Friday, July 19, 2019

MENGEJAR SESUATU YANG KEKAL RELEVAN DALAM PERSURATAN MELAYU



Kritikan saya terhadap projek palsu sastera Melayu untuk melahirkan sasterawan negara yang picisan akan kekal relevan dalam perbincangan tentang sastera di Malaysia.  Untuk mengembalikan maruah intelektual yang menjadi bangkai busuk dalam sastera Melayu hasil projek sasterawan negara ini, maka kita tiada pilihan yang lebih siuman selain daripada kembali kepada konsep ilmu yang benar dan dengan itu mengasaskan setiap karya kreatif kepada asas itu. Dalam konteks inilah perbincangan dan analisis saya dalam Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden akan kekal relevan setiap kali anda mahu berbicara tentang sastera di Malaysia. Jika anda terus menerus menafikan kemunculan Gagasan Persuratan Baru sebagai cabaran kepada konsep sastera yang bermodelkan teori Barat, maka anda hanya memperbodohkan diri anda sendiri yang mungkin tanpa anda sedari anda memilih untuk menjadi pengkhianat kepada perkembangan intelektual berasaskan konsep ilmu yang benar, yang telah menjadi tradisi pemikiran persuratan Melayu lebih dari 500 tahun.

Ayat terakhir dalam perenggan di atas berbunyi agak keras, tetapi itulah kenyataannya yang tidak dapat dinafikan.  Tidak saja DBP mengkhianati persuratan Melayu dengan melantik para sasterawan negara yang picisan; malah kerajaan baru yang menamakan diri mereka PH yang menghidupkan perjuangan DAP lebih 52 tahun untuk menjadikan Malaysia Baru sebagai nama baru Malaysian Malaysia, malah sekarang sudah pula dihidupkan dengan gagahnya bahasa Inggeris  dalam PPSMI. Di mana DBP? Sesudah termakan dedak DAP, maka wajarlah DBP membisu ketika bahasa Melayu diceroboh dan dijadikan bahasa kedua yang parochial tidak seimbang nilai ekonomi dan nilai ilmunya dengan bahasa Inggeris yang amat tinggi nilai ekonomi dan nilai ilmunya menurut PM rekon. Inilah perutusan Mahathir yang dirancang oleh DAP untuk melaksanakan multilingualism di Malaysia, satu tempelakan yang berupa tamparan hebat kepada kedaulatan bahasa Melayu yang kononnya dilindungi oleh Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan.  Telah diluluskan juga umur mengundi kepada 18 tahun secara automatik. Berapa ratus persen bertambahnya undi DAP, yakni undi Cina, di bandar-bandar besar? Mereka dapat pertambahan ini secara automatik; dengan itu usaha mereka hendak menambah bilangan kawasan Parlimen secara automatik akan tercapai oleh DAP. Kira-kira berapa ratus keuntungan DAP dari segi kerusi Cina di kawasan majoriti Cina di bandar-bandar besar?  Orang Melayu di Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah sedang terlongo seperti beruk lapar menyaksikan pengkhianatan terhadap mereka ini. Kerana penduduk  tiga negeri  Melayu itu kecil, jika dibandingkan dengan penduduk Cina di bandar-bandar, mereka tidak akan dapat kerusi tambahan dalam Parlimen dan dalam Dewan Negeri. Sekali lagi, saya menggesa orang Melayu yang sedang diperbodohkan oleh ketua politik  mereka ini membaca dengan kritis Hikayat Buyung Lurus, dan faham maksud amaran yang sudah diberikan agak lama dalam novel itu. Bodoh sangatkah Melayu ini?

Di mana para sasterawan dan sarjana sastera berada dalam kemelut baru ini?  Saya maksudkan kemunculan kembali PPSMI yang akan dihidupkan dengan gigih untuk menindas bahasa Melayu, dan pada waktu yang sama memberi peluang kepada bukan Melayu untuk mendesak digunakan juga bahasa Inggeris di Dewan Rakyat. Pada waktu ini anda mungkin  beranggapan desakan ini tidak mungkin terjadi; tetapi jika anda membaca gerakan DAP yang licik ini, semuanya akan terjadi dan Melayu sendiri akan menerima perubahan itu sekiranya tuan mereka, para ahli politik Melayu, berasa perlu menggunakan bahasa Inggeris di Dewan Rakyat untuk memberi kemudahan kepada ahli Dewan yang tidak fasih berbahasa Melayu boleh menggunakan bahasa Inggeris. Anda mesti ingat, sebaik saja PH, yakni DAP, mengambil kuasa, serta-merta BERNAMA yang dulunya menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris, kini sudah menggunakan bahasa Tamil dan Cina; diikuti oleh semua stesen TV di Malaysia. Tidak mungkin Melayu sebodoh lembu yang mereka pelihara jika mereka tidak dapat membaca pengkhianatan ini. Ke mana DBP yang dikatakan menjadi penjaga bahasa Melayu itu?  Setelah mendapat dedak DAP, tentu saja DBP mendiamkan diri, tidak berani bersungut supaya para pegawainya tidak tergugat kedudukannya. Ini pun sejenis pengkhianatan terhadap bahasa juga.
Nampaknya perkara-perkara penting dalam masyarakat Malaysia sudah dikhianati  dalam pelbagai cara yang pada umumnya hanya untuk memuaskan hawa nafsu pelakunya.  Contoh tentang PPSMI. Perdana Menteri rekon yang pernah memperkenalkan PPSMI ketika pertama kali menjadi PM, kini memperkenalkan kembali projek lamanya itu, sebagai menghormati bahasa Inggeris yang katanya adalah bahasa antarabangsa yang wajib diketahui oleh semua rakyat Malaysia.  Tanpa bahasa Inggeris tidak boleh belajar ilmu hisab dan ilmu sains, menurut beliau.  Inilah jenis mentaliti Yahudi yang melihat segala-galanya dari perspektif keuntungan ekonomi, bukan kerana rasa hormat kepada ilmu.  Sudah acap kali juga saya menggesa supaya bahasa Arab dijadikan bahasa kedua di Malaysia, wajib dipelajari oleh semua murid Islam tetapi yang bukan Islam boleh membuat pilihan mahu belajar atau tidak mahu.  Saya yakin dan pasti bahawa ini Mahathir tidak tahu sejarah Islam oleh itu tidak tahu Eropah dan negara-negara Barat dibangunkan oleh para ilmuwan Islam yang menulis di dalam bahasa Arab, kemudian diterjemahkan ke bahasa-bahasa Eropah.  Dalam ucapannya di Parlimen ketika mempertahankan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, dia sebut beberapa perkara yang menampakkan dia tahu juga serba sedikit tentang pengaruh Islam dalam pembangunan ilmu-ilmu sains dan matematik di Eropah, tetapi dia tidak menganggap itu sumbangan Islam, melainkan usaha orang Eropah sendiri. Samalah seperti orang di Malaysia pun mesti usaha belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kalau mahu maju. Inilah cara berfikir yang totok berjiwa penjajah, yang lahir dari anggapan negatif bahawa bahasa Melayu tidak akan membawa apa-apa kemajuan kepada orang Melayu. Dia menilai ini dari perspektif kebodohan dirinya sendiri dan tiadanya rasa hormat kepada bahasa Melayu yang telah membina tamadun yang begitu agung sejak lebih dari 500 tahun. Aneh, mengapa dia memilih untuk menjadi bodoh dan dengan itu membenarkannya menghina  tamadun Melayu. Sungguh celaka sikap seperti ini jika ada di kalangan para politikus  Melayu yang menghina tamadun bangsanya sendiri.

Hari Ini Dalam Sejarah: (16 Julai 2019):  Perhatikan tajuk berita yang menarik ini, dari Malaysiakini: “Hamidah rela ke Tanjung Rambutan dari ke neraka kerana berbohong.”  Puan Hamidah Osman, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berkata beliau lebih rela masuk Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan daripada ke neraka kerana berbohong kepada bangsa, agama dan negara. Ini merupakan reaksi beliau kepada  Dr Mahathir yang dipetik beliau sebagai berkata, individu yang mendakwa penubuhan Bersatu adalah hasil cadangan Penasihat DAP Lim  Kit Siang agar “masuk ke Tanjung Rambutan.”  Marah betul PM rekon ini, kerana sudah sepatutnya begitu bahawa beliau memang mendapat arahan daripada Lim Kit Siang. Malah pelantikan beliau sebagai PM rekon pun dari cadangan dan sokongan DAP. Semua orang tahu hakikat ini.  Politik, begitulah. Tiada politik tanpa pembohongan, semua orang tahu hakikat ini; oleh itu para pembohong politik ini tidak perlu dan tidak wajar marah-marah,  kerana itulah hakikatnya sekiranya anda ingin berjaya dalam politik, mesti tahu dan pandai berbohong. Saya sudah buat ulasan panjang mengenai perkara ini dalam blog ini.  Lim Kit Siang, seorang ahli politik yang paling bersih dan paling jujur di Malaysia, menafikan penubuhan Bersatu adalah hasil cadangannya, supaya dengan adanya satu lagi parti Melayu yang baru supaya  dapat menarik 10 peratus undi UMNO.  Hamidah berkata beliau menyaksikan cadangan itu dibuat sendiri oleh Kit Siang dalam satu perbincangan di Yayasan Kepimpinan Perdana yang turut dihadiri beberapa pemimpin.  Hamidah menegaskan, Dr. Mahathir perlu bercakap benar kepada rakyat kerana akhirnya mereka akan menjawab di akhirat kelak. Quote: “Di hadapan rakyat cakap lain dan di belakang rakyat cakap lain. Ini semua kita terpaksa jawab di akhirat nanti.” 

Peringatan ini bagus, tetapi tidak relevan bagi ahli politik yang menjadikan pembohongan sebagai teknik komunikasi berkesan untuk mendapat kepercayaan rakyat, walaupun dengan berbohong dan menipu.  Kalau anda tidak tahu, tidak mahu, bagaimana hendak menipu dengan berkesan, maka politik bukanlah bidang anda. Kepandaian anda menipu dan berbohong adalah dua ciri yang mungkin akan membolehkan anda diberi gelaran “pemimpin besar” Malaysia.  Anda harus dapat membezakan antara orang yang pintar dengan yang jujur. Keduanya saling bertentangan.  Orang yang jujur belum tentu pintar; manakala yang pintar belum tentu jujur.  Antara dua sifat ini, mana satu yang lebih utama?  Kepintaran adalah sifat pencuri atau penipu; manakala kejujuran adalah sifat utama dalam perwatakan seorang pemimpin yang boleh dipercayai.  Sekarang orang seperti ini sangat sukar kita boleh dapat di kalangan para ahli politik. Anda mesti dapat membezakan antara ahli politik dengan seorang pemimpin politik. Sekarang perbezaan itu tidak dipedulikan, malah tidak dianggap penting untuk diketahui perbezaannya. Inilah kecelakaan yang dihadapi oleh rakyat yang menerima kemunculan seorang ahli politik, tetapi tidak memberi penghargaan kepada seorang pemimpin.

Dalam bacaan saya, Puan Hamidah Osman nampaknya tidak menerima PM rekon sebagai pemimpin politik yang jujur, tetapi jelas dia seorang ahli politik  yang  pintar, atau di Indonesia disebut lihai. Lihai dalam bahasa Inggeris boleh diterjemahkan sebagai shrewd, yang diberi definisi dalam Collin’s  Cobuild Learner’s Dictionary sebagai seseorang yang bersifat opportunist.  Anda mungkin bertanya: Apa salahnya?  Oleh itu tidak penting bagi anda sama ada dia seorang ahli politik atau seorang pemimpin; bagi anda kedua-duanya sama saja. Inilah kecelakaan yang menimpa rakyat Malaysia apabila ahli politik yang mereka pilih tidak bertindak sebagai seorang pemimpin. Saya kira itulah maksud komen Puan Hamidah Osman.  Saya yakin hanya beberapa orang saja yang bersetuju dengan beliau; kerana dalam politik diperlukan kepintaran, bukan kejujuran.

Menurut perhitungan anda, siapakah pemimpin yang  jujur dalam politik Malaysia sekarang?  Dalam pemerhatian saya sebagai seorang peneliti politik (saya ada ijazah sarjana dalam subjek Political Behaviour dari Essex University),  kita mempunyai ramai ahli politik yang pintar, termasuk Lim Kit Siang dan Tun Dr. Mahathir Mohamed.  Saya tidak fikir mereka yang pintar ini pernah memikirkan nasib mereka di akhirat, jika sekali pun mereka percaya adanya akhirat.

Bagi seorang ahli politik, yang penting ialah terus kekal berkuasa, walaupun hanya dengan satu undi.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 19 Julai 2019.

















1 comment:

  1. Salam Tn. Haji,
    Pada saya ini adalah pemikiran yang menjangkau jauh ke hadapan,misi yang tepat untuk menyelamatkan umat,bangsa Melayu khususnya.
    Namun kelihatan idea,gagasan yang baik dipandang sinis atau diabaikan oleh pihak yang memegang peranan melaksanakan atau mereka belum bersedia menjayakan projek yang ditawarkan ini.
    Sekian.Wabillahi at-taufiq.Wassalam.

    ReplyDelete