Tuesday, July 16, 2019

PENGARUH YAHUDI DI MALAYSIA DALAM BIDANG POLITIK, EKONOMI, SOSIAL, PENDIDIKAN, KESENIAN



Cara mudah untuk memahami tajuk ini ialah dengan memahami konsep demokrasi dan ekonomi kapitalisme.  Inilah dua bidang besar yang mempengaruhi lain-lain bidang di dalam senarai judul di atas.

Apakah maksud demokrasi dalam politik? Cara mudah untuk memahaminya ialah kuasa di tangan rakyat; merekalah yang memilih para pelakon politik untuk berada dalam Parlemen atau Dewan Undangan Negeri  (DUN). Seseorang calon dalam pilihan raya yang menang satu undi sekalipun tetap menang, walaupun dengan satu undi. Itulah maksud demokrasi, yang boleh bertenggek dengan hanya satu undi. Maka jadilah dia Ahli Dewan Rakyat, atau Ahli Dewan Negeri. Kita guna satu contoh yang mungkin boleh menjadikan seorang pembaca terberak kerana terlalu marah atau mungkin juga kerana geli hati. Katalah yang menang itu seorang penipu besar, menipu sebagai kerjaya dia dalam kehidupannya. Mungkin ada orang tahu, mungkin tidak ada yang tahu kerana dia sangat pandai melindungi dirinya daripada sebarang syak wasangka.  Sekarang dia jadi seorang MP dengan majoriti yang besar, atau  kecil saja, tidak jadi soal. Kalau besar majoritinya, dia akan terkenal sebagai seorang MP yang popular. Tetapi adakah kita pasti dia seorang yang baik?  Dalam politik baik dan buruk tidak ditentukan seperti ditentukan dalam agama. Kebaikan dalam agama mendapat pahala; keburukan mendapat dosa. Yang baik akan masuk syurga; yang jahat akan masuk neraka. Ini formula mudah, tanpa mengira perubahan yang mungkin berlaku dalam kehidupan seseorang.  Tetapi ini pandangan Islam, yang kita semua tahu tidak semua orang Islam percaya. Maksudnya, orang Islam sendiri pun boleh menipu dan berbohong, kerana dalam politik dua sifat ini amat penting untuk menentukan kemenangan seseorang dalam pilihan raya. Contoh klasik dalam kes ini ada saya berikan dalam Hikayat Buyung Lurus. Lihat cerita Dr. Wan Azizah yang saya jadikan contoh dalam novel itu. Kalau anda sudah lupa ceritanya, bolehlah semak catatan pilihan raya, atau tanya beliau sendiri tentang pengalamannya yang pada mulanya diisytiharkan kalah, kemudian menang dengan majoriti yang kecil, dan ustaz yang jadi calon yang melawannya tendang peti undi, dan seterusnya. Oleh kerana ini cerita benar, anda akan lihat betapa demokrasi dijadikan oleh seorang ustaz untuk menipu, hanya untuk menang. Anda kena baca seratus kali episod ini supaya jangan jadi lembu kenyang yang enak saja makan dedak (sekarang lembu pun makan dedak juga, macam babi yang memang suka dedak).  Satu lagi, jangan terlalu percaya kepada yang bergelar ustaz, atau tuan guru, atau apa-papa saja gelaran agama dalam Islam. Jangan percaya dia tidak berbohong dan menipu; kerana dalam politik orang-orang seperti ini berkata dibolehkan menipu untuk  mendapat faedah yang lebih besar iaitu menjadi ketua masyarakat melalui undi pilihan raya.  Saya pernah dengar ucapan seorang tuan guru yang popular di Malaysia yang menyebut antara 16 hingga 17 ayat Quran untuk membuktikan partinya adalah parti Islam yang memperjuangkan politik Islam (apa dia politik Islam dia tidak pernah bincang; padahal dalam Islam tidak terdapat pun istilah politik Islam itu; dipakai istilah lain yang saya tidak mahu bincang di sini.)  Bila kita dengar ucapan itu dan ayat-ayat Quran yang disebutnya, kita akan terasa dia seolah-olah menggunakan ayat-ayat Quran itu secara yang amat istimewa, seolah-olah Quran itu memang diwahyukan untuk partinya! Kes ini masih baru, boleh rujuk sendiri jika anda berminat untuk melihat betapa seorang tuan guru pun tidak boleh kita gerenti tidak akan berbohong. Kalau anda percaya kepada demokrasi dan politik, anda tidak boleh lari dari berbohong. Untuk sekadar menjadi satu pesanan, sila baca buku HAMKA, Bohong di Dunia.  Buku ini boleh dihadiahkan kepada semua ahli politik. Jika anda mahu, atau terdapat sesiapa yang mahu menghadiahkan buku ini kepada ahli politik, saya sanggup membelinya sebanyak yang diperlukan dan anda sendiri mestilah menyampaikannya kepada para pemimpin itu. Boleh hubungi saya sebelum atau selepas anda beli buku itu, untuk mendapatkan pembayarannya. Tapi jangan melebihi lima ribu ringgit, kerana saya tidak punya wang tunai lebih dari itu!  Silalah kalau tidak malu …

Para pembaca Malaysia yang agak rendah moral dan pemikirannya tidak membaca Hikayat Buyung Lurus dengan kritis, oleh itu mereka tidak dapat memahami kritikan saya tentang penipuan dalam sistem demokrasi yang menjadi amalan biasa dalam politik Malaysia. Saya beri satu contoh yang diberikan oleh Pak Sako, yang mengaku dalam tulisannya di Utusan Melayu satu ketika dulu bahawa dia sendiri dan para penduduk Temerloh menjumpai peti undi yang memangkahnya  dibuang ke dalam sungai Temerloh. Semoga ada di antara pembaca blog ini yang tahu cerita ini; dan saya harap kenalan saya yang banyak menolong saya menjual buku saya di Media Ilmu kepunyaan ABIM di PJ satu masa dulu, kini menang di Temerloh, perkara yang dia tidak sangka boleh terjadi. Dia orang Perlis, tanya YB  Mohd. Anuwar Tahir ceritanya bertanding di Temerloh. Dia kini seorang Timbalan Menteri. Tahniah.  Baca betul-betul Hikayat Buyung Lurus untuk mengetahui mengapa saya sebut contoh ini. Anda perlu menjadi seorang pembaca yang cerdik untuk memahami karya saya. Saya simpati kepada para sarjana sastera dan para sasterawan negara juga yang saya kira tidak berapa cerdik oleh itu tidak dapat membaca dengan kritis Hikayat Buyung Lurus yang boleh dianggap sebagai sebuah karya politik yang jauh lebih baik dan lebih bermutu daripada  Animal Farm!  (jangan-jangan ada sarjana sastera tak pernah dengar judul-judul novel ini…)

Pelik juga bila kita tahu para sarjana Melayu tidak berminat membaca Hikayat Buyung Lurus padahal novel satira ini tidak dapat ditandingi oleh mana-mana  karya para sasterawan negara sendiri. Jangan-jangan para sarjana kita pun  tidaklah secerdik yang cuba ditayangkan mereka kepada pembaca yang bodoh-bodoh. Saya ingin menegaskan, sesiapa juga yang bergelar sarjana yang tidak membaca karya saya adalah sarjana yang cetek meraba-raba, mudah cerita dia boleh dipanggil sarjana yang bodoh dan sangat angkuh kerana kebodohannya itu.  Ini adalah satu pengakuan dan penilaian yang jujur, yang boleh saja disanggah jika anda mahu atau jika anda mempunyai keupayaan untuk membuat sanggahan yang bernas. Anda boleh saja melemparkan apa-papa tuduhan yang anda mahu, tetapi saya pasti anda bukanlah secerdik yang anda fikirkan terhadap diri anda. Tiada bukti yang meyakinkan untuk menolak andaian ini.  Saya tidaklah berkira sangat, tetapi sepanjang pengalaman saya dalam bidang kreatif dan kritikan, saya belum lagi bertemu seorang sarjana yang benar-benar jujur dari segi ilmu dan moral yang mahu berbicara dengan kritis ketika membicarakan karya seperti Hikayat Buyung Lurus ini.  Untuk makluman, pembicaraan “tokoh jemputan” satu ketika dulu yang membincangkan novel ini seperti yang dilaporkan, sangat cetek dan amat memalukan kerana kualiti pembicaraan mereka, yang saya baca, sangat rendah dan mereka ini tidak layak berdepan dengan khalayak kalau hanya untuk menyerlahkan kebodohan mereka. Sesiapa yang masih ingat tentang perkara ini bolehlah mengkritik saya jika anda mahu. Saya terbuka untuk dikritik.  Nampaknya seseorang perlu tampil untuk membicarakan mengapa pandirisme sangat berleluasa dalam sastera Melayu, baik di kalangan sarjana lebih-lebih lagi  di kalangan para sasterawan.  Siapa agaknya yang boleh menghuraikan persoalan ini?

Kepada yang pernah lihat Hikayat  Buyung Lurus, saya anjurkan anda baca Bab 9 untuk mendapatkan pandangan saya mengenai pembohongan dan korupsi politik di kalangan pemimpin Malaysia. Sub-judul hikayat ini berbunyi,  Sebuah Hikayat Politik Melayu.  Inilah satira politik terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu. Jika anda tidak bersetuju, saya amat terbuka untuk dikritik. Kalau anda tidak ada hujah, tidak semestinya anda mendiamkan diri. Terus bergosip kerana ini akan memudahkan anda masuk ke tempat yang sesuai dengan peranan anda di akhirat nanti.

Sejauh mana prinsip-prinsip pedagogi Yahudi masuk ke dalam sistem pendidikan Malaysia dan mewarnai sistem itu berasaskan nilai-nilai mungkar Yahudi? Persoalan ini tidak pernah dibincangkan, malah hingga sekarang pun masih belum disedari bahawa pengaruh ini memang ada dan memberi kesan kepada sistem pendidikan kita, khususnya dalam konteks konsep ilmu yang benar yang ditolak oleh Kementerian Pendidikan sendiri, jika kita boleh memberi tafsiran sedemikian berasaskan perilaku dan ucapan Menteri Pendidikan sendiri yang membisu tentang konsep ilmu ini, yang menolak konsep adab dalam pendidikan yang tujuannya melahirkan warga negara yang berbudi mulia berasaskan adab yang terangkum dalam konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran.  Masalah sebesar ini perlu dibahaskan dan Menteri Pendidikan perlu menyatakan pendirian beliau dengan tegas, untuk mengelak daripada dituduh terpengaruh dengan ajaran Yahudi dalam pendidikan moden, yang memberi penekanan kepada latihan kemahiran untuk mendapat kerja, bukan untuk menjadi manusia beradab  yang menghormati ilmu yang benar dan menjadikan konsep ilmu yang benar itu  panduan dalam kehidupannya.  Kita pun ingin tahu apakah yang diajarkan di universiti Malaysia dalam konteks perbincangan ini. Secara khusus dalam pendidikan sastera, konsep ilmu yang benar itu ditolak oleh sarjana sastera, malah Gagasan Persuratan Baru tidak diberi peluang untuk dikenali oleh para pelajar sastera kecuali di UPM dan UKM yang diusahakan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd Zariat. Tidakkah ada usaha untuk melakukan sedikit perubahan dalam pendidikan sastera di tempat-tempat lain selain daripada di dua tempat itu. Bagaimana pula sikap DBP yang dengan jelas menolak PB kerana hendak mempertahankan kedudukan para sasterawan negara yang secara hakiki adalah golongan picisan dalam sastera, seperti yang telah saya buktikan dalam buku saya Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).  Jawapan konkrit diperlukan daripada kumpulan yang anti ilmu yang benar ini. Adakah kita perlu memihak mereka yang ternyata salah dalam memahami konsep ilmu ini?

Kita ingin tahu sejauh mana universiti di Malaysia boleh menerima novel Pujangga Melayu sebagai sumber ilmu dan pengajaran moral yang lengkap dalam kehidupan manusia beragama.  Dalam pemerhatian saya, semua universiti hanya menerima karya Barat, terutama dari Eropah dan Amerika, sebagai karya bermutu yang perlu dipelajari oleh pelajar sastera. Bila lagi kamu yang menjadi penghuni universiti mahu berubah dengan memberi peluang yang adil kepada karya tempatan, dan tidak hanya memihak kepada karya para sasterawan negara padahal karya mereka adalah karya picisan, yang telah saya buktikan dalam buku Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden itu.  Sikap anti-ilmu yang ditunjukkan oleh universiti ini mendapat sokongan dan dukungan Menteri Pendidikan sendiri, yang lebih mengutamakan kaki (dengan kasut hitamnya) daripada otak dan akal yang dididik dalam konsep ilmu yang benar yang ditunjukkan oleh al-Quran.  Saya ingin kasi tahu sama Menteri Pendidikan, hasrat kamu mahu membawa para sasterawan negara ke universiti sepatutnya tidak menghalang kehadiran faham sastera yang lebih mantap yang diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru. Jika anda tidak jujur dalam memperjuangkan ilmu, maka bagaimana anda yakin boleh melahirkan graduan yang tidak anti-ilmu? Ini adalah antara beberapa isu besar yang disembunyikan dan tidak mahu dibahasakan hanya kerana ingin mempertahankan kedudukan para sasterawan negara yang picisan itu.  Dari perspektif inilah kita melihat dengan jelas betapa kuatnya pengaruh Yahudi dalam sistem pendidikan Malaysia yang anti ilmu yang benar itu.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 Julai 2019.








No comments:

Post a Comment