Thursday, August 15, 2019

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD SEBAGAI TOKOH ANGLOPHILE



Sekiranya ada di antara pembaca tidak tahu makna anglophile, boleh dapatkan maknanya dalam kamus atau melalui carian Internet.

Mengapa konsep anglophile ini penting di Malaysia?  Jawapannya mungkin kita boleh dapat dalam ucapan terbaru Mahathir yang memberitahu rakyat Malaysia bahawa mereka perlu  mempunyai kesedaran civic supaya masyarakat Malaysia akan maju dan beradab sopan. Gesaan ini diutamakan kepada para pelajar, maka dengan itu Kementerian Pendidikan akan mengadakan pelajaran civic di semua sekolah.  Bagi saya ini bukanlah satu tindakan yang siuman atau cerdik. Inilah contoh tindakan yang lahir dari kebodohan intelektual yang tidak tahu makna adab dalam pembinaan negara. Inilah contoh kegagalan sistem pendidikan yang kita tonjolkan dalam perancangan membina bangsa yang cuba dibuat oleh Kementerian Pendidikan.  Dalam konteks Islam, pengajaran civic di sekolah adalah satu gerakan biadab yang akan melahirkan pelajar yang biadab dan anggota masyarakat yang biadab. Inilah yang kita dapat sekarang apabila manusia yang tamat sekolah berlagak biadab dalam cara berfikir dan dalam tindakan. Contoh paling mudah anda boleh lihat ialah dalam program TV dan Radio. Program TV kita lebih dari 90 peratus adalah untuk memuaskan kehendak hawa nafsu penonton yang mahukan hiburan murahan, yang kita boleh tonton setiap hari dalam program TV. Program biadab ini dijadikan program utama dan diberi kedudukan istimewa, yang berakhir dengan limpahan hadiah dan penghargaan yang besar dari segi kewangan. Apakah program itu? Saya tidak perlu membuat senarainya satu persatu. Jika anda cerdik dan tahu membezakan antara hiburan dan pendidikan adab, anda akan dapat membuat senarai panjang tentang program hiburan ini. Besarnya jumlah program hiburan ini menepati dengan budaya hawa nafsu (the sensate culture) yang digalakkan tokoh politik dan peneraju stesen TV di Malaysia. Barangkali perbuatan yang paling biadab ialah dengan menyiarkan berkali-kali sesebuah drama yang picisan serba serbinya: ceritanya picisan; lakonannya picisan; pengarahannya picisan; mesejnya, jika ada, tetap picisan.  Inilah hasil yang dinamakan oleh Sorokin “the sensate culture”, budaya hawa nafsu.

Barangkali kecelakaan paling besar yang dihadapi Malaysia ialah apabila al-Quran disimpan dalam almari, tidak dihidupkan dalam politik dan pentadbiran negara, kecuali pada istiadat tertentu yang memerlukan pembacaan al-Fatihah, yang kemudiannya diiringi doa oleh pembaca yang diundang untuk tugas itu.  Alasan yang diberikan ialah negara ini berbilang kaum dan berbilang agama, oleh itu semua agama diletak setaraf, oleh itu Islam tidak relevan dan tidak boleh diutamakan supaya penganut agama lain tidak memberontak melontarkan kata-kata kesat yang memang berlaku dari semasa ke semasa kerana orang Islam dan bukan Islam lebih mementingkan apa yang disebut sebagai keharmonian kaum daripada  menerima Islam sebagai agama rasmi negara seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Etnik Cina dan Hindu menolak peranan Islam dalam pembinaan adab dan peradaban di Malaysia, dengan memberi alasan palsu bahawa Islam tidak boleh diangkat sebagai cara hidup dan sumber ilmu kerana ini dianggap oleh golongan Cina dan Hindu ini sebagai paksaan ke atas mereka. Islam hendaklah dipraktikkan dalam rumah saja, dengan membataskan peranan masjid hanya untuk sembahyang Jumaat.  Sikap biadab ini nampaknya diterima oleh orang Islam sendiri, yang juga berasa rimas jika Islam dijadikan sumber ilmu dan sumber ajaran moral untuk semua rakyat, bukan untuk orang Islam saja. Maka diperkenalkan ajaran civic di sekolah-sekolah, dengan itu murid-murid Islam dipisahkan dari agama mereka sendiri sebagai asas pendidikan adab umat Islam.  Jelaslah ini suatu perbuatan yang amat biadab, yang disengajakan untuk mengelak daripada para pelajar Islam mengenal agama mereka dari perspektif adab dan pembinaan peribadi Muslim.  Pengajaran civic tidak mungkin dapat mencapai matlamat ini, oleh itu bagi murid-murid Islam pengajaran civic itu mestilah dilihat daripada perspektif adab dan pembinaan adab dalam masyarakat.  Bagaimana umat Islam yang terdiri daripada orang Melayu boleh membenarkan diri mereka menjadi biadab dengan menerima pengajaran civic yang menolak peranan Islam dalam pembinaan peradaban dan pembinaan peribadi pelajar sekolah?.  

Pengajaran civic ini adalah kesan daripada pengaruh anglophile dalam sistem pendidikan Malaysia.  Obsesi Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap bahasa Inggeris menghairankan katak dalam kolam yang riuh berbunyi apabila tokoh politik ini bersuara.  Mereka membantah kerana bahasa katak tidak wajar disisih selagi katak masih melompat riang apabila turun hujan. Seorang tokoh politik Malaysia Baru tidak boleh mengetepikan civic katak untuk melengkapkan pengetahuan mereka. Menteri Kasut Hitam tidak boleh membiarkan saja dialog katak yang jauh lebih cerdik dan menarik daripada dialog bahasa Inggeris yang asing bagi Malaysia. Adakah beliau yang sukakan kasut hitam itu yakin bahawa para pelajar sudah faham bahasa katak? Saya yakin, sangat yakin, tiada seorang pun di antara murid sekolah menengah dan guru-guru mereka boleh memahami dengan selesa perenggan istimewa ini. Keindahan kiasan begini hanya terdapat dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu, tidak ada dalam bahasa bahasa-bahasa Eropah seperti bahasa Inggeris, yang dari segi usia bahasa ketinggalan kira-kira 40,000 tahun daripada bahasa Melayu. Untuk rujukan mengenai perkara ini, dapatkan maklumat di YouTube.  (Lihat di bawah nama Puan Zaharah Sulaiman).

Anda jangan terkejut jika saya kasi tahu bahawa tidak semua orang Islam/Melayu mahu Islam menjadi teras pentadbiran negara. Menurut perhitungan kasar, yang memberi gambaran yang agak tepat, kira-kira 62% Melayu Islam tidak mahu Islam diberi kedudukan istimewa seperti yang cuba digambarkan dalam Perlembagaan Malaysia, yang mengatakan Islam adalah agama rasmi.  Ramai ustaz berkata maksud rasmi di situ ialah majlis rasmi, bukan rasmi dalam konteks seperti demokrasi itu dijadikan panduan rasmi politik Malaysia.  Islam tidak sampai ke taraf itu, kerana orang Melayu sendiri pun tidak mahu, apatah lagi golongan kafir yang tidak Islam dan menentang apa saja usaha yang mereka anggap akan memberi kedudukan sepatutnya kepada Islam. Hatta belajar Jawi pun mereka tentang, padahal baik bagi semua orang yang siuman. Tidak ada seorang pun ahli politik bangsa DAP yang fasih berbahasa Melayu; bolehlah bercakap Melayu, tetapi seperti orang gagap. Memang ada yang boleh bercakap Melayu agak cepat,  tapi itu jenis peraih di pasar yang mahu menjual barangan mereka. Bukan bahasa Melayu tinggi yang sewajarnya diucapkan oleh ahli Dewan Rakyat, ahli politik yang ada standard.  Memang amat memalukan apabila ahli Dewan Rakyat bercakap bahasa Melayu pasar, bukan bahasa standard yang wajar. Ada juga beberapa ekor anjing politik yang kuat menyalak  dengan sombong berkata tulisan Jawi itu dijadikan tulisan untuk menulis buku-buku cerita porno!  Tidak ada pula badan-badan penulis bangkit seperti Hang Jebat menghunus  keris retorik mereka untuk menempelak salakan para anjing politik ini; sebaliknya mereka terima tohmahan anjing politik ini yang berkata bahawa Jawi itu dijadikan tulisan untuk menulis novel porno, novel picisan yang erotik. Anjing bercawat ekor ini tidak tahu bahawa tulisan Jawi itu dipakai oleh Ishak Haji Muhammad untuk menulis novel-novel berahi ringan yang ketika itu perlukan wang untuk hidup. Tetapi dia ada kebun sendiri, jadi tidaklah daif sangat, paling tidak pun ada juga pucuk kayu yang boleh dijadikan ulam. Saya membesar di kampung, dan memang menu utama kami orang miskin ialah ulam yang organik, yang saya tidak sedar ketika itu bahawa itulah makanan terbaik yang kesannya masih ada hingga sekarang.   

Penggunaan bahasa Inggeris yang dicanang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah pun dilaksanakan oleh orang Melayu. Saya menulis sebuah cerita pendek khusus untuk memperingati usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad  yang sangat terpesona dengan bahasa Inggeris, yang diperkenalkannya kembali dalam pengajaran matematik dan sains. Ketokohan beliau sebagai seorang anglophile dibuktikannya berkali-kali dalam banyak ucapannya. Saya harap ada jongos politik beliau memberitahunya bahawa bahasa Inggeris itu sudah pun dijadikan bahasa basahan oleh orang kampung yang diabadikan dalam cerita pendek “Kampung Bahasa Inggeris”, dalam Balai Maqamat.  Beritahu juga kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa bahasa Melayu sudah berkembang 40,000 tahun sebelum bahasa Inggeris, demikian juga bahasa Cina terkebelakang selama 40,000 tahun jika dibandingkan dengan bahasa Melayu. Semua ini ada rekodnya dan diketahui oleh orang yang membuat penyelidikan tentang perkembangan bahasa. Saya ingin cadangkan supaya semua ahli politik anglophile dan Cina mendengar ceramah ilmiah tentang kehebatan bahasa Melayu. Satu peradaban besar Nusantara  telah dibina melalui bahasa Melayu dalam huruf Jawi. Beritahu bangsa DAP hakikat sejarah ini supaya mereka menjadi seperti anjing bercawat ekor, yang diperikan dalam peribahasa Melayu itu.  Orang jahil ini amat bahaya dalam kehidupan bermasyarakat, apatah lagi jika manusia jahil ini mengaku merekalah pembawa kemajuan di Semenanjung Tanah Melayu, tidak sedar bahawa mereka dibawa Inggeris untuk menjadi kuli mereka dan diberi gelaran kehormat sebagai sengkek, yang masih dipakai dalam bahasa Melayu Kelantan hingga sekarang. Hal ini tidak pelik, kerana Kelantan mempunyai tamadun sudah mencecah 60,000 tahun, beribu tahun lebih awal daripada tamadun Cina yang dibanggakan oleh bangsa DAP yang tidak tahu sejarah itu. Cari faktanya dalam YouTube mengenai fakta sejarah ini. 

Tetapi yang lucunya, Tun Dr. Mahathir sendiri tidak tahu sejarah ini, oleh itu dia kata macam-macam untuk merendahkan taraf orang Melayu dan bahasa Melayu yang menurutnya tidak membawa kemajuan, orang Melayu pula suka hidup merempat, tidak mahu ikut Jepun dan sebagainya. Ini orang politik yang tidak tahu sejarah!  Anda mahu Melayu ikut Jepun? Anda faham maksud saya? Jumlah pembunuh diri paling tinggi dalam dunia kamu agak dari negeri mana?  Mungkin mereka yang Melayu tidak tahu, tetapi jarang sangat Melayu bunuh diri kerana iman mereka menjadi pagar yang kuat supaya tidak bertindak bodoh. Kebanyakan Melayu anti-Islam dalam politik; baiknya pula mereka anti bunuh diri kerana berpegang kepada Islam. Pelik tetapi benar.  Sayangnya mereka tidak tahu betapa pentingnya para tokoh politik yang mereka sanjung itu mengisytiharkan harta mereka dalam akhbar, seperti yang dibuat oleh PM British 1976. Dari perspektif ini, ahli politik British yang kafir itu jauh lebih bermaruah daripada tokoh politik Malaysia yang bacul walaupun mereka tokoh anglophile!

Sebenarnya politik Islam boleh ditegakkan di Malaysia jika tokoh-tokoh politik mengisytiharkan harta mereka dalam akhbar seperti yang dilakukan oleh PM Britain 1976 itu.  Di sinilah kita dapat melihat dengan jelas betapa korupnya tokoh politik kita. Mereka tidak jujur ketika meminta orang lain jujur. Maka hilanglah peluang Islam untuk ditegakkan di Malaysia dalam politik Islam. Para ahli politik yang mendakwa mereka berjuang untuk Islam mengaku bahawa mereka hanya bermain retorik, bukan sungguh-sungguh.  Ada di antara mereka, para tokoh politik  yang kononnya memperjuangkan Islam, berkata bahawa perisytiharan harta dilarang dalam Islam, supaya tidak timbul fitnah sekiranya harta yang diisytiharkan itu terlebih daripada yang dijangkakan. Kalau tokoh politik Islam sendiri memutuskan tidak perlu isytihar harta, maka tiada alasan bagi yang tidak beraliran Islam untuk isytiharkan harta. Kecuali untuk bermain politik, dengan misalnya membuat perisytiharan itu di Dewan Rakyat.  Gimik politik seperti ini adalah sejenis penipuan untuk menipu rakyat supaya terus menyokong mereka.

Sekarang apakah kesimpulan kita? Cukup mudah, dan amat jelas unsur penipuan di dalamnya. Sama ada anda seorang anglophile atau yang mengaku memperjuangkan Islam, kedua-duanya tidak boleh dipercayai. Oleh itu, anda sebagai pengundi akan terus membawa para penipu ini ke Dewan Rakyat. Kalau anda seorang yang percayakan ajaran Islam, anda sebenarnya menanggung dosa para penipu ini. Tetapi anda tiada pilihan …Demikianlah kecelakaan yang anda hadapi sebagai pengundi dalam sistem demokrasi bikinan Yahudi ini.

Dalam politik Malaysia, seorang anglophile dengan seorang yang menggelarkan  dirinya pejuang Islam adalah sama, setaraf, dan kedua-keduanya tidak boleh dipercayai.

Selamatlah jiwa yang sempurna!


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 15 Ogos 2019.

No comments:

Post a Comment