Membina
kembali politik bersih melalui kepemimpinan berunsur Islam. Inilah caranya
membina negara Islam di Tanah Melayu. Cara paling berkesan ialah membuat
perisytiharan harta seperti yang dibuat oleh PM Britain 1976. Biar semua orang
tahu melalui akhbar, termasuk harta PM. Jangan ada kecuali dalam menetapkan
keadilan. Majlis Fatwa Kebangsaan mesti keluarkan fatwa mewajibkan perisytiharan
harta di kalangan penjawat politik seperti di Britain. Jika boleh buat di
Britain, mengapa pula tidak boleh di Malaysia? Ini negeri orang Islam, tidak
ada alasan sama sekali untuk mengelak
daripada melaksanakan corak kepemimpinan Islam yang benar-benar terbuka untuk
dinilai oleh masyarakat, oleh rakyat semua peringkat. Saya telah menjadikan Buyung Lurus
sebagai contoh, sebagai asas untuk anda
kritik di mana yang anda fikir kurang tepat atau bertentangan dengan Islam.
Dalam novel itu juga diselit kelakuan bekas Imam Besar Masjid Negara, dalam
kaitannya dengan keputusan pilihan raya yang memihak kepada Dr. Wan Azizah,
yang tidak dapat diterima oleh bekas Imam Besar itu. Contoh ini mesti diingat
selalu, setiap masa, kerana yang disebut ulama itu, sama ada dari parti politik
atau dari pihak kerajaan, telah menjadikan agama Islam sebagai hujah untuk
mengkafirkan sesama Islam, walaupun tidak disebut secara jelas kecuali dalam
Amanat Haji Hadi yang terkenal itu, yang belum lagi dibatalkan walaupun telah
ditolak oleh ulama kerajaan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan. Satu pertanyaan
bodoh: Sekiranya Islam milik orang Islam, mengapa terdapat perbezaan yang amat
besar antara yang rasmi (Majlis Fatwa) dan parti politik (PAS)? Saya rujuk kepada status “Amanat Haji Hadi”.
Sekarang
timbul pula masalah baru. Menurut PAS, haram mengisytiharkan harta, kerana akan
menimbulkan fitnah. Kalau begitu,
patutlah Perdana Menteri Britain mengisytiharkan harta tahun 1976 bila beliau
menang pilihan raya. Rupanya hanya orang kafir saja yang boleh isytiharkan
harta, orang Islam diharamkan isytihar harta. Kata ulama PAS, isytihar harta bukan ajaran
Nabi SAW, tetapi ajaran Yahudi (ini tambahan saya, berasaskan yang menjadi
amalan di Amerika Syarikat yang mengharamkan
isytihar harta). Sepanjang yang saya
tahu, belum ada lagi Presiden Amerika isytiharkan harta masing-masing; tidak
seperti contoh di Britain. Adakah Amerika Syarikat mengamalkan sistem Islam
yang menurut PAS juga mengharamkan perisytiharan harta?
Barangkali
inilah yang dimaksudkan dengan “politik semburit” yang kini menjadi tajuk utama
dalam perbincangan politik di Malaysia.
Kalau anda masih ingat (sebenarnya masih baru lagi) budaya semburit ini
dimulakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed ketika beliau melemparkan Anwar Ibrahim
dalam penjara. Sama ada beliau masih berpegang kepada pendirian beliau hanya
dapat kita tahu jika ada wartawan yang berani bertanya mengenai perkara ini
ketika menemu bual Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam sidang akhbar. Saya harap ada wartawan nakal yang berani
bertanya, kerana kita betul-betul mahu tahu kedudukannya apabila budaya
semburit ini kini sudah menjadi nasi makan air minum dalam politik Malaysia.
Jangan ada pengecualian dalam menegakkan keadilan.
Paling
menarik, suku sakat PKR (Parti Keadilan Rakyat) kini sudah berpecah yang
berakhir dengan suku sakat penentang Anwar Ibrahim menuduh beliau tokoh
semburit negara, seperti yang diucapkan oleh Menteri Besar Selangor (dari PKR)
yang menyindir Anwar Ibrahimlah yang memulai budaya ini yang kini terkena
kepada Timbalan Presiden PKR yang sudah menjadi seteru Anwar Ibrahim secara
tidak rasmi, tetapi diketahui oleh masyarakat yang ada setengahnya beranggapan
inilah tulah yang menimpa para pemimpin PKR ini kerana dosa lama yang masih melekat
kepada para pemimpin mereka. Sebenarnya inilah kemenangan Tun Dr. Mahathir
Mohamed sebagai seorang ahli politik yang maha lihai dalam sejarah
Malaysia. Beliaulah yang menjadi pelopor
budaya semburit ini jika kes Anwar Ibrahim ini diambil kira (wajar diambil kira
kerana beliau telah pun disumbat ke dalam penjara kerana kes ini). Tentu anda
masih ingat bagaimana tilam besar dibawa ke Mahkamah untuk menjadi bukti utama
kes ini; tetapi yang paling lucu tilam itu diambil di rumah tempat terjadinya
semburit itu padahal rumah itu belum lagi dibina! Semua fikiran orang siuman menjadi buntu bila
dihadapkan dengan bukti ini … Tetapi
Mahkamah menerimanya, maka tersumbatlah
(perhatikan perkataan sumbat
di sini) Anwar Ibrahim ke dalam penjara. Wallahu a’lam.
Jangan ada
pengecualian dalam menegakkan keadilan.
Saya
terkejut juga bila saya dapati perkataan “semburit” terdapat dalam dua buah
kamus utama bahasa Melayu, Kamus Dewan,
dan Kamus Besar Bahasa Indonesia.
Hebat betul orang Melayu dan budaya Melayu!
Nampaknya inilah bukti persetubuhan sejenis yang kini terkenal dengan istilah semburit
ini sudah pun dipraktikkan dalam masyarakat Melayu sejak dahulu kala lagi.
Hebat betul orang Melayu!
Jangan ada
pengecualian dalam menegakkan keadilan.
Sama ada
kita setuju atau tidak, pada hakikatnya inilah antara legasi Tun Dr. Mahathir
dalam politik Malaysia. Hebat sungguh
“nagarawan” kita ini. Sungguh banyak
pembaharuan yang telah berlaku dalam era beliau menjadi PM Malaysia. Huraian
saya mengenai aspek istimewa pemimpin besar orang Melayu ini terdapat dalam Hikayat Buyung Lurus. Siapakah yang membaca novel istimewa ini?
Novel ini istimewa kerana karya ini membicarakan penipuan dalam politik dan
penyelewengan makna korupsi. Setahu saya, jarang orang mahu memikirkan dua
persoalan besar ini. Akhirnya Malaysia membina budaya semburit yang kini sedang
galak dibicarakan, bukan dalam konteks yang betul, tetapi dalam konteks umpatan
dan tuduh menuduh yang sebenarnya jika anjing boleh berbicara, anjing pun tidak
mahu menyebutnya. Sebab itulah anjing terus menyalak, kerana itu saja yang dia
tahu. Jika anda perhatikan, ahli politik
pun begitu juga.
Jangan ada
pengecualian dalam membicarakan aspek keadilan.
Persoalan
ini menjadi semakin rumit dan menarik jika kita bertanya, apakah makna dan
maksud perkataan “keadilan” itu? Pembaca
blog ini dan kitab-kitab karangan saya mungkin tahu makna dan maksud keadilan,
tetapi apa pula maksudnya di kalangan ahli politik? Kalau kita melihat perilaku ahli politik dan
tindakan yang mereka telah lakukan, bolehkah kita berkata dengan yakin dan
pasti bahawa mereka telah melaksanakan keadilan
dalam tindakan mereka? Salah satu bukti
yang boleh dilontarkan (?) ialah mengenai perisytiharan harta. Kalau anda tidak
faham maksud saya, anda bukanlah bodoh, hanya belum lagi cerdik untuk
memahami makna sebenar keadilan, yang
hanya dapat difahami jika anda tahu maksud dan makna konsep ilmu yang benar
yang ada sangkut pautnya dengan pembinaan tamadun dalam Islam. Apakah jenis “tamadun” yang kita bangunkan di
Malaysia? Kalau kita boleh terima perilaku ahli politik yang berkuasa, bolehkah
kita berkata bahawa kita sedang membina tamadun semburit dalam ertinya yang
luas, yang bertentangan dengan makna keadilan dalam Islam. Jangan pisahkan
tindakan PAS dalam hal ini, kerana mereka pun dua kali lima juga. Semua ahli politik Malaysia sedang berjuang
habis-habisan untuk menegakkan kezaliman sebagai asas pembangunan negara.
Bunyinya agak aneh, tetapi dari pelaksanaan memang telah dimulai sejak Tanah
Melayu merdeka. Kezaliman ikut dihadapkan kepada orang Melayu yang menjadi penghuni
negeri-negeri pantai timur, yang dengan sengaja disisihkan dari mendapat apa
juga pembangunan kerana sentiasa ada pergeseran antara lebai dengan nasionalis
yang mewakili UMNO ketika itu, dan kini mewakili PH yang dipimpin oleh seorang
kerak UMNO, yang lebih terkenal sebagai tokoh rekon dalam politik Melayu.
Betapoa jahat dan zalimnya tokoh ini telah dijadikan nyanyian dalam
beberapa panggilan yang beliau sendiri mengaku sebagai satu penghormatan,
seperti Mahazalim dan Mahafiraun.
Akhir-akhir ini dia menyebut kata-kata itu dalam gurauan yang tajam
maknanya, menyindir kumpulan yang pernah menjadi musuhnya dan kini menjadi
penyokongnya pula. Tentu saja beliau tidak memberi peluang kepada golongan yang
amat disangsikan kejujurannya ini. Permainan kucing-kucingan ini seronok
diikuti; dan manusia paling bodoh pun sudah dapat menjangka kesudahannya. Kita tunggu saja nafas terakhir yang akan
sampai juga. Jangan khuatir.
Terdapat
satu peribahasa Melayu yang sangat cantik menggambarkan situasi yang ada sekarang.
Masih ingat peribahasa “melepaskan anjing tersepit”? Siapa yang tersepit dan siapa pula yang
melepaskannya tentu anda lebih tahu daripada saya. Sekali sekala bila
menggunakan peribahasa memang amat menyeronokkan. Orang tua-tua kita yang bijak
itu tahu saja membaca gelagat manusia yang tidak berubah tabiatnya, walaupun
berubah caranya. Itulah makna tersembunyi ungkapan “melepas anjing tersepit.”
Dalam seni
mengarang, menggunakan kiasan yang mendalam maknanya tidak memerlukan kata-kata
yang banyak. Itu sebabnya Hikayat Buyung
Lurus nipis saja, tetapi maknanya meliputi seluruh peristiwa sejak 1955
hingga kini. Bacalah sejarah, jika anda mahu tahu maksud saya.
Jangan ada
pengecualian dalam menegakkan keadilan.
Kita beralih
kepada persoalan lain yang sekali imbas seolah-olah tiada kaitan dengan
politik, tetapi kaitan itu sudah wujud sejak mula-mula diwujudkan projek
sasterawan negara. Sekiranya anda faham
permainan ini, baik dalam politik mahu pun dalam sastera, anda akan dapati dua
golongan ini sama cerdik sama bangsat dalam cara mereka mencapai matlamat
masing-masing. Sekali lagi novel Hikayat Buyung Lurus boleh dijadikan
contoh dan panduan untuk memahami apa yang kita alami sekarang.
Apakah
masalah besar dalam sastera Melayu pada saat ini? Ada dua perkara yang mungkin boleh membantu
kita memahami hakikat yang diusahakan untuk dilindungi supaya pembohongan dan
penipuan intelektual boleh diteruskan tanpa sebarang gangguan. Saya telah
banyak kali membincangkan perkara ini, oleh itu sesiapa yang berminat boleh
mencarinya dalam tulisan saya sama ada yang terdapat dalam blog ini atau dalam
buku yang telah diterbitkan. Jadi saya tidak akan ulas perkara ini untuk
memberi anda kebebasan memahaminya sendiri. Tetapi perkara kedua perlukan
sedikit penjelasan. Ini mengenai sikap anti dialog yang menjadi pegangan para
sarjana sastera dan sasterawan negara, tujuannya untuk melindungi kedudukan
para sasterawan negara daripada sebarang kritikan. Sekiranya para sasterawan
negara ini tidak boleh dinilai dan dibincangkan karyanya dengan kritis,
bagaimana kita boleh menentukan karya mereka benar-benar layak menjadi karya
para sasterawan negara. Lagi pula, kedudukan para sasterawan negara ini
bergantung pada kualiti karya mereka, oleh itu amat penting karya mereka dibahaskan
dan dinilai dengan kritis untuk mengelak daripada menerima karya picisan untuk
menghiasi sastera Melayu. Para
sasterawan negara ini hanya dapat diselamatkan melalui dialog yang kritis,
bukan dengan menutu;p sebarang perbincangan supaya kedudukan mereka tidak
tergugat. Hujah yang dikemukakan bahawa
Penal Anugerah Sastera Negar telah membuat penilaian yang teliti dan akademik,
tidak dapat diterima. Sesiapa juga yang membaca laporan Panel dapat melihat
dengan jelas bagaimana la;poran itu ditulis. Pertama sekali, seseorang yang
akan diangkat menjadi sasterawan negara akan dikemukakan kepada Sekretariat di
DBP, yang akan menyerahkannya kepada Panel untuk dinilai. Nampaknya macam ada
dua jenis penilaian. Pertama menilai kertas cadangan; kemudian menilai
sasterawan yang telah dipilih berasaskan kertas cadangan itu. Kong-kalikong yang terjadi
terbuka apabila Prof. Mohamed
Salleh Rahamad memberitahu dalam satu forum di DBP bahawa dia diminta
(?) mengemukakan kertas cadangan kepada Panel. Maka dia pun tulis satu kertas
dalam dua muka surat, mencadangkan Baha
Zain dan diterima, maka bergelarlah Baha Zain seorang sasterawan negara. Sebagai seorang penulis fiction, saya dapat lihat betapa lemahnya plot cerita dua halaman
ini. Tetapi saya tidak berasa pelik sedikit pun bila diterima oleh Panel,
kerana sudah semestinya begitu. Lepas itu mereka pun bertungkus-lumus menulis
laporan untuk backing pilihan mereka.
Itulah caranya yang telah saya kritik lama dahulu. Alhamdulillah kini diakui sendiri
oleh seorang sarjana penting dalam sastera Melayu.
Jangan ada
pengecualian dalam menegakkan keadilan
Tidak dapat
dielakkan saya perlu bercerita sedikit tentang Gagasan Persuratan Baru. Seperti yang telah saya ulang berkali-kali,
Gagasan Persuratan Baru adalah satu-satunya teori sastera yang dapat menghadapi
semua teori Barat, sambil mematahkan
setiap penghujahan yang dikemukakan oleh para sarjana Barat. Hampir semua
sasterawan dan sarjana sastera Malaysia tidak menerima PB kerana menurut mereka
PB tidak bertaraf antarabangsa, tidak dikenali di dunia; malah di Malaysia
sendiri pun PB dikenali oleh hanya dua tiga orang sahaja, dengan itu membuatkan
PB tidak bermanfaat dan tidak boleh membantu perkembangan intelektual dan
perkembangan kreatif. Menurut mereka, hal ini terjadi kerana landasan Islam
yang menjadi dasarnya bertentangan dengan keadaan masyarakat dunia yang plural dan masyarakat Malaysia sendiri
yang berbilang kaum. Pandangan cetek ini
adalah pandangan kumpulan yang tidak menguasai teori Barat, maka dengan itu
mereka buta daripada melihat kepincangan teori Barat itu, yang sebenarnya
disedari oleh para sarjana Barat sendiri.
Saya sudah banyak kali memberi contoh dan tidak mahu mengulangnya lagi,
cukup dengan menegaskan sekali lagi bahawa teori Barat itu berkisar di sekitar
pengarang, karya, dan interpretasi. Anda boleh baca mengenai perkara ini dalam
buku-buku teori Brat dan dalam entri di blog ini juga. Kalau anda cerdik dan
mempunyai pengetahuan yang agak luas, anda mungkin bertanya: Dari segi apa
teori Barat itu tidak lengkap? Sekiranya
saya mahu menempelak anda, saya boleh berkata dengan lemah lembut (?) bahawa
anda tidak tahu apa sebenarnya kandungan teori Barat dan buta sama sekali
tentang pemikiran para ilmuwan Islam mengenai kesusasteraan. Yang tertinggal dalam teori Barat itu ialah
manusianya, seperti yang diberi takrifnya oleh Pencipta manusia sendiri. Barat
menolak agama dan tidak mengaku adanya Tuhan, malah bagi mereka Tuhan hanya menyekat
kebebasan mereka. Bagi orang Islam, Tuhan tidak saja memberi kebebasan, tetapi
menunjuk jalan yang betul supaya manusia tidak tersesat dalam kehidupan mereka
dan sedar akan harga diri mereka sebagai makhluk yang paling mulia di sisi
Pencipta, sekiranya mereka menerima hakikat bahawa mereka tidak boleh lari dari
ketentuan yang telah ditetapkan kepada mereka. Dalam hal ini saya pernah
berkata, seorang ahli falsafah Perancis yang terkenal pernah menggunakan
penghujahan Sayidina Ali tentang hari akhirat. Sekiranya manusia percaya adanya
akhirat dan balasan yang akan mereka terima, dan mereka hidup untuk menghadapi
hakikat itu; maka sekiranya tidak wujud akhirat, tetapi mereka telah melakukan
kebaikan dan percaya adanya Tuhan, maka mereka akan membuat kerja-kerja yang
baik-baik yang dianjurkan oleh agama, oleh itu kehidupan mereka akan terurus
dengan baik dan sekiranya mereka mati dan mendapati memang wujud syurga dan
neraka, maka mereka tidak dirugikan, dan tidak akan menyesal. Inilah hujah yang
diberikan oleh ahli falsafah Perancis, Blaise Pascal. Nama ini jarang disebut,
atau tidak disebut langsung oleh para sarjana Malaysia. Tokoh ini adalah antara yang teragung di
eranya kerana kepintarannya yang luar biasa. Mungkin ada orang Malaysia hendak
bandingkan tokoh ini dengan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang juga
tokoh besar di zamannya.
Begitulah,
jangan ada pengecualian dalam menegakkan keadilan.
Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 25 Julai 2019.
No comments:
Post a Comment