Saya terbaca
berita menarik dalam Malaysiakini 14/8/2019 mengenai pemilihan sasterawan
negara ke-14 yang tertangguh. Ada yang berkata, orangnya telah dipilih, tetapi
ada campur tangan politik. Kalau itu betul terjadi, saya kira wajar. Yang akan
beri wang hadiah ialah kerajaan yang memerintah sekarang, maka tentulah mereka
berhak campur tangan dalam menentukan pemilihan itu. Sekarang jumlah wang anugerah itu sudah bertambah menjadi
200,000 ribu, yang akan dikurangkan menjadi 100,00; berbanding dulunya 60,000
yang dikira oleh para sasterawan tidak memadai kerana mereka telah memberi
sumbangan besar kepada negara melalui karya picisan mereka. Berapa pun
jumlahnya saya kira tidak wajar dipersoalkan, kerana setiap sasterawan negara
akan mendapat 500,000 hasil cetakan buku mereka. Kalau nak kira cukup, memang
tidak cukup memandang besarnya jasa para sasterawan negara. Selain diberi
hadiah wang, saya ada cadangan lain yang lebih berprestij. Saya harap kerajaan
DAP yang sudah memberi habuan yang begitu besar kepada para sasterawan negara
gaji bulanan 5000 dolar setiap bulan, sangat munasabah jika kerajaan DAP cepat-cepat
membina Wisma Sasterawan Negara bersebelahan bangunan Dewan Rakyat supaya
senang bagi ahli Dewan Rakyat singgah untuk membaca buku-buku bermutu para
sasterawan negara. Dalam perkiraan saya, setelah berbincang dengan pakar
kewangan, bangunan itu boleh didirikan dengan hanya tidak lebih dari 2 juta,
satu jumlah yang kecil. Saya harap semua badan penulis seluruh Malaysia menulis
satu memorandum kepada Kerajaan PH supaya Wisma Sasterawan Negara itu dibina
dengan segera. Dewan Bahasa dan Pustaka wajar mengambil inisiatif untuk melobi
kerajaan memohon kerajaan membina dengan segera Wisma Sasterawan Negara itu. YB
Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan DAP Lim Eng Guan tentu akan bersetuju dengan
cadangan ini. Saya harap Menteri Pendidikan boleh memberi sokongan padu. Tidak
patut banyak soal jawab, kerana wang untuk itu telah diberikan oleh rakyat
Malaysia dalam bentuk segala jenis cukai.
Tentang sasterawan
negara ke-14, saya sudah pun mencadangkan tiga nama, iaitu Mana Sikana, Prof. Rahman
Shaari, dan Dr. Fatimah Busu. Perlu diambil ingatan, Hadiah Nobel pernah
dianugerah kepada dua orang penulis. Apa salahnya jika untuk kali ini kita
berikan kepada dua orang sasterawan. Dengan itu tidaklah lama sangat mereka menunggu.
Saya sokong
penuh cadangan Ketua Pengarah DBP supaya para sasterawan sendiri dibenarkan
mencalonkan diri mereka. Dengan ini saya
dengan malu-malu asam mencalonkan diri sebagai Pujangga Negara, bukan
sasterawan negara. Moga-moga ada badan-badan penulis yang menyokong cadangan
saya. Minta pandangan Ketua Pengarah DBP.
Adakah anda serius memberi pandangan anda tempoh hari?
Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Mohd.
Affandi Hassan,
No comments:
Post a Comment