Monday, September 16, 2019

PENGKHIANAT DAN ORANG BAIK-BAIK BERSAUDARA



Kecelakaan paling besar yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang ialah mereka tidak dapat membezakan orang baik-baik dengan pengkhianat bangsa. Apakah sifat-sifat pengkhianat itu?  Pertama sekali, pembohongannya dipercayai, atau tidak dikutuk. Malah pembohongan sudah dijadikan ciri penting dalam kebudayaan baru.  Dalam keadaan ini, seseorang yang bercakap benar akan dikutuk kerana kata mereka yang bercakap benar itu tiada penyokong, kerana itu dia pastilah orang jahat.  Dalam teori politik Barat, dalam teori demokrasi, pembohongan ini diberi nama yang hebat (impressive) sebagai mobilization of bias.  Adakah mobilization of bias ini berlaku juga dalam sastera Melayu? Jawapan yang menyeluruh terhadap pertanyaan ini diberikan dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.  Para sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera, tidak membaca buku ini kerana menurut mereka buku itu sendiri pun diilhamkan oleh konsep mobilization of bias dalam kritikan sastera!

Kemunculan para sasterawan negara dalam sastera Melayu moden adalah satu musibah besar dalam kebudayaan Melayu.  Saya sudah menjelaskan ini dengan terperinci dalam buku mengenai Anugerah Sastera Negara itu. Lihat saja di sana dan kritiklah sehabis keras dan kritis, atau sehabis bengis yang anda mahu. Anda akan terjelepok keletihan kerana tidak mungkin anda menolak penghujahan yang dikemukakan dalam buku itu. Ambil saja dua contoh. Pertama tentang perubahan nilai. Kedua tentang kegilaan dalam mengabdikan diri kepada teori Barat yang tidak difahami dengan betul. Dua contoh ini sudah pun dijelaskan dengan terperinci dalam buku itu, oleh itu lihat saja di sana dan kritiklah jika anda mampu menolak penghujahan itu.  Anda tidak akan berani melakukannya kerana anda tidak mahu pembohongan dan kecetekan kefahaman anda akan terbongkar, seolah-olah melondehkan pakaian sendiri dalam pertengkaran cara kampungan  wanita Melayu ketika merebut jantan!  (Sorry buka rahsia!).  Saya sebut contoh ini kerana saya ingin menyebut secara kasar dan kesat peranan sebenar para sasterawan negara ini dalam perkembangan intelektual Malaysia. Mereka melondehkan pakaian mereka untuk ditonton para peminat mereka yang terkejut melihat kebodohan penghujahan cetek mereka ketika mempertahankan kedudukan mereka yang memalukan anak-anak muda yang cerdik yang dapat membaca dengan mudah kepalsuan karya mereka jika dilihat dari perspektif ilmu dan wacana kreatif mereka. Sekali lagi, semua ini sudah didedahkan dalam buku tentang  kepalsuan para sasterawan negara.

Saya ingin menyalin pendapat seorang pelakon yang saya kira cukup cerdik dan seharusnya menjadi pegangan para pelakon kita. Kata beliau: ““Sebab itu saya sanggup menunggu lama untuk dapatkan skrip yang baik, saya dapat rasakan drama atau filem yang saya lakonkan selepas ini memang apa yang saya hendak.”

Pembohongan dan sikap biadab stesen TV di Malaysia yang banyak menyiarkan drama picisan yang menghina kecerdikan bangsa Melayu, ditulis oleh penulis picisan, boleh kita lihat setiap hari. Mengapa kebodohan begini dibiarkan dan diteruskan? Kita mempunyai ramai sasterawan negara, mengapa mereka tidak menulis skrip yang bermutu dan yang meraikan kecerdikan?  Lama dulu saya pernah mencadangkan kepada persatuan penulis membantu TV untuk mendapatkan skrip yang baik dan mana-mana drama yang disogokkan kepada mereka diberi piawaian yang jelas tentang kualiti yang diharapkan. Adakah TV kita berasa bangga  menonjolkan kebodohan orang Melayu dalam drama yang mereka siarkan? Pandangan dan kritikan pelakon Nur Fazura di atas perlu diberi perhatian secara tulus supaya kita dapat membina tradisi penulisan skrip dan lakonan yang bermutu.  Jangan jadikan stesen TV kita tempat buangan sampah budaya.  Sekali lagi saya harap persatuan penulis boleh membantu.

Sekarang sikap kurang ajar dan biadab dilihat dari perspektif kebebasan bersuara dan berkelakuan. Ini disuarakan oleh golongan peguam yang kononnya menjaga aspek kebebasan bersuara dan berkelakuan ini. Kumpulan ini nampaknya tidak sedar bahawa sikap mereka sendiri adalah biadab dan kurang ajar, kerana dari komen-komen mereka jelas mereka ini meletakkan kebebasan itu sebagai nilai sosial tertinggi. Tidak wajar para peguam ini bersikap kurang ajar, tidak dapat membezakan kebaikan untuk semua dan kejahatan persendirian yang diberi pembelaan sebagai kebebasan individu.  Pembohongan intelektual seperti ini tidak pantas disuarakan oleh para pengamal perundangan, kerana ini boleh memesongkan kefahaman rakyat untuk memfitnah dan berbohong dengan sikap kurang ajar seperti yang dicontohkan oleh para peguam ketika membela hak kebebasan rakyat untuk bertindak biadab.

Tidakkah anda berasa aneh, dengan wujudnya sasterawan negara, maka kita menghadapi kebiadaban baru yang membela kebebasan palsu untuk melakukan kejahatan moral dan nilai.  Betapa rendahnya peribadi para sasterawan negara ini boleh kita saksikan apabila mereka berasa amat bangga menerima dedak dari DAP (orang Melayu memanggilnya DAPig!) berupa elaun bulanan sebanyak lima ribu sebulan, yang mereka minta ditambah menjadi sepuluh ribu sebulan kerana para sasterawan negara ini sangat besar jasanya mengembangkan pemikiran picisan dalam kebudayaan Melayu yang sedia kala berasaskan konsep ilmu yang benar yang ditolak para sasterawan negara yang tidak pun kelihatan dalam karya mereka. Mereka tidak dapat membaca bagaimana DAP, yang dahulunya melontarkan idea Malaysian Malaysia kini diberi nama baru Malaysia Baru, kini menggunakan para sasterawan negara ini untuk mendapat pujian daripada para sasterawan bahawa merekalah yang menjadi pembela para sasterawan, padahal pada waktu yang sama mereka menentang sekuat-kuatnya penggunaan Jawi di sekolah seolah-olah Jawi itu najis yang mengaibkan.  Sebodoh itukah para sasterawan ini sehingga begitu mudah terhutang budi kepada Bangsa DAP yang memberi mereka imbuhan dan kini diminta tambah lagi. Peribadi picisan ini tidak layak dijadikan contoh apatah lagi dihormati oleh generasi muda yang kini mewarisi Gagasan Persuratan Baru yang memberi kedudukan wajar dan tinggi kepada ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif. Sesungguhnya amat tidak siuman apabila para sasterawan negara menolak konsep ilmu yang benar dalam penulisan kreatif, sedangkan pada waktu yang sama menerima dengan gembira dan meminta ditambah nilai dedak yang mereka dapat yang diberikan kepada mereka, oleh Bangsa DAP yang kini menguasai pemerintahan negara.

Sekarang sasterawan dan para penulis yang menjadi anggota padan-badan penulis sudah menerima konsep Malaysian Malaysia ciptaan Bangsa DAP ini untuk kononnya mengelak daripada dipanggil golongan perkauman dan taksub agama. Saya harap ada di antara mereka yang menafikan kedudukan baru ini supaya jelas kepada para sasterawan.  Melayu diharamkan dari mengangkat martabat bangsa Melayu setelah diwujudkan Bangsa DAP sebagai perkembangan terbaru dalam politik Malaysia.  Melayu tidak mempunyai teras sebagai bangsa kerana mereka, kata Bangsa DAP, adalah kebanyakannya berasal dari luar Malaysia, iaitu dari Jawa, Sumatra, Kalimantan dan lain-lain. Orang Melayu menerima realiti baru ini sebagai satu perubahan yang baik bagi mereka kerana menurut mereka pembangunan negara akan lebih pesat setelah Bangsa DAP menguasai tanah-tanah di negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan lain-lain negeri dengan adanya kemajuan dalam industri pengangkutan. Satu perubahan besar-besaran akan berlaku dalam masa 20 tahun ini setelah beberapa projek besar mula dapat digunakan. Penjajahan Bangsa DAP ke atas tanah-tanah kepunyaan Melayu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor akan menjadi kenyataan apabila projek-projek gergasi yang sedang diusahakan oleh Pakatan Harapan menjadi kenyataan, sekiranya PH boleh memenangi pilihan raya yang akan datang. Satu berita baik untuk para sasterawan seluruh negara ialah kini sudah ada seorang sasterawan negara menjadi anggota yang sah Bangsa DAP. 

Ketika Menteri Kewangan dari Bangsa DAP menyampaikan imbuhan bulanan (dalam istilah moden dipanggil dedak) kepada para sasterawan negara, saya terlihat gambar Lim Guan Eng, S/U Agung DAP, mendakap sasterawan negara Datuk Seri Dr. A. Samad Said sambil berlaga pipi. Sungguh cute!  Kemesraan Menteri Kewangan dengan para sasterawan negara (ingat: hanya sasterawan negara saja) adalah satu perubahan atau lebih tepat perkembangan baru yang dicetuskan oleh Bangsa DAP yang menguasai Kerajaan PH sekarang. Kita tidak pernah terbayang satu masa nanti para sasterawan negara menerima dedak daripada Kerajaan PH yang dikuasai DAP. Semua sasterawan dan badan penulis seluruh Malaysia amat bangga dengan perubahan, atau kemajuan terbaru ini. Dirgahayu Bangsa DAP!

Di tengah-tengah kemesraan penetrasi Bangsa DAP terhadap para sasterawan negara,  kita lihat perkembangan terbaru apa bila para sasterawan negara dijadikan Resident Writer di universiti; tapi malangnya belum ada lagi jumlah pembayaran imbuhan bulanan yang sesuai dengan kedudukan mereka sebagai sasterawan picisan.  Semua yang terjadi ini adalah perkembangan baru hasil usaha Bangsa DAP untuk memikat para sasterawan yang memang sudah lama menunggu dedak daripada kerajaan.  Bangsa DAP memerlukan sokongan daripada para sasterawan picisan untuk memikat orang Melayu bahawa mereka adalah sahabat orang Melayu, walaupun mereka menentang kuat tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil. Tulisan Jawi hanya untuk orang Melayu, kerana mereka perlukan “bahasa Jawi” untuk membaca Quran.  Sampai begitu terbukanya Melayu kepada kerenah Bangsa DAP; sementara Bangsa DAP tetap menentang “bahasa Jawi” diperkenalkan kepada budak-budak Cina dan Tamil supaya mereka tidak tertarik kepada Islam yang mereka haramkan daripada dianuti oleh Bangsa DAP dan Bangsa Tamil.  Inilah makna perpaduan Malaysia dalam konteks mereka, yang orang Melayu mesti terima.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Maklumat Penting:




Sekitar tahun 1920-an hingga 1940-an, majalah yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, terutama di Kelantan, menggunakan istilah “al-adib” untuk memperkenalkan seseorang penulis, atau istilah pengarang yang sama maksudnya. Penggunaan istilah “al-adib” memperlihatkan kepekaan para editor majalah dan akhbar ketika itu kepada tradisi penulisan dalam Islam yang berasaskan al-adab itu. Sebaliknya, ketika Asas 50 ditubuhkan, para pendukung pertubuhan itu tidak lagi mengenal istilah itu, oleh itu dalam tulisan-tulisan mereka tidak wujud sama sekali kesedaran kepada wujudnya tradisi penulisan dalam Islam. Asas 50 mengambil contoh dan teladan dari Barat sepenuhnya, dengan itu memutuskan sama sekali apa juga ikatan dengan warisan persuratan Melayu yang berasaskan ilmu dan nilai-nilai Islam. Apabila mereka memperkenalkan sajak dan cerita pendek dalam karya-karya mereka, mereka membebaskan diri mereka daripada apa juga pengaruh Islam. Demikianlah akhirnya sebuah novel Salina yang pada mulanya ditolak oleh juri peraduan kerana dianggap bertentangan dengan nilai-nilai Islam, menjadi karya besar setelah diiktiraf oleh seorang sarjana Belanda sebagai sebuah karya bertaraf antarabangsa. Maksudnya, sebagai sebuah karya yang tidak lagi bercorak Islam yang dianggap mundur dan menghalang kemajuan itu. Kini nilai-nilai Islam yang menjadi panduan dalam penilaian para juri itu disisihkan sepenuhnya, dengan itu Salina muncul sebagai karya besar sastera Melayu moden dan diletakkan sebagai sebuah karya unggul sehingga memungkinkan penulisnya dilantik menjadi sasterawan negara. Demikian cepatnya perubahan nilai berlaku dalam masyarakat Melayu: sesuatu yang mereka tolak pada mulanya, mereka terima dengan bangga setelah diiktiraf oleh sarjana Barat, dan mereka dengan itu tidak lagi berasa janggal memisahkan diri mereka dengan tradisi persuratan Melayu yang berasaskan nilai-nilai Islam itu. Dalam penilaian mereka terhadap karya itu, mereka memakai nilai-nilai sastera Barat sepenuhnya, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 September 2019.

1 comment:

  1. Memohon hidayah,kekuatan berfikir membuat pilihan menembusi langit tempurung kepada keluasan ilmu Tuhan yang terkembang,terbuka luas sejauh mata memandang kerajaan langit yang dipenuhi serba keunikan,keindahan dan kebenaran Ilahi.
    Diri yang ada kesedaran,kesungguhan untuk keluar daripada kesempitan berfikir atau kekal menjadi manusia yang terkurung minda dan jiwanya.
    Terima kasih.
    Tuhan memberi manusia itu dua jalan untuk mereka pilih untuk dilaluinya.

    ReplyDelete