Keterbukaan
saya untuk dicabar dari segi kreatif, akademik dan pemikiran tidak mungkin
dijawab oleh gerombolan sastera yang saya kritik kerana mereka tidak mempunyai
hujah. Tetapi ini tidak penting. Pada hakikatnya mereka menganggap kritikan
terhadap mereka hanya salakan anjing yang tidak memberi bekas sedikit pun.
Mungkin agak bising sekali sekala, tetapi tidak menggugat kedudukan mereka
sebagai sasterawan picisan atau sebagai sarjana yang sesat dalam belantara ilmu
yang kedudukannya sebagai sarjana yang cetek meraba-raba akan terus kekal dalam keadaan itu, oleh itu tidak
menjadi sesuatu yang memalukan mereka. Menjadi bodoh dan cetek meraba-raba
tidak merupakan sesuatu yang memalukan di Malaysia asalkan seseorang sarjana
mempunyai kedudukan tertentu dalam lingkungan sarjana di universiti. Maka
merebaklah budaya mengajar menjadi bodoh
di universiti Malaysia dalam bidang sastera.
Kedudukan ini mendapat sokongan dan dukungan dari DBP dan ITBM, dengan
sokongan kuat daripada Menteri Pendidikan kasut hitam yang tidak dapat dan
tidak mahu membezakan antara konsep ilmu yang benar dengan hanya maklumat
cetek. Sebagai Menteri kasut hitam, dia bergantung pada maklumat yang cetek
itu. Inilah orangnya yang memilih
sasterawan negara ke 14!!
Apa yang
berlaku di Malaysia bukanlah perkara baru, atau wujud di Malaysia saja.
Bergembiralah anda semua bahawa hal ini adalah perilaku manusia seluruh dunia.
Kejahatan adalah milik semua manusia; kebaikan adalah milik orang beragama yang
insaf akan keterbatasannya dan amat memelihara konsep nahi mungkar amar makruf
dalam Islam. Jika para sasterawan, yang kemudiannya diangkat menjadi sasterawan
negara, faham dan mempraktikkan konsep Islam yang menjadi anutan mereka, bahawa
tugas besar mereka sebagai manusia beragama ialah memerhatikan dengan teliti
bahawa perilaku nahi mungkar amar makruf itu dipelihara dalam semua perilaku
manusia beragama. Lebih-lebih lagi di kalangan para penulis atau sasterawan,
dan mendapat pemerhatian ketat daripada para sarjana yang akan menilai mereka
(para sasterawan) daripada perspektif itu. Masalah besar yang kita hadapi ialah
tidak ada sasterawan dan tidak pula dilaksanakan di kalangan para sarjana
sastera konsep amar makruf nahi mungkar itu. Semua mereka sangat yakin bahawa
dalam dunia penulisan kreatif, tidak ada batas tertentu yang boleh menghalang
seseorang penulis membuat keputusan untuk tidak melanggar dua perkara itu. Contoh
terbaik telah saya kemukakan dalam kes Shahnon Ahmad yang mempertahankan
mengapa dia menulis novel lucah; dan khusus untuk Prof. Emeritus Dr. Muhammad
Haji Salleh, kesedaran begini tidak ada,
seperti yang dibuktikannya dengan menerima Mephistopheles (Raja Iblis) sebagai
contoh kebebasan manusia. Kita lihat ini dalam sajak beliau yang sudah acap
kali saya sebut dan turunkan buktinya. Para sasterawan menolak konsep Islam
ini, kerana bagi mereka dalam sastera tidak ada unsur didaktik yang terkandung
dalam prinsip Islam tadi. Dalam hal ini
para sasterawan Melayu menunjukkan kehebatan mereka menerima konsep Barat yang
kononnya tidak boleh didaktik dalam karya kreatif kerana ini akan menjadikan
karya itu tidak bermutu lagi, maka diharamkan oleh para sasterawan ini apa juga
jenis yang mereka sifatkan sebagai khutbah atau nasihat yang jelas, kerana
perbuatan itu merendahkan nilai karya mereka. Tidak pelik jika para sasterawan
ini menerima prinsip Barat dalam penulisan dan menolak prinsip Islam kerana
mereka berpendapat karya mereka tidak akan bermutu dan tidak akan dianggap
sebagai karya antarabangsa jika berunsur Islam atau yang dengan tegas
memperjuangkan prinsip-prinsip Islam. Hakikat
ini tidak boleh dan tidak dapat disembunyikan, terlalu jelas terbentang
luas. Pembohongan adalah senjata yang
selalu berjaya digunakan oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Sila baca
dengan kritis buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu (2019).
Dalam
konteks ini anda boleh fikirkan pendapat seorang sarjana sastera terkenal Barat
yang amat dikenali di Malaysia. Kata beliau: “The argument is that there is
simply no way of measuring literary worth. Any analysis is simply a subjective
fiddling with the text and has no
objective value. Therefore, the choice of what texts we ought to have students
read must be made on very different sorts of grounds. Those grounds are frankly
political.” (Cleanth Brooks, “In defence of the canon”, Partisan Review, Spring 1991.)
Inilah juga
yang terjadi di Malaysia. Tanpa pengaruh politik, tidak mungkin akan wujud
sasterawan negara 1981, yang dimungkinkan dengan persetujuan Perdana Menteri
ketika itu, Tun Hussein Onn. Anda boleh
bertanya, “Apa salahnya dengan pengaruh
politik?” Ini satu pertanyaan yang bodoh dan angkuh, kerana kedua-dua belah
pihak mendapat faedah daripada persetujuan mewujudkan sasterawan negara itu,
walaupun bertentangan dengan sejarah intelektual Melayu yang diasaskan kepada
sumbangan ulama dan golongan cendekiawan. Para sasterawan tidak termasuk dalam
golongan ini, mereka adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba. Satu kecelakaan besar sekiranya golongan
pinggiran ini dibawa ke dalam masyarakat untuk menentukan nilai-nilai baru yang
palsu, seperti yang saya huraikan dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi
al-Irfan, 2019). Kerana adanya pengaruh
politik yang menentukan kedudukan karya sastera, maka kecelakaan besar ini
diusahakan untuk dijadikan sumber pengajaran di sekolah dan di universiti,
dengan dukungan dan sokongan Kementerian Pendidikan, terutama peranan Menteri
Pendidikan kasut hitam yang dengan terang-terang mempengaruhi pemilihan
sasterawan negara ke-14 baru-baru ini.
Para
sasterawan dan sarjana sangat bangga kerana adanya pengaruh politik ini dalam
kegiatan sastera, kerana faedah kewangan yang mereka dapat, yang menurut
istilah anak muda sekarang dipanggil dedak.
Mengapa perkataan ini menjadi pilihan agak aneh, kerana yang makan dedak selain
ayam dan itik ialah juga babi. Inilah hakikat politik DAP yang memberi dedak
kepada para sasterawan negara berupa imbuhan bulanan sebanyak lima ribu; tetapi
para sasterawan negara ini tidak puas hati, sebagai ekspresi ketamakan mereka, maka
mereka minta dinaikkan menjadi 10,000.
Wang rakyat yang membayar cukai digunakan untuk memberi habuan yang
tidak sepatutnya kepada para sasterawan negara picisan ini.
Perkembangan
ini tidak saja merosakkan nilai-nilai murni dalam masyarakat Malaysia, tetapi
juga dari segi ekonomi merupakan satu pembaziran yang tidak wajar hanya untuk
memuaskan hati segelintir penulis picisan yang diberi gelaran sasterawan
negara. Generasi akan datang akan
mengutuk perbuatan ini kerana bertentangan dengan konsep keadilan yang difahami
dalam Islam; oleh itu perbuatan ini adalah satu kezaliman yang tidak sepatutnya
berlaku jika kita semua kembali kepada konsep ilmu yang benar yang diajarkan
oleh Islam. Adakah golongan ini kumpulan
yang anti-Islam? Lebih tepat jika kita hanya berkata mereka adalah golongan
yang jahil, dan melanjutkan kejahilan itu dengan menolak konsep ilmu yang benar
yang cuba ditanam dalam kegiatan kreatif oleh Gagasan Persuratan Baru. Kebencian mereka terhadap PB membuat mereka
dengan bangga dan sombong sanggup menjadi hamba teori sastera Barat yang mereka
tidak fahami dengan mendalam, tidak sedar bahawa tiada sebuah pun teori sastera
Barat itu mengaku pentingnya nilai-nilai agama dalam penulisan kreatif supaya maruah
manusia tidak diruntuhkan oleh Iblis yang memainkan peranan aktif dalam
memesongkan para sasterawan untuk menolak konsep ilmu yang benar itu. Inilah gambaran yang berlaku dalam dunia
penulisan para sasterawan negara yang
mereka pertahankan, bangga berada dalam kejahilan mutlak yang boleh dibaiki
untuk mencapai keadilan murni dalam kegiatan kreatif, supaya tidak lagi lahir
karya-karya picisan yang menentang kebenaran. Untuk memahami kesimpulan ini, anda
dipersilakan membaca dengan kritis Anugerah
Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.
Para sarjana
dan sasterawan berkata sastera Melayu moden tidak akan wujud tanpa pengaruh
Barat, yang telah memberi acuan penulisan kepada para sasterawan bagaimana menulis cerita pendek, sajak,
novel, drama, kritikan sastera, dan lain-lain yang terdapat dalam sastera
Barat. Barangkali pada peringkat
permulaan pendapat ini benar, tetapi dalam perkembangan selanjutnya, peniruan
itu membekukan daya kreatif para sasterawan apabila yang mereka sebut sebagai
pembaharuan itu berakhir dengan perubahan nilai dalam masyarakat Melayu apabila
para sasterawan menganggap nilai-nilai Islam menjadi halangan untuk pemodenan
sastera Melayu. Dengan itu para sasterawan ini menolak konsep ilmu yang benar
yang mereka anggap tidak mempunyai peranan dalam perkembangan sastera Melayu
moden. Keadaan inilah yang saya namakan hanyut dalam belantara teori sastera Barat,
meraba-raba tidak tahu jalan keluar kerana menolak konsep ilmu yang benar
itu. Inilah kedudukan terbaru yang
ditonjolkan oleh Menteri Pendidikan kasut hitam, yang tidak saja menolak konsep
ilmu yang benar, tetapi juga terus mempersetankannya sebagai tidak relevan dan
bertujuan untuk menyekat kemajuan orang Melayu khususnya. Maka itulah dibuat
keputusan oleh Menteri kasut hitam ini bahawa Gagasan Persuratan Baru perlu
ditolak kerana bertentangan dengan polisi Kerajaan Pakatan Harapan yang tidak
memberi penekanan kepada nilai-nilai Islam, sebaliknya menerima
multi-lingualisme sebagai satu-satunya polisi yang sesuai untuk semua rakyat
Malaysia, walaupun ini bertentangan dengan kehendak Perlembagaan yang telah
memutuskan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Mohd. Affandi
Hassan,
Petaling
Jaya, 21/9/2019
No comments:
Post a Comment