Saturday, August 20, 2016

ITBM, DBP, “ANJING KURAP”, DUBOK, “KURANG AJAR” DAN SETERUSNYA

Bagaimanakah wajah sastera kita sekarang sejak kita mempunyai sasterawan negara?

Sukar atau mudah menjawab pertanyaan ini bergantung kepada bagaimana anda membaca tulisan para sarjana dan sasterawan, yang akademik atau yang kreatif.  Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana reaksi anda ketika membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Apakah yang anda dapat daripada laporan itu? Tidak banyak yang berguna di dalamnya, tetapi yang tidak banyak itu sangat penting dalam perkembangan budaya ilmu di Malaysia. Penting bukan kerana bergunanya, tetapi penting kerana tidak bergunanya.  Sebenarnya saya sudah kerap mengulangi hujah saya, tetapi hingga kini belum ada lagi yang membantah atau mengkritik kesimpulan saya dalam banyak tulisan yang tersiar dalam blog ini dan dalam buku-buku saya.  Kerana tidak adanya reaksi itu, maka bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa para sarjana dan sasterawan telah menerima keadaan itu sebagai sesuatu yang sepatutnya, dengan itu authoriti Panel tidak boleh dicabar kerana kedudukan mereka tidak saja rasmi, mewakili pandangan rasmi, tetapi juga kedudukan mereka sebagai ahli akademik dan pakar sastera tidak boleh dicabar oleh sesiapa sekali pun, kerana cabaran itu bermakna kehadiran para sasterawan negara ditolak. Ini tidak boleh berlaku.  Tetapi inilah yang menjadi masalah, kerana para sasterawan negara ini belum dinilai dari perspektif ilmu, walaupun sudah banyak kertas kerja ditulis tentang pemikiran mereka.  Aspek “pemikiran” ini menjadi amat kabur apabila kita dapati tidak ada kertas yang betul-betul membahaskan tiga aspek penting pemikiran: tema asas, seperti Iqbal menjadikan pembinaan peribadi dalam Islam itu sebagai tema asas; bagaimana tema itu dikembangkan dalam puisi dll, seperti Iqbal menggunakan dialog dengan para ahli falsahah dunia yang menarik perhatiannya, seperti Plato, Neitzsche dan lainnya, termasuk bagaimana beliau menggunakan image al-Quran dalam menyalurkan pemikirannya ; dan yang ketiga adakah sumbangan beliau sangat bermakna dalam perkembangan ilmu dan gerakan intelektual dalam Islam, malah secara umumnya secara universal tanpa sempadan khusus.  Siapakah di antara sasterawan negara yang sudah sampai ke peringkat itu? Kalau belum ada, bagaimana kita boleh jadikan karya mereka teras negara bangsa?  Andainya para sasterawan negara ini tidak berbeza dengan sasterawan lain, kecuali gelaran yang diberikan kepada mereka, maka atas dasar apakah ITBM dan PENA mahu menjadikan sastera teras negara bangsa? Semua ini tidak dibicarakan oleh mana-mana laporan yang ditulis oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Tidak juga terdapat dalam mana-mana kertas kerja tentang “pemikiran” para sasterawan negara. Oleh itu, apabila ITBM dan PENA bercakap tentang hegemoni sastera dan tentang sastera sebagai teras negara bangsa, adakah mereka bercakap di atas angin, tidak lebih daripada sejenis “kentut berebus” menurut peribahasa Minangkabau?  Jangan-jangan anda sendiri tidak tahu menahu tentang peribahasa itu? Kalau anda membaca Hikayat Buyung Lurus, anda akan temui aspek ini yang menjadi bahan jenaka di kedai kopi apabila di kampung itu terdapat seorang tokoh kentut yang kentutnya sangat kuat dan busuk pula.  Itulah kentut WMD, yang telah dibuktikan benar dalam kes pemusnahan Iraq oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, yang bermati-matian  mengatakan terdapat simpanan WMD yang besar di Iraq, tetapi kemudiannya didapati bohong oleh suruhanjaya yang menyiasat tentang perang itu, tertulis dalam The Iraq War Report. (Judul rasmi: The Report of the Iraq Inquiry (The Chilcot Report). Yang dikatakan WMD itu hanya sejenis kentut berebus saja, tidak wujud pun. Sebuah negara telah hancur kerananya, dan selepas itu berturut-turut negara Islam dihancur selumat-lumatnya oleh pengganas dunia yang diketuai oleh Amerika Syarikat untuk memastikan Israel tidak terancam dan terus kekal memusnahkan negara-negara Arab, terutama Palestine.  Mungkin juga hegemoni sastera yang ditekankan oleh Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad adalah dari spesis “kentut berebus” juga. Sekiranya karya para sasterawan negara tidak sampai ke tahap pemikiran Iqbal, maka kita harus berhati-hati apabila meletakkan mereka lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan, dan kemudiannya menjadikan karya mereka yang picisan dan tidak bermutu itu sebagai teras negara bangsa. Di mana maruah intelektual kita jikalau kita mempunyai nilai yang begitu rendah terhadap ilmu?  Jika anda membaca dengan teliti ulasan saya terhadap pandangan Baha Zain dalam tulisannya, tentang “transformasi sastera,”  anda akan melihat dengan jelas betapa kelirunya sasterawan negara ini tentang konsep ilmu, kerana beliau berada di luar warisan keilmuan Islam seperti yang saya bahaskan. Tidak ada sebarang sebab dan alasan untuk beliau dan teman-temannya dalam Mutual Admiration Club menolak konsep ilmu yang benar, dengan menerima hakikat bahawa sumber ilmu itu ialah Pencipta  seluruh alam dan semua manusia, bukan para sarjana dalam teori sastera Barat atau Awang Batil seperti yang ditegaskan oleh Profesor Muhamad Haji Salleh.  Ini pun anda tidak boleh faham?  Apakah akan jadi kepada tamadun Melayu jika anda benar-benar percaya sastera layak dijadikan teras negara bangsa? Yang boleh kita bayangkan ialah kita akan melihat bangsa Melayu berebut-rebut naik bumbung untuk bermimpi, kemudian turun bersama kertas yang penuh nota untuk dijadikan buku. Adakah itu satu pembaharuan yang kita tunggu-tunggu?  Perkembangan ini hanya mungkin dengan munculnya 1MDB yang telah memberi badan penulis dan penggiat sastera bantuan kewangan yang besar.  Kita telah berbelanja besar untuk mengadakan pembaharuan ini, tetapi akhirnya yang kita hidupkan ialah klise lama yang masih menjadi pegangan sarjana dan sasterawan. Kita lihat ini dalam cadangan mereka untuk memajukan pembelajaran sastera, satu resolusi penting dalam SKPM.

Menurut resolusi itu, di bawah tajuk “Sastera dalam Pendidikan Negara,”  disenaraikan 6 cadangan yang strategik, menurut SKPM, untuk mendinamiskan pembelajaran sastera di sekolah-sekolah.  Tetapi tidak satu pun daripada cadangan itu boleh dianggap strategik, malah semuanya adalah kitar semula klise lama yang terbukti sudah berjaya menjadikan pengajaran sastera semakin jumud, beku dan keliru. Apakah yang kita perlukan sebenarnya? Kita perlukan kaedah baru yang akan mendidik para pelajar berfikir dengan kritis dan kreatif, bukan cara lama yang masih mahu dipertahankan oleh SKPM yang telah terbukti menjadikan para pelajar membenci pelajaran sastera kerana tidak mencabar kemampuan intelek mereka dan daya estetik mereka.  Cara lama yang klise itu telah berjaya menyelamatkan karya picisan para sasterawan untuk diangkat menjadi karya bermutu dengan menggunakan konsep-konsep yang sudah lumpuh, yang tidak lagi berupaya menyerlahkan pemikiran pengarang, sebaliknya hanya bercerita di sekitar bagaimana mereka menulis novel, cerita pendek, atau sajak. Dengan menggunakan konsep-konsep baru, kononnya, seperti unsur tekstualiti, teks, interteks dan lain-lain, dengan itu pengarang diberi pujian tinggi kerana menurut para penganalisis sastera, pengarang telah berjaya menulis karya baru yang bersifat gobal dan sebagainya, walaupun asasnya, menurut mereka, adalah penglipur lara. Saya telah memberi bayangan tentang perkara ini dalam entri yang lepas dan dalam lain-lain entri yang anda boleh rujuk dengan mudah. Yang ingin saya tekankan ialah kaedah lama yang diberi wajah baru (konon) ini tidak mencabar daya berfikir pelajar, tidak membuat mereka berfikir dengan kritis. Mereka masih diminta hanya berbicara tentang aspek cerita dengan memberi penekanan kepada konsep plot, perwatakan, latar, dialog, permainan (?) bahasa, yang masih dikekalkan ketika mengajar para pelajar membaca karya sastera. Kaedah ini adalah kaedah yang baik untuk mematikan daya berfikir kritis para pelajar, kerana mereka diarah ke arah tertentu seolah-olah mereka adalah lembu yang dicucuk hidung dengan konsep-konsep klise itu. Oleh itu, apabila mereka membaca sesebuah karya, mereka tidak diberi peluang untuk melihat bagaimana idea diwacanakan dalam sebuah karya kreatif. Mereka hanya diberi panduan untuk mengulang balik bacaan mereka berasaskan cerita yang mereka perolehi daripada karya itu. Tidak saja karya itu mati, pengarangnnya juga lumpuh, tidak diberi peluang untuk menunjukkan ketangkasan mereka berfikir sebagai seorang pengarang. Maka itulah dikemukakan Gagasan Persuratan Baru, supaya dinamisme sesebuah karya boleh dilihat daripada perspektif yang berlainan sama sekali seperti yang disarankan dalam Gagasan Persuratan Baru. Sudah banyak dokumen ditulis dan dihuraikan tentang gagasan ini, yang kini sedang disekat oleh para sarjana dan sasterawan supaya tidak didedahkan kepada para pelajar untuk memastikan karya yang tidak bermutu hasil karya para sasterawan negara tetap utuh, walaupun sebenarnya tidak bermutu dari segi pemikiran. Inilah hegemoni palsu yang dibicarakan dengan angkuh oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kertasnya. Inilah wajah sebenar sastera Melayu.

Salah satu tajuk utama yang cuba dibicarakan dalam SKPM ialah “Wajah Sastera Malaysia: Seharusnya Bagaimana?”, mengemukakan dua kertas kerja.  Membaca kertas kerja ini membuat kita berasa hairan, adakah penulisnya faham tajuk yang diberikan kepada mereka? Tulisan mereka lebih tepat dimasukkan dalam bahagian bertajuk, “Latar belakang dan Perkembangan Semasa dalam Sastera Malaysia”. Itulah yag mereka bincang, lebih tertumpu ke arah mengekalkan status quo yang ada daripada mencadangkan sesuatu yang benar-benar kita perlukan. Apakah yang benar-benar kita perlukan?  Kedua-dua penulis kertas ini takut untuk menyatakan dengan tegas, atau memang tidak tahu apa yang kita perlukan itu. Adalah lucu untuk kita bercakap tentang sasterawan sebagai golongan pemikir dan pembina budaya ilmu, kalau para sarjana tidak jelas apakah yang dimaksudkan dengan aspek pemikiran itu, dan bagaimana dijelmakan dalam karya sastera. Masalah ini telah saya bincang berulang kali, malah dalam entri ini pun saya sentuh ketika membicarakan tentang pegajaran sastera di sekolah-sekolah dan universiti. Itulah yang kita perlukan pada waktu ini: membina persuratan yang dinamik berasaskan konsep ilmu yang benar. Konsep sastera seperti yang difahami sekarang, yang difahami oleh dua orang penulis ini, adalah konsep yang kabur, yang telah megelirukan dunia akademik dan dunia intelektual kita. Ini yang perlu kita bincangkan dengan jelas, bukan hanya sekadar menonjolksan pretensi intelektual yang naif dalam retorik peragaan yang menjemukan, tidak ada pemikiran. Tidak saja sasterawan perlu mewacanakan pemikiran mereka, seperti yang saya contohkan dalam ketokohan Iqbal; para sarjana pun, malah lebih lagi, harus muncul sebagai golongan pemikir yang boleh memberi sumbangan, tidak hanya sekadar bercerita. Kita sudah bosan mendengar cerita daripada sarjana kita. Kita mahu pemikiran mereka yang dikonsepsikan dengan jelas. Inilah kegagalan kita yang menjadi kebanggaan kita, yang menjadikan perbincangan tentang sastera hanya untuk mengekalkan status quo yang sudah sekian lama mengelirukan kita semua.

Jika kita benar-benar serius untuk membincangkan aspek wajah sastera Melayu masa depan, kita harus melihat berkembangannya. Kita harus menjelaskan latar belakang wujudnya masalah ini, tentang peranan Asas 50 yang menentang konsep ilmu dan mencemuh persuratan Melayu sebagai ketinggalan zaman; apakah kesannya terhadap perkembangan selepas itu; kita lihat merebaknya idea Marxis dalam sastera Melayu yang menjauhkan lagi sastera dari perspektif kerohanian dan ilmu; dan seterusnya masa kini, apa yang sudah kita lakukan dan adakah kita sudah kenal pasti masalah kita itu. Sesiapa juga yang ingin berbicara tentang wajah sastera Melayu, perlu bersifat adil kepada ilmu dan perlu tahu perkembangan intelektual dalam bidang penulisan dan bagaimana perkembangan itu melahirkan kekeliruan yang sedang kita hadapi. Sudahkah ada jalan keluarnya? Jika kita meneliti kertas kerja ITBM itu kita tidak menemui jawapan positif, malah yang jelas mereka tidak mahu adanya jawapan positif itu untuk terus melindungi para sasterawan negara dan sastera Melayu moden dalam wajah Asas 50 yang anti-ilmu. Apa yang berlaku pada waktu ini ialah meluasnya ciri-ciri dan unsur-unsur ‘iwajan dalam perkembangan intelektual Malaysia.  Nampaknya kecenderungan sekarang ialah untuk meneruskan dengan lebih gigih lagi perspektif ‘iwajan dalam perkembangan intelektual Malaysia. 

Mungkin kita perlu memberi perhatian serius peringatan Prof. Matthew L. N. Wilkinson dalam bukunya, A Fresh Look at Islam in a Multi-Faith World: A philosophy for success through education, yang membuat penegasan ini:  “The natural-social signs (ayat) are objectively real – night follows day (Q: 7: 5), death follows life objectively for all – and yet the meanings of the ontology of the universe at the level of the empirical, the actual and the real do not disclose themselves without reflection, hard intellecutal work and spiritual purificaton of the eye of the heart, as well as the availing oneself to a range of interpretative possibilities at social and individual, emotional and spiritual levels. The application of the criteria of reasonableness and of the probabality of truth is a necessary part  of understanding of the relationship between the universe and the Creator. This proces of spiritual judgemental rationality opens up the possibility of transcendental understanding both within the self and in communication with other people and with God. Critical rationality is a key component part of Qur’anic belief and sets up the conditions for the living connection of principle with context.” (hal. 63.)

Untuk memudahkan anda memahami kutipan ini, lihat seterusnya kutipan ini:  “Seriousness [in religion] is evidenced Qur’anically by the fact that belief and practice enjoy an intrinsic and inseparable relationship in the Revealed Text. The phrase used to characterized believers, ‘Those who believe and do  right acts  (Q. 2: 82-83), is the most repeated of all Qur’anic refrains. The Arabic pronoun for  ‘and’ (wa) in this characterization indicates an intrinsic partnership, not an extrinsic relationship. That is to say, belief and right action in the Qur’an exist in a relationship of essential mutual interdependence.” (hal. 44).

Dua kutipan yang sangat cantik, yang akan membolehkan anda memahami  mengapa konsep ilmu yang benar itu amat penting difahami dan dipraktikkan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20/8/2016.








1 comment:

  1. Saya anjurkan pembaca blog ini membaca dengan teliti dan tekun buku Wilkinson itu. Sangat penting untuk memahami bagaimana Islam dihidupkan dalam dunia moden. Dengan membaca buku ini, anda akan faham mengapa saya terjemahkan Persuratan Baru kepada Genuine Literature. Genuine merujuk kepada konsep ilmu yang benar. Bolehkah anda kaitkan ini dengan kategori "karya persuratan" yang berbeza daripada karya sastera. Mana kah yang perlu kita utamakan? Jika anda pilih yang kedua, kita mahu dengar hujah-hujah anda.Jika anda pilih yang pertama, anda akan faham mengapa saya mengkritik pelantikan sasterawan negara. Senang, bukan? Tahniah

    ReplyDelete