Wednesday, September 11, 2019

KEHEBATAN SASTERAWAN NEGARA KE 14 YANG AMAT DISANJUNG PEMINAT BELIAU




Entri bertarikh 5/9/2019 mendapat perhatian begitu besar daripada para peminat sasterawan negara ke 14, melihat ramainya pengunjung entri itu. Tidak syak lagi sasterawan negara 14 ini sangat popular dan hebat, seperti yang dibuktikan oleh dua orang tokoh besar dan tokoh penting negara. Menurut Menteri Pendidikan kasut hitam, Dr. Maszlee Malek, “Pemilihan Siti Zainon dibuat antaranya berdasarkan sumbangan beliau melalui karya, pemikiran dan sumbangan terhadap pengembangan sastera.”  Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Dr Malim Ghozali PK bahawa pemilihan Siti Zainon dibuat “selepas terdapat campur tangan politik dua ahli panel hakim yang terlibat tidak mempunyai kepakaran.” Beliau maksudkan tambahan dua orang panel baru, yang hingga sekarang tidak diberitahu siapa mereka dan nama mereka.  Dinyatakan dalam laporan akhbar betapa besar dan hebatnya sumbangan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail yang telah menulis 25 kumpulan puisi, kumpulan cerpen 10 buah, antologi cerpen 7 buah, antologi puisi 5 buah, dan 3 buah novel. Beliau juga turut menghasilkan 18 buah kajian ilmiah, 21 esei kajian dalam buku (bab), dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi dan majalah-katalog.  Kehebatan Prof. Dr. Siti Zainon yang lebih menonjol dan membanggakan ialah perihal Menteri Pendidikan sendiri yang membuat pengumuman, tidak seperti dulu diumumkan oleh Pengerusi Panel. Mungkin Menteri kasut hitam ini sendiri yang menjadi pengerusi Panel Anugerah itu.  Jika ini benar, wajarlah ada tuduhan bahawa pemilihan itu ada unsur politik. Bagi saya ini perkara biasa di Malaysia. Di negara luar yang ramai cerdik pandai dan pakar yang boleh dipercayai, pemilihan begini diuruskan oleh mereka, dan hadiah yang diberikan itu pun bukan daripada kerajaan, tetapi dari badan tertentu.

Apa pun pandangan anda, wanita ini ternyata seorang yang rajin menulis. Oleh itu banyak pula hadiah yang dia terima. Tetapi ada sesuatu yang memusykilkan saya, sebagai seorang yang berminat kepada ilmu dalam penulisan kreatif. Saya agak terkilan apabila dalam temu ramah di TV beliau tidak mahu menyerlahkan pemikiran beliau, mungkin kerana  sifat rendah dirinya sebagai seorang  ahli tasauf yang dipelajarinya dari Aceh. Aspek ini baik sekali  jika ditonjolkan, kerana inilah satu-satunya penulis Melayu yang berminat dalam ilmu tasauf. Saya harap akan ada penulisan tentang aspek ini.  Satu peringatan. Jika maklumat yang diberikan kepada saya ini tidak tepat, harap mendapat penjelasan lanjut daripada sesiapa yang tahu mengenai aspek penting ini. Nampaknya Menteri Pendidikan kasut hitam sendiri tidak tahu tentang perkara ini.

Adakah semua ini, yakni tentang kehebatan sasterawan ini, memisahkan beliau daripada gelaran sasterawan negara picisan? Pertanyaan ini tidak sukar dijawab, sekiranya kita tahu pendirian beliau tentang Gagasan Persuratan Baru yang memberi perhatian kepada konsep persuratan (bukan sastera), dan meletakkan konsep ilmu yang benar sebagai asas dalam penulisan dan penilainya karya.

Saya harap ada seseorang bermurah hati memberi penjelasan tentang perkara yang saya bangkitkan ini. Tujuannya ialah untuk melihat adakah tokoh ini berbeza daripada para sasterawan negara yang 13 orang itu, yang bagi saya adalah sasterawan picisan saja. Jikalau tokoh ini terkeluar dari aspek itu, maka ada harapan satu perubahan tentang pemikiran dalam sastera ini akan menuju ke arah Persuratan Baru yang kini menjadi landasan penting, dan utama dalam penulisan kreatif dan penilaiannya.

Peringatan: Jangan salah anggap. Saya tidak cuba membawa tokoh ini ke dalam kelompok PB. Dari segi kegiatan ilmiah dan penulisan yang berasaskan konsep ilmu yang benar, Gagasan Persuratan Baru memang seharusnya menjadi tunjang sebarang pertumbuhan pemikiran baru dalam penulisan Malaysia.  Inilah satu-satunya cara untuk mengelak seseorang sasterawan dari terjerumus ke dalam gaung picisan seperti yang sedang dialami oleh para sasterawan negara sekarang.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 11 September 2019.

No comments:

Post a Comment