Monday, July 29, 2019

DUA JENIS BANGSA MALAYSIA



Malaysia beruntung kerana mempunyai dua jenis bangsa. Yang pertama bangsa Johor. Ini jenis bangsa yang bukan Melayu, bukan Cina, bukan Jawa, buka Bugis, bukan apa-apa sekali pun. Hanya bangsa Johor. Siapakah yang memberi nama itu tidak penting, kerana jika kita ketahui tentulah yang memberi nama itu seorang yang bodoh dan sekali gus angkuh. Baik kita tidak usah cari susur galur gelaran bangsa Johor itu.  Satu lagi jenis bangsa, yang hebat seperti bangsa Johor juga, ialah bangsa DAP. Bagaimana nama ini boleh muncul samalah juga dengan kes pertama, tentang bangsa Johor. Kita tidak perlu tahu dari mana asal bangsa DAP ini.

Dengan munculnya dua jenis bangsa ini di Tanah Melayu dan di Malaysia, maka hilanglah bangsa Melayu, tiada lagi bangsa Cina, lenyap pula bangsa India. Sebenarnya dari dulu pun tidak ada bangsa India, tetapi ada kaum Tamil yang dibawa oleh Inggeris untuk menjadi kuli mereka di estet getah. Kaum Cina pula dibawa masuk untuk menjadi kuli bijih, tetapi kemudiannya ramai di antara mereka menjadi tokeh bijih yang kaya raya. Si Melayu tidak dibenarkan melombong bijih timah (membijih), hanya diberi kebebasan menanam sayur dan tanam padi saja.

Sekarang Melayu disebut kaum Melayu atau etnik Melayu atau keturunan Melayu. Mereka ini tidak ada bangsa setelah Tanah Melayu merdeka. Malah sekarang pun nama Tanah Melayu itu ditentang hebat oleh bangsa DAP dan bangsa Tamil. Tidak ada Tanah Melayu; yang ada hanya Malaysia yang dipersetujui oleh semua kaum yang ada di Malaysia.  Apakah yang ada pada kaum Melayu? Tak elok kalau saya sebut, kasar sangat; tetapi itu pun nampaknya dikurangkan aktivitinya setelah diperkenalkan rancangan keluarga.  Jenis Melayu  diberitahu Tanah Melayu sudah dihapuskan bila diwujudkan Malaysia, dan kini sudah pula menjadi Malaysia Baru. Betulkah?

Malaysia Baru ialah nama lain kepada Malaysian Malaysia yang dirancang dan diwujudkan selepas berlakunya perubahan kerajaan kepada Pakatan Harapan, atau PH.  Sebenarnya PH ini pun bukannya baru, hanya namanya saja baru. Isinya masih isi lama, kini diterajui oleh orang yang sama yang telah bermaharajalela  selama 22 tahun tetapi kaum Melayu tetap mundur dan miskin. Kata ahli politik, kaum Melayu memilih untuk menjadi mundur dan miskin, kerana tidak banyak tanggungjawab.  Adakah Melayu ini bangga menjadi miskin dan terus tinggal miskin? Nampaknya begitulah. Sebagai orang beragama Islam, mereka ingin masuk syurga sebagai orang miskin. Oleh itu kekayaan Tanah Melayu (uuuppp, silap!)… Malaysia Baru, bukan Tanah Melayu lagi, kini dipunyai dan dikuasai bangsa DAP. Di Pulau Pinang bangsa DAP ini membuat tambak di kawasan laut yang etnik Melayu pergi ke laut tangkap ikan.  Mereka akan hilang kawasan ini, untuk diduduki oleh bangsa DAP. Mujurlah di Pulau Pinang tidak ada etnik Melayu yang tulen, kebanyakannya berdarah Tamil atau Arab dan mungkin juga Siam.  Bangsa DAP membuat strategi halus untuk menghalau etnik Melayu ke daratan, tempat asal mereka kata bangsa DAP. Etnik Melayu suka jika dapat tinggal di tanah seberang, lebih luas kawasannya walaupun bukan kepunyaan mereka.


Mengapakah ahli politik Melayu berasa amat selesa mengkhianati etnik Melayu yang sudah hilang bangsanya itu? Ada dua faktor yang membuat mereka mengkhianati pengikut mereka sendiri. Pertama, mereka yakin mereka tidak dikhianati oleh pengikut mereka. Kedua, mereka lebih percaya kepada bangsa Cina dan bangsa Tamil yang mereka anggap lebih cerdik dan lebih jujur daripada etnik Melayu.  Saya harap faktor ini tidak benar, kerana sekiranya betullah begitu, maka etnik Melayu akan terus tertipu, seperti “Tipah Tertipu Lagi”.  Bolehkah kita atasi kegilaan ini? Boleh, tetapi cara yang akan dicadangkan ini tidak disukai dan ditentang dengan keras oleh para tokoh politik etnik Melayu.  Kita perlukan satu revolusi pendidikan yang berteraskan bahasa Arab, supaya etnik Melayu boleh memahami al-Quran dan mengambil faedah secara langsung dari kitab suci itu, tidak lagi bergantung pada yang disebut ulama seperti Haji Hadi Awang dan para pengikut beliau. Kumpulan lebai ini menggunakan agama untuk mendapat faedah bagi diri mereka sendiri, oleh itu mereka sokong kedudukan PM Tun Dr. Mahathir supaya meneruskan kedudukan itu sampai mati atau sampai nyanyuk. Walaupun dikatakan sudah ada janji untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim, kata mereka tidak ada perjanjian bertulis. Oleh itu, apa pun yang diucapkan tidak boleh dipakai. Mesti ada hitam putih. Apakah nama sikap ini?  Sekarang orang tidak pandang  berat kepada sifat dan sikap munafik, kerana yang penting matlamat peribadi lebih utama daripada kepentingan rakyat walaupun dijanjikan begitu; dan lagi setiap percakapan tidak boleh dijadikan hujah kerana tidak ada bukti bertulis, oleh itu apa juga persetujuan boleh diingkari dengan mudah dan itulah yang sepatutnya dibuat jika kedudukan tergugat. Menjaga kedudukan itulah yang penting, bukan menepati janji atau mempertahankan kebenaran. Itulah inti pati politik Melayu. Sebenarnya sikap mereka benar, kerana al-Quran menegaskan jika seseorang berhutang atau berurusan dengan harta, mesti ada perjanjian dan mesti disaksikan. Bagaimana dengan janji politik? Dalam politik demokrasi, yang penting ialah konsep mobilization of bias, yang sudah banyak kali dijelaskan dalam blog ini. Maksudnya, politik demokrasi adalah politik pembohongan untuk mendapat kuasa melalui mobilization of bias tadi, yang secara mudah dipanggil manifesto.  Inilah yang berlaku dari dulu hingga sekarang. Dalam konteks ini, yang menipu dan berbohong bukan Najib Tun Razak saja; yang menuduh beliau pun sama juga keadaan dan kedudukannya. Politik adalah pembohongan, kerana itulah saja cara yang paling berkesan untuk mendapat kemenangan dalam pilihan raya.

Melayu mesti ingat, “Amanat Haji Hadi” belum ditarik balik, walaupun PAS sekarang bergabung dengan UMNO melawan bangsa DAP! Bolehkah seseorang berkata,  yang disebut amanat itu sendiri adalah sejenis pembohongan politik yang paling penting dalam sejarah politik Malaysia.  Amanah Haji Hadi tidak dapat membina tradisi kepemimpinan Islam yang boleh dihormati semua jenis manusia yang terdapat di Malaysia sekarang. Amanat Haji Hadi mengecualikan kumpulan beliau sendiri daripada sebarang tanggungjawab apabila atau andainya berlaku sesuatu yang boleh menggugat keamanan negara. Amanat Haji Hadi tidak memberi pertunjuk corak kepemimpinan Islam yang benar-benar adil. Bagaimana ini boleh dicapai?

Cara paling baik dalam keadaan sekarang ialah mendedahkan kekayaan para pelakon politik di semua peringkat, seperti yang dilakukan oleh  Perdana Menteri Britain James Callaghan di England 1976 dengan mengisytiharkan harta semua jemaah menteri dalam akhbar untuk dilihat oleh semua rakyat. Haji Hadi Awang dan para pengikutnya tidak akan melakukan ini kerana Haji Hadi Awang telah memberitahu rakyat Malaysia perbuatan itu haram dalam Islam. Jika inilah kedudukan Islam sebenarnya, seperti yang ditafsirkan oleh Haji Hadi Awang, maka Islam tidak mungkin menjadi asas pembangunan politik di Malaysia dan tidak akan dihormati oleh mana-mana  ketua parti sekali pun. Maksudnya, Islam tidak relevan dalam politik Malaysia.

Supaya kekeliruan ini tidak berpanjangan, kita perlukan pandangan para ulama yang jujur mengenai persoalan ini. Tetapi nampaknya dalam keadaan sekarang tidak akan tampil mana-mana ulama  untuk memperjuangkan politik Islam seperti yang dikonsepsikan oleh Islam. Inilah masalah kita, masalah Malaysia Baru.  Jika masalah ini tidak diselesaikan, maka politik Islam terus tidak relevan di Malaysia. Segala omongan yang dikatakan oleh ketua politik Islam seperti Haji Hadi Awang akan tetap tinggal omong kosong, hanya satu pembohongan politik yang nyata. Kita mesti selesaikan persoalan ini jika kita mempunyai tokoh politik Islam yang cerdik dan jujur. Dalam keadaan sekarang, orang itu belum muncul.

Inilah keadaan sebenar yang membolehkan bangsa Johor dan bangsa DAP hidup selesa dalam politik Malaysia Baru yang anti-Islam, seperti yang dihuraikan di atas. Seperti yang ditegaskan berkali-kali, keadaan ini hanya akan berubah jika pelakon politik Malaysia mengisytiharkan harta mereka dalam akhbar seperti yang dibuat oleh PM Britain 1976. Tetapi ini hanya berani dibuat oleh orang kafir, tidak oleh orang Islam. Itulah hakikatnya yang membuat politik Islam tidak relevan dalam Malaysia Baru.



Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29 Julai 2019.








No comments:

Post a Comment