Tuesday, September 10, 2019

KEPICISAN DALAM PEMILIHAN SASTERAWAN NEGARA




Bukan saja sasterawan negara itu picisan; pemilihannya juga bersifat picisan. Bila saya membaca kembali kontroversi pemilihan Prof. Dr. Siti Zainon sebagai sasterawan negara, saya tidak jadi tertawa kerana kali ini jenaka P. Ramlee dikalahkan oleh jenaka Menteri Pendidikan kasut hitam yang menurut tulisan yang disiarkan akhbar, ini orang telah mengubah keputusan sebulat suara yang memilih itu Malim Ghozali PK sebagai sasterawan negara sebagai pilihan pertama dengan membatalkan pilihan itu untuk diganti dengan pemilihan kedua yang jatuh kepada profesor yang terkenal itu. Mengapa jadi begini? Kata yang tahu, Menteri kasut hitam tambah dua orang ahli panel baru, yang mengubah keputusan pertama untuk diganti dengan keputusan kedua. Mengapa jadi begitu? Adakah ini pertama kali? Orang-orang yang tahu membisu seribu bungkam, takut bersuara di bawah kerajaan PH yang terbuka kepada perubahan. Kata orang yang tahu, inilah yang dibuat oleh Menteri kasut hitam itu, oleh itu bukanlah sesuatu yang pelik (?). 

Adakah keputusan baru ini berlaku kerana Menteri kasut hitam tidak suka pilihan pertama? Bagi saya tidak penting, kerana beliau ada kuasa untuk mengubah keputusan yang dia tidak suka. Yang lebih penting ialah siapakah dua orang ahli baru yang ditambah itu? Nampaknya ahli tambahan ini amat dirahsiakan, oleh itu hingga kini Ku Seman dalam kolumnya pun tidak berani sebut nama itu. Mengapa mesti dirahsiakan?  Kata orang yang bijaksana, dua orang tambahan itulah yang memilih Prof. Dr. Siti Zainon!

Cerita ini lebih menarik daripada novel agung Malaysia yang berjudul Ranjau Sepanjang Jalan dan Salina, yang membawa tuah kepada dua orang sasterawan untuk diangkat sebagai sasterawan negara.  Kebetulan saya mengumpulkan tulisan saya mengenai sasterawan negara ini, yang terbit dalam blog ini, dijadikan buku dengan diberi judul, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).  Saya telah menolak projek sasterawan negara ini sejak 1981, oleh itu penentangan saya terhadap projek sastera yang memilih sasterawan picisan untuk diangkat menjadi sasterawan negara  telah menghasilkan sebuah buku kritikan sastera yang penting yang perlu dikritik oleh para penyokong sasterawan negara; tetapi mereka memilih untuk berdiam diri kerana mereka tidak mahu kelihatan lebih bodoh lagi dengan membuat bantahan terhadap buku itu. Mereka tidak ada hujah untuk menolak pandangan saya dalam buku itu, yang kini telah dibuktikan di depan mata mereka betapa pemilihan sasterawan negara ini tidak bermoral, anti-ilmu dan memberi keistimewaan kepada sasterawan yang disanjung oleh golongan tertentu. Inilah penipuan intelektual terbesar dalam perkembangan kebudayaan Melayu, apabila para penulis picisan diletak lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan yang telah membina budaya ilmu dalam masyarakat Melayu.

Buku tentang sasterawan negara itu rupanya diboikot sepenuhnya oleh para sarjana, sasterawan, badan penulis, pengkritik sastera dan lain-lain kumpulan.  Alasan yang disampaikan seseorang kepada saya ialah: Jangan dilayan anjing menyalak; biarlah dia menyalak, bukit tak runtuh pun.  Satu masa dulu Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu memanggil saya dan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir anjing buruk kepala; anjing kurap yang tak boleh didekati supaya tidak berjangkit. Tetapi buku itu sangat penting dibaca dengan kritis oleh sesiapa sekali pun yang mahu tahu mengapa saya menolak projek sasterawan negara ini sejak tahun 1981 lagi. Peristiwa pelantikan Prof. Dr. Siti Zainon dan penolakan tokoh yang dipilih pada mulanya membuktikan dengan jelas, tidak dapat disangkal lagi, betapa program sasterawan negara ini karut dan anti-intelektual. Tiada sesiapa pun dapat menyangkal bahawa para sasterawan negara ini adalah penulis picisan, oleh itu karya mereka adalah picisan.  Hanya satu cara saja untuk menolak kesimpulan ini, ia itu dengan melapah semua karya saya sendiri, yang bersifat kreatif mahu pun yang bersifat akademik, adalah karya picisan. Hingga ini dibuktikan, sesiapa juga yang siuman akan tetap menerima hakikat bahawa karya kreatif saya dan juga karya akademik saya jauh lebih bermutu daripada mana-mana karya para sasterawan negara. Selagi perkara ini tidak diselesaikan, maka selama itulah kehadiran para sasterawan negara ini hanya sebagai sasterawan picisan yang menulis karya picisan. Oleh itu, mereka tidak layak diberi kedudukan yang lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang telah membina budaya intelektual Melayu sejak beratus tahun. 

Dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden,  saya bahaskan, antara lain ialah perihal perubahan nilai yang berlaku akibat penerimaan yang tidak kritis terhadap kehadiran para sasterawan picisan ini, dengan misalnya melantik mereka sebagai sasterawan negara walaupun mereka telah mengkhianati nilai-nilai murni dalam masyarakat Melayu. Lihat antara lain perbincangan saya tentang perubahan nilai ini pada halaman 85-92. Antara lain, saya menegaskan, “Memuji adalah sifat Panel Anugerah Sastera Negara, yang terpaksa dilakukannya untuk membina mitos di sekitar sasterawan negara yang dilaporkannya. Tanpa pujian, sasterawan negara tidak wujud”. (hal. 87). Sebelum itu saya  memberi satu kutipan penting tentang makna pujian yang diriwayatkan dalam sebuah Hadis Muslim:  “Bila engkau melihat orang yang selalu memuji-muji, taburkanlah debu di mukanya”, kerana pujian itu ibarat memenggal kepala orang yang dipuji. Dalam halaman 86, saya memberi contoh kepalsuan ini ketika membicarakan karya Baha Zain.  Anda boleh rujuk buku itu; lebih baik jika anda membaca keseluruhannya. Saya jamin anda akan jadi lebih cerdik dan lebih waspada dalam membuat penilaian palsu ini dengan membaca keseluruhan buku penting ini.

Apakah motif saya menggunakan konsep picisan ini dalam penilaian saya terhadap para sasterawan negara dan anggota panel yang memilih mereka? Tujuannya untuk memberi penegasan penting tentang konsep ilmu yang benar dan peranan ilmu dalam penulisan dan penilaian karya kreatif. Kedua, untuk memberi anda kesedaran penting bahawa kini sudah berlaku perubahan penting dalam cara menganalisis dan menilai karya kreatif dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru. Ketiga, yang juga amat penting, untuk menyedarkan anda bahawa kegilaan anda kepada teori sastera Barat adalah tidak siuman, dan akan membuat anda mabuk teori tanpa memahaminya mengapa sesuatu teori dibangunkan dalam bentuk yang dipilih oleh pembina teori itu.  Saya yakin bahawa anda tidak faham membaca faktor ketiga ini, seperti yang dibuktikan daripada tulisan anda ketika menggunakan teori Barat dalam analisis anda. Semua ini anda boleh baca dalam kertas kerja para penulis kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. Saya telah mengkritik agak keras penipuan intelektual ini ketika membicarakan kertas kerja ini. Jika anda meneliti dengan kritis kesimpulan ini, anda akan faham mengapa saya menggunakan konsep “picisan” ketika menulis tentang sasterawan negara dan penilaian para sarjana terhadap karya mereka.

Semua kekusutan ilmiah ini boleh diselesaikan jika anda berusaha memahami Gagasan Persuratan Baru, dan mengapa PB penting dalam kesusasteraan Melayu. Sekiranya anda masih tidak boleh faham, saya anjurkan anda membaca tidak kurang dari tiga kali buku Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Pustaka (2009), Dinamika Pemikiran Sastera Melayu.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9 September, 2019.










1 comment:

  1. Buya Hamka pernah mengungkapkan,
    "Upas desun di alam buntil
    Rama-rama bertali rabut
    Upas racun rupanya dunia
    Kian lama kian mabuk".

    Terima kasih tuan haji.Salam.

    ReplyDelete