Kamal Hisham :
Ini adalah ASN ke-14
yang terakhir? Sebabnya selepas 30-50 tahun atau lebih lagi sehingga 100 tahun
TIDAK ADA CALON ASN yang layak. Pada kali ini karya SZI hanya di sekitar dunia
peribadi. Beliau lebih nampak bermain dengan kata-kata dan bahasa. Orang lama
pun sudah 'pergi' . Penulis-penulis sekarang lebih 'syok sendiri'. Selamat
tinggal ASN!
Kutipan di atas ini
(komentar seorang pembaca bernama Kamal Hisham) saya ambil dari Malaysiakini 3 September 2019 mengenai
kemelut sasterawan negara ke-14.
Dari
biografi yang boleh dibaca tentang sasterawan negara baru ini, tidak syak lagi
beliau adalah sasterawan paling unggul serba serbi, serba bidang tulis menulis;
pandai pula melukis, dan lain-lain yang belum diberitahu. Begitu banyak hadiah
seluruh dunia yang diterimanya, boleh membuat sasterawan lekeh seperti yang tak
pernah dapat hadiah terus pengsan kerana terlalu hairan begitu banyak hadiah
yang diterima. Ada yang bertanya dengan hairan, mengapa tokoh ini baru ini saja
dikenali. Ada orang kasi tahu sama saya, pada mulanya yang dicadangkan ialah
salah satu dari tiga orang: Malim Ghozali, S. Panit (minta maaf jika ejaan tak
betul) dan seorang dari Malaysia Timur, mungkin dari Sabah. Tup tup profesor
ini yang dapat, namanya Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Apa sudah jadi, tanya
orang yang tahu. Kata Malim Ghozali,
macam “samun siang hari”.
Ada orang
kasi tahu, itu Menteri kasut hitam yang pegang portfolio Pendidikan yang
umumkan pemilihan itu, setelah dipersetujui oleh para sasterawan negara yang
masih hidup, dan direstui oleh Panel Anugerah Sastera. Macam-macam boleh berlaku dalam dunia
sastera, kecuali satu perkara. Saya pernah beritahu PPK supaya usahakan sepupu
saya, Leo AWS dicalonkan. Beliau sudah menghasilkan kumpulan sajak lebih dari
20 buah, dengan menulis kata pengantar yang panjang dalam setiap buah bukunya,
membuktikan kemampuannya menulis kritikan sastera. Nanti saya beritahu Menteri
kasut hitam mengenai perkara ini, walaupun dia tidak kenal saya dan tidak tahu
pun Leo AWS itu wujud.
Menarik juga
komen dari Sasterawan Besar Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh,
yang berkata, “Siti Zainon ialah calon yang paling layak dan tepat untuk
menerima gelaran sasterawan negara itu.” Katanya lagi, “Saya telah terlibat
dalam pemilihan Anugerah Sastera Negara lebih dari 10 kali. Atas kapasiti
sebagai pengkaji, penulis dan pengkarya sastera, saya arif dengan proses ini.”
Pemilihan
terbaru ini membuktikan buat ke sekian kalinya betapa tepatnya pandangan saya
bahawa kita tidak perlukan sasterawan negara kerana tidak seorang pun di antara
mereka yang terpilih itu membuktikan kemampuan intelektual dan kemampuan
kreatif mereka bahawa karya merekalah yang terbaik di Malaysia sekarang. Saya yang menolak projek sasterawan negara
ini sejak tahun 1981 lagi, telah membuktikan melalui karya kreatif saya sendiri
bahawa tidak sebuah pun karya para sasterawan negara yang dapat menandingi Pujangga Melayu, Balai Maqamat, Hikayat Buyung
Lurus dan lain-lain. Kalau begitu,
di mana kehebatan para sasterawan negara jika tidak sebuah pun karya mereka
lebih baik daripada karya seorang yang bukan sasterawan negara?Anda boleh
lihat betapa bangsatnya projek penipuan intelektual dalam sastera ini. Bagusnya
pula, orang-orang atau pembaca yang cerdik dan kritis dapat melihat dengan
jelas penipuan dalam pemilihan tokoh-tokoh sasterawan negara ini.
Selamatlah
jiwa yang sempurna.
Nota:
Pembaca yang mahu tahu betapa karutnya projek sasterawan negara ini, sila lihat dan baca dengan kritis buku saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusaseraan Melayu Moden (Kuala Lumpur: Wadi al-Irfan, 2019).
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 5 September 2019
No comments:
Post a Comment