Apakah
yang telah dicapai oleh ITBM dan DBP selama ini? Banyak, tetapi akhir-akhir ini
mereka mula meletakkan diri mereka dalam keadaan untuk hanya mempertahankan
status quo, tidak kreatif apatah lagi inovatif. Bukti paling jelas ialah
kegagalan SKPM anjuran ITBM memberi arah yang betul dan dinamik kepada
perkembangan ilmu dan perkembangan kreatif.
Semua kertas kerja yang dibentang di dalam SKPM tidak memberikan apa-apa
yang baru, kecuali hanya untuk mengitar semula cerita dan projek lama yang
telah gagal. Dalam resolusi yang dicapai
dalam SKPM itu terlalu banyak permintaan untuk memuaskan kumpulan Mutual
Admiration Club, yang dikemukakan atas nama sastera. Sila baca dengan teliti
resolusi itu. Saya telah memberi sedikit gambaran tentang kegagalan ini dalam
komentar saya dalam blog ini. Yang paling menonjol ialah tidak ada arah yang
jelas yang ingin dicapai, kecuali hanya untuk membuat cadangan untuk memuaskan
anggota Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu. Sila teliti resolusi mereka. Lagak para penulis kertas kerja melebihi
sumbangan yang mereka kemukakan dalam kertas mereka. Paling jelas, mereka
sangat gemar bercerita, bukan menganalisis dan menilai pencapaian yang telah
dibuat selama ini. Kegemaran bercerita ini sudah menjadi mercu tanda dalam
penulisan kertas kerja di Malaysia. Kita juga boleh lihat dalam kertas kerja
yang dibentangkan dalam seminar “pemikiran” sasterawan negara yang dianjurkan
oleh DBP. Jika anda berminat, anda boleh
membacanya dalam banyak entri yang dimuat dalam blog ini. Sila rujuk senarai
entri blog yang saya siarkan dalam blog ini untuk semakan anda yang berminat.
Sekarang,
apakah yang perlu kita buat? Tugas untuk memberi makna kepada gerakan
intelektual di Malaysia harus mula diusahakan oleh kumpulan indie yang lebih
dinamik dan terbuka. Walaupun banyak kritikan yang dilemparkan terhadap mereka,
kita tidak dapat menafikan memang ada di kalangan mereka yang pintar dan boleh
berfikir secara kritis. Mereka sesama sendiri tahu siapa mereka ini. Apa yang
perlu kita lakukan sekarang ialah memberi mereka keyakinan bahawa di tangan
merekalah kita mengharapkan perubahan positif dalam bidang kreatif dan
akademik. Mereka perlu mencabar orang
tua yang sudah lembik otaknya dan tidak mampu lagi berfikir, kecuali memanjat bumbung kilang berkarat
untuk bermimpi di atas bumbung. Inilah
inovasi dan kreativiti yang mereka cuba lemparkan kepada khalayak sastera dan
golongan intelektual Malaysia. Inilah
yang kita dapat dalam kertas kerja yang dibentang di dalam SKPM itu. Beberapa contoh yang saya berikan sudah cukup
untuk membuktikan perkara ini. Sila rujuk senarai entri blog.
Apakah
yang kumpulan indie ini perlu buat? Saya lebih suka memberi kebebasan
sepenuhnya kepada mereka untuk memikirkan bagaimana mereka ingin membina bidang
kreatif dan akademik di Malaysia dengan tujuan untuk mencerdikkan masyarakat
kita dan memberi peluang kepada golongan muda berfikir dengan kritis dalam segala
persoalan masyarakat yang kita hadapi sekarang, khusus dilihat dari perspektif
kreatif dan akademik. Untuk menca;pai matlamat ini, satu persidangan besar
peringkat kebangsaan perlu diadakan, diuruskan sepenuh oleh kumpulan indie
sendiri. Untuk sementara waktu, kita berikan mereka masa untuk memikirkan
perkara ini sesama mereka, sekurang-kurangnya melakar rangka persidangan itu
untuk dibincang iseng-iseng sesama mereka, mencari idea dan format yang
terbaik. Cuma di sini saya ingin memperingatkan mereka supaya menentukan bahawa
hasilnya mestilah jauh lebih baik daripada yang telah dicapai oleh ITBM dalam SKPM dan DBP dalam seminar sasterawan
negara.
Saya
cadangkan supaya buku Wilkinson yang saya rujuk dalam entri lepas dijadikan
bacaan dan dibincang sesama anggota indie untuk mendapat idea bagaimana
persoalan yang rumit, sukar dan berat yang dihadapi Islam di Eropah, khususnya
di Britain, dijadikan panduan untuk meneroka kelesuan masyarakat intelektual di
Malaysia yang semakin materialistik dan mementingkan diri, seperti yang mereka
tunjukkan dalam SKPM. Sesuai dengan indie juga menjual buku, bagus sekali jika
mereka perkenalkan buku ini di kalangan anak muda Malaysia untuk mengajar
mereka berfikir dengan serius dan kreatif. Faedahnya bukan hanya untuk mereka
sendiri, tetapi juga untuk masyarakat. Selamat berjuang untuk mencerdikkan
bangsa kita dan masyarakat Malaysia seluruhnya.
Mohd.
Affandi Hassan
Petaling
Jaya 21/8/2016
No comments:
Post a Comment