Mengapa
sastera Melayu perlukan seorang tokoh handalan seperti Mana Sikana ini? Beliau seorang yang amat rajin menulis, untuk
melengkapkan gerakan pandirisme yang dipelopori oleh para sarjana ciritan yang
menghuni Mutual Admiration Club sastera Melayu. Mana Sikana adalah seorang
sarjana yang memilih untuk menjadi seorang penglipur lara dalam kritikan
sastera, seorang tokoh besar yang amat
tabah dan teliti mengitar semula karya lama beliau untuk dijadikan buku “baru”,
mengulang dengan rakus segala tulisan lama yang sudah tersiar atau yang sudah dibukukan. Inilah style akademik sarjana besar kitar
semula ini. Buku terbitan DBP 2015 ini perlu dibaca bersama dua buah buku Mana
Sikana yang diterbitkan oleh ITBM, sebuah tentang keunggulan sasterawan negara,
sebuah lagi tentang pandirisme dalam bentuk pascamodenisme dalam kritikan
sastera Melayu. Ketiga-tiganya adalah sebuah buku yang dicerai-cerai untuk
melengkapkan kesarjanaan pinggiran tokoh besar ini. Beliau telah memberi digniti yang tinggi
kepada istilah “tukang karut” dalam Dikir Barat dengan menjadikan diri beliau
sendiri seorang “tukang karut” sastera Melayu yang walaupun kualiti kritikannya
jauh lebih rendah daripada “tukang karut” Dikir Barat yang amat tajam dan pedas
sindirannya itu, namun dengan usaha
beliau membawa pengaruh tukang karut dalam kesarjanaan Melayu, beliau telah
berjaya menjadikan dunia akademik satu kegiatan popular yang amat diminati oleh
para sasterawan dan pensyarah universiti yang mengajar sastera.
Menjadi
penglipur lara di Malaysia adalah satu penghormatan yang amat tinggi. Profesor Muhammad Haji Salleh dalam syarahan
perdananya meletakkan Awang Batil Pak Mahmud Perlis sebagai ikon beliau, oleh
itu tidaklah hairan jika dalam ucaputamanya kepada seminar “pemikiran” Anwar
Ridhwan, dia memuji Anwar Ridhwan kerana
telah menjadi penglipur lara paling berjaya sehingga membawa cerita-cerita
penglipur lara ke seantero dunia dan karya itu pula telah diterjemahkan ke
dalam pelbagai bahasa besar dunia. Hebat jadi penglipur lara di Malaysia. Dalam
kertas yang ditulis di atas bumbung kilang berkarat, Profesor Muhammad Haji Salleh memberitahu
sasterawan Malaysia betapa hebatnya menjadi penglipur lara. Kata beliau: “Banyak
yang baik tersimpan dalam sastera lisan dan bertulis.. Sekiranya kita mengenal
karya-karya ini kita mungkin bereskperimen dengan pantun, syair, gurindam,
hikayat dan cerita lisan... Apabila Salman Rushdie atau Orhan Pamuk membuatnya,
hasilnya cukup menarik dan bergemerlapan.” (hal. 244). Seterusnya kata dia lagi: “Pilihlah daripada
genius dunia ... daripada Tagore dan
Rushdie dan Arvind Adiga ...” (hal. 244). Mengapa Rushdie begitu istimewa
kepada Profesor Muhammad Haji Salleh? Tidak mungkin kerana dia menghina Nabi
SAW dan keluarga baginda dalam The
Satanic Verses. Mungkin juga novel
itu adalah penjelmaan daripada cerita lisan atau hikayat. Manalah kita tahu,
kalau beliau tidak mahu beritahu. Ini
pun sejenis sarjana penglipur lara juga, kerana baginya semua cerita/naratif
adalah sama nilainya, tidak ada yang benar malah yang tidak benar itulah yang
benar, yang indah. Inilah pandangan ahli sastera zaman romantisisme dalam teori
sastera Barat. Hal ini diceritakan dengan meyakinkan oleh T. S. Eliot dalam sebuah karangannya, “The Modern
Mind”, dalam bukunya The Use of Poetry
and the Use Of Criticism (Faber Editions). Rujukan lebih jelas dan mudah
terdapat dalam Alvin Kernan, The Death of Literature (Yale University Press 1990), Introduction
dan bab 1. Perlu baca untuk mengetahui
betapa rumitnya persoalan yang mudah jika dibahaskan daripada perspektif
keterbatasan akal yang tidak percaya kepada konsep ilmu yang benar, oleh itu
mereka meraba-raba seolah-olah mencari kebenaran, padahal mereka tidak percaya
kepada kebenaran. Inilah juga masalah yang kita hadapi dalam kritikan sastera
kita sendiri. Lihat misalnya nasihat Profesor Muhammad Haji Salleh, “Criticism with kindness ialah suatu prinsip yang dapat diikuti” (hal
246.) Adakah beliau ikuti nasihat beliau
sendiri? Tidak. Beliau mengkritik apa yang disebutnya “orang gasang yang tidak berbudi sastera,
yang menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri
atau hormat terhadap penulis lain.” (hal. 246).
Tetapi beliau tidak perlu ikut nasihatnya sendiri, kerana itu beliau mengatakan, seperti yang dilaporkan
oleh Dr. Fatimah Busu dalam bukunya, orang yang dikatakannya orang gasang yang
tidak berbudi sastera itu adalah “anjing kurap” yang tidak boleh ditendang
kerana kurapnya akan berjangkit kepada yang menendangnya. Itulah jenis “criticism with kindness” yang
dimaksudkan oleh Profesor Muhammad Haji Salleh. Dalam tahun 1984 beliau pernah
menasihatkan para pengkritik sastera supaya mula menulis kritikan mereka dengan
“langkah kaedah”. Itu pun beliau tidak ikut, seperti yang boleh kita lihat
dalam kertas kerjanya itu. Dengan sikap
ini, beliau menerima Salman Rushdie
sebagai contoh genius yang tahu menggunakan penglipur lara (mitos?) untuk
dijadikan novel yang “bergemerlapan”, dengan melupakan bahawa yang gemerlapan
itu termasuk juga The Satanic Verses
yang mengutuk Nabi SAW yang menjadi contoh kehidupannya sebagai seorang Muslim.
Masalah begini tidak ada dalam kutipan yang saya berikan di atas. Mana Sikana
pun menghadapi keadaan yang sama, memberi nasihat kepada orang lain supaya
unggul dalam tulisan mereka, tetapi tidak mengapa tidak unggul dalam tulisan
beliau sendiri. Apakah yang unggul dalam tulisan Mana Sikana? Kita perlu
bincang persoalan ini dalam konteks nasihatnya supaya para sasterawan
“melanggar” praktik lama untuk digantikan dengan yang baru, yang unggul. Dalam tulisan Profesor Muhammad Haji Salleh
dan Mana Sikana kita mendapat bagaimana aspek ‘iwajan yang dikutuk al-Quran dijadikan amalan yang membanggakan
dan gemerlapan dengan pencapaian seorang genius. Untuk memahami konsep ‘iwajan, baca tafsirannya dalam Tafsir al-Misbah, Surah al-Kahfi.
Oleh
itu jika sekarang Mana Sikana diangkat menjadi pengkritik penglipur lara
teragung di Malaysia, maka itu satu penghormatan yang amat tinggi, yang
seharusnya dihargai dengan bangga. Cuma di sini perlu diingat satu perkara yang
tidak boleh diabaikan: karya akademik anda hendaknya tidak berada di peringkat
penglipur lara paling rendah, hingga menjadi sampah akademik kerana tidak
memberi perhatian kepada kualiti pemikiran anda dan pembacaan anda. Menjadi
pengkritik penglipur lara itu bagus, tetapi tidaklah sampai meletakkan diri
anda setaraf dengan Awang Batil. Anda lebih tinggi darjatnya daripada Awang
Batil yang kerjanya hanya melalut siang malam. Ahli akademik tidak begitu. Walaupun kita tidak bersetuju dengan
pandangan yang dirujuk itu, sekurang-kurangnya kita tahu apakah masalah yang
mereka hadapi. Apakah masalah pengkritik penglipur lara ini? Kedudukannya
sebagai pengkritik penglipur lara tidak memungkinkan beliau cemerlang dalam
kerja akademiknya. Kita lihat beberapa contoh.
Dalam
buku Penulisan Akademik Sastera,
antara isi buku yang menjadi kebanggaan Mana Sikana ialah perbincangannya
tentang teori sastera moden dan teori tempatan.
Dalam perbincangannya tentang teori sastera Barat, Mana Sikana
berpusing-pusing ke sana ke mari seperti kucing mengejar tikus, tetapi tidak
dapat menangkapnya. Tidak satu pun perbincangannya tentang teori sastera Barat
boleh dipakai kerana huraian yang tidak kritis itu tidak menampakkan betapa
kelirunya teori itu jika dinilai daripada perspektif ilmu dalam Islam. Mengapa
Mana Sikana, yang menulis “teori”nya sendiri yang diberi judul Ta’abudiyyah itu tidak berdaya menilai
teori sastera Barat yang penuh dengan perspektif ‘iwajan itu? Apa gunanya
“teori” (yang bukan teori sebenarnya) beliau yang begitu hebat judulnya itu
jika tidak berguna samasekali untuk menghadapi cabaran kepalsuan teori sastera
Barat? Inilah sifat pengkritik penglipur lara yang hanya tahu bercerita (dalam
hal ini bercerita tentang teori sastera Barat) tetapi tidak dapat memahami dengan
mendalam makna dan maksud cerita itu. Kritikan cerita yang menjadi pegangan
para sarjana ciritan dan sasterawan picisan ini membuat mereka terus sesat
meraba-raba dalam lingkaran ‘iwajan yang dikutuk oleh al-Quran, yang menjadi
pegangan para sarjana ciritan dan sasterawan picisan ini. Saya maksudkan,
mereka masih berpegang kepada al-Quran sebagai orang Islam, menurut dakwaan
mereka sendiri, yang kadang-kadang dijeritkan dengan lantang dan marah walaupun
tiada siapa pun menuduh mereka buta
al-Quran. Mereka hanya tidak mahu menggunakan konsep ilmu yang diajarkan oleh
al-Quran, kitab yang menjadi sumber ilmu dalam semua bidang kehidupan manusia
itu. Dilihat dari perpektif ini, apakah tujuan Mana Sikana “mencipta” (?) teori
sastera Islamnya itu jika teori itu sendiri yang memisahkan beliau dari
berpegang kepada konsep ilmu dalam Islam?
Kita boleh faham jika Profesor Muhammad Haji Salleh tidak mahu menerima
konsep ilmu dalam Islam, kerana beliau lebih yakin kepada “ilmu” penglipur lara
seperti yang diajarkan oleh Awang Batil (ini disebutnya sendiri dalam syarahan
perdananya 1989). Perbincangan tentang
teori sastera Barat akan terus kusut dan membingungkan sarjana Melayu jika
mereka tidak mahu menerima kerangka yang diberikan sendiri oleh para sarjana Barat
bahawa teori sastera mereka perlu difahamai dalam konteks Romanticism, new criticism
dan hermeneutik (reception theory).
Yakni, memberi tumpuan kepada pengarang,
kepada karya yang autonomous, dan
kepada pembaca menentukan makna
sesebuah karya mengikut pengalaman intelektual mereka. Dalam huraiannya yang
kusut dan berbelit-belit itu, Mana Sikana jelas sekali tidak menerima kerangka
analisis yang diberikan sendiri oleh sarjana Barat yang membicarakan teori
sastera mereka sendiri. Perkaranya cukup mudah, tetapi menjadi sulit dan kacau
kerana anda tidak memahaminya. Itulah kesan paling buruk yang diberikan oleh
pengkritik penglipur lara ini, mengelirukan dirinya sendiri, pembacanya, dan
para pelajar yang ingin belajar serba sedikit tentang teori sastera Barat. Kalau perkara semudah ini anda tidak tahu,
atau tidak faham, atau berasa sukar hendak faham, maka bagaimana anda boleh
dengan begitu yakin, seperti Mana Sikana ini, untuk mengajar orang lain menulis
karya akademik yang berkualiti? You must
be joking, my friend!
Buku
Penulisan Akademik Sastera adalah
sebuah buku panduan yang tidak memberi apa-apa panduan akademik yang diperlukan
untuk menjadi seorang ahli akademik yang berwibawa. Sesuai dengan kedudukannya
sebagai sebuah buku popular dengan pretensi akademik yang dibuat-buat, buku ini
tidak memberikan apa-apa panduan yang boleh membantu seorang pelajar sastera
memahami bidang kritikan sastera moden. Kelemahan paling besar ialah sikap
anti-ilmunya, yang juga bersifat anti-akademik. Jika anda membaca buku-buku akademik tentang
kritikan yang terkenal dalam kritikan sastera Barat, umpamanya tulisan-tulisan
T. S. Eliot yang tajam dan kritis itu (baca misalnya kritikannya terhadap drama
Hamlet) yang mengemukakan istilah-istilah
penting dalam kritikan, yang hingga kini masih diperdebatkan, maka buku Mana
Sikana ini samalah kedudukannya dengan novel Sampah karya Shahnon Ahmad yang diulas oleh Mana Sikana dalam
bukunya ini (sebuah tulisan recycle
beliau). Contoh lain yang anda perlu teliti ialah beberapa buah hasil kritikan
sastera Barat yang ditulis oleh antara lain John M. Ellis, Against Deconstruction;
Michael Fischer, Does Deconstruction Make Any
Difference? Poststructuralism and the
Defence of Poetry in Moden Criticism;
Stephen R. C. Hicks, Explaining Postmodernism: Skepticism and
Socialism from Rousseau to Foucault;
Alvin Kernan, The Death of Literature. Tentu saja anda perlu telaah buku yang
penting ini: Frank Lentricchia, After the New Criticism. Buku R. C. Hicks adalah penting dikunyah
dengan rakus oleh sesiapa juga yang berlagak dengan faham pascamodernisme ini. Penjelasannya mudah difaham oleh pembaca yang
tidak menguasai high English
sekalipun. Buku Lentricchia memerlukan
penguasaan bahasa Inggeris tinggi, yang boleh difahami oleh Profesor Muhammad
Haji Salleh, tetapi akan menyusahkan Mana
Sikana yang penguasaan bahasa Inggerisnya amat terbatas. Akhirnya saya ulang lagi supaya anda membaca
dengan tekun buku Matthew L. N.
Wilkinson, A Fresh Look at Islam in a
Multi-Faith World: A philosophy for success through education. Buku ini
memerlukan penguasaan bahasa Inggeris tinggi, yang mungkin amat terbatas
meskipun di kalangan para profesor sekalipun.
British Council Kuala Lumpur ada memberi kursus bahasa Inggeris tinggi
kepada sesiapa yang berminat. Kerajaan telah gagal mengajar bahasa Inggeris
dengan baik; dan lebih besar lagi kegagalan mereka dalam pengajaran bahasa
Melayu. Sebab itulah sukar sekali kita hendak membaca tulisan yang bermutu
dalam sastera. Yang banyak kita dapat ialah jenis Mana Sikana, yang tentu saja
tidak terkecuali di kalangan sasterawan negara sendiri. Para sarjana mesti
kemaskan bahasa Inggeris mereka.
Barangkali
kecelakaan paling besar dalam sastera Melayu yang diteruskan dengan bangga oleh
terutamanya kumpulan Mutual Admiration Club, ialah perasaan hasad dan
anti-ilmu. Dalam syarahan di UKM 2004 (ATMA) saya kemukakan perkara ini dan
memperkenalkan konsep pandirisme. Ternyata apa yang saya bincangkan itu adalah
penyakit akademik yang parah, yang telah membunuh kemampuan berfikir di
kalangan para pelajar sastera. Walaupun ramai yang lulus dalam bidang ini,
namun kita sukar hendak mendapat sarjana baru yang betul-betul boleh bermain
dengan idea dan dapat pula menulis dengan jelas dan padat. Yang kita dapat
ialah type Mana Sikana dan Profesor Muhammad Haji Salleh yang masih terikat
kepada kritikan cerita dan amat jelas sikap anti-ilmunya. Kedua-dua sarjana
agung Malaysia ini telah gagal seluruhnya untuk melahirkan generasi celik sastera
yang kritis dan kreatif, yang tahu membaca dengan betul dan dapat menilai
dengan objektif. Walaupun mereka
bercakap tentang perubahan, pelanggaran dan sebagainya yang kedengaran amat
muluk, tetapi ternyata hanya sejenis mempelam besar yang masam dan tawar
isinya. Mereka bercakap tentang kesopanan akademik, tetapi mereka tidak
menunjukkan kesopanan akademik itu dengan memberi perhatian, walaupun dengan
sikap benci dan angkuh, kepada misalnya Gagasan Persuratan Baru, yang boleh
digunakan dengan berkesan untuk mengajar pelajar sastera berfikir dengan kritis
dan kreatif. Paling memalukan apabila mereka dan kumpulan mereka menyekat
kemaraan PB ke universiti kerana kata mereka tidak diperlukan dan tidak boleh
memberi apa-apa sumbangan dari segi ilmiah. Mereka sajalah yang boleh
memberikannya, walaupun pengetahuan mereka bersifat pinggiran dan cetek
meraba-raba. Kerana kepanasan di bumi, ada di antara mereka yang memanjat
bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham dengan bermimpi di atas bumbung
itu. Hasilnya ialah kertas kerja Profesor Muhammad Haji Salleh untuk SKPM 2014
yang memuji Salman Rushdie itu.
Sastera
Melayu kerugian besar jika terdapat sarjana sastera dan pensyarah universiti
belum pernah dengar PB; atau jika sudah dengar dan sudah tahu sedikit sebanyak,
mereka bersikap negatif tidak mahu mengenal PB lebih dekat. Sekurang-kurangnya
mereka perlu hormat pandangan bernas Profesor Muhammad Haji Salleh yang memberi
kita semua satu petua, atau satu prinsip bagaimana menulis kritikan sastera, dengan
menegaskan betapa perlunya setiap sarjana dan pengkritik sastera menggunakan
teknik “criticism with kindness”. Dalam hal ini, tentu tidak ada yang tidak
bersetuju dengan beliau. Tetapi yang menjadi masalah besar kepada sarjana ulung
ini ialah sikap negatif beliau terhadap anjuran beliau sendiri. Beliau sendiri
tidak mahu ikut, kerana tidak menguntungkan beliau. Jika beliau ikut nasihat
beliau sendiri, tentulah dia akan approach
PB dengan penuh belas ihsan, membelai PB dengan kasih mesra, dan cuba memahami
PB dengan ikhlas, lalu bercakap dan menulis tentangnya sesuai dengan sikapnya
yang menganjurkan “pengkritik gasang: menggunakan pendekatan “criticism with kindness”. Tetapi ini tidak terjadi; sebaliknya beliau
memaki hamun PB sebagai hanya salakan “anjing kurap”, dengan sokongan padu
daripada Dr. Fatimah Busu yang menulis novel-novel berunsur Islam yang
mementingkan sex (baca tesis Dr. Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sastera Wanita ... mengenai feminisme.) Mana Sikana sebagai seorang pengikut setia
Profesor Muhammad Haji Salleh juga tidak peduli nasihat ikhlas profesor supaya
semua pengkritik menggunakan approach
yang disenangi beliau, walaupun tidak beliau gunakan dalam tulisan kritikan
beliau sendiri.
Satu-satunya
“pemikiran” original Mana Sikana ialah sejumlah petua dalam kritikan yang
diberi nama “teksdealisme”, tentang bagaimana menulis teks yang unggul. Masalah
beliau paling besar ialah beliau sendiri tidak tahu menggunakan petuanya itu.
Tulisannya sendiri tidak menampakkan kecanggihnan berfikir dan memahami
pemikiran orang lain. Terdapat kecenderuga yang aneh apabila beliau sendiri
tidak memahami “teksdealisme” yang dikasihinya itu. Beliau tidak mendapat
faedah daripadanya. Yang didapatnya hanya sejumlah istilah daripada Harold
Bloom yang beliau cedok tanpa memahaminya. Dengan istilah itulah beliau
berlagak pandai kononnya “teksdealisme” adalah ciptaan beliau yang paling
unggul dalam kritikan penglipur lara Melayu. Beliau mahu letak ke mana pula
“teori” beliau yang paling besar dan paling canggih yang beliau beri nama yang
menakutkan itu, Ta’abudiyyah. Cantik
nama itu, tetapi tidak dapat digunakan kerana bertentangan dengan Teksdealisme. Mana satu pilihan beliau?
Lagak sebagai penjual sayur pasar tani yang membawa produk baru ini tidak
menguntungkan beliau, malah lebih mengusutkan lagi pembaca beliau yang cetek
meraba-raba. Jika demikian, petua yang mana satu yang harus dipilih oleh
sesiapa juga yang mahukan teks unggul untuk dirinya? Ta’abudiyyah nampaknya percayakan Tuhan; manakala Teksdealisme menolak Tuhan dan sangat
terpengaruh dengan gerakan mulhid pascamodernisme, yang secara total menolak
adanya kebenaran. Kata pengkritik pascamodernisme, dengan menolak kebenaran,
maka puak pascamodernisme mengisytiharkan merekalah yang benar. Kalau bukan
demikian, tentu mereka berbohong? Aporia lagi.
Gila betul dunia dekonstruksi dan pascamodernisme ini, yang amat digilai Mana
Sikana, yang memuji sastera Islam Shahnon Ahmad serasi dengan konsep
pascamodernisme (rujuk bukunya, Saterawan
Negara di Takhta Keunggulan, hal. 38-39.
Sekadar imbasan, disalin kesimpulan Mana Sikana ini: “... sastera Islam
Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana
masyarakat pascamoden dan hipermoden”) . Kalau begitu betul juga pendapat
Derrida setiap teks penuh dengan aporia,
kontradiksi atas kontradiksi, dengan itu tidak mungkin dapat ditafsirkan kerana
setiap tafsiran adalah pembohongan kepada maksud sebenar teks yang tidak
mungkin difahami. Derrida marah sungguh pada seorang sarjana Amerika yang
menurutnya tidak faham teks beliau, dan membacanya dengan sengaja dengan
tafsiran sikap negatif hanya untuk mencari kesalahan beliau yang sebenarnya
tidak terdapat dalam teks itu. (Anda kena baca buku Derrida, Limited
INC, dari mas.142-154; terutama sekali halaman 146). Untuk pembelaan
terhadap Derrida, rujuk Christopher
Norris, Deconstruction: Theory and
Practice, 3rd. edition, 2000.
Sebenarnya
cukup banyak pandangan Mana Sikana yang memang tidak berguna untuk membina
budaya intelektual yang sihat, yang dari segi akademik memang merosakkan
kefahaman kita terhadap ilmu dan peranan pendekatan dalam kritikan
sastera. Pembacaan yang keliru oleh Mana
Sikana tentang Hang Tuah dan Hang Jebat akan saya ulas di lain kesempatan.
Kononnya Hang Jebat itu seorang revolusioner adalah karut. Hang Jebat adalah seorang pemberontak yang
bersendirian, sedangkan seorang revolusioner adalah seorang penggerak
masyarakat untuk menentang pemerintah yang tidak adil. Kesetiaan Hang Jebat
kepada Hang Tuah lebih gila daripada kesetiaan Hang Tuah kepada sultan Melaka.
Kedua-dua tokoh ini adalah pembela feudalisme. Rakyat Melaka tidak ada tempat
bergantung tanpa feudalisme. Mereka perlukan raja dan sultan untuk menjadi
pelindung mereka. Inilah warisan Sejarah
Melayu, yang diteruskan oleh UMNO dalam bentuk Warisan Malayan Union yang dijelmakan oleh British. Inilah sistem politik Melayu yang didukung
UMNO dengan sokongan British. Di mana Hang Jebat dalam sistem ini? Kita mahu
Mana Sikana menjawabnya, kalau beliau tahu dan mahu menjawabnya.
Sebagai
kesimpulan, buku Mana Sikana, Penulisan
Akademik Sastera adalah sebuah buku panduan yang akan mengusutkan sesiapa
juga yang menggunakannya. Penerbitan buku ini adalah bukti bahawa DBP tidak
mempunyai editor yang cerdik dan DBP sendiri bukanlah organisasi intelektual
yang berwibawa. Tetapi Mana Sikana tidak perlu risau. Beliau telah diperakukan
oleh Shahnon Ahmad, bersama Dr. Fatimah Busu, untuk dilantik sebagai sasterawan
negara. Sebaik saja mereka diberi kedudukan itu, walaupun mereka, seperti sasterawan negara lainnya, tidak
unggul dan bukan kumpulan pemikir yang canggih, tetapi sebaik saja mereka
diberi gelaran sasterawan negara, maka dengan serta-merta semua karya mereka
akan diberi kedudukan karya unggul. Inilah sihir Melayu yang sangat terkenal.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 31/8/2016.
No comments:
Post a Comment