Dalam
syarahan pengukuhan (istilah ini tepat dan perlu kita pakai menggantikan
syarahan perdana yang tidak perdana tetapi hanya sejenis penglipur lara
akademik) 1972, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyentuh tentang kehadiran
kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba dalam sastera Melayu. Beliau
maksudkan para sasterawan dan sarjana sastera. Sepanjang yang saya tahu, belum
ada sanggahan secara akademik pernah ditulis; ada tidaknya ialah reaksi Prof. Ismail
Hussein dan kawan-kawan membantah pendapat itu, tetapi tidak membuktikannya
salah. Telah juga diadakan satu forum mengenainya, tetapi kesimpulan Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas hanya dibantah, tetapi tidak ditolak secara akademik.
Oleh itu, kesimpulan beliau masih utuh, dan itulah kenyataannya. Maka apabila dilantik sasterawan negara
dengan gelaran itu, kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas menjadi lebih kuat
dan disahkan oleh gelaran itu. Para sasterawan negara telah membuktikan mereka
adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba, hanya sekumpulan penglipur
lara moden yang sumbangan intelektualnya tidak signifikan dan berada di
pinggiran budaya ilmu yang mereka kutuk sebagai penghalang kepada perkembangan
sastera. Ini sangat jelas dalam tulisan yang dimuat dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.
Tiba-tiba
muncul apa yang disebut sebagai kumpulan indie dalam penerbitan dan penulisan
di Malaysia. Terdapat tulisan dalam buku ITBM itu yang menyebut kumpulan ini
adalah kumpulan pinggiran, tidak termasuk dalam arus perdana. Yang dikatakan
arus perdana itu ialah kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba dalam konteks
syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Sekarang timbul persoalan
yang memerlukan penyelesaian: adakah yang kononnya arus perdana itu pada
hakikatnya masih lagi pinggiran yang cetek meraba-raba? Nampaknya begitulah,
jika kita membaca kertas kerja SKPM yang diterbitkan oleh ITBM itu. Jadi di
mana duduknya kumpulan indie ini? Sejenis kumpulan pinggiran yang berada di pinggiran
kumpulan pinggiran perdana? Jadi
sekarang kita mempunyai dua kategori pinggiran: penggiran perdana yang diwakili
kumpulan Mutual Admiration Club yang tercokol di dalamnya para sasterawan
negara di bawah naungan Panel Anugerah Sastera Negara yang melantik mereka.
Satu lagi kumpulan indie yang ditegaskan dengan angkuh oleh kumpulan pinggiran
perdana sebagai kumpulan pengacau perkembangan sastera Malaysia. Nampaknya
hebat juga perkembangan terbaru ini. Pinggiran di atas pinggiran, maka di mana
pula bertenggeknya pandirisme dalam kegiatan intelektual Malaysia? Saya lebih cenderung meletakkan kumpulan
pinggiran perdana itulah pelopor pandirisme dalam gerakan intelektual Malaysia.
Untuk memahami kesimpulan ini, sila rujuk senarai entri blog untuk mendapat entri
yang membicarakan persoalan ini. Atau
pilihan terbaik ialah membaca dengan kritis kertas kerja dalam SKPM dan juga
kertas kerja seminar “pemikiran” sasterawan negara. Kedua-duanya adalah sumber
terbaik untuk melihat bagaimana pandirisme memainkan peranannya dalam tulisan
“akademik” kita. Diperlukan sedikit
peringatan: jika anda tidak jelas konsep ilmu anda dan tidak dapat menempatkan
ilmu dalam penilaian anda, saya jamin anda akan menghadapi kesukaran yang luar
biasa untuk melihat belukur pandirisme dalam budaya intelektual Malaysia. Anda
tidak dapat membezakan mana satu belukur dan mana satu haruan, walaupun
kedua-duanya jenis air tawar.
Kita
mahu tingkatkan perbincangan kita tentang perkembangan intelektual di Malaysia
kerana kita sebenarnya ketinggalan terlalu jauh. Semuanya terjadi, menurut
pemerhatian saya, kerana terdapat keraguan yang amat ketara di kalangan
sasterawan dan sarjana tentang konsep ilmu yang benar itu. Sikap mereka
menunjukkan mereka menolak aspek ini dalam perbincangan serius, hanya untuk
menutup kelemahan mereka sendiri. Kerana itulah saya mengalih harapan kepada
kumpulan indie, dengan keyakinan bahawa pasti ada di kalangan mereka yang
berminat kepada ilmu dan bersedia untuk menjadi ilmuan tulen, bukan ilmuan
celup yang kini menjadi golongan
opportunis yang bersikap anti-ilmu. Itulah sebabnya saya kutip pandangan
al-Quran tentang “ulama” dengan harapan golongan indie ini akan memberi
perhatian serius kepada persoalan ilmu ini. Itu sebabnya saya minta mereka
membaca dengan kritis buku Prof. Wilkinson tentang peranan Islam di Eropah dan
negara-negara sekutu mereka. Banyak yang boleh kita pelajari daripada buku itu,
andainya kita faham membacanya dan bersedia untuk berbincang tentangnya.
Tafsiran
yang diberikan oleh pengarang kitab Tafsir
al-Misbah (jilid 11, hal. 61-62) tentang konsep “ulama” boleh dijadikan
panduan: “Pendapat yang menyatakan bahawa yang dimaksud dengan “ulama” pada
ayat ini adalah “yang berpengetahuan agama” bila ditinjau dari segi penggunaan
bahasa Arab tidaklah mutlak demikian. Siapa pun yang memiliki pengetahuan, dan
dalam disiplin apa pun pengetahuan itu, maka ia dapat dinamai ‘alim.
Dari konteks ayat ini pun kita memeroleh kesan bahawa ilmu yang
disandang oleh ulama itu adalah yang berkaitan dengan fenomena alam. Sayyid Quthub menamai fenomena alam antara
lain yang diuraikan ayat-ayat di atas dengan nama Kitab alam yang sangat indah lembaran-lembarannya dan sangat
menakjubkan bentuk dan warnanya. Ulama ini kemudian menulis bahawa: Ulama
adalah mereka yang memerhatikan kitab yang menakjubkan itu. Kerana itu, mereka
mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya. Mereka mengenal-Nya melalui
hasil ciptaan-Nya, mereka menjangkau-Nya melalui dampak kuasa-Nya, serta
merasakan hakikat kebesaran-Nya dengan melihat hakikat ciptaan-Nya, dari sini
maka mereka takut kepada-Nya serta bertakwa sebenar-benarnya. Demikian Sayyid
Quthub.”
Golongan
pinggiran perdana tidak boleh diharapkan. Mereka telah gagal memberi kemimpinan
intelektual yang kita harapkan. Konsep sastera yang menjadi pegangan mereka
telah merosakkan diri mereka dan seterusnya melambakkan karya yang bertaraf
pandirisme untuk dijadikan karya arus perdana pinggiran ini. Jika anda dapat melihat apa yang saya
maksudkan, anda tentu akan berusaha untuk membaiki kerosakan yang telah
dikerjakan tanpa teguran oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan ini.
Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh kumpulan indie. Saya yakin sudah
ada di kalangan mereka tokoh yang boleh kita anggap bertaraf genius sekiranya kita
memberi mereka peluang, seperti yang saya impikan dalam “Rumah Impian Polan
Cupan”.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 28/8/2016.
No comments:
Post a Comment