Wednesday, August 10, 2016

PENGGUNAAN KONSEP DAN ISTILAH YANG MENGELIRUKAN DALAM SASTERA MELAYU

Istilah maksiat intelektual yang saya gunakan ditegur oleh seorang pembaca budiman supaya ditukar kepada dosa intelektual, yang lebih lembut dan lebih sopan. Kedua-duanya boleh dipakai dengan selesa; mana satu darinya yang kasar terpulang kepada anda menimbangkannya. Yang penting bagi saya kita harus mempunyai kesedaran yang ikhlas dalam persoalan ini, kerana terlalu banyak sangat berselerak dalam tulisan para sarjana dan sasterawan. Kita tidak boleh diamkan, apatah lagi jika yang berbuat demikian ialah Panel Anugerah Sastera Negara seperti yang anda boleh baca dalam laporan mereka dan yang telah saya kritik dengan objektif dalam tulisan saya. Bagi saya, kita tidak boleh bertolak angsur dengan kesilapan, kononnya untuk mengambil hati. Tidak boleh. Mesti tegas dan tepat mencirikan persoalan yang ingin kita kemukakan. Kalau kita boleh benarkan Profesor Muhammad Haji Salleh menggelarkan orang yang dibenci beliau “anjing kurap”, mendapat sokongan seorang penulis agung dan bakal sasterawan negara seperti Dr. Fatimah Busu, maka tidak ada alasan untuk berlunak dengan kejahatan.  Sila rujuk penjelasan Shah Wali Allah dalam kitabnya ketika membicarakan empat kumpulan musuh Islam menggunakan hujah masing-masing untuk berbohong dan mengelirukan manusia. (Rujuk kitab al-Fauzul Kabir  terjemahan Inggeris, cetakan 2013 diterbit oleh Islamic Book Trust, Kuala Lumpur. Rujuk halaman 3-6.)   Ini masih berlaku hingga sekarang, dan sangat berleluasa dalam kritikan dan teori sastera Barat yang dijadikan pegangan oleh sarjana dan sasterawan Malaysia.  Anda mesti berani untuk bercakap benar dan berhujah untuk mencari kebenaran, bukan untuk mempertahankan pandirisme anda.

Apabila saya menggunakan istilah “sarjana ciritan” dan menulis sebuah seloka tentangnya yang dimuat dalam Balai Maqamat,  saya menerima reaksi positif daripada pembaca saya yang kritis dan objektif, yang memahami aspek “ciritan” yang saya maksudkan.  Paling menarik ialah para sarjana sendiri tidak ambil peduli kerana mereka sangat yakin apa yang mereka lakukan dalam kerja-kerja akademik mereka adalah mempunyai kualiti pemikiran dan analisis yang canggih kerana sandaran mereka yang begitu kuat kepada teori sastera Barat dan tokoh-tokohnya.  Saya telah memberi contoh tentang aspek “ciritan” akademik ini ketika membicarakan buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Saya menulis beberapa siri entri dalam blog ini.  Malah saya telah mengumpulkan tulisan itu dalam beberapa buah manuskrip untuk rujukan.  Satu usaha yang serius, yang diremehkan oleh para sarjana ciritan dengan panggilan kemegahan mereka sebagai tidak lebih daripada “salakan anjing kurap” (memakai istilah Profesor Muhammad Haji Salleh yang disokong oleh sahabatnya Dr. Fatimah Busu, yang menulis sebuah buku tentang “salakan  anjin g kurap” ini.)  Inilah situasi sebenar yang kita hadapi dalam sastera Melayu.  Wajarkah kita biarkan saja keadaan yang memalukan dunia intelektual kita ini? Kita perlu menentang kepalsuan ini dengan tuntas, dengan mengemukakan hujah dan bukti yang dapat disaksikan sendiri oleh golongan “ciritan” ini.  Kita harus terus menerus memberitahu mereka bahawa “konsep” ilmu yang menjadi pegangan mereka bersandarkan teori sastera Barat adalah keliru dan mengelirukan, yang akibatnya menjadikan perbincangan tentang ilmu dan peranan sastera menjadi amat dangkal, mandul, dan berserabut dengan ambiguiti yang tidak perlu, tetapi masih diteruskan kerana itulah saja yang dapat dilakukan oleh para sarjana ciritan ini.

Terdapat beberapa konsep yang sering dipakai tetapi sangat ketara tidak difahami dengan betul oleh penggunanya. Antaranya yang menarik ialah konsep hegemoni, satu konsep puak Marxist yang sangat popular di Eropah.  Dalam pemikiran Barat, konsep hegemoni itu diberi penjelasan seperti berikut:

“The twentieth-century use of this term combines and extends earlier usages. It traditionally indicated the dominance of one country or ruler over others. Secondly, it also signified the principle around which a group of elements was organized.  It is now not only applied to internatonal relations, where it still means dominance, but – mainly under the influence of the Italian Marxist thinker Antonio Gramsci, who developed the concept significantly (1929-35) – has also come to indicate the orginizing principle of a society in which one class rules over others not just through force but by maintaining the allegiance of the mass of the population.  This allegience is obtained both through reforms  and compromises in which the interests of different groups are taken into account, and also through influencing the way people think.  Whereas at first Gramsci (1921-26) used the term in the same way as other Marxists such as Lenin, Bukharin and Stalin with regard to the leadership of one class over others in a system of alliances, in exteding the term he went beyond the usual Marxist concept of state Power as the instruments of a class which employed a monopoly of force, to argue that the state in the modern period could only be understood as force plus consent.”  (artikal tentang hegemony dalam Twentieth-Century Social Thought ed. William Outhwaite & Tom Bottomore et. al (Blackwell Reference, 1993, hal. 255.)

Apakah ciri utama hegemoni dalam kutipan sarjana ini?  Pertama ialah paksaan ke atas rakyat yang ditundukkan dalam revolusi untuk menegakkan Marxism sebagai satu-satunya sistem negara yang sah. Unsur paksaan ini merupakan ciri utama hegemoni. Kedua, terdapatnya hukuman berat jika tidak menurut perintah; dengan itu terjadilah pembunuhan beramai-ramai. Inilah yang kita saksikan  sekarang, apabila Amerika dan sekutunya membunuh beramai-ramai orang Islam puak Sunni di Syria, Iraq, Lebanon dan kini merebak ke Turki untuk memastikan Turki dimusnahkan kali kedua oleh kuasa Barat melalui PBB, yang dijadikan sebuah organisasi besar dunia oleh lima kuasa besar yang menentukan apa yang boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan. Mereka adalah pengganas dunia, hasil dari kemusnahan peperangan dunia. Ketiga, hegemoni menegakkan kuasa Iblis melalui sistem demokrasi yang didefinisikan sepenuhnya oleh Iblis, seperti yang dapat kita lihat di Mesir, Iraq, Syria dan kini di Afghanistan yang dimusnahkan segala-galanya dalam sistem demokrasi Amerika Syarikat. 

Sekarang kita dipaksa oleh ITBM dalam bukunya Sastera Teras Negara Bangsa untuk menjadikan sastera sebagai dasar pembangunan tamadun kita.  Adakah ini wajar? Inilah pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, seorang sarjana penting abad ini yang menulis rencanannya, “Sastera Teras Peradaban Negara Bangsa” yang dijadikan makalah utama buku tersebut.  Kita tidak pasti sama ada sarjana ini sedar atau tidak konsep dan istilah hegemoni itu ialah secara ekslusif dijadikan milik faham Marx yang kemudiannya dijadikan sebahagian daripada alat politik demokrasi kerana konsep itu didapati berguna dalam usaha para pengganas dunia yang bermukin di PBB untuk menghancurkan apa juga jenis penentangan, terutama jika datangnya daripada pejuang Islam atau orang Islam. Tugas mereka  sekarang, dengan menggunakan konsep hegemoni ini, ialah untuk memastikan Islam boleh dihancurkan selumat-lumatnya melalui organsasi pengganas yang diberi nama PBB itu.  Sekiranya anda tidak boleh terima kesimpulan ini, lihat saja bagaimana PBB membenarkan Israel membunuh orang Islam di Palestine dengan sokongan lima kuasa besar yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Apakah jenis hegemoni yang cuba dibawa oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan ITBM?  Saya salin perenggan pertama tulisan beliau:

“Penganjuran Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) ini bertujuan membuka perbincangan ilmiah dengan menghimpunkan penulis daripada pelbagai kelompok dan strata untuk mencari dan membentuk gagasan bagi memenuhi tema “Sastera sebagai teras pembangunan negara bangsa”.  Peredaran masa turut membawa keperluan baharu dan gagasan yang lebih relevan. Walaupun para cendekiawan dan budayawan terdahulu  sudah memberikan pandangan yang sangat membina dan praktis, generasi kini perlulah membuat semakan semula dan menghantar gagasan baharu yang serasi dengan keperluan semasa.” (hal. 19)

Harapan sarjana ini dan ITBM kedengarannya sangat baik, tetapi disampaikan dengan keangkuhan hegemoni yang salah. Oleh itu, semua ucapan perenggan pertama itu tidak boleh dipakai kerana di situ kita dapati asasnya ialah pembohongan intelektual, yang saya gelarkan “maksiat intlektual” dalam entri yang lalu.  Kita dapati tidak berlaku perbincangan ilmiah daripada semua strata penulis kerana hanya kumpulan tertentu saja yang dihadirkan dalam SKPM ini.  Tidak ada perbincangan ilmiah secara terbuka, dengan memberi tumpuan kepada konsep ilmu dalam pembinaan tamadun manusia. Malah ucap utama Prof. Kamal Hassan pun tidak dibincangkan dan tidak disebut dalam resolusi, yang sepatutnya dimulai dengan catatan apakah yang dibincangkan oleh peserta terhadap ucap utama penting itu. Hegemoni palsu yang menjadi pegangan anggota ITBM ini tidak membenarkan wujudnya perbincangan terbuka yang benar-benar ilmiah. Malah makalah yang dikemukakan pun tidak mencapai standard yang kita ingini, terutama sekali yang ditulis oleh para sasterawan negara. Amatlah lucu apabila Muhammad Haji Salleh, sasterawan negara dan Tokoh Akademik Negara, menulis kertas kerja di atas bumbung kilang besi berkarat. Apa yang boleh kita harapkan jika itulah sikap mereka terhadap ilmu? Sangat sedih, berbelanja besar tetapi hanya berjaya membawa kucing yang merangkak di bumbung bangunan mencari tikus?  Kata Dr. Mohamad Saleeh Rahamad seterusnya, “generasi sekarang perlulah membuat semakan semula dan menghantar gagasan baharu yang serasi dengan keperluan semasa.” Apakah yang perlu disemak itu, mengapa perlu disemak, untuk apa perlu disemak? Untuk menghantar gagasan baharu, kata tokoh besar sarjana sastera ini. Gagasan apa? Di mana gagasan itu muncul? Dalam resolusi tidak ada, di tempat-tempat lain pun tidak ada. Ghaib di mana? Kita mahu tahu apakah gagasan baharu yang disebutkan oleh sarjana besar ini. Sesuai dengan kedudukannya, beliau harus membantu khalayak yang berminat tentang ilmu untuk turut serta berbincang tentang aspek tamadun ini, kerana tamadun bukan kepunyaan PENA atau ITBM secara peribadi, seperti yang digambarkan dalam dokumen ITBM ini. Kalau inilah makna dan matlamat hegemoni, maka kita perlu menolaknya dengan keras sekali, kerana perbuatan ini telah melanggar adab tamadun yang dibina oleh tokoh-tokoh ilmuan kita melalui persuratan Melayu.  Keengganan kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba ini untuk menerima sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya 1972 sungguh amat memalukan dunia intelektual kita. Apakah sumbangan mereka? Sehingga ini, menurut analisis saya, mereka hanya berjaya  meluaskan lagi pengaruh pandirisme dalam kebudayaan Melayu.   Seterusnya kita lihat lagi pendapat Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini.

“Tenaga hegemoni yang dimiliki oleh kesusasteraan melampaui kuasa ketenteraan yang keras atau undang-undang yang rigid kerana kesusasteraan beroperasi secara halus, menjinakkan pemikiran  dan perlakuan yang liar atau pun mengabsahkan konsepsi yang wujud dalam minda setiap anggota masyarakat. Keberdayaan kesusasteraan sebagai tenaga hegemoni berkait erat dengan sifatnya yang diskursif. Bahasa sebagai alat penjanaan idea dalam karya sastera tidak bersifat neutral, sebaliknya mempunyai upaya dan ideologi tertentu. Atau dalam erti kata lain, karya sastera adalah wacana, discourse, yang memiliki ideologi tersirat.” (hal. 21)

Apakah yang hendak disampaikan oleh sarjana ini dalam kutipan di atas?  Suara siapa yang kita kesan di sini? Pembacaan saya terhadap karya kreatif oleh para sasterawan negara, satu kumpulan istimewa, menolak bulat-bulat kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini. Sekiranya pendapat beliau betul, maka ternyata tidak sebuah pun karya sastera Malaysia sampai ke taraf yang beliau sebutkan, sehingga membolehkan karya sastera dijadikan landasan pembinaan tamadun bangsa.  Di mana letaknya peranan ilmu dan pemikiran dalam rumusan beliau yang begitu lekeh ini? Jelaslah beliau telah menolak peranan ilmu dalam pembinaan tamadun, kerana saya agak beliau tahu jika ini dijadikan asas, tidak sebuah pun karya para sasterawan negara dapat memenuhi syarat itu. Kalau anda betul-betul serius, dan tidak hanya berceloteh dalam retorik peragaan yang remeh-temeh, anda harus membuktikannya daripada contoh yang ada pada kita sekarang, yakni karya para sasterawan negara. Bila kita membaca bahagian akhir tulisan beliau, “Peranan sastera dalam negara bangsa,” (hal. 29 seterusnya), maka kita megharapkan beliau menyediakan sedikit analisis dan hujah yang mantap untuk membuktikan karya sastera boleh dijadikan teras negara bangsa. Tetapi beliau hanya menyebut sambil lewa Arena Wati dan Abdullah Hussein, tanpa memberikan analisis mendalam untuk membuktikan karya mereka layak dijadikan teras negara bangsa dalam pembinaan tamadun berteraskan ilmu yang benar.  Seharusnya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad bermurah hati untuk mencurahkan ilmunya supaya dapat membimbing  pembaca seperti saya yang sangat cetek tentang sastera dan bukan pula dari kalangan sarjana yang hebat, hanya seorang penulis blog yang saja pandai-pandai memberikan pendapat yang agak kritis. Kerana saya juga menulis karya kreatif, maka beliau boleh saja membuat perbandingan yang objektif berasaskan pembcaan beliau terhadap pemikiran dalam karya saya, sekurang-kurangnya untuk membuktikan bahawa memang terdapat karya yang boleh dijadikan asas pembinaan tamadun ilmu di Malaysia. Adakah anda sendiri tidak sampai ke tahap itu? Kalau saya mengatakan konsep hegemoni yang dilagakkan oleh beliau dalam makalahnya ini hanya sejenis omongan saja (idle talk, kata Heidegger), maka di manakah asas pembinaan tamadun bangsa yang boleh diberikan oleh karya sastera Malaysia? 

Kesimpulan

Tajuk yang dipilih oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah tajuk yang serius, yang berat, yag memerlukan pemikiran dan analisis yang mendalam sebelum dikemukakan oleh beliau dalam tulisannya yang begitu selekeh tanpa kualiti akademik yang boleh dijadikan sandaran untuk perbincangan ilmiah, yang disebut oleh beliau pada permulaan tulisannya. Saya ingin menarik perhatian anda semua kepada satu konsep yang amat baik yang pernah dilontarkan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam tulisannya, iaitu betapa perlunya sesuatu tulisan ilmiah dimulai dengan apa yang disebutnya “langkah kaedah.”  Saya telah memberi pandangan positif saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM 2010, hal. 327-331) mengenai konsep ini. Walaupun Prof Muhammad Haji Salleh sendiri tidak menggunakannya dalam tulisan beliau sendiri (lihat tulisan atas bumbung kilang berkarat termuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa), namun yang baik tetap baik walaupun beliau sendiri menolaknya.  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad boleh belajar daripada tokoh besar negara ini, yang telah diberi gelaran Tokoh Akademik Negara selain gelaran sasterawan negara. Saya kemukakan ini sebaga seorang peneliti sastera yang berminat kepada ilmu, walaupun nasihat itu tidak saya perlukan dalam kerja-kerja akademik saya. (Baca tulisan saya dalam buku itu untuk mengetahuinya.)

(Nota: Bahagian II dan III dalam siri ini akan menyusul.)

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10 Ogos 2016.





No comments:

Post a Comment