Thursday, August 8, 2019

KEDUDUKAN SEBENAR DEMOKRASI DAN PILIHAN RAYA DALAM KONTEKS ISLAM



Dalam tulisan yang lepas, saya menegaskan demokrasi adalah sistem politik yang menentang Islam dan tidak sekali-kali boleh diguna-pakai dalam politik dalam Islam. Oleh itu sistem pilihan raya yang dijadikan kaedah untuk melaksanakan demokrasi dengan sendirinya bertentangan dengan sistem politik Islam, oleh itu tidak boleh dipakai untuk menubuhkan institusi kenegaraan dalam Islam. Dalam konteks ini, bagaimana kita boleh membaca dan memberi tafsiran bahawa Islam adalah agama persekutuan, padahal Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara demokrasi yang sistem politiknya dilaksanakan melalui pilihan raya setiap 5 tahun untuk membentuk kerajaan. Adakah pemilihan kerajaan baru itu tidak sah dalam politik Islam? Kalau begitu, bagaimana pemilihan itu harus dilakukan? Tentulah Islam mempunyai cara tersendiri untuk memilih pemimpin? Bagaimana caranya? Untuk menjawab dua soalan ini, kita perlu bertanya para ulama yang tentu saja pakar dalam politik Islam (harapnya begitulah) supaya jawapannya benar-benar mencerminkan kedudukan politik dalam Islam dalam hubungannya dengan demokrasi. Percubaan yang dibuat oleh Haji Abdul Hadi Awang dalam bukunya Islam dan Demokrasi tidak jelas kerana dua sebab. Pertama, beliau tidak menghuraikan secara tuntas  kedudukan konsep politik dalam Islam. Kedua, beliau juga ternyata tidak dapat menjelaskan konsep demokrasi yang telah disepakati oleh para sarjana politik Barat berasaskan konsep mobilization of bias. Ciri utama demokrasi ini perlu difahami dan dihuraikan dalam pelaksanaan pilihan raya yang menjadi tunjang utama dalam demokrasi Barat. Pemerhatian kita terhadap politik  Malaysia memberitahu tanpa syak betapa gigihnya ahli politik memperagakan mobilization of bias masing-masing untuk menipu rakyat supaya memilih mereka. Paling menarik, perkara yang sama dilakukan juga oleh PAS, sebuah parti Islam yang kononnya memperjuangkan Islam.  Tunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa PAS tidak menggunakan taktik penipuan melalui penggunaan mobilization of bias ini.  Sebenarnya inilah salah satu kaedah utama yang dipakai dalam demokrasi. Bagaimana pula Haji Hadi Awang, Ketua PAS, mengatakan demokrasi itu sesuai dengan Islam?  Nas apa yang dia pakai untuk meletakkan Islam sebagai agama yang mengajar penganutnya menipu dalam pilihan raya? Cara Haji Hadi Awang menghuraikan konsep demokrasi bolehlah disimpulkan sebagai teknik mobilization of bias dalam politik PAS.

Antara contoh terbaik penggunaan teknik mobilization of bias ini dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed  dengan meminta semua Ahli Dewan Rakyat mengisytiharkan harta di Dewan Rakyat. Mengapa tidak saja dibuat dengan lebih telus seperti yang telah dibuat oleh seorang Perdana Menteri Great Britain dalam tahun 1976, yang mengisytiharkan harta beliau dan semua anggota kabinetnya dalam akhbar The London Times. Baca kisah ini dalam Hikayat Buyung Lurus, hal. 134. Dengan itu rakyat diberi peluang untuk mengenal para ahli politik yang telah mereka pilih mewakili mereka bertindak benar-benar bertanggungjawab dan jujur dengan membuat perisytiharan itu dalam akhbar empat bahasa yang diterbitkan di Malaysia. Sekurang-kurangnya kita mengharapkan anggota Dewan Rakyat dari PAS berbuat begitu dalam akhbar mereka sendiri, Harakah. Hairan juga mengapa mereka takut untuk bertidak jujur dan benar-benar terbuka seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri England dalam tahun 1976 itu. Kalau orang kafir berani dan jujur, mengapa dan atas alasan apa para tokoh politik PAS takut dan tidak mahu berbuat seperti itu? Kalau mereka berkata haram mengikut teladan orang kafir, kita boleh terima alasan mengarut ini kerana kita pun tahu mereka pun tidak mahu mendedahkan kejujuran mereka seperti yang dibuat oleh pemimpin Parti Buruh di Britain itu. Inilah wajah sebenar ahli politik Malaysia, dari mana-mana parti sekali pun. Sungguh kasihan melihat rakyat yang menyokong mereka bersorak bergemuruh membenarkan pembohongan tokoh politik mereka yang penakut untuk bercakap benar dan bertindak secara terbuka seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri dari Parti Buruh di England itu.  Sebenarnya inilah demokrasi yang dipraktikkan di Barat. Sangatlah pelik dan sungguh aneh jika demokrasi yang dikatakan oleh Haji Hadi Awang dalam bukunya sama dengan syura tiba-tiba menyeleweng dari hakikat demokrasi yang diamalkan di Barat, tempat lahirnya sistem demokrasi itu, yang kini kononnya ditiru oleh ahli politik Malaysia.  Demikianlah pembohongan itu telah dijadikan amalan utama dalam politik Malaysia.  Tentulah amat istimewa jika pembohongan itu dijadikan asas politik oleh anggota parti Islam sekali pun.

Konsep mobilization of bias dalam teori politik demokrasi ini mesti difahami oleh semua penggiat politik di Malaysia, supaya mereka faham kedudukan pembohongan dalam kegiatan politik demokrasi.  Kerana pentingnya mobilization of bias itu dalam demokrasi, maka demokrasi tidak dapat mengelak dari  dipengaruhi dua unsur penting yang mesti mengiringi pelaksanaan demokrasi. Pertama, pembohongan merupakan faktor utama dalam membina mobilization of bias. Istilah mobilization of bias itu sendiri mengisyaratkan bahawa sesuatu  manifesto mestilah diarahkan untuk mendapat undi bukan untuk menyatakan kebenaran. Ahli politik mengaku bahawa mereka boleh berbuat apa saja jika diberi kemenangan dalam pilihan raya, untuk membuktikan bahawa mereka menghargai undi rakyat yang telah memberi kemenangan kepada mereka. Kedua, melalui mobilization of bias, para pengundi diberi kepastian bahawa jika mereka mengundi calon tertentu, maka  mereka tidak akan dihampakan seperti yang dijanjikan. Tetapi masalahnya, setelah memenangi kerusi yang dipertandingkan, calon yang menang mula sedar bahawa realiti kehidupan rakyat kini menjadi masalah kepadanya kerana rakyat mahu melihat hasilnya secepat mungkin, sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh ahli politik betapa pun dia berusaha melakukannya. Kalau itulah halangannya, bagaimana pula kita boleh memberi penjelasan mengapa ramai pula ahli politik menjadi kaya raya, mewah serba serbinya. Mengapa semua itu tidak dimilikinya sebelum itu, sebelum dia mendapat kedudukan? Di sinilah timbul unsur rasuah, tidak boleh dielakkan lagi. Yang boleh memberi penjelasan yang memuaskan hanya ahli politik, bukan seorang penulis seperti saya yang tidak mempunyai kesempatan dan peluang untuk berada dalam kemewahan seorang ahli politik. Adakah ini bermakna kedudukan seseorang ahli politik memberinya peluang untuk melakukan rasuah, sesuatu yang tidak termimpi olehnya sebelum dia berada dalam kedudukan baru itu. Yakni kedudukan sebagai seorang ahli politik yang menang. Sekarang, secara ironinya, konsep mobilization of bias itu dipraktikkan dengan berjayanya dalam konteks seorang ahli politik yang menang pilihan raya dan dengan itu terbukalah makna mobilization of bias kepada seorang ahli politik yang tahu menggunakan kesempatan baik ketika menjadi calon dan kemudiannya setelah menang. Anda faham maksud saya? Baca berulang kali jika masih kabur, sesuatu yang jelas bagi seorang ahli politik yang menang dalam pilihan raya.

Di mana peranan Islam dalam demokrasi?  Haji Abdul Hadi Awang tidak dapat menjawab pertanyaan ini kerana beliau tidak tahu adanya mobilization of bias dalam pelaksanaan demokrasi itu, yang tentu saja bertentangan dengan Islam jika aspek pembohongan dan penipuan yang tersirat dalam mobilization of bias (ditunjukkan dalam manifesto) itu diambil-kira.  Sekarang timbul persoalan, bolehkah mobilization of bias itu diketepikan? Kalau kita lihat tabiat berpolitik orang-orang PAS, kita dapati merekalah yang paling handal dalam menyediakan mobilization of bias itu, dengan memberi pengakuan bahawa para pengundi yang memilih mereka akan dijamin masuk syurga. Dan sebaliknya!  Sekurang-kurangnya inilah janji dan penegasan Abdul Hadi Awang dalam “Amanat Haji Hadi”. Anda perlu membacanya kembali jika ragu-ragu.

Itulah kedudukan politik demokrasi dalam Islam seperti yang dihuraikan oleh Haji Abdul Hadi Awang dalam bukunya Islam dan Demokrasi.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 8 Ogos 2019.

3 comments:

  1. Replies
    1. Terima kasaih Sdr Wan Ahmadi Jalil. Minta alamat saudara saya nak hadiah buku baru saya. Terima kasih

      Delete
  2. Bahagian Dakwah JAKIM,(C.K.I)
    Tingkat 4,Blok B,Kompleks Islam Putrajaya,
    Jln. Tunku Abdul Rahman, Presint 3, 62100
    Putrajaya.WP.

    Inshaa-Allah,saya terus dapat mengutip faedah dari penulisan dan karya yang tuan haji hasilkan.
    Selamat berjuang dan berjaya mendidik masyarakat menjadi lebih celik dan cerdik sehingga mampu membeza antara intan dan kaca.
    Terima kasih,tuan.

    ReplyDelete