Penerbitan
Sastera Teras Negara Bangsa yang
gagal sebagai hasil akademik itu sebaliknya menjadi bukti dan hujah betapa
tidak perlunya gelaran sasterawan negara
diwujudkan. Karya mereka tidak dibicarakan dengan mendalam dalam SKPM, untuk
dijadikan bukti bahawa hasil sastera yang bermutu boleh diberi keduduan sebagai
sebahagian daripada unsur pembinaan tamadun ilmu di Malaysia. Oleh sebab
perkara ini tidak terjadi, maka kehadiran para sasterawan negara sudah jelas
dibuktikan tidak layak diberi kedudukan begitu istimewa kerana karya mereka tidak
mencapai taraf yang membolehkan kita menerimanya sebagai sumbangan ilmu yang
bermakna yang menjadi kebanggaan kita.
Kesimpulan ini dibuktikan lagi kebenarannya apabila kita meneliti dengan
kritis kertas kerja yang membincangkan “pemikiran’ para sasterawan negara ini,
yang keseluruhannya hanya tidak lebih daripada keghairahan penulisnya
memperkenalkan segala macam pendekatan seolah-olah semua itu akan menjadi bukti
kehebatan karya para sasterawan negara; sebaliknya yang dapat kita lihat
bukanlah kehebatan karya para sasterawan negara ini, kerana yang terjadi ialah
betapa rakus para sarjana menggunakan segala macam pendekatan yang semuanya
tidak menyerlahkan pemikiran para sasterawan negara, sebaliknya menyerlahkan
aneka ragam teori sastera Barat yang tidak dapat dibuktikan memberi manfaat
untuk menilai karya para sasterawan negara ini dengan objektif dari segi
pemikiran mereka. Adakah pendekatan yang
dipilih tidak sesuai atau sememangnya karya para sasterawan negara tidak
menyerlahkan apa-apa keistimewaan sebagai hasil pemikiran yang mendalam walau
apa pun pendekatan yang dipakai. Saya
cukup terbuka untuk memberi peluang kepada para sarjana ini menulis kertas
kerja yang benar-benar menyerlahkan “pemikiran” para sasterawan negara ini
dalam satu perbincangan khusus untuk itu, untuk dijadikan bukti bahawa karya
sastera, terutama yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, memang layak
dijadikan teras negara bangsa dalam membangun tamadun ilmu di Malaysia. ITBM
saya harap akan bermurah hati untuk mengendalikan pertemuan itu sekali lagi,
dengan fokus kepada sumbangan ilmu para
sasterawan ini dalam perkembangan intelektual Malaysia. Ketakutan para sarjana dan sasterawan untuk
membincangkan dengan mendalam aspek ilmu ini membuat kita hairan, apakah yang
menghalang mereka dari bercakap tentang ilmu yang dikaitkan pula dengan
sumbangn para sasterawan negara dan lain-lain sasaterawan. Sekiranya sastera tidak mencerminkan
kecemerlangan ilmu, seperti yang terserlah dalam karya, maka sudah pasti
sastera tidak layak dijadikan teras negara bangsa. Jika hakikat ini ditolak
atau paling tidak diabaikan, maka apakah asas yan g boleh dijadikan hujah
bahawa sastera layak menjadi teras negara bangsa? Kita telah melantik ramai sasterawan negara,
yang secara popular dianggap hebat, tetapi mereka belum lagi dinilai daripada
perspektif ilmu, mengenai sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu. Itulah yang
menjadi fokus kita sekarang. Penelitian
saya selama ini menolak bulat-bulat bahawa sastera yang dicipta oleh para
sasterawan negara sekalipun layak dijadikan teras negara bangsa. Saya telah
menjelaskan persoalan ini panjang lebar, dengan itu anda boleh dengan mudah
mematahkan dan menolak hujah-hujah saya supaya kedudukan para sasterawan ini
menjadi lebih jelas dari perspektif sumbangan mereka terhadap perkembangan ilmu
dan pemikiran. Tetapi sekiranya semua
para sarjana dan sasterawan menganggap pandangan kritis saya hanya sejenis
“salakan anjing kurap”, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Muhammad Haji Salleh
dan Dr. Fatimah Busu, maka pandangan anda juga perlu dinilai lebih kritis lagi,
untuk mengelak daripada dianggap sebagai tidak lebih daripada sejenis salakan
serigala ganas yang liar! Tentu saja
tamadun kita tidak dibangunkan daripada salakan serigala liar ini. Tetapi inilah hegemoni yang dipaksa ke atas
kita, supaya menerima pandirisme yang berada dalam karya para sasterawan negara
sebagai asas pembinaan tamadun ilmu
kita. Adakah ini yang kita mahu?
Beberapa
istilah kampungan sering digunakan oleh peneliti sastera ketika membicarakan
kehebatan karya kreatif, dimulai oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang mereka
selerakkan dalam laporan mereka. Antaranya yang terkenal ialah “istilah”
kelainan, eksperimen, perubahan,
pembaharuan, gaya bahasa yang indah dan lain-lain. Tetapi semua “istilah” yang disebarkan oleh
Panel dan diikuti oleh para sarjana ciritan, tidak diberi penjelasan dan
definisi, oleh itu kita tidak tahu
apakah maksud mereka sebenarnya. Misalnya, apabila mereka bercakap tentang
kelainan, apakah yag mereka maksudkan? Contoh-contoh yang diberikan oleh Panel
hanya sekadar untuk membela para sasterawan yang mereka pilih untuk dilantik
menjadi sasterawan negara. Tentang A.
Samad Said, mereka berkata kelainan
sasterawan ini ialah dalam pendetailan gambaran dalam novel atau cerita
pendeknya, umpamanya tentang longkang yang kotor. Mengapa “kelainan” begini
diperlukan dan diberi pujian? Adakah dengan “kelainan” seumpama ini sesebuah
karya akan menjadi hebat dari segi pemikirannya? Tidak, malah yang menonjol
ialah sifat sensasinya. Malah inilah maksud kelainan yang dibanggakan oleh
Panel, seperti yang kita dapat dalam laporan mereka. Raja sensasi dalam penulisan novel barangkali
tepat sekali jatuh kepada Anwar Ridhwan, yang boleh kita temui dalam
novel-novelnya, dengan mencapai tingkat tertinggi dalam Naratif Ogonshoto yang penuh sensasi itu; hingga kisah bahtera Nabi
Nuh dalam al-Quran pun dijadikannya sensasi. Kalau anda tidak dapat memahami
maksud saya, baca kembali novel ini dan lihat bagaimana sasterawan ini dengan
sewenang-wenang menjadikan kisah al-Quran itu hanya sejenis legenda, seperti
yang ditegaskan oleh Dr. Noriah Taslim dalam kertas kerjanya. Mengapa “kelainan” itu tidak dikaitkan dengan
pemikiran yang mencabar pembaca dan mencabar keseluruhan konsepsi kita tentang
penulisan kreatif? Ambil contoh konsep stylization
of ideas yang menjadi salah satu prinsip dalam penulisan karya persuratan,
tidakkah konsep ini, apabila dipakai dalam penulisan kreatif, memaksa anda
menyirat pemikiran anda dan cara anda melahirkannya dalam ruang naratif yang
tidak lagi hanya untuk bercerita dan mencari sensasi, tetapi untuk mewacanakan
pemikiran anda sehingga tercapai matlamat penulisan kreatif untuk mencerdikkan
pembaca dan pada waktu yang sama membuat anda menjadi bijaksana untuk membaca
ayat-ayat Allah dalam kehidupan manusia keseluruhannya. Inilah satu aspek yang
dibincangnan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika
membicarakan episod kecil dalam Pujangga
Melayu ketika Awang mencadangkan nama kediaman mereka “Teratak Desa.” (Anda boleh baca dalam Kulah MASTERA Prof.
Ungku Maimunah 2008, anjuran DBP.)
Demikian
juga konsep (?) pembaharuan dan perubahan yang dilemparkan oleh Panel Anugerah
Sastera Negara, tidak pernah diberi definisi oleh mereka dalam laporan mereka,
sehingga apa yang mereka maksudkan dengan pembaharuan dan perubahan itu hanya
aspek sensasi biasa yang sama sekali tidak memberi makna yang mendalam dalam
konteks stylization of ideas yang
saya maksudkan. Lain-lain “istilah” yang
mereka pakai yang tidak perlu saya ulas di sini, sama juga keadaan dan
kedudukannya, hanya sejenis usapan jempul yang tidak memberi apa-apa makna yang
mendalam dalam penulisan kreatif. Sebabnya sangat mudah: mereka berada dalam
dunia klise yang sudah hanyut menjadi sampah sarap dalam pemikiran manusia kerana
konsep-konsep klise itu (seperti plot, perwatakan, dan seterusnya yang
anda sudah tahu) tidak membawa kita
kepada kesedaran untuk mengenali matlamat hidup manusia yang sebenar. Dengan
itu, kita tidak ada pilihan lain, kecuali untuk kembali kepada konsep ilmu yang
benar, kerana itulah saja yang boleh membawa kita memahami tindakan manusia
sejagat ketika mereka membuat keputusan dalam kehidupan mereka. Itulah yang
dilakukan dalam Pujangga Melayu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 15/8/2016
No comments:
Post a Comment