, seorang sasterawan negara.  Sasterawan dan sarjana paling bodoh pun boleh membaca makna peristiwa yang menarik ini. Sebelum ini, sepanjang pemerhatian saya, belum ada orang politik yang ada jawatan penting mendakap seorang sasterawan sambil berlaga pipi! Saya harap tokoh drama kita yang juga seorang sasterawan negara boleh menulis satu skrip yang menarik tentang perkembangan terbaru ini.

Anda mungkin bertanya dengan penuh prasangka, apa hubungannya dengan judul entri kali ini?  Saya jawab begini:  Adakah anda perasan apa kaitannya tahi yang anda keluarkan dengan kesihatan anda? Pertanyaan yang agak kasar, tapi melucukan.  Pertanyaan ini saya dapat daripada pengalaman anak saya, seorang doktor pakar, yang selalu memperingatkan supaya menjaga makanan.  Apa-apa juga yang kita makan, ada kaitannya dengan kesihatan kita. Kalau begitu, apakah jenis hidangan yang diberikan oleh karya para sasterawan negara yang sekira-kira akan membolehkan kita menjadi cerdik dan sedar diri tentang kesihatan mental?  Misalnya, apakah jenis kecerdikan yang anda dapat dengan membaca karya Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh atau Datuk  Dr. Anwar Ridhwan? Saya sebut dua tokoh ini kerana mereka sangat terkenal dan amat dikagumi di antara para sasterawan negara, sebagai kononnya sasterawan intelektual. Jawapannya telah saya berikan dengan terperinci dalam buku terbaru saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019), kini dalam pasaran.

Apabila kita bercakap tentang pengkhianatan terhadap ilmu dan tradisi, kita mesti mengaitkannya dengan karya para sasterawan negara, kerana mereka terpilih berasaskan sumbangan mereka.  Apakah yang telah mereka sumbangkan? Sekali lagi, anda perlu baca jawapannya dalam buku tersebut.  Secara ringkas, mereka telah mengkhianati konsep ilmu yang benar, dan sekali gus menentang tradisi ilmu yang telah dibina oleh para ulama dan cendekiawan Melayu dalam masa lebih dari 500 tahun.  Dalam mana-mana pertemuan untuk membicarakan sumbangan para sasterawan negara, aspek yang amat penting ini tidak pernah disentuh, kerana mereka pun tahu jika persoalan ini disentuh, mereka akan nampak dengan jelas betapa hebatnya kejahilan mereka dalam aspek intelektual berdasarkan konsep ilmu yang benar yang menjadi tradisi beribu tahun di kalangan cendekiawan dan para ulama Islam.  Bagaimana para sasterawan negara ini mengkhianati tradisi ilmu dalam Islam dan dalam tradisi Melayu telah juga saya huraikan dalam buku berkenaan. Sila baca, jangan lari!

Judul entri yang lepas adalah satu pertanyaan mengenai kertas panjang yang saya bentang di DBP tahun 2006. Saya mencadangkan supaya dihapuskan projek anugerah sastera negara ini, diganti dengan cadangan yang lebih baik dan lebih bermakna kepada perkembangan ilmu dan bahasa Melayu dalam negara kita. Ini kata saya secara ringkas: “Pada waktu ini DBP terlalu berat sebelah ketika merancang program kesusasteraan dengan memberi tumpuan berlebihan kepada para sasterawan negara saja. .. .  Dari tumpuan kepada sastera dalam pengertiannya yang sempit, DBP harus meluaskan skopnya dengan memberi tumpuan kepada persuratan Melayu, dengan mengadakan program terancang  untuk memajukan persuratan Melayu. Dengan itu dicadangkan supaya DBP berusaha mendapatkan kerjasama Petronas dalam program seumpama ini. … Tidakkah boleh dikendalikan sejenis program yang bermakna dengan kerjasama DBP untuk memajukan persuratan Melayu dan bidang intelektual dalam bahasa Melayu. … dengan mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas setiap tahun, diberi kepada sesiapa saja yang menulis dalam bahasa Melayu dalam semua bidang ilmu.    hadiah itu tidak kurang daripada RM100,000 dikeluarkan setiap tahun untuk (1) bidang matematik dan sains (termasuk bidang perubatan, pergigian, kimia, fizik dll.) (2) bidang sosiologi dan kemanusiaan (termasuk perundangan). (3) bidang bahasa dan cereka (novel, cerita pendek, drama dll). Tiap-tiap tahun kita berikan kepada tiga tokoh yang berjasa dalam bidang-bidang ini, yang menulis dalam bahasa Melayu.  Ini bermakna kita berpindah dari sastera kepada persuratan.”  Seterusnya saya juga mencadangkan supaya diadakan peraduan menulis novel persuratan. (Sila rujuk kertas kerja itu di DBP).

Cadangan ini dibantah oleh para sasterawan dan para sarjana sastera kerana menurut mereka kita belum bersedia untuk melaksanakan program yang begitu “ambitious”.  Inilah antara jenis pengkhianatan ilmu yang dimaksudkan.

Walaupun cadangan ini pertama kali dikemukakan dalam kertas 2006 itu, namun idea yang dikemukakan sudah boleh dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama Petronas sekiranya DBP mempunyai inisiatif untuk berunding dengan Petronas.  Sekurang-kurangnya DBP boleh kemukakan idea ini kepada Menteri Pendidikan untuk pertimbangan beliau.  Yang penting, kita perlu maju ke depan melalui penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam bidang akademik dan persuratan, sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk semua. Saya harap tidak ada bantahan sebelum dibincangkan dengan mendalam terlebih dahulu.

Projek sasterawan negara ini tidak wajar diteruskan lagi setelah kita dapati yang dipanggil sasterawan negara itu adalah para penulis picisan yang cetek meraba-raba,  yang gagal menampilkan sebuah pun karya yang dapat menandingi karya penulis yang berada di luar kandang pandirisme tempat para sasterawan negara itu bermukim.  Saya telah membuktikan kesimpulan ini dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu, yang anda boleh teliti sehabis kritis untuk menolak hujah-hujah dan bukti yang ditonjolkan di dalam buku itu.  Tidak sebuah pun novel para  sasterawan negara ini yang dapat menandingi Pujangga Melayu, sajak “al-Andalus”, dan dari segi teori tidak ada seorang pun sarjana sastera yang telah cuba membuktikan Gagasan Persuratan Baru itu telah gagal membuktikan kekuatan kreatifnya melalui  penerapannya dalam penulisan karya yang bermutu.  Anda diberi peluang seluas-luasnya untuk menafikan kebenaran kesimpulan ini.  Oleh itu, sekiranya anda mempunyai harga diri yang tinggi,  dan tahu menghargai ilmu, maka anda akan tunduk kepada kebenaran itu tanpa merasa terhina atau seolah-olah dipandang rendah.  Apakah pilihan anda sebagai penulis atau sasterawan?  Antara ciri kehebatan anda ialah anda tunduk kepada kebenaran, tetapi sifat ini tidak ada pada para sasterawan negara. Lihat saja keangkuhan mereka dalam forum tentang mereka yang diadakan oleh DBP baru-baru ini. Itulah bukti terbaik yang mereka berikan secara angkuh untuk menonjolkan sifat sebenar mereka sebagai golongan yang cetek meraba-raba.  Anda dijemput membaca dengan kritis hal. 110-111 buku Anugerah Sastera Negara  untuk mendapat sekelumit penjelasan mengenai persoalan ini.

Di mana kita berada sekarang? Kalau anda cerdik, pertanyaan ini tidak perlu, kerana kenyataannya sangat jelas. Anda sekarang berada dalam kekeliruan yang amat besar dalam  memahami konsep ilmu, atau lebih tepat menolak konsep ilmu yang diajarkan oleh Al-Quran. Jelas sumber ilmu itu al-Quran, tetapi berapa orang di antara para sasterawan dan sarjana sastera menerima hakikat itu? Amatlah sedikit, asal jangan tidak ada langsung. Mengapa hal ini terjadi? Ada yang berkata kerana kuatnya pengaruh teori sastera Barat dalam sastera Melayu; ada juga yang berkata persoalan ini tidak penting dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera. Kedua-dua andaian ini betul; tetapi ada satu lagi persoalan yang tidak pernah ditimbulkan. Itulah persoalan mengenai sumber ilmu dalam Islam. Pada umumnya para sasterawan menganggap al-Quran adalah sebuah kitab agama, tiada kaitannya dengan karang mengarang. Di situlah punca kekeliruan itu, yang kemudiannya merebak luas setelah mereka menerima teori sastera Barat, yang senang difahami dan senang dibaca. Mereka tidak sedar bahawa mereka sudah jauh tersesat jalan, kini terpinga-pinga bila diberitahu mereka sudah jauh sesat dalam belantara teori sastera Barat, dan kini sedang  meraba-raba tak tentu arah. Maka apabila didatangkan Gagasan Persuratan Baru, mereka terkejut besar, tidak saja kerana perkara itu  baru, lebih menakutkan lagi sekarang pengetahuan mereka sedang dicabar. Inilah punca kebangkitan puak ini untuk menolak konsep ilmu yang benar. Masalahnya menjadi semakin parah apabila golongan yang sesat meraba-raba ini tidak kenal sejarah pemikiran Islam, oleh itu amatlah mudah bagi mereka untuk berada dalam keadaan sesat Barat, satu ungkapan yang amat popular di kalangan orang Kelantan.

Semua ini menjadi kacau bilau apabila diberi kepercayaan bahawa para sasterawan negara itu sangat istimewa, penulis yang paling unggul, dan karya mereka juga paling unggul, maka kritikan terhadap mereka hanya timbul daripada orang yang mempunyai hasad dengki bukan kerana mereka tidak mempunyai kelebihan. Seperti yang saya selalu sebut, maka jadilah para sasterawan negara ini Brahmin Sastera, dengan itu ditakdiskan sebagai sejenis makhluk istimewa yang menulis karya istimewa.  Adakah ini benar? Kalau betul memang bagus; bagaimana kalau tidak betul? Kalau tidak betul anda akan menjadi pengikut manusia yang sangat ketara kelemahannya. Bagaimana kita boleh menyelesaikan persoalan penting ini? Itulah kita menggunakan konsep ilmu yang benar, untuk memastikan penilaian kita berasaskan ukuran yang boleh diuji kesahihannya. Maka lahirlah Gagasan Persuratan Baru untuk membantu anda mengenal pasti kualiti sebenar dan kualiti palsu. Bolehkah PB mencapai matlamat itu?

Itulah pertanyaan yang kita sedang  perdebatkan. Dalam hal ini saya serahkan kepada anda menentukannya. Maklumat yang mencukupi telah ada untuk dijadikan sandaran dan panduan. Berasaskan maklumat yang ada di dalam bentuk buku dan makalah akademik, anda akan dapati kedudukan para sasterawan negara ini tidak boleh dipertahankan. Dua perkara yang menjadi bukti yang boleh dihujahkan dengan mudah. Pertama, karya para sasterawan negara ini adalah karya picisan, oleh itu amat janggal bila diketengahkan karya picisan ini sebagai karya agung dalam sastera Melayu. Kedua,  para sasterawan negara sendiri terdiri daripada penulis yang cetek meraba-raba dari segi ilmu pengetahuan; terbukti dari sikap mereka yang menolak sumber ilmu daripada al-Quran. Mereka lakukan ini untuk menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai satu kaedah baru yang boleh mencabar semua teori sastera Barat; dan dari segi penciptaan karya pula PB memberikan mereka konsep-konsep yang dapat membantu mereka mencipta karya kreatif yang bermutu. Hal ini telah dihuraikan dalam buku-buku mengenai PB yang disenaraikan dalam entri bertarikh 26 Mei 2019.  Cabaran terhadap kesahihan pemilihan para sasterawan negara tidak boleh diremehkan, kerana ini memberi  implikasi besar kepada perkembangan sastera Melayu moden. Adakah kita berasa bangga menjadikan para sasterawan picisan ini sebagai tokoh penting yang telah memberi asas yang kukuh dalam perkembangan sastera Melayu?  Jika ini diterima, maka termaktublah pengkhianatan terhadap ilmu dan tradisi persuratan dalam sejarah intelektual kita.   

Apakah peranan persatuan penulis dalam membina budaya ilmu ini? Nampaknya badan penulis gagal memberi sumbangan dalam pembinaan budaya ilmu ini, dengan itu kehadiran badan-badan penulis ini tidak memberi apa-apa kesan kepada perkembangan ilmu; sebaliknya badan-badan ini dengan sedar menjadi penghalang kepada pembinaan budaya ilmu dalam seni mengarang dan penilaian sastera. Jalan keluar yang dicadangkan dalam kertas 2006 di Dewan Bahasa dan Pustaka itu boleh digunakan untuk membina semula  tradisi intelektual yang dirosakkan oleh para sasterawan negara dan sarjana sastera yang menolak konsep ilmu yang benar.  Inilah pilihan terbaik yang boleh membawa seni mengarang ke arah kecemerlangan sebenar dari segi teknik dan wacana untuk dibina dengan gigih selama seratus tahun ini.  Mulai dari sekarang. Saat ini.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 Julai 2019.










1 comment:

  1. Salam tn.haji,
    Jika pihak pengurusan DBP sendiri tidak memberikan reaksi yang sepatutnya kepada siapakah anjakkan paradigma ini perlu diangkat?.

    ReplyDelete