Saturday, August 3, 2019

PILIHAN RAYA ADALAH PERJUDIAN, OLEH ITU HARAM DI SISI ISLAM



Tajuk kali ini mungkin boleh menggemparkan setengah orang yang tidak biasa dengan kontroversi.  Oleh hal yang demikian, pembaca dijemput membaca dengan sabar tetapi kritis. Tajuk ini penting kerana dia melibatkan dua perkara; dunia dan akhirat.  Waktu ini orang politik bertindak untuk dunia saja, pedulikan akhirat. Bagi orang Islam sikap ini pelik dan angkuh; bagi orang kafir kita tidak perlu ambil kisah.  Dari segi realiti, bila kita bercakap tentang pilihan raya, maka kita juga bercakap tentang demokrasi. Ada dua perkara lagi yang mengikutinya, iaitu tentang ekonomi dan dalam praktik ekonomi itu tercokol riba (interest), yang   menjadi tonggak ekonomi kapitalis.  Di sinilah terletaknya aspek perjudian dalam pilihan raya; maka jadilah pilihan raya itu sejenis perjudian untuk merebut kemenangan yang hanya didapat melalui perbelanjaan yang besar untuk merebut pengaruh. Inilah yang dimaksudkan dengan aspek perjudian dalam pilihan raya, yang membuatnya haram jika dilihat dari perspektif Islam.  Walaupun tokoh agama mengatakan halal dan haram itu bersangkut dengan akidah, ini tidak bermakna pilihan raya terlepas daripada unsur akidah jika dilihat dari perspektif pertandingan yang memerlukan banyak wang untuk mendapat kemenangan. Di situlah pentingnya aspek riba tadi, kerana ekonomi kapitalis tidak akan hidup tanpa riba; dan ekonomi kapitalis itu memerlukan demokrasi untuk mendapat legitimasi. Fahamkan ini baik-baik terlebih dahulu sebelum anda berkata demokrasi adalah sistem politik terbaik untuk memberi suara kepada rakyat memilih wakilnya dan kerajaan yang akan ditubuhkan.  Semua itu tidak percuma. Semuanya berasaskan wang dan wang itu berkait dengan sistem riba. Dengan itu yang dikatakan demokrasi itu tidak lain daripada penjelmaan pelaksanaan sistem riba dalam politik yang memerlukan banyak wang dalam pilihan raya.  Konsep perjudian dalam konteks demokrasi ini tidak berbeza dengan perjudian dalam kegiatan pertandingan untuk mendapat pemenang. Jadi seorang wakil rakyat adalah hasil dari sistem perjudian dalam politik, maka dengan sebab itu pilihan raya adalah haram kerana asasnya perjudian untuk mendapat kemenangan melalui undi, yang tidak didapat percuma, tetapi perlu ditagan betul-betul untuk memastikan calon yang dikemukakan itu terpilih. Fahamkan penghujahan ini baik-baik sebelum anda membuat keputusan tidak bersetuju dengan saya.

Saya sudah lama menangguhkan untuk menulis mengenai persoalan ini, untuk  mencari masa yang sesuai. Saya tidak pernah mengundi, dan tidak pernah mendaftarkan diri sebagai pengundi.  Sekarang masanya sudah sesuai, setelah kegiatan burit-memburit ini menjadi satu perbincangan dan tuduh menuduh dalam kehidupan orang Islam dalam amalan politik mereka. Mereka panggil ini kegiatan semburit. Jijiknya perkataan ini tidak terkira, kalau anda seorang yang tegas, kamu akan berasa hendak termuntah membaca tentangnya, apatah lagi menyebutnya. Apabila isu semburit ini menjadi tajuk penting dalam politik Malaysia sekarang, maka inilah masanya saya bercakap tentang pilihan raya dan prosesnya yang bagiku adalah haram kerana terlalu menonjol unsur perjudiannya. Sekiranya ada para ulama yang tidak bisu, yang jujur dan berani, yang hanya takutkan Allah SWT semata-mata membaca nota ini, saya harap mereka tampil menempelak aku kerana mempersoalkan sistem pemilihan wakil rakyat yang dinamakan pilihan raya itu.  Para ulama jangan lagi mendiamkan diri, mari kita berbahas tentang persoalan besar ini supaya orang Islam terlepas dari mengamalkan sesuatu yang akan membawa mereka ke neraka kerana berbohong ketika menawarkan diri sebagai calon dan memberi janji palsu dalam manifesto untuk menarik minat pengundi.  Pilihan raya adalah haram kerana bertentangan dengan konsep syura dalam Islam.

Bersamaku sekarang sebuah buku yang ditulis oleh salah seorang tokoh politik paling popular dan paling terkenal di Malaysia, bukan kerana beliau cerdik dan humble tetapi kerana outbursts beliau yang memanggil sesiapa saja yang tidak bersetuju dengannya sebagai jahil murakab, pengikut syaitan dan … (tambah apa saja yang anda mahu, tentang perkara buruk seseorang yang tidak bersetuju dengan beliau.)  Judul buku, Islam dan Demokrasi (PTS Islamika, 2007).  Di kulit luar bersama judul dikutip ayat Quran, al-An’am ayat 38. Maksud beliau, Quran telah membicarakan tentang demokrasi lebih awal daripada sebarang tamadun yang pernah wujud.  Yang saya faham sebagai orang jahil, bukan tokoh Islam dan tidak juga seseorang yang mendalam pengetahuannya tentang politik Islam,  sesungguhnya Islam menolak konsep demokrasi yang dikatakan oleh Haji Hadi Awang sebagai sistem yang memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih ahli politik yang mewakili mereka di dewan rakyat atau dewan negeri. Demokrasi bukan sistem Islam dan tidak mungkin dapat disesuaikan dengan politik Islam dalam bentuk apa sekali pun. Demokrasi adalah sistem Yahudi untuk mendemonasi politik dunia dan barang siapa yang menolaknya akan diperangi habis-habisan. Sekarang kita tidak lagi mempunyai negara Islam, walaupun Turkey menamakan negara mereka sebuah negara Islam yang berasaskan demokrasi.  Amerika sebagai negara besar yang menamakan dirinya negara demokrasi tulen dunia, tidak menerima pilihan raya di Turkey kerana dimenangi oleh golongan Islam.  Setelah Amerika berjaya menghancurkan negara umat Islam di Timur Tengah (pinjam istilah Barat), yang muncul ialah para pengkhianat Islam yang membunuh para pemimpin Islam di Mesir seperti yang dialami oleh seorang pemimpin Mesir yang digulingkan dan dipenjarakan dan akhirnya dibunuh dengan restu Amerika.


Tiga bidang dalam kehidupan moden orang Islam yang dipengaruhi sepenuhnya oleh Yahudi. Pertama dalam politik, apabila Islam menerima demokrasi sebagai sistem politik terbaik. Kedua dalam ekonomi, apabila Islam menerima kapitalisme sebagai sistem pertumbuhan ekonomi yang paling cekap dan yang terbaik untuk umat Islam. Ketiga, hasil dari yang dua tadi, ialah sistem riba dalam semua urusan kewangan dan pembangunan, dan pembinaan.  Tiga bidang besar ini dikuasai sepenuhnya oleh apparatus politik negara, terutama dari segi undang-undang dan perancangan pembangunan ekonomi.  Semua ini dirancang dan dilaksanakan melalui modal asing, dengan itu diasaskan kepada riba sepenuhnya. Kata tokoh politik Islam, jika mereka bergantung pada Islam sepenuhnya, tidak mungkin ada pembangunan. Rakyat akan menjadi bodoh kerana sekolah tidak dapat dibina kerana tiada wang untuk membangunkan sekolah, membayar gaji guru, dan semua urusan yang berkaitan dengan sistem pendidikan.  Haji Hadi Awang dalam bukunya tidak menyebut perkara ini dalam konteks yang sedang dilaksanakan di Malaysia sekarang. Jelas baginya ini bukan masalah, tetapi hanya pengurusan biasa yang boleh dilaksanakan tanpa sebarang halangan walaupun dengan menerima sumber riba sebagai cara mendapat wang untuk membangun. Mungkin Haji Hadi akan menulis banyak lagi buku politik yang membincangkan aspek yang dia belum lagi kuasai untuk membolehkannya menulis tentang perkara itu.  Tetapi amatlah baik jika beliau boleh membicarakan peranan riba dalam pembangun  negara; bolehkah dielakkan dan bagaimana melakukannya. Ini soal penting yang tidak boleh didiamkan. Dari bukunya Haji Hadi membayangkan beliau tahu semua persoalan ini tetapi tidak memandangnya penting untuk dibincang dalam bukunya itu. Mungkin juga beliau telah bincang dalam buku lain yang saya tidak baca.

Mari kita lihat secara ringkas bagaimana demokrasi dilaksanakan dalam pilihan raya. Tujuan dan matlamat diadakan pilihan raya ialah untuk memilih ahli politik yang boleh dipercayai untuk menjadi peneraju pembangunan sesebuah negara.  Sesuai dengan pandangan Haji Hadi Awang yang menerima demokrasi sebagai satu-satunya cara yang serasi dengan Islam, kita lihat sekejap bagaimana pilihan raya dilaksanakan di Malaysia.  Untuk maksud itu ditubuhkan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR). Antara kerja SPR ialah menyediakan daftar pemilih;  tetapi dengan adanya pindaan baru yang diluluskan baru-baru ini, pendaftaran itu tidak perlu lagi dalam cara yang pernah dilaksanakan. Cukup dengan seseorang yang layak mendaftarkan dirinya di kawasan yang dia pilih untuk mengundi. Kalau dia seorang Cina, dia boleh mendaftar di kawasan Cina untuk memastikan bilangan  pengundi Cina adalah majoriti dalam kawasan itu. Dia boleh saja duduk di Kelantan misalnya, tetapi memilih untuk mendaftar di kawasan tertentu untuk memastikan calon Cina menang. Dan seterusnya, misalnya di kalangan pengundi India/Tamil.  Dengan cara ini, parti Cina seperti DAP boleh membuat perancangan untuk menentukan parti itu menang dan mungkin dapat memerintah sama ada dengan bantuan parti lain atau bersendirian. Semua ini mungkin dalam sistem baru yang baru saja diperkenalkan. Adakah inilah jenis demokrasi yang dikatakan cocok dengan Islam itu? Kita harap Haji Hadi Awang sudi memberi penjelasan.

Bagaimana operasi kerja SPR? Calon mesti berumur lebih dari 18 tahun; mesti rakyat Malaysia tetapi tidak disyaratkan fasih berbahasa Melayu walaupun Perlembagaan menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa negara dan urusan di Dewan Rakyat dalam bahasa Melayu. Sekarang penggunaan bahasa Inggeris boleh dibuat dengan menyebut “dengan izin” Speaker apabila ahli DR tidak tahu bahasa Melayu dalam kes-kes tertentu; maka bolehlah dia gunakan bahasa Inggeris.  Inilah kelemahan calon yang  tidak dapat dikawal oleh SPR. Maksudnya, sesiapa saja boleh menjadi calon asalkan dia rakyat Malaysia. Kalau kita terima konsep demokrasi yang dibincangkan oleh Haji Hadi Awang dalam bukunya, soal moral tidak disentuhnya. Hasilnya kita lihat ahli DR tidak berbincang dengan sopan dan santun, sebaliknya mereka saling menjeritkan pendapat mereka dan sering kali mengeluarkan kata-kata yang kesat yang tidak perlu jika mereka menguasai bahasa Melayu yang baik.  Ini bermaksud, kecenderungan demokrasi menghantar ahli ke DR dari calon yang tidak sesuai dan tidak layak adalah tinggi, dan memang berlaku hingga ke hari ini. Jelasnya, demokrasi tidak berupaya menghantar calon atau wakil yang berwatak mulia dan tinggi akhlaknya dan pandai berbicara dalam bahasa Melayu yang fasih, setelah peluang untuk itu terbuka lebih dari 60 tahun!  Inilah kegagalan demokrasi yang amat jelas. Kita mahu dengar penjelasan Haji Hadi Awang mengapa hal ini berlaku di Malaysia, tetapi tidak di Indonesia yang semua rakyatnya fasih berbahasa Indonesia, tak kira etnik apa pun juga. Mesti ada jawapan, dan kita tunggu jawapan itu. Kelemahan sebesar ini terjadi kerana SPR tidak berupaya malah tidak dibenarkan untuk menentukan hanya calon yang sesuai saja yang layak bertanding. Syarat ini penting kerana kita sudah biasa melihat gelagat biadab ahli DR seperti yang terpancar dalam siaran TV. Mengapa ahli DR mesti berkelahi dalam perbincangan di Parlimen? Kita dengar apa kata mereka, yang saya yakin akan dinafikan sekeras-kerasnya walaupun kelakuan biadab itu kita lihat sepanjang masa hingga ke hari ini.

Untuk memenuhi konsep kebebasan dan pelaksanaan demokrasi di Malaysia, kita terpaksa melihat para ahli DR yang biadab, angkuh, dan lain-lain yang kita telah saksikan dalam siaran TV.  Inilah cara hidup demokrasi yang dibanggakan oleh Haji Hadi Awang  yang menurutnya sesuai dengan sistem politik Islam itu. Mungkin Haji Hadi Awang mempunyai penjelasan lain yang hanya dia seorang saja yang tahu. Tetapi dalam keadaan sekarang, demokrasi adalah anti Islam dan menentang Islam, oleh itu orang Islam diharamkan daripada menyokong demokrasi. Mungkin ada sesiapa yang lebih arif dalam politik Islam dan politik Yahudi/Barat boleh memberi penjelasan yang lebih baik.  Sehingga kita terima penjelasan itu, saya masih berpegang bahawa demokrasi adalah haram dalam politik Islam.

Penjelasan yang lebih mudah difahami ialah dengan menggunakan istilah yang terpakai dalam teori demokrasi yang diamalkan di Amerika dan tempat-tempat lain. Demokrasi menggunakan proses yang diberi nama mobilization of bias, iaitu melalui manifesto pilihan raya. Semua ahli politik Malaysia tahu apakah yang dinamakan manifesto itu, yakni satu dokumen yang dihebahkan kepada para pengundi yang memberikan janji dan pengakuan untuk berbuat sesuatu yang akan memberi faedah kepada para pengundi yang memilih parti yang mengemukakan manifesto itu. Manifesto adalah pembohongan yang dihalalkan dalam demokrasi, oleh itu tidak semestinya dilaksanakan sepenuhnya sekiranya parti yang membuat janji dalam manifesto itu menang dan dapat menubuhkan kerajaan. Anda tentu dapat memberikan contohnya dengan mudah sama ada dalam kerajaan PH mahu pun kerajaan BN. Sejauh mana mereka menepati janji dalam manifesto mereka?  Menurut kerajaan PH, UMNO dan sekutunya dalam BN yang memerintah Malaysia sejak tahun 1957 tidak melaksanakan janji mereka dalam kerajaan yang diketuai oleh Dato’ Najib Tun Razak, malah menurut Kerajaan PH yang berkuasa sekarang, Kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang paling korup di Malaysia, termasuk zaman Tun  Dr. Mahathir Mohamed dilantik menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.  Adakah kerajaan PH yang ada sekarang terlepas dari korupsi? Dalam politik, korupsi diberi definisi oleh kerajaan yang memerintah, oleh itu ketika sesebuah kerajaan pernah menjadi pemerintah, korupsi tidak wujud; korupsi hanya wujud jika kerajaan baru mendapat kuasa. Oleh itu, korupsi diberi definisi oleh kerajaan yang memerintah untuk  melindungi korupsi tersembunyi yang mereka laksanakan hatta ketika menghapuskan korupsi itu sendiri. Bagaimana ini dilakukan? Dalam konteks politik moden yang berteraskan demokrasi, seseorang hanya melakukan korupsi jika kerajaan yang menang menuduh mereka, dan dibicarakan untuk membuktikan yang tertuduh telah melakukan korupsi. Inilah yang berlaku di mana-mana saja kerajaan yang berteraskan demokrasi.  Perkara ini telah saya bincang dalam novel Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu. Bagus juga jika anda baca novel yang membicarakan makna korupsi dalam politik.  Dalam novel ini anda akan bertemu analisis saya tentang kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merugikan orang Melayu. Kesimpulan  ini tidak dapat dinafikan, kerana selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, kemajuan yang paling cemerlang yang dilakukan tokoh Kedah ini ialah meninggalkan Pantai Timur dalam kemiskinan dan kemunduran, hanya kerana Mahathir tidak mahu PAS mendapat faedah jika Pantai Timur dibangunkan. Ini bukan cerita rekaan, tetapi satu kenyataan politik dan ekonomi yang terbentang jelas. Hanya manusia yang bodoh saja yang menerima kepemimpinan Mahathir sebagai sesuatu yang ajaib dalam pembangunan orang Melayu.  Inilah salah satu kemungkaran yang berlaku akibat kepercayaan yang bodoh kepada demokrasi yang lebih cenderung  kepada kezaliman daripada memberi kemajuan yang seimbang kepada semua rakyat. Pada umumnya rakyat Pantai Timur sepatutnya diberi keutamaan, kerana di situlah berkumpulnya orang Melayu yang memberi sokongan kepada UMNO ketika Mahathir menjadi ketua UMNO paling lama.  Novel Hikayat Buyung Lurus mesti dibaca oleh semua orang Melayu untuk mengetahui dan memahami bagaimana Melayu ditipu dan ditemberang oleh pemimpin mereka sendiri.  Satu percubaan telah dibuat oleh pemimpin Melayu ini untuk menebus dosa pembangunan di Pantai Timur dengan melancarkan ECRL kononnya untuk memajukan Pantai Timur. Melayu mesti ingat, projek ini tidak perlu kerana yang akan terjadi nanti habis tanah orang Melayu akan digadai kepada Bangsa DAP dan suku sakatnya jika projek ini selesai atau jika masih belum selesai pun tanah-tanah orang Melayu akan tergadai. Maka selesailah penyembelihan Melayu dengan kerelaan mereka sendiri kerana mereka tanpa disedari akan menjadi lebih bangsat setelah kehilangan tanah mereka kepada Bangsa DAP. Melayu mesti sedar projek penipuan ini kerana semua projek yang kononnya untuk mereka sebenarnya berupa legasi haram para pemimpin supaya mereka kononnya akan dikenang sebagai pembela bangsa, walaupun istilah bangsa itu sendiri sudah terhapus bila diganti dengan istilah etnik.



Mahathir sebenarnya menjadi masalah kepada negara, terutama sekali kepada orang Melayu. Jika ada kejayaan beliau, maka semua itu untuk kepentingan peribadi dan anak-beranak. Orang Melayu masih terus miskin dan ketinggalan, silapnya mereka masih percaya kepada pemimpin yang telah mempersia-siakan sokongan mereka. Satu tanda kebodohan Melayu ialah bila mereka menyokong  pemimpin seperti Dr. Mahathir,  yang memilih tempat untuk “berjasa” (?), oleh itu tidak ada kemajuan pun di pantai timur,  padahal itulah tempat yang memerlukan pembangunan… Apa yang disebut pembangunan bukan untuk rakyat, tetapi untuk golongan yang dia sendiri tahu siapa. Anda boleh bangkang kesimpulan ini, boleh bersetuju jika mahu, atau mungkin boleh mengutuknya jika anda penyokong tokoh ini. Kesimpulan ini berasaskan dua prinsip utama. Pertama, Dr. Mahathir berbuat apa yang dia fikir baik untuk dirinya, bukan untuk masyarakat. Contoh terbaik ialah apabila beliau mahu memperkenalkan sekali lagi PPSMI, kononnya untuk menangkap teknik moden yang boleh memajukan masyarakat. Pandangan ini salah, tidak berasas, dan lebih mengarut sifatnya kerana tidak berasaskan logik. Yang kita perlukan pada waktu ini ialah penguasaan bahasa Arab, supaya al-Quran benar-benar dihayati seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.  Kini kita menghadapi krisis moral dan kritis kepercayaan yang amat teruk,  yang membuat seseorang yang mengaku pemimpin berani dan sanggup melakukan maksiat besar seperti terlibat dalam kegiatan semburit yang sedang dihebohkan sekarang.  Kita boleh mengubah kejahatan ini melalui kesedaran yang mendalam tentang ajaran al-Quran, yang hanya boleh dicapai dengan menguasai bahasa Arab, sebagai bahasa sains (anda kena tahu siapa tokoh sains dan matematik Islam yang mengubah budaya Eropah), dan bahasa al-Quran.  Saya sangat yakin jika Malaysia memberi keutamaan kepada bahasa Arab, bukan bahasa Inggeris, kemungkinan untuk mengubah masyarakat supaya berakhlak mulia sebagai ahli politik dan sebagai manusia anggota masyarakat boleh tercapai. Bahasa Inggeris sebaliknya telah merosakkan akhlak para pemimpin politik kerana meninggalkan bahasa Arab yang diwajibkan untuk dipelajari kerana dengan pengetahuan itu saja Islam dapat dipertahankan.

Ustaz Fadzil Noor pernah mendoakan supaya Mahathir panjang umur, supaya dapat melihat sendiri kejahatannya. Nampaknya doa ustaz itu sudah menampakkan bukti dalam perilaku Mahathir. Misalnya, kes semburit  bagi Mahathir adalah kes politik kerana ada orang tidak mahu lihat bakal pengganti beliau naik dan kemudiannya didampingi oleh anaknya sebagai Timbalan PM yang seterusnya akan naik sebagai PM.  Bolehkan Mahathir dipercayai? Saya ada maklumat mengenai perkara ini. Tunku pernah memberitahu Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Mahathir seorang pembohong, tidak boleh dipercayai. Kalau perkara ini mahu disahkan, boleh bertanya Tengku Razaleigh sendiri bila-bila masa pun. Saya dapat maklumat ini daripada pegawai kanan di Perbendaharaan ketika Tengku Razaligh Menteri Kewangan.  Keangkuhan Mahathir diserlahkan oleh beliau dengan mengaku bahawa beliau memang Mahazalim dan Mahafiraun, dua gelaran yang diberikan oleh para pemimpin PKR mulai tahun 1988 ketika Anwar Ibrahim disumbat ke penjara sebagai tokoh semburit politik Malaysia.


Mahathir membezakan masalah moral dan masalah politik. Kes Azmi Ali adalah  masalah politik untuk mencegahnya  supaya dilantik menjadi PM nanti. Bukan masalah moral.  Satu pengakuan bahawa politik dan demokrasi adalah tidak bermoral oleh itu haram dari sisi Islam.  Ada ulama menegaskan yang haram itu hanya dari aspek akidah, tidak dari aspek pelaksanaan dan penerapan dalam masyarakat. Dengan itu, kata mereka, demokrasi adalah sesuai dengan Islam jika dipraktikkan menurut nilai-nilai Islam; dan pelaksanaan demokrasi dalam politik bukan urusan akidah yang menentukan halal haramnya sesuatu tindakan.  Sekali imbas pandangan ini nampak seolah-olah Islam dan demokrasi itu selari, oleh itu boleh dipraktikkan tanpa sebarang syak wasangka. Inilah pendirian Haji Hadi Awang dalam bukunya. Tetapi Haji Hadi tidak mengenal demokrasi dari perspektif teori dan praktik  yang dilaksanakan di negara Barat. Jika anda teliti, demokrasi adalah sistem yang diperkenalkan oleh Yahudi untuk menguasai politik dan ekonomi Amerika dan Barat. Anda boleh lihat ini dalam apa yang berlaku di Amerika. Kecuali Haji Hadi Awang mempunyai hujah baru yang menafikan pengaruh Yahudi dalam sistem demokrasi, hakikat bahawa demokrasi itu sistem  politik Yahudi  masih terpakai. Inilah juga sistem yang terpakai di Malaysia sekarang. Inilah antara bukti yang saya sebut bahawa politik Malaysia dipengaruhi oleh Yahudi tanpa disedari oleh ahli politik sendiri kerana keseronokan mereka bermain politik. Jika ini benar, mereka telah mengkhianati Islam dan orang Islam. 

Semuanya dibolehkan menurut Tun Mahathir yang berusaha gigih untuk membawa anaknya, MB Kedah, sebagai bakal PM satu hari nanti dengan melantiknya sebagai Timbalan PM sekiranya PM dipegang oleh Azmi Ali. Oleh itu, Anwar Ibrahim bukan pilihan Tun Dr. Mahathir, kerana dia tahu Anwar Ibrahim tidak akan memilih anaknya MB Kedah itu sebagai Timbalan PM. Pilihan terbaik untuk Mahathir ialah dengan melantik Mustapha Mohamed sebagai PM dengan Mukhridz sebagai timbalan. Kita harap inilah yang akan berlaku untuk kebaikan orang Melayu, yang terus percaya bahawa Mahathir Mohamad adalah pemimpin agung mereka!


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 3 Ogos 2019.


No comments:

Post a Comment