Pada halaman
146, Anugerah Sastera Negara dalam
Kesusasteraan Melayu Moden (Wadi al-Irfan, 2019), terdapat kutipan ini:
“Bayangkan
anda seorang Imam Ghazali yang menulis Tahafut
al-Falasifah, atau seorang Ibn Rushd yang kemudiannya menulis Tahafut al-Tahafut, ketika itu anda akan
dapat merasakan gempuran perbahasan tentang ilmu daripada dua orang ulama dan
ahli ilmu dalam Islam, dan anda mendapat faedah daripada kedua-duanya walaupun
mereka bertentangan pendapat. Itulah pembakuan ukuran yang tertinggi yang telah
disediakan kepada kita semua yang mencintai ilmu dan ingin memberi sumbangan
besar dalam perkembangan ilmu. Dengan kesedaran itu, para ahli akademik, atau
sarjana, atau pengkritik sastera, tentulah akan menjaga standard mereka dalam
bidang ilmiah ini, supaya tidak kelihatan terlalu lekeh padahal telah menulis
tesis atau buku yang tebal-tebal. Buku atau tesis boleh saja tebal, tetapi anda
sendiri tidak patut bermuka tebal melahirkan buku atau tesis yang amat kerdil
dari segi sumbangan terhadap ilmu atau bidang pilihan anda.”
Pengaruh
Hindu-Buddha terlalu kuat dalam sastera Melayu, yang melahirkan Brahmin
Sastera yang tidak boleh dikritik,
kerana mereka dianggap “suci” tanpa sebarang kelemahan. Itulah kedudukan yang
diberikan kepada para sasterawan negara oleh para sarjana sastera dan
sasterawan sendiri, dengan sokongan kuat pemerintah, yakni ahli politik, yang
direstui oleh Yang di Pertuan Agong sendiri melalui tauliah yang dianugerahkan
baginda. Inilah kedudukan yang akhirnya
melahirkan kekaguman melampau terhadap teori sastera Barat dan para sarjana
sastera mereka. Inilah yang kita lihat
dan yang kita dapat jika kita membaca kertas kerja para sarjana yang
membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara dalam seminar yang dianjurkan
oleh DBP. Dalam konteks perkembangan
ilmu dan perkembangan intelektual, keadaan ini bertentangan dengan jalan
sejarah yang dilalui oleh bangsa Melayu yang menghormati ilmu yang benar
disampaikan oleh para ulama dan para cendekiawan mereka. Golongan pinggiran
yang menentang jalan sejarah ini, yang dipanggil para sasterawan dan sarjana
sastera, muncul sebagai penyeleweng jalan sejarah itu setelah mendapat pengaruh
yang begitu besar daripada teori Barat yang tidak pun mereka kuasai, yang jika
mereka tahu mungkin mereka akan menolak teori Barat yang menolak Tuhan itu. Golongan
inilah yang menjadi penganut tegar falsafah (?) pandirisme dalam sastera Melayu, yang menjadi pembela dan pelindung
kepada para sasterawan negara. Lihat buku Pandirisme
dalam Komuniti Dunia untuk memahami
mengapa konsep pandirisme ini penting
dalam perkembangan sastera Melayu.
Pandirisme wujud setelah konsep ilmu
yang benar itu ditolak oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Falsafah pandirisme
inilah yang diajarkan kepada maha siswa pengajian Melayu di universiti
Malaysia, kecuali di UKM dan UPM yang menerima Gagasan Persuratan Baru sebagai
satu disiplin pengajian sastera berasaskan konsep ilmu yang benar. Pemilihan para sasterawan negara itu sendiri
pun menyerlahkan bagaimana pandirisme
menjadi asas pemilihan sejak tahun 1981
hingga sekarang. Tidak seorang pun di
antara para sasterawan negara itu menulis karya mereka berasaskan konsep ilmu
yang benar; malah seluruhnya berpandukan teori sastera Barat yang menjadikan
kebebasan berkarya sebagai asas penulisan kreatif. Betapa degilnya golongan ini mendakap teori
sastera Barat yang anti-agama itu mendorong mereka mengemukakan bermacam-macam
slogan, yang nampaknya berakhir dengan slogan baru “sastera untuk
pembangunan”. Maksud pembangunan di situ
ialah pembangunan material seluruhnya; jiwa manusia ditinggalkan kosong
walaupun diisi dengan pandirisme yang
menjadi asas penulisan kreatif mereka. Contoh-contoh kepalsuan pandirisme ini sudah pun dibahaskan
dalam Anugerah Sastera Negara dalam
Kesusasteraan Melayu Moden.
Para
sasterawan negara, dalam kejahilan mereka yang didorong oleh keinginan besar
untuk berbohong, mengatakan manusia perlukan sastera untuk hidup sempurna. Mereka berkata dengan berani tanpa sebarang
tanggungjawab ilmiah bahawa pengajaran sastera itu akan menjadikan pelajar
bijak dan sensitif kepada kejahatan. Di mana buktinya? Dalam budaya Barat
sekali pun bukti itu tidak ada, walaupun mereka berpendapat sastera itu lebih
baik daripada agama dan kitab-kitab agama.
Adakah faham ini sudah merebak di Malaysia? Pendapat yang tidak siuman ini diterima oleh
para sasterawan dan sarjana sastera, dengan itu mereka meletakkan hiburan dalam
sastera lebih tinggi daripada kebenaran agama berasaskan konsep ilmu yang benar
yang diajarkan al-Quran. Saya ulangi
perkara ini berkali-kali untuk memperingatkan anak-anak muda bahawa mereka
tidak boleh dibohongi dan ditipu oleh pendapat palsu yang menjadi pegangan para
sasterawan dan sarjana sastera. Bukti
bahawa inilah pegangan mereka boleh kita lihat dalam ucapan mereka bahawa
pengajaran sastera adalah wajib untuk membina peribadi unggul para pelajar,
dengan memberi contoh karya para sasterawan negara itulah yang akan menyedarkan
pelajar betapa pentingnya membaca karya para sasterawan negara untuk membina
peribadi unggul mereka sendiri.
Bagaimana karya picisan yang dihasilkan oleh para sasterawan negara ini
boleh membina peribadi unggul? Satu-satunya cara atau kaedah untuk melihat
kepalsuan pendapat para sasterawan negara dan sarjana sastera ini ialah dengan
menguji pendapat mereka berasaskan konsep ilmu yang benar, yang diberi
penjelasan yang mudah difahami, diberikan dalam buku Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2 (Penerbit UKM, 2014, 520
halaman; diberikan contohnya sekali.)
Para
sasterawan dan sarjana sastera telah menolak buku ini dengan alasan bahawa buku
ini menolak teori sastera Barat yang dipakai secara rasmi dalam pendidikan
sastera di Malaysia. Inilah keputusan
Kementerian Pendidikan yang telah disahkan oleh Menteri kasut hitam sendiri.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 23 September 2019.
No comments:
Post a Comment