Bagi
orang Islam, terdapat tiga jenis maksiat: maksiat zahir berupa perbuatan
terlarang yang dilakukan secara zahir;
kedua, maksiat batin yang dibicarakan dengan mendalam dalam Ilmu Tasauf;
ketiga maksiat intelektual yang tak pernah dibincang padahal inilah jenis
maksiat yang berkaitan dengan konsep ilmu.
Kerana tidak pernah dibincang, atau tidak disedari walaupun mungkin diketahui,
maka kesan maksiat intelektual ini tidak dipedulikan. Inilah jenis kecelakaan
intelektual yang kita hadapi sekarang.
Istilah
“maksiat intelektual” perlu digunakan sekarang setelah konsep ilmu yang benar
tidak memberi kesan kepada para sarjana, pengkritik sastera dan sasterawan.
Tetapi ini tidak bermakna konsep ilmu yang benar itu diabaikan, malah diberi
penekanan yang lebih besar dengan mengaitkannya dengan “maksiat intelektual”
yang kini menjadi pegangan rasmi (hegemoni, dalam istilah popular para sarjana)
golongan sarjana, pengkritik dan sasterawan.
Maksiat intelektual ini mereka tonjolkan dengan bebas dan angkuh dengan
menggunakan istilah-istilah yang mereka curi dari teori sastera Barat, seperti
tekstualiti, teks, interteks dan macam-macam istilah “teks” lagi. Mereka bangga
sekali menggunakan istilah “pelanggaran” untuk membolehkan para sasterawan
berada di atas takhta keunggulan kerana telah melakukan “pelanggaran” dalam
menulis karya mereka. Seperti yang telah
saya tegaskan berkali-kali dalam blog ini, konsep ini adalah konsep yang
digunakan Iblis ketika memujuk Nabi Adam ‘a.s. untuk menipu baginda. Malangnya,
para sarjana dan sasterawan berpendapat mereka jauh lebih cerdik daripada Nabi
Adam ‘a.s. kerana telah terdedah kepada teori sastera Barat dengan meluas, oleh
itu dapat mengelak daripada ditipu Iblis. Adakah ini benar? Tulisan mereka sendiri menjadi bukti bahawa
anggapan mereka ini tidak benar. Mereka
tidak saja tertipu, malah menjadikan penipuan itu sebagai landasan untuk
menilai karya kreatif dengan memberi hadiah kepada karya terbaik menurut
penilaian mereka. Lihat beberapa contoh
untuk sekadar menarik perhatian anda.
Sumber terbaik ialah tulisan mereka ketika membicarakan “pemikiran” para
sasterawan negara.
Rumusan Dr. Noriah Taslim
Ketika
membicarakan “pemikiran” Anwar Ridhwan dalam novel beliau, Naratif Ogonshoto, Dr.
Noriah Taslim mengemukakan beberapa pedapat yang menarik yang memerlukan
penjelasan daripada beliau kerana rumusan yang dikemukakannya tidak jelas,
saling bertentangan dan tidak langsung memberi penjelasan bahawa itulah
pandangan Islam seperti yang diklaim oleh beliau dalam makalahnya.
Malah apa yang dirumuskannya itu bertentangan dengan prinsip Islam dan
budaya Melayu sekali pun.
Antara
rumusan Dr. Noriah Taslim yang paling menarik ialah seperti berikut: “Sebagai
karya historiosofi, peristiwa dipilih untuk nilai moralnya – cerita rakyat,
dongeng-dongeng di pelabuhan, motif dan tema daripada pelbagai sumber disirat
masuk tanpa memperhitungkan kebenaran/kesahihan sejarahnya. Dalamnya cereka dan
fakta, mitos dan realiti bertimbal-balik untuk mengukuhkan moral yang ingin
disampaikan” (hal. 11 makalah). Seperti
yang tertulis, ambiguitinya terlalu jelas sehingga boleh menimbulkan
kekeliruan, oleh itu penjelasan yang lebih terperinci dengan bukti-bukti
rujukan diperlukan. Seperti adanya, rumusan ini tidak boleh diterima, malah
sangat menyeleweng daripada prinsip Islam dan budaya Melayu. Dalam bidal Melayu
kita tahu bidalan berbunyi, “yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan
sempadan”, satu rumusan yang tepat dengan prinsip Islam “amar makruf nahi
munkar” (berbuat baik, mencegah kemungkaran).
Dalam rumusan Dr. Noriah Taslim,
kebenaran tidak penting kerana menurut sastera tradisional moralnya
lebih penting untuk dijadikan pengajaran. Bagaimana kebenaran boleh dipisahkan
daripada moral yang terpuji? Atau makna moral yang dimaksudkan di sini bukan
moral seperti yang kita fahami. Tetapi
persoalan yang lebih besar yang kita perlu bahaskan dengan tuntas ialah peranan
moral dan kebenaran dalam novel Anwar Ridhwan ini. Bagaimana sebuah karya sensasi, yang
mengemukakan perilaku manusia tidak siuman yang tidak bermoral, boleh dijadikan
sebuah karya bermoral tinggi? Tidak
sedikit pun perbahasaan yang diberikan oleh Dr. Noriah Taslim dalam kertasnya
menjawab persoalan penting ini. Semua ini terjadi kerana tidak ada ukuran yang
boleh dijadikan sandaran untuk menentukan kedudukan novel ini sebagai karya
intelektual (ini dakwaan Anwar Ridhwan sendiri dan dipersetujui oleh para pengulas,
termasuk Dr. Norah Taslim sendiri).
Perkara ini mungkin boleh diuji dengan menjadikan konsep ilmu yang benar
dalam Islam (novel ini dianggap sebuah novel Islam) sebagai ukuran, tetapi
inilah yang tidak mahu dilakukan kerana semua sarjana sastera cukup sedar
bahawa jika ukuran ini dipakai, novel ini akan muncul sebagai sebuah novel
picisan saja. Tidak mungkin seorang sasterawan negara menulis novel picisan. Inilah masalah “kebenaran” (the truth) yang sebenar yang ingin
dielakkan untuk menyelamatkan novel ini dan Anwar Ridhwan sendiri. Apabila the
truth tidak penting, tetapi penulis dan karyanya itulah yang penting, maka
kita menghadapi masalah “maksiat intelektual” yang cuba dilenyapkan supaya tidak
dibincangkan dengan jelas. Contoh yang diberikan
oleh Dr. Noriah Taslim tentang kisah bahtera Nabi Nuh sebagai legenda amat memeranjatkan.
Adakah cerita benar itu legenda? Itu pandangan Anwar Ridhwan sendiri, dan Dr. Mawar
Shafie yang mengulasnya bagaimana interteks daripada al-Quran diadun ke dalam karya
besar Anwar Ridhwan ini. Saya telah sentuh perkara ini dalam tulisan yang lain.
Kita lihat contoh berikutnya untuk memahami kelihaian para sarjana mengetepkan the truh dalam kerja-kerja akademik
mereka.
Rumusan Dr. Muhamad Haji Salleh dan
Dr. Fatimah Busu
Dua
orang sasterawan dan sarjana besar Malaysia telah sepakat menolak the truth itu kerana tidak cocok dengan
karya mereka sendiri. Dalam karya besar
Dr. Fatimah Busu dalam kritikan sastera, Nyanyi
Sunyi Salam Maria VS Sarjana Nasi Dingin (2007) terdapat sebiji zamrud dari
Sailan yang pernah dipakai oleh Permaisuri Maharaja Rawana satu masa dahulu.
Inilah wajah zamrud itu:
“Benar
seperti kata Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh, situasi seumpama
ini samalah seperti kita dikerkah oleh seekor anjing kurap. Justeru kita tidak
mungkin dapat menendang anjing itu bagi membalas kerkahannya pada waktu itu
juga kerana kulitnya yang berkurap” (hal 162.)
Tidak
dinyatakan siapakah anjing kurap itu; tetapi kita dapat agak dalam konteks Dr.
Fatimah Busu, anjing kurap itu ialah Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, yang
beliau gelar “Sarjana Nasi Dingin.”
Ungkapan “nasi dingin” dalam loghat Kelantan merujuk kepada nasi basi
yang tidak boleh dimakan. Tidak
diketahui dengan pasti mengapa Dr. Fatimah Busu yang amat menjaga kesantunan
berbahasa, menggunakan bahasa sastera yang sering digunakan ketika seseorang
ingin memaki hamun seseorang yang amat dibenci. Siapakah yang dibenci oleh Dr.
Fatimah Busu? Adakah konsep ilmu yang dibawa oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd
Tahir, atau beliau secara peribadi sebagai seorang sarjana yang bertaraf “nasi dingin”? Kutipan ini menjadi lebih menarik kerana
lahir daripada seorang sarjana besar yang telah diberi gelaran Tokoh Sarjana
Negara (selain gelaran Sasterawan Negara), yang juga amat tertib dan rapi serta
amat santun penggunaan bahasanya dalam kerja-kerja akademiknya. Dalam konteks Profesor Muhammad Haji Salleh,
siapa agaknya yang dipanggil “anjing kurap” dan mengapa orang itu diberi
gelaran itu? Kita sekarang sedang
berhadapan dengan dua orang tokoh besar negara, dengan itu mereka berdua sudah
sepatutnya bermurah hati memberitahu kita siapa “anjing kurap” sastera Melayu
itu. Kita perlu tahu kerana kita tidak perlukan “anjing kurap” dalam sastera
kita yang murni ini. Saya kini akan
menulis nota kecil tentang penerbitan ITBM, Sastera
Teras Negara Bangsa (2014) yang judulnya dikemukakan sebagai slogan baru
dalam sastera Melayu.
Rumusan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.
Dalam
buku penting ini terdapat sebuah tulisan Profesor Muhammad Haji Salleh yang judulnya sangat memikat, “Mimpi
Sastera di Atas Bumbung Kilang Yang Berkarat”.
Antara kandungan mimpi beliau ialah kutipan penting ini:
“Kritikan
ialah satu sayap sastera yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan orang
gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan
kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain. Saya menginginkan suatu kritikan yang dipupuk
kembali menjadi bidang yang bermoral, beretika, bertangggungjawab, dan juga
membantu penulis berkembang. “Criticism
with kindness” ialah suatu prinsip yang dapat diikuti. Penulis juga harus
belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya. Kemnbalilah mencari contoh
daripada Goenawan Mohamad dan Baha Zain” (hal. 206).
“Criticism with kindness” ialah jenis
kritikan yang dilontarkan oleh sahabat beliau, Dr. Fatimah Busu dalam buku
beliau tentang “sarjana nasi dingin” itu. “Criticism
with indness” tentunya merujuk kertas kerja beliau sendiri dalam buku ITBM
ini. Kerana kertas ini terlalu ringkas dan melompat-lompat, ditulis dalam masa
yang tidak membenarkan diadakan persediaan sewajarnya (ini rintihan beliau
sendiri), maka kertas beliau tidak mencapai standard akademik yang
dicita-citakan oleh beliau dan yang kita sendiri sebagai pembaca berasa amat
hairan bagaimana seorang profesor yang diberi gelaran Tokoh Akademik Negara
menulis begitu selekeh padahal beliau mempunyai pengalaman akademik yang amat
luas dan lama pula, oleh itu tidak menjadi masalah sama sekali dari segi
persediaan ilmiahnya. Sebagai seorang
peminat T. S. Eliot, tentu beliau masih ingat sajak terkenal T.S. Eliot, “The
Hollow Men” yang perlu saya salin sebahagiannya kerana sangat relevan
dengan perbincangan kita.
We are the hollow men
We are the stuffed man
Leaning together
Headpiece filled with straw. Alas!
Our dried voices, when
We whisper together
Are quiet and meaningless
As wind in dry grass
Or rats’ feet over broken glass
In our dry celler.
Shape without form, shade without
colour,
paralysed force, gesture without mition;
Inilah
gambaran “pemikiran” Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri dalam tulisannya
yang terhasil daripada mimpi di atas bumbung berkarat itu. Maka apabila beliau
mengherdik “anjing kurap” yang tidak diketahui itu, maka beliau sebenarnya
mengherdik dirinya sendiri sebagai “the hollow man, the stuffed man, leaning
together headpiece filled with straw”, oleh itu maka tepat sekali kesimpulan T. S.
Eliot ini:
Between the idea
And the reality
Between the motion
And the act
Falls the Shadow
of
the “stuffed man, the hollow man”.
Itulah Eliot, seorang penyair!
Kritikan
sastera Melayu sekarang tidak lagi seperti yang dibayangkan oleh Profesor
Muhammad Haji Salleh sebagai seorang “the stuffed man, the hollow man” kerana
kita kini sudah mempunyai alternatif yang canggih yang boleh kita gunakan
dengan selesa dalam membuat analisis dan penilaian karya kreatif. Itulah
Gagasan Persuratan Baru, yang tidak dikenali oleh Profesor Muhammad Haji Salleh
dan yang ditolak bulat-bulat oleh sahabatnya Dr. Fatimah Busu dalam buku
kritikan cacian beliau terhadap Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Mungkin beliau, Profesor Muhammad Haji
Salleh, dan sahabatnya Dr. Fatimah Busu yang layak menduduki tempat pengkritik
gasang yang disebut oleh Profesor Muhammad Haji Salleh itu.
Rumusan Dr Abdul Rahman Napiah (Mana
Sikana)
Semua
ini terjadi sebagai akibat langsung daripada “pemikiran” Mana Sikana dalam dua
buah bukunya yang diterbitkan oleh ITBM:
Berdiri di Akar Diri: Kritikan
Sastera Melayu Pascamoden (2013); Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan
(2015). Kedua-dua buah buku ini cukup
kaya dengan pretensi intelektual dengan segala retorik peragaan yang tidak
membantu kita memahami dan menilai seseorang tokoh pilihannya dengan objektif.
Sebaliknya kata-kata bombastik menggunakan fatamorgana bahasa terutama ketika
membicarakan sasterawan negara jelas bertentangan dengan kualiti karya para
sasterawan negara itu sendiri. Semua ini telah saya bincang dengan mendalam
dalam beberapa siri tulisan dalam blog ini, yang kemudiannya dikumpulkan dalam
satu manuskrip untuk rujukan. Lihat
tajuknya di bawah.
Sebagai
seorang penglipur lara dalam krtikan sastera Melayu, beliau merayau-rayau
mencari kononnya “pendekatan baru” untuk diperkenalkan kepada khalayak sastera
Malaysia, padahal yang dianggapnya baru itu sudah pun ditulis oleh pengembara
Islam beratus tahun dahulu. Tetapi
sumbangan beliau sangat penting sebagai seorang penglipur lara kritikan
sastera, bukan kerana kualiti pemikirannya yang sebenarnya “cetek meraba-raba”
seperti yang anda boleh baca dalam dua buku beliau itu. Obsesinya kepada gerakan pascamodenisme
membawanya menjadi “tukang karut” kritikan sastera apabila pembicaraan beliau
tentang pascamodernisme hanya sekadar menyebut istilah-istilah yang dipungutnya
untuk diperagakan kepada pembaca Malaysia yang “cetek meraba-raba” seperti
beliau sendiri. Saya telah menulis satu siri rencana mengenai perkara ini dan
intipatinya saya masukkan dalam buku saya Pandirisme
Dalam Komuniti Dunia (2016). Saya juga telah mengumpul tulisan itu dalam
satu manuskrip yang anda boleh dapat membuat rujukannya di perpustakaan DBP,
UKM, UPM, UPSI, USM dan lain-lain. Tajuk manuskrip itu ialah, “Teksdealisme
Lambang Pandirisme Dalam Kritikan Sastera Melayu.”
Sumbangan
terpenting Mana Sikana ialah dalam memperkenalkan “konsep” pelanggaran dalam
penulisan kreatif dan kritikan sastera. Yang amat memeranjatkan kita, konsep
pelanggaran itu mula-mula sekali diperkenalkan oleh Iblis ketika memujuk Nabi
Adam ‘a.s. untuk melanggar perintah
Allah SWT supaya tidak mendekati pokok terlarang itu. Mana Sikana mendapatnya daripada Harold
Bloom, yang menulis dalam konteks psikologi Freud untuk merumuskan bahawa
terdapat unsur “dehaka bapa” (Oedipus Complex) dalam penentangan terhadap para
tokoh terdahulu yang mesti diderhakai (dilanggar) untuk mencipta idea baru
sambil mencipta ketokohan sendiri. Anda
boleh baca semua ini dalam tulisan Harold Bloom atau dalam buku After the New Criticism oleh Frank Lentricchia. (Lihat bab 9: “Harold Bloom: The
Spirit of Revenge”). Apakah yang original dalam sumbangan Mana Sikana? Yang
original itu ialah peniruan dan penciplakan beliau terhadap idea Harold Bloom.
Sebagai seorang sarjana Malaysia, itu satu kejayaan besar.
Dua Buah Buku Penting: (1)
Ilmu Teras Persuratan Melayu; (2)
Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan
(UKM, 2016)
Dua
buah buku ini berupa edisi kedua buku asal, Kedudukan
Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM, 2010). Tiga buah buku ini diedit oleh Prof. Ungku
Maimunah Mohd. Tahir. Edisi kedua ini
diiringi tambahan penting untuk
melengkapkan buku-buku ini. Buku-buku
ini harus dibaca bersama buku ITBM, Sastera
Teras Negara Bangsa. Saya cadangkan
buku-buku ini dibincangkan dengan mendalam melalui satu pertemuan khusus
untuknya, supaya ketiga-tiga buah buku
ini diberi perspektif yang tepat. Pada waktu ini pengaruh Mutual Admiration
Club (yang diketuai oleh Profesor Muhammad Haji
Salleh) memberi kesan yang amat negatif dalam perkembangan intelektual
di Malaysia. Kita harus menolak maksiat intelektual ini jika kita ingin membina
peradaban berasaskan ilmu. Nampaknya anda tidak mempunyai pilihan, kecuali
menyokong cadangan ini. DBP dan ITBM bolehlah mula bekerja sekarang untuk
membuat persediaan.
Kesimpulan Umum
Perbincangan
umum tentang maksiat intelektual ini perlu dibincang dengan lebih mendalam
dalam konteks perkembangan ilmu dalam persuratan Melayu. Kita belum lagi mempunyai sebuah analisis
yang mendalam tentang sejarah intelektual dalam kebudayaan Melayu. Sumbangan awal oleh Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas dalam bidang ini, melalui syarahan pengkukuhan beliau 1972, belum lagi
diperhalusi supaya kita dapat melihat apakah yang telah kita capai dalam
kesusasteraan Melayu moden, dari segi kreatif dan akademiknya. Beberapa catatan kecil di atas memperlihatkan
kepada kita akan betapa miskinnya aspek “pemikiran” dalam kesusasteraan Melayu
moden. Sikap negatif terhadap ilmu yang
menjadi pegangan para sarjana sastera telah menyesatkan perbincangan tentang
sastera dalam belantara teori sastera Barat; yang akhirnya hanyut dalam lautan
ambiguiti nilai yang tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Dengan sikap anti ilmu ini, kita telah
berjaya melahirkan ramai sekali tokoh-tokoh palsu yang sampai ke kemuncaknya
dalam pemilihan para sasterawan negara.
Sejak
tahun 1970-an saya menekankan pentingnya membaca dengan betul, dan kini saya
tekankan betapa perlunya kita membaca dengan kritis dan kreatif. Untuk maksud
itu, Prof. Ungku Maimunah mengemukakan dua cara membaca: mod bacaan
intelektual, dan satu lagi mod bacaan cerita. Yang berlaku sekarang ialah semua
sarjana hanya membaca dalam mod bacaan cerita, maka dengan itu yang mereka
dapat serlahkan hanya perkara-perkara klise yang kerap kali disebut dalam
tulisan para sarjana ciritan ini. Kita juga dapat melihat ini dengan amat jelas
dalam cara bacaan Dr. Noriah Taslim yang totok membacanya dalam mod bacaan
cerita. Semua ini hanya menimbulkan klise yang berulang-ulang tentang aspek
plot, struktur, bahasa dan segala macam. Di mana wacananya? Itu kamu semua ignore (apabila ingin mengejek dan
mengkritik dengan keras, saya gunakan bahasa Inggeris), malah bagi kamu konsep
wacana itu tidak wujud dalam pembacaan karya kreatif. Itu sebab saya tekankan
pentingnya membaca dengan kritis dan kreatif. Ini pun telah saya bincang
berkali-kali dalam blog ini, carilah jika anda mahu. Saya hanya ingin menegaskan, jika anda tidak
membaca dengan kritis dan kreatif, maka anda sebenarnya bersikap biadab kepada
ilmu. Anda sudah kehilangan adab, seperti yang dijelaskan dengan mendalam dan
jelas oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kehilangan adab menimbulkan munculnya
sarjana palsu, pemimpin palsu, dan ini semua mengarah kepada sikap anti ilmu.
Itulah yang diberi tekanan yang amat sangat oleh Profesor Muhammad Haji Salleh
dan Dr. Fatimah Busu apabila mereka berkata sesiapa juga yang mereka benci dan
tidak sependapat dengan mereka adalah “anjing kurap”. Bagaimana dengan anda
sendiri, bukan “anjing kurap” juga? Jangan mudah lupa peribahasa Melayu:
mengata dulang paku serpih ...Kehilanghan daya membaca dengan betul dan tidak
membaca dengan kritis dan kreatif membuat tulisan para sarjana ini amat hambar,
penuh dengan klise yang diulang-ulang dengan bangga pula. Tidak ada wacana,
tidak ada pemikiran. Mandul. Inilah wajah sastera Melayu sekarang. Prof. Syed
Hussein al-Attas pernah menempelak sarjana mandul ini dengan kata-kata yang
sangat lucu tetapi serius: ibarat pokok yang rimbun berbunga, tetapi tidak
berbuah. Celakalah bangsa atau dunia ilmu yang begitu keadaannya.
Orang
telah jauh ke depan 100 km, kamu baru cari basikal buruk. Dua tiga kali kayuh
sudah letih, jatuh terjelepok di tepi jalan, lalu menjerit marah, “Hei anjing
kurap..” Akhirnya kamu naik bumbung
kilang berkarat untuk bermimpi sambil menulis kertas kerja. Maka lahirlah
dokumen terpenting Abad 21 dalam sastera Melayu moden yang kamu beri
judul, Sastera Teras Negara Bangsa, menghujahkan betapa pentingnya peranan maksiat intelektual dalam
sastera Melayu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 3 Ogos 2016.
Nota: Sila rujuk entri bertarikh 31/5/2014 dan 1/9/2015 untuk membantu anda memahami lebih jelas entri ini. Terima kasih.
Nota: Sila rujuk entri bertarikh 31/5/2014 dan 1/9/2015 untuk membantu anda memahami lebih jelas entri ini. Terima kasih.
Sila baca juga entri awal bertarikh 31 Mei 2014 dan 1 September 2015. Untuk membantu anda memahami entri terbaru ini. Terima kasih.
ReplyDelete