Saturday, August 17, 2019

PENGHINAAN TERHADAP RASUL SAW DAN BONDA BAGINDA OLEH MELAYU ISLAM MALAYSIA



Saya yakin ada di antara anda yang secara sedar pernah menghina Nabi SAW dan bonda baginda dalam percakapan anda sehari-hari, bila anda menghadapi sesuatu yang tidak menyenangkan anda atau yang menghairankan anda bila melihat kelakuan manusia.  Anda akan berkata, “Mamat tu nak buat apa, atau cari apa tergesa-gesa …”.  Atau, “Minah ni bukan main mekapnya,  muka tak cantik pun…”  Di mana silapnya dan biadabnya dalam dua kes yang biasa kita dengar ini?  Perhatikan penggunaan “Mamat” untuk menghina, begitu juga perkataan “Minah” untuk merendahkan maruah dan menghina seseorang perempuan yang anda kenal atau tidak kenal.  Anda tentu boleh ikuti maksud kemusykilan yang saya bangkitkan ini?

Inilah yang biasa kita dengar, secara tidak sedar atau sedar,  apabila seseorang yang tidak senangkan seseorang, atau memang sengaja hendak menghina dan mengejek, maka jika jantan anda kata “Mamat tu cari apa”, atau jika betina anda akan berkata, “Apa Minah tu buat kepada anaknya hingga menangis …”  Kalau anda seorang Islam yang siuman, dan hormat Nabi anda, anda tidak akan menghina nama Rasulullah SAW dengan memendekkan nama baginda, Muhammad SAW  menjadi Mamat; atau nama bonda baginda Aminah, menjadi Minah.  Mengapa penghinaan seumpama ini terjadi di kalangan orang Melayu yang Islam, sama ada yang bersolat atau tidak, yang ada gelaran atau tidak, yang berpangkat atau tidak … dan sebagainya. Mengapa mesti dihina nama Nabi dan bonda Baginda?

Saya tidak pasti sama ada terdapat ustaz atau ustazah yang bangkitkan perkara ini dalam ceramah dan nasihat mereka. Moga-moga mereka sendiri tidak terikut-ikut dengan tabiat biadab orang Islam Melayu yang menggunakan singkatan Mamat atau Minah untuk menzahirkan kejengkelan mereka.  Andainya terdapat sesiapa yang boleh menjelaskan perkara ini, amatlah baik jika orang itu tampil dan
selamatkan Islam Melayu dari kutukan Allah SWT kerana menghina Nabi dan keluarga Baginda yang dijadikan slogan dalam TV, Rahmatan Lilalamin.

Bagaimana perkara ini boleh timbul dalam masyarakat Islam Melayu Malaysia? Inilah  yang menghairankan.  Mesti ada penjelasannya mengapa Melayu Islam menghina Nabi dan bonda Nabi SAW dengan cara yang disebutkan. Dan semua ini berlaku ketika begitu banyak ceramah tentang agama, tentang adab dan sebagainya, tentang akhlak mulia, yang disemburkan oleh para ustaz di TV dan Radio. Apa sudah jadi? Moga-moga tampil seseorang yang jernih jiwanya untuk menjelaskan perkara ini.  Sukar hendak terima umat Islam Melayu di Malaysia begitu biadab terhadap Nabi SAW dan bonda Baginda SAW.  Saya cadangkan JAKIM mengadakan perhimpunan raksasa di padang untuk melakukan solat taubat bagi pihak Melayu Islam yang biadab, yang menghina nama Baginda SAW  dan bonda Baginda.

Saya harap catatan kecil ini tidak disia-siakan.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 17 Ogos 2019.

1 comment:

  1. Suatu yang baik untuk direnung buat kita semua agar memanggil nama orang dengan panggilan yang baik dan sempurna

    ReplyDelete