“Sesungguhnya
yang takut kepada Allah
di antara
hamba-hamba-Nya hanyalah ulama”.
(Surah Fatir 35: 28)
Kesedaran
bahawa sastera tidak akan membawa perkembangan intelektual Malaysia ke tahap
yang cemerlang, kini semakin disedari oleh generasi baru walaupun para anggota
Mutual Admiration Club, dengan dokongan dan perlindungan Panel Anugerah Sastera
Negara, sudah berusaha keras untuk menyekat sebarang perubahan supaya
pandirisme yang dipelihara oleh kumpulan Mutual Admiration Club terus kekal
dalam perkembangan pandirisme negara. Di
kalangan anak muda nampaknya sudah bosan meluat melihat telatah mengada-ada
anggota Mutual Admiration Club ini, kerana amat jelas kumpulan pinggiran yang
cetek meraba-raba ini gigih sekali mempertahankan pandirisme di kalangan mereka
sambil menjadikannya apa yang disebut mereka hegemoni budaya. Kita amat
terkilan apabila ITBM dan DBP menerima hegemoni palsu yang anti-ilmu ini untuk
dijadikan teras negara bangsa, seperti yang diusahakan oleh ITBM melalui SKPM. Siapakah “kita”yang dimaksudkan di sini?
Kita
yang amat terkilan itu ialah selain dari kumpulan Mutual Admiration Club dan
Penaungnya Panel Anugerah Sastera Negara yang juga disertai oleh ITBM dan DBP.
Inilah empat kumpulan yang amat mewah dari segi pengaruh yang dibina dengan
peruntukan kewangan yang besar dari pemerintah. Dua pertubuhan penulis yang
popular dinaungi oleh dua institusi ini, dengan PENA berada dalam naungan ITBM,
manakala GAPENA pula berada di bawah naungan DBP. Siapa mempengaruhi siapa
mungkin tidak perlu dibesar-besarkan kerana mereka sebenarnya saling
bekerjasama untuk faedah, terutamanya, kumpulan Mutual Admiration Club. DBP tidak sempat membina tradisi intelektual
yang kuat dalam bidang penerbitan, kesusasteraan dan bahasa, seperti yang
berlaku (sebagai contoh) di Oxford University Press dan Cambridge University
Press, serta lain-lain contoh terkenal di Amerika Syarikat. Walaupun DBP telah memainkan peranan yang
cemerlang dalam empat dekad pertama, selepas
itu, terutama sekali dalam sepuluh tahun terakhir, DBP menghadapi zaman
merosot dalam bidang-bidang yang sepatutnya mereka cemerlang. Saya masih ingat
cadangan saya supaya DBP memulai projek menerbitkan kumpulan lengkap karya para
penulis/pengarang terpilih yang boleh diusahakan dengan kerjasama universiti
tertentu. Bilakah projek ini akan
dimulai? Usaha DBP memberi perhatian berlebihan kepada sasterawan negara adalah
bertentangan dengan perkembangan intelektual kerana para sasterawan negara ini
bukanlah terdiri daripada golongan pemikir bangsa, malah mereka hanya penglipur
lara moden yang memang diakui oleh mereka sendiri. Pencapaian terbesar DBP
ialah dalam bidang perkamusan, tetapi sayangnya kamus terbitan DBP tidak
menonjolkan warisan persuratan Melayu yang berteraskan bahasa ilmu yang dibina
daripada tradisi Islam. Bilakah bahasa Melayu akan mempunyai sebuah kitab besar
seperti Lisanul Arab yang istimewa
itu? Tidak adakah ahli kamus dan pakar
bahasa kita yang dapat mencapai tingkat ilmu seperti penyusun Lisanul Arab itu? Kita begitu jauh ketinggalan kerana tidak
memikirkan persoalan ilmu ini, dengan itu kita memberi perhatian kepada
pendekatan popular dalam semua bidang; malah pada waktu ini DBP sangat ghairah
menerbitkan novel picisan oleh penulis muda yang menggunakan bahasa yang
bombastik yang tidak sedikit pun memancarkan sedikit sinar ilmu dalam karya
mereka. Alasan untuk membina generasi
penulis baru tidak boleh diterima. Tempatnya bukan di DBP. Menjaga standard
yang tinggi adalah kewajipan DBP yang tidak boleh diungkit, mesti diteruskan
sehingga disedari dan diterima bahawa DBP bukan penerbit karya picisan. Masalahnya ialah, bagaimana jika karya para
sasterawan negara sendiri picisan? Anda
boleh rujuk senarai entri untuk memahami kontradiksi ini. Sebenarnya inilah antara persoalan besar
dalam kritikan dan penilaian sastera Melayu.
Penilaian yang dipaksakan ke atas kita, jika diteliti secara kritis,
tidak boleh diterima oleh akal sihat. Apabila ditolak, maka terjadilah konflik,
yang sebenarnya boleh dielak jika kita mempunyai standard yang tinggi dan
berpegang teguh kepada konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian kita.
Inilah
keadaan yang mendorong saya berpaling kepada kumpulan indie, dengan harapan
kegagalan ITBM dan DBP boleh ditampung oleh kumpulan indie, jika mereka juga aggressive dalam bidang intelektual
seperti mereka aggressive dalam
penerbitan dan penjualan buku. Malu DBP, dan ITBM, yang tak akan mampu
menawarkan hadiah sebuah kereta seperti yang ditawarkan oleh golongan indie
dalam Pesta Buku Antarabangsa April lepas. Hebat, tentu saja dari segi promosi.
Semoga juga hebat dari segi isi dan pengisian intelektualnya. Sanggupkah
kumpulan indie melaksanakan tugas besar membina persuratan Melayu, meneruskan
tradisi yang telah mantap itu. Soalnya
adakah mereka mahu? Atau mereka berasa lebih makmur, dan lebih mudah, untuk
mencari wang dan memperagakannya, seperti dalam Pesta Buku yang lepas.
Jika
anda membaca dengan kritis kertas kerja SKPM 2014 anjuran ITBM, anda akan
mengerti mengapa saya memberi harapan tinggi kepada kumpulan indie ini. Mereka adalah kumpulan baru yang muncul di
tengah-tengah gelombang IT yang sudah melahirkan ramai genius muda seluruh
dunia. Sudah banyak dokumentari tentang mereka, antaranya yang menarik ialah
perbualan Charlie Rose dengan seorang novelis perempuan berkulit hitam baru
berumur 13 tahun. Caranya bercakap dan isinya mengalahkan seratus sasterawan
negara Malaysia. Cari interview yang menarik itu, dan lihat bagaimana Charlie
Rose begitu hormat (admire) gadis
remaja yang bijak itu. Siapa tahu,
kumpulan indie pun mempunyai orang seperti itu. Era ini ialah era yang
melahirkan ramai genius muda seluruh dunia. Tentu kita pun sudah ada orangnya. Welcome
you all young geniuses!
Kepercayaan
saya kepada kemampuan kumpulan indie ini bulat (solid) kerana beberapa sebab. Pertama, era mereka adalah era ilmu,
dengan itu mereka lebih terbuka kepada maklumat seluruh dunia. Kemungkinan
mereka mendapat ilham dari perkenalan dengan segala bagai maklumat itu amat
besar. Kedua, dengan wujudnya begitu banyak universiti, dan beribu profesor
dalam segala bidang, mereka terdedah kepada kegiatan intelektual yang lebih
mantap dan berbagai-bagai jenis. Ketiga, yang bagi saya penting, ialah adanya
persaingan sesama mereka dengan adanya komputer dan segala peralatan IT yang
memungkinkan mereka berkomunikasi lebih pantas dan selesa. Tetapi adakah mereka
menggunakan peluang ini dengan positif? Saya fikir mereka tahu apa yang mereka
buat dan rasanya lebih bertanggungjawab. Jika dibandingkan mereka dengan
generasi saya, kita akan dapati generasi tua ini telah lumpuh secara
intelektual dan mereka menjadi lebih ganas dari segi intelektual. Bayangkan,
betapa beraninya orang tua yang sudah lumpuh daya inteleknya ini naik ke atas
bumbung untuk bermimpi sambil menulis kertas kerja, dan mereka begitu bangga
memperagakan kecetekan ilmu mereka dengan bercakap mengenai “tansformasi
budaya”. Yang perlukan transformasi
adalah mereka sendiri, bukan masyarakat jika yang mereka perjuangkan ialah
pandirisme. Bagaimana pun, terdapat
sedikit keraguan, yang tidaklah berat, tetapi sekali sekala terlintas juga.
Sejauh mana mereka ini serius? Inilah yang mendorong saya meminta mereka
membaca dengan kritis dan kreatif buku Prof. Wilkinson, A Fresh Look at Islam in a Multi-Faith World: A philosophy for success
through education. Saya harap mereka berkumpul sesama mereka membincangnan
buku itu, yang jika difahami akan menjadikan mereka benar-benar celik ilmu. Inilah senjata mereka yang paling berguna
untuk menghadapi cabaran mulhid dunia Barat yang semakin kejam sekarang. Kita boleh saksikan berjuta umat Islam
dibunuh kerana mereka takutkan pengaruh Islam, yang tidak mungkin mereka
ketepikan. Kita tidak tahu, tidak sedar, berapa juta pula yang sudah dibunuh
dan dimusnahkan jiwanya untuk menjadi pak turut Barat. Yang pasti golongan tua
yang sudah merayau tak tentu arah itu sudah menjadi hamba teori sastera Barat.
Adakah kumpulan indie juga menuju ke arah itu? Jangan hendaknya mereka juga
sanggup panjat bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham. Mulai sekarang kumpulan indie perlu belajar
kembali teknik “tadah kitab” yang digunakan para ulama silam, dan masih aktif
dilakukan hingga sekarang. Teknik ini akan memberi anda peluang mendalami
sesebuah kitab yang penting dalam tradisi ilmu Islam.
Bahagian
akhir entri ini akan berbicara tentang perlunya kita memahami tradisi
persuratan dalam perkembangan ilmu di negara kita, malah di seluruh Nusantara.
Sekarang konsep persuratan sudah menjadi begitu kabur dan dibenci oleh para
sasterawan dan sarjana ciritan. Terdapat
dua punca besar mengapa hal ini terjadi. Pertama, para sasterawan ini terputus
dari tradisi keilmuan Islam, ketika Barat berebut-rebut menterjemah kitab-kitab
klasik dalam Islam untuk dipelajari. Kedua, sistem pendidikan moden yang kita
warisi pada umumnya anti-ilmu, tetapi amat ditekankan penggunaan maklumat untuk
mendapat pekerjaan yang baik dalam sistem birokrasi, baik yang jenis swasta
mahu pun jenis pentadbiran kerajaan atau
pentadbiran awam. Golongan Mutual Admiration Club yang menghuni ITBM dan DBP
berada dalam sistem pentadbiran awam dan leka dalam budaya “lembu kenyang”
(satu ungkapan yang berasal dari Kelantan yang terkenal). Budaya “lembu kenyang” ini tidak bebas, amat
terikat kepada peraturan yang sebahagian besarnya tidak diperlukan. Kumpulan indie yang berada di luar birokrasi
ini terlepas dari budaya “lembu kenyang” kerana mereka harus mencari padang
ragut mereka sendiri. Inilah yang melahirkan penerbitan indie yang lebih
terbuka kepada perubahan. Kumpulan
“lembu kenyang” bercakap tentang
perubahan dan sebagainya, tetapi mereka sendiri tidak berubah. Sebaliknya, kumpulan
indie melakukan perubahan, bukan bercakap saja. Oleh itu mereka lebih dinamik
dan lebih boleh dipercayai. Kerana itu lebih selamat untuk kita memberi
kepercayaan kepada mereka untuk melakukan perubahan dalam konteks persuratan
moden, bukan sastera yang hanyut dalam ambiguiti nilai itu dan para penganutnya
lemas dalam budaya Barat yang menolak kebenaran.
Persoalan
kebenaran menjadi perdebatan sengit di Barat, tetapi tak pernah ada
penyelesaian. Mereka bukan ingin mencari penyelesaian, kerana menurut mereka
setiap penyelesaian adalah bertentangan dengan kebebasan manusia yang semula
jadi. Bagaimana mereka tahu kebebasan itu semula jadi? Siapa yang menjadikannya
begitu, jika benar pendapat mereka? Bagi
mereka, kebenaran dan kebebasan adalah milik semua manusia sepenuhnya, setelah
mengalami proses persetujuan kepada prinsip-prinsip yang disepakati melalui
penghujahan secara logik dan filsafat. Prinsipnya ialah, manusia sendirilah
yang menentukan segala-galanya ketika mereka berada di dunia sahaja. Tidak ada
akhirat, kata mereka dengan “yakin”. Siapa pula yang menentukan tidak ada
akhirat? Semuannya manusia. Inilah punca kezaliman yang kita saksikan sekarang,
dengan pembunuhan beramai-ramai tanpa sekatan. Inilah realiti, kata para
sasterawan dan sarjana sastera. Tugas
sasterawan, kata mereka, ialah membawa realiti itu kepada masyarakat. Inilah
inti-sari karya sastera, menurut para sasterawan dan sarjana. Inilah yang
dikerjakan oleh para sasterawan negara.
Apakah sebenarnya yang ingin diperkatakan? Dalam teori sastera Barat,
realiti adalah fictionality yang
dijadikan realiti melalui tindakan kreatif. Itulah hasil sastera. Inilah falsafah sastera Melayu moden. Siapa
yang mahu menafikan? Inilah yang hendak
dijadikan teras negara bangsa oleh ITBM dan PENA. Anda boleh terima?
ITBM
dan DBP tidak mempunyai pilihan melainkan bersedia untuk dibicarkan di Mahkamah
Kebudayaan bahawa pilihan mereka untuk menjadikan sastera sebagai teras negara
bangsa adalah tidak berasas, melumpuhkan pemikiran bangsa Melayu, menjadikan mereka terbelenggu dalam
feudalisme intelektual yang dibawa masuk dari Barat. Tradisi kita yang
melahirkan persuratan Melayu yang gemilang yang dibina dengan gigih oleh para
ulama dan cendekiawan Melayu tidak menerima pilihan kumpulan Mutual Admiration
Club yang mendapat ilham mereka di atas bumbung kilang berkarat, yang menggelar
para pejuang persuratan sebagai “anjing kurap”.
Mereka yang membuat tuduhan ini bukan jenis manusia yang beradab, oleh itu
bagaimana mereka dengan angkuh berkata mereka adalah pembina peradaban Melayu,
padahal mereka menolak konsep ilmu yang benar yang menjadi asas peradaban
Melayu. Penjelasan saya tentang sifat sastera yang sesat dalam teori sastera Barat
dan hanyut dalam lautan ambiguiti nilai-nilai palsu yang mereka terima dari Barat yang secara tegas menolak
kebenaran itu tidak membenarkan kita menjadikan sastera sebagai asas negara
bangsa. Ini suatu kenyataan yang tidak
boleh dipalsukan, walaupun kumpulan Mutual Admiration Club cuba memberi wajah
pura-pura dengan menggelarkannya “transformasi sastera” padahal semuanya untuk
memastikan mereka terus mendapat faedah peribadi. Kalau bukan itu tujuan
mereka, maka apakah hujah yang boleh mereka kemukakan bahawa konsep ilmu yang
benar itu tidak praktikal dan akan membunuh kegiatan sastera yang sedang
berkembang? Sangat hairan, dan cukup aneh, bila kumpulan Mutual Admiration Club
ini mengutuk ilmu dan mengutuk para pejuang ilmu dalam persuratan Melayu.
Mereka jujur dalam kebencian mereka kepada Gagasan Persuratan Baru, tetapi
apabila mereka terbawa-bawa untuk membenci dan mengutuk konsep ilmu yang benar,
maka mereka tidak lagi mempunyai status untuk membina budaya ilmu dalam
peradaban kita. Ini hujah saya yang tidak mungkin mereka nafikan. Kerana itu
usaha mereka melalui ITBM dan PENA untuk menjadikan sastera teras negara
bangsa adalah sia-sia dan batal,
walaupun mereka sangat jujur dalam kebencian mereka kepada konsep ilmu yang
benar.
Dalam
konteks ini kita memberi harapan baru kepada kumpulan indie yang saya fikir
lebih terbuka kepada perubahan untuk kebaikan bersama, tidak terpalit dengan
gerakan Mutual Admiration Club walaupun anggota kelab ini berjaya mengangkat
para sasterawan negara lebih tinggi taraf dan kedudukannya daripada para ulama
dan cendekiawan persuratan Melayu.
Nota
kecil permulaan entri ini, tentang hanya ulama yang mempunyai perasaan takut
kepada Allah, diberi tafsiran oleh para penyusun kitab Al-Quran dan Terjemahnya seperti berikut: “Yang dimaksud dengan ulama dalam ayat ini
ialah orang-orang yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah” (nota 1259,
hal. 700.) Penjelasan yang cukup baik
dan boleh dikatakan sempurna diberikan oleh pengharang kitab Tafsir al-Mishbah (jilid 11, Ayat 28
ini; hal. 59-63).
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 25 Ogos, 2016.
No comments:
Post a Comment