Kumpulan
yang mula menggunakan kekeliruan ini sebagai standard dalam kritikan sastera
ialah Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya. Hingga sekarang mereka tidak sedar, atau
terus bergelumang dalam kekeliruan ini kerana mereka berpendapat kedudukan
mereka sebagai pemilih “sasterawan negara” memberi mereka authoriti untuk
memesongkan kebenaran. Saya tidak perlu
memperincikan perkara ini kerana saya
telah menulis banyak sekali dalam blog ini membincangkannya. Sekadar untuk
memberi gambaran betapa kelirunya kumpulan pakar sastera ini dalam penilaian
mereka, saya akan memberi beberapa contoh yang paling menonjol.
Dalam
ucaputama Tan Sri Prof. Mohd. Kamal Hassan di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia
(SKPM) 2014, belau memberi penekanan utama dan penting kepada persoalan moral
dalam pembinaan tamadun dan dalam penulisan.
Masalah moral ini diremehkan dan ditolak oleh Panel Anugerah Sastera
Negara ketika membicarakan karya A.
Samad Said.
Panel
menolak sebarang unsur moral kerana mereka menganggap moral adalah didaktik dan
dari segi gaya mengadungi unsur khutbah. Ketiga-tiganya tidak diperlukan dalam
karya kreatif. Bagi Panel, karya yang
mempunyai unsur didaktik adalah karya yang lemah, oleh yang demikian sebarang
imbasan yang mereka gelar aspek khutabah dalam penulisan ditolak dengan keras
sebagai unsur luaran yang boleh merosakkan teknik karya kreatif itu. Tetapi mereka menerima konsep tema, yang
mereka anggap antara unsur penting dalam penulisan kreatif. Mereka tidak menjelaskan bagaimana sesebuah
karya yang mempunyai tema tertentu boleh melepaskan diri daripada unsur moral,
didaktik dan khutbah. Oleh itu, Panel
memberikan pendapat mereka dengan mengatakan tema tertentu tidak penting, malah
bagi mereka yang penting ialah teknik menyampaikan cerita sahaja. Dengan itu
mereka memuji A. Samad Said yang cekap
merangkaikan cerita pendek untuk dijadikan sebuah novel yang amat menarik dari
segi teknik. Kata mereka dengan yakin, walaupun
tidak dibuktikan dengan hujah.
Cara
melihat karya dari perspektif Panel adalah cara yang perverse, yang songsang. Inilah pada keseluruhannya cara mereka
menilai karya kreatif dalam laporan mereka seterusnya, yang juga boleh kita
lihat dengan jelas dalam laporan terhadap Anwar Ridhwan. Mereka juga memuji Anwar Ridhwan kerana
pandai merangkai cerita pendek dalam Naratif
Ogonshoto. Bagi mereka inilah
kekuatan novel ini; mereka tidak mempunyai pengalaman sastera yang meyakinkan
bila memberikan pendapat yang perverse
ini. Merangkaikan cerita bukanlah
perkara baru, sudah dibuat manusia beribu tahun lagi. Dari segi apa perbuatan
merangkaikan cerita itu suatu innovation?
Idea karut begini nampaknya mendapat sambutan daripada para sarjana ciritan,
seperti misalnya kita boleh lihat dalam ucaputama Prof. Muhammad Haji Salleh
ketika membuka seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan 2003. (Cuba cari dalam blog
ini komen saya tentang komen yang perverse
ini.) Daripada pendapat yang perverse inilah kita mendapat pujian
tinggi tentang karya ini, sehigga mencapai klimaksnya dalam penilaian oleh
Prof. Madya Dr. Noriah Taslim dalam kertas kerjanya. Apakah yang medorong
mereka memberi pendapat yang tidak masuk akal? Pada faham saya, ini terjadi
kerana kesan feudalisme intelektual di kalangan sarjana kita, yang berasa
mereka mesti memuji tokoh yang telah diberi gelaran, kerana itu merupakan
tutuntan budaya feudal itu. Tetapi ini bertentangan dengan tuntutan ilmu. Menurut analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd
Tahir dalam aspek ini, semua ini terjadi kerana kelalaian para penilai untuk
memahami dengan tepat ukuran yang mereka gunakan; oleh itu ukuran berkata lain,
penilaian mereka lain. (Rujuk tulisan beliau dalam Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016); Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan (UKM 2016).
Perbuatan
ini diteruskan dengan leluasa dan megah pula ketika menilai dan memberi hadiah
sesebuah karya, umpamanya terhadap buku picisan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan
Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM,
2012). Buku kajian ini memberi credit yang amat tinggi kepada karya pornografi
dan karya erotik dari Indonesia, manakala untuk karya Malaysia pula penulisnya
berpura-pura menggunakan feminisme untuk mengangkat fikiran picisan sasterawan
yang menjadi pilihannya. Penilaian ini
saya buat berasaskan konsep ilmu yang benar, yang menjadi pilihan (saya agak)
sarjana ini sendiri sebagai seorang sarjana Muslim. Atau jika sekalipun beliau memisahkan konsep
ilmu dengan penulisan kreatif yang bersifat cerita, tesis beliau tetap tidak
boleh dipertahankan secara ilmiah. Ini telah dihuraikan oleh saya dalam tulisan
yang lain, dan telah mendapat perhatian dalam analisis mendalam oleh Prof.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam buku suntingan beliau, Islam Feminisme Barat dan Sastera Melayu (UKM, 2013) dan Gender dalam Sastera Melayu (UKM, 2013). Di Barat sendiri feminisme menjadi ejekan dan
malah kutukan, kerana merendahkan darjat intelektual mereka. Antara pengkritik
feminisme yang terkenal ialah Camille Paglia, Sexual Personae: Art and Decadence from Nefertiti to Emily Dickinson (Yale Universiti Press, 1990). Buku ini tak pernah didengar, apatah lagi
dibaca, oleh sarjana ciritan Malaysia.
Feminisme adalah lambang decadence
dalam kesarjanaan Melayu. Sekadar
memberi anda peluang untuk memahami kesimpulan saya, sila rujuk buku penting
ini: Mimi Marinucci, Feminism is Queer: The intimate connecton
between queer and feminist theory
(second edition, 2016; terbit 2010; Zed Books, London.) Bab 7 buku ini memberi gambaran sebenar
tentang feminisme Barat yang ditiru di Malaysia.
Unsur penglipur lara dalam kesarjanaan Melayu telah
dimulai dengan hebat di Malaysia dalam syarahan perdana Profesor Muhammad Haji
Salleh, yang memilih seorang Awang Batil dari Perlis sebagai tokoh yang
disetarafkan dengan Pendeta Za’ba. Inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Syed
Muhamad Naquib al-Attas sebagai meletakkan setaraf antara murai dengan merak,
yang menjadikan konsep akademik itu sebagai permainan rakyat yang boleh dicapai
kecemerlangannya dengan menaiki bumbung kilang berkarat untuk mendapat mimpi
yang dijadikan asas penulisan akademik, seperti yang dilakukan beliau ketika
membentang kertas kerjanya di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Feminisme
adalah sebahagian daripada penglipur lara dalam kesarjanaan Melayu, yang
sedikit pun tidak mempunyai asas akademik seperti “pemikiran” Awang Batil yang
dijadikan asas syarahan perdana Prof. Muhammad Haji Salleh. Bagaimana hal ini boleh dibenarkan wujud
dalam dunia intelektual Malaysia? Inilah asas yang kemudiannya menjadi ukuran
ketika menilai sumbangan kreatif para sasterawan negara. Tidakkah ini satu
penyelewengan besar dalam kebudayaan Melayu yang sedia kala menjadikan ilmu
sebagai teras persuratan? (Lihat
pendapat saya dalam entri bertarikh, antara lain, 1/1/2013; 10/12/2014;
24/6/2014 dan lain-lain). Hujah-hujah saya
dalam beberapa entri ini, secara ironik, disokong oleh Sastera Teras Negara Bangsa
dalam kertas kerja yang keseluruhannya menayangkan dengan jelas sikap
anti-ilmu, anti-intelektual, dan betapa mendalamnya pengaruh pandirisme dalam
penulisan kertas itu. Ke manakah kita hendak dibawa oleh para sarjana ciritan
ini? Dengan menolak ilmu sebagai asas tamadun, maka mereka akan hanya membawa
kita semua hanyut dalam kesesatan teori sastera Barat dan lemas dalam lautan
ambiguiti yang mereka jadikan asas nilai dan ukuran mereka. Inikah pilihan
kita? Tidak mungkin kita semua sebodoh
ini.
Untuk
keluar dari kandang pandirisme yang menjadi pilihan sarjana ciritan dan
sasterawan picisan kita perlu kembali kepada konsep ilmu yang benar. Gagasan
Persuratan Baru memberi jalan keluar untuk itu. Masalahnya ialah para sarjana
ciritan dengan membabi buta mengikut telatah perverse Profesor Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu
menggelar para penyokong Gagasan Persuratan Baru sebagai “anjing kurap.” Ini tidak menghairankan kerana mereka berada
di atas bumbung kilang berkarat berkeliaran bersama tikus-tikus di atas bumbung
itu, mencari labu untuk dibaiki. Dengan semangat itulah mereka membaiki sastera
Melayu dan dengan galaknya pula membuat resolusi segala macam untuk faedah
mereka sendiri, bukan untuk mengembangkan dunia ilmu. Mereka seperti tikus
melihat besi. Akhirnya bertemu padi lalu berhimpun di kepuk padi. Tikus tetap tikus walaupun perubahan berlaku
di mana-mana. Tikus tetap makhluk yang
opportunis. Sastera Melayu ramai dihuni
oleh kumpulan tikus membaiki labu ini, kerana itu pandirisme boleh hidup dengan
subur dan selesa. Itulah pencapaian kita
setakat ini. Sumbangan para sasterawan
negara hanya sebagai penglipur lara moden, seperti yang diakui oleh mereka sendiri,
para sarjana dan sasterawan. Lihat ucaputama Profesor Muhammad Haji Salleh
dalam seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan dan kertas kerja Dr. Noriah Taslim jika anda mahu bukti. Mereka tokoh besar
kesarjanaan Melayu, oleh itu mereka tahu makna apa yang mereka ucapkan. Mereka
bangga sastera Melayu moden megungkap kembali cerita penglipur lara untuk
dihidangkan ke khalayak dunia. Itulah
jenis “pemikiran” para sasterawan negara.
(Bahagian
III akan menyusul).
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 14 Ogos 2014.
`
No comments:
Post a Comment