Bolehkah
seorang penulis bergantung hanya kepada bakat? Apakah bakat? Seorang sasterawan
Indonesia menulis sebuah buku tentang “bakat alam”, yakni “natural talent” dalam
penulisan. Terpengaruh dengan pendapat
sasterawan Indonesia ini, pada keseluruhannya sasterawan Malaysia (Melayu)
berpegang kepada konsep bakat alam dan pada umumnya menolak kepentingan ilmu
dalam penulisan, tetapi mereka mengakui seseorang penulis perlu mempunyai
maklumat yang sekira-kira memadai untuk menulis dengan baik. Tetapi ini pun
tidak tepat, kerana pada keseluruhannya mereka menyamakan maklumat dengan ilmu;
dan yang amat ketara dalam penulisan mereka ialah penguasaan maklumat itu pun
tidak sebaik seperti sepatutnya, dan tidak pula kritis. Kalau anda membaca kertas kerja para sarjana
ini, yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara, anda akan dapat
melihat dengan ketara penguasaan maklumat tentang teori sastera Barat yang
mereka jadikan pegangan itu pun sebenanya cetek. Lihat saja bagaimana mereka
menggunakan istilah seperti dekonstruksi, intertekstualiti, konsep teks itu
sendiri, tentang perbezaan dalam teori sastera Barat dan mengapa perbezaan itu
sentiasa dicari-cari oleh para sarjana mereka. Saya telah meminta para sarjana ini merujuk sebuah
buku penting tentang feminisme, yang ditulis oleh seorang profesor falsafah, berjudul Feminism
is Queer: The intimate connection between queer and feminist theory, oleh
Mimi Marinucci. Anda akan melihat betapa
serabut dan kelamkabutnya feminisme ini dalam pemikiran Barat, hanya kerana
satu sebab sahaja, iaitu kerana mereka tidak mempunyai sumber ilmu. Setiap
sarjana menyatakan pendapat masing-masing, kerana mereka menolak hakikat
manusia itu dijadikan oleh Allah SWT yang berasal daripada Nabi Adam dan isteri
baginda Hawa. Yang amat aneh, para sarjana yang membicarakan feminisme di
Malaysia juga menolak hakikat kejadian manusia, dan menerima hanya pendapat
peribadi daripada para sarjana Amerika Syarikat. Ini jelas dalam buku-buku yang
ditulis oleh mereka yang menyebut kononnya mereka sebagai pakar
feminisme dan selain mereka, orang lain tidak berhak berbicara tentang
feminisme. Maka lahirlah apa yang disebut sebagai “puitika sastera wanita,”
sebuah konsep yang sebenarnya karut. Apakah pendirian para feminis Melayu ini
tentang kebenaran? Nampaknya mereka menolak adanya kebenaran, kerana para
guru mereka dari Amerika Syarikat tidak
menerima adanya konsep kebenaran itu. Ini dijelaskan dengan mendalam oleh Mimi
Marinucci dalam bukunya. Baca di situ jika anda belum yakin dengan penjelasan
saya. Atau, jika anda sendiri tidak
pasti di mana kedudukan anda sebenarnya.
Anda akan pasti bahawa anda adalah kumpulan yang “cetek meraba-raba” tetapi ingin memaksa
hegemoni palsu anda kepada orang lain berasaskan kekeliruan anda. Ini telah dapat kita lihat dalam perbincngan
di FB milik salah seorang sarjana ciritan ini yang mengajak teman-temannya yang
sama cetek meraba-raba sepertinya memberi pendapat yang cukup merapu hingga
kita menjadi hairan bagaimana ini boleh dibenarkan dalam dunia akademik kita.
Maklumat itu ada dalam Internet, sila cari atau bertanya orang yang tahu.
Sastera
Melayu sudah lama berada dalam dunia mengarut ini, tetapi mereka yang terlibat
tidak sedar kerana mereka tidak mempunyai ukuran yang membolehkan mereka
mengetahui kedudukan mereka. Itulah sebabnya saya selalu mengajak mereka
kembali kepada konsep ilmu yang benar, atau jika mereka tidak mahu sekalipun
mengakui ilmu itu bersumber dari Allah SWT, mereka sekurang-kurangnya perlu
menjelaskan premis setiap andaian teori sastera Barat, seperti yang telah
dilakukan dengan begitu baik dan jelas oleh Frank Lentricchia dalam bukunya, After the New Criticism (1980) atau
sekurang-kurangnnya membaca Jacques Derrida, terutama polemiknya dengan
beberapa orang sarjana terkenal di Perancis, German, Amerika Syarikat dan Britain.
Mereka seharusnya familiar dengan
aspek ini. Mereka adalah sarjana, yang melahirkan ramai pelajar sastera. Apakah
yang mereka ajar sebenarnya? Kalau dapat, bagus sekali jika para pelajar ini
memberitahu kita apa yang mereka pelajari daripada para sarjana ini tentang
sastera dan teori sastera. Mereka tidak berani? Atau mereka tidak mahu peduli
kerana sudah dapat digri. Mereka selesa dalam dunia pandirisme.
Ternyata
konsep “bakat alam” yang mereka fahami, yang dibeberkan oleh sasterawan
Indonesia itu, telah menjadikan mereka, para sarjana ciritan ini, keliru besar
tentang konsep ilmu, malah secara sedar menolak wujudnya konsep ilmu yang
benar. Seperti yang saya tegaskan
berkali-kali, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) menjadi bukti yang sangat
jelas betapa sikap anti-ilmu dan anti-intelektual para sarjana ciritan yang
menulis kertas kerja untuk persidangan ini meremehkan saja peranan ilmu dalam
pembinaan tamadun negara ini, dengan memilih untuk merayau-rayau dalam
belantara sensasi teori sastera Barat, kononnya mereka sedang berbicara tentang
persoalan penting. Terdapat kecenderungan untuk mengikut lagak ahli politik dalam
memberi cadangan mereka untuk memajukan negara, tetapi tidak mempunyai asas
ilmu. Kita digesa oleh Profesor Muhammad Haji Salleh supaya meniru dan belajar
daripada teman rapatnya, Baha Zain, seorang sasterawan negara, untuk mengambil
contoh bagaimana karya kritikan ditulis. Oleh itu wajarlah jika kita bincang
dengan kritis kertas kerja Baha Zain, untuk melihat sejauh mana Profesor
Muhammad Haji Salleh bercakap benar. Apakah yang ditulis oleh Baha Zain? Dia
mahukan apa yang disebutnya trasformasi sastera. What kind of creature is this? Sorry to say,
dia hanya meluahkan retorik teh tarik kedai mamak dalam kertasnya. Saya
mahu bahaskan beberapa pendapat beliau yang saya anggap penting, walaupun
mengelirukan jika tidak diperinci dengan teliti. Transformasi dalam bentuk
kekeliruan inikah yang diperjuangkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera?
Kita lihat pendapat pengkritik contoh ini:
“Sastera
bukan sekadar gambar atau potret cerita yang mati, tetapi membawa
bersama-samanya idea, persepsi, dan perasaan, terutama daripada pengarangnya.
Ia memberikan pujian dan persetujuan, kritikan yang keras atau peringatan yang
mesra. Kalau falsafah menuju kepada kebenaran akal, sastera pula menghidangkan
kebenaran pengalaman; dan sastera kita akan memberikan tindak balas estetik
terhadap transformasi negara.” (hal. 229 edisi pertama).
Apakah
yang dimaksudkan oleh pengkritik contoh ini dengan “kebenaran akal”? Akal yang
beriman tidak sama dengan akal yang tidak beriman; perbezaan ini mesti
diketahui dengan jelas oleh orang Islam. Anda hanya dapat melihat perbezaan ini
dengan membandingkan falsafah ulama Islam seperti Imam Ghazali dan Ibn Rushd
dengan falsafah Descartes yang selalu dibandingkan dengan Imam Ghazali. Anda
boleh lihat perbezaannya? Lebih jelas, ketika membicarakan konsep ilmu dalam
kitabnya yang pertama sebelum beliau menghuraikan ilmu-ilmu Islam dalam Ihya Ulumid-Din, beliau menegaskan
matlamat ilmu dalam Islam ialah mencapai keyakinan. Ini tidak ada dalam konsep
ilmu orang tidak beriman. Mereka akan bertanya: Apa keyakinan? Para sarjana
Melayu dan sasterawan juga menyerlahkan tabiat berfikir ini, yang jelas dalam
cara berfikir Baha Zain dalam kertasnya ini. Mengapa persoalan ini penting? Ia
penting kerana hakikat ini ada hubungannya dengan hakikat kejadian insan,
hakikat ilmu, dan hakikat amal. Tiga
perkara ini menjadi keutamaan untuk anda fahami dalam konteks ilmu yang benar,
kalau tidak anda tidak akan dapat membaca dengan tepat pemikiran Barat dalam
bidang apa pun juga. Jadi pemahaman ini
sangat penting untuk anda mengerti apakah yang dimaksudkan dengan “kebenaran
pengalaman” yang disebut oleh Baha Zain.
Kebenaran pengalaman itu hanya bererti jika dilihat daripada perspektif
taklif, seperti yang dihuraikan dengan jelas oleh Shah Wali Allah. Bacalah di
sana. Lain-lain perkara, umpamanya
tentang hakikat insan, telah dibicarakan dengan amat mendalam oleh Imam Ghazali
dan dihuraikan dengan amat jelas oleh Dr. Abul Quasieim dalam kitabnya The Ethics of al-Ghazali: A Composite
Ethics in Islam (1975). Tekuni buku
itu dan lain-lain buku yang membicarakan hakikat insan ini, misalnya dengan
meneliti sebuah kitab oleh seorang sarjana Indonesia, Dr. H. Saeful Anwar, M.A., Filsafat Ilmu al-Ghazali: Dimensi Ontologi dan Aksiologi (Penerbit Pustaka Setia, Bandung (2007). Apabila sudah memahami aspek ini, maka apakah
yang diperlukan dalam “transformasi” yang dibicarakan oleh Baha Zain ini?
Senang: faham terlebih dulu konsep ilmu yang benar, ketika itulah baru anda
boleh bercakap tentang transformasi. Itulah yang cuba dihidangkan kepada anda
oleh Gagasan Persuratan Baru. Tetapi kerana anda meremehkan saja pemikiran
orang lain yang tidak berada dalam kumplan anda, kumpulan Mutual Admiration Club, anda sanggup
menyesatkan diri anda dalam belantara teori sastera Barat. Kalau begitu, tidak
usah dulu bercakap tetang transformasi sastera. Sia-sia dan mengelirukan.
Seterusnya
kita lihat penegasan Baha Zain lagi: “Tidak terlalu banyak yang dituntut oleh
sasterawan dan penulis untuk dirinya, kecuali kebebasan berucap dan mencipta
demi memenuhi panggilan bakat semula jadi atau untuk turut membangunkan warisan
kebudayaan dan tamadun. Mereka sedar bahawa bakatnya itu amanah Tuhan demi
memakmurkan alam serta megangkat darjat manusia, baik sebagai individu,
masyarakat mahupun bangsa. Amanah dan bakat yang dipinjamkan kepadanya juga
tidak sekadar meraikan orang atau gagasan yang baik, tetapi juga untuk menegur
keburukan, korupsi, penyelewengan, dan ketidakadilan kerana kemakmuran bukan
sahaja menyenangkan kehidupan tetapi dapat juga menimbulkan akses sosial,
ketamakan, dan perebutan kemewahan yang melanggar ketetapan hukum, amalan etik,
dan moral.” (hal. 229).
Apakah
maksud Baha Zain dalam retorik teh tariknya ini? Sekali imbas, bagi pembaca
yang tidak menilai secara kritis berasaskan konsep ilmu yang benar, beliau
seolah-olah sedang mengucapkan sesuatu yang amat bermakna bagi manusia sejagat.
Tetapi dengan wujudnya kontradiksi yang bersimpang siur, beliau hanya bermain
dengan kata-kata, bukan mengemukakan pemikiran yang boleh dicontohi. Betulkah
sasterawan tidak menuntut lebih dari sumbangan mereka? Apabila mereka dilantik
menjadi sasterawan negara, mereka telah mengangkat diri mereka lebih tinggi
daripada para ulama dan cenekiawan, kerana empat sasterawan negara yang menjadi
hiasan dalam SKPM tidak bercakap sepatah pun (tidak direkod pun dalam laporan)
tentang ucaputama Profesor Ulung Tan Sri Muhammad Kamal Hassan, apatah lagi
memberi sokongan supaya ucap utama itu dijadikan risalah penting sebagai
manifesto penulis yang wajar dijadikan rujukan para sasterawan. Sangat jelas
sasterawan negara ini mementingkkan diri, tidak mementingkan ilmu, hanya
bercakap sahaja dalam retorik teh tarik kononnya mereka sedar amanah mereka
sebagai pencinta ilmu. Seterusnya,
menarik juga bila Baha Zain berkata sasterawan mahukan kebebasan bercakap
diberikan kepada mereka, dalam kata-kata berikut, “kebebasan berucap dan
mencipta demi memenuhi panggilan bakat semula jadi atau untuk turut
membangunkan warisan kebudayaan dan tamadun”. Adakah semua sasterawan negara
tidak diberi kebebasan itu? Inilah retorik teh tarik yang sunguh memualkan.
Sebenarnya yang menyekat kebebasan bersuara itu ialah mereka sendiri, yang
berada dalam Mutual Admiration Club. Semua orang tahu bagaimana kumpulan
berpura-pura ini berusaha dengan gigih untuk menyekat Gagasan Persuratan Baru
dari memasuki universiti untuk dibahaskan dengan tuntas dalam pengajian
kesusasteraan. Kita semua ingin sekali
mendengar penapian daripada golongan Mutual Admiration Club ini. Sebaliknya,
ketua mereka memanggil penggiat Persuratan Baru sebagai “anjing kurap”. Jika
ini tidak benar, bermakna Dr. Fatimah Busu telah berbohong, kerana ungkapan ini
tertulis dalam buku beliau. Kita tunggu penapian mereka. Kita mahu lihat
betulkah mereka punya maruah atau tidak. Kita juga ingin tahu adakah mereka
bersedia mempertahankan maruah orang lain yang ternyata lebih bijak daripada
mereka? Kita tunggu kucing bertanduk ini
bertindak.
Ke
manakah sasterawan negara Baha Zain ini ingin membawa para sasterawan yang
istimewa itu? Beliau ingin membawa para sasterawan ini “turut membangunkan
warisan kebudayaan dan tamadun.” Apakah
jenis warisan itu? Apakah jenis tamadun itu? Sebenarnya beliau tidak tahu makna
warisan dan tamadun, yang di seluruh dunia berasaskan ilmu, termasuk semua
warisan besar dunia yang kita kenal.
Apakah yang harus dilakukan oleh para sasterawan dan sarjana jika betullah
mereka ingin membangun warisan dan tamadun? Mereka harus jelas apakah asas
warisan dan tamadun itu. Apabila ada manusia yang menegaskan warisan dan
tamadun itu haruslah berasaskan konsep ilmu yang benar, mereka menyelar dengan
keras anjuran itu sebagai tidak lebih daripada “salakan anjing kurap”
saja. Sebenarnya ke mana Baha Zain dan
kawan-kawannya yang terdiri daripada para sasterawan negara dan sarjana ciritan
ini ingin membawa rakyat dalam “transformasi sastera” pilihan mereka? Kini kita
semua sudah dapat melihat dengan jelas
matlamat mereka. Anda mahu ikut?
Perbincangan
ini ialah perbincangan tentang konsep ilmu. Kita tidak perlukan “transformasi
sastera” seperti yang dikemukakan oleh Baha Zain dan ITBM, sebaliknya kita
perlukan perbincangan lebih mendalam tentang konsep ilmu yang benar sebagai
asas pembinaan tamadun negara kita. Para sasterawan dan sarjana sastera telah
gagal membina tradisi intelektual berasaskan ilmu yang benar itu, maka tidak
ada alasan sama sekali untuk kita membiarkan mereka meneruskan “transformasi
sastera” yang mereka cadangkan itu, kerana semua itu akhirya kembali kepada kegagalan
lama yang kini mahu diberi wajah baru dan “istilah” baru, atau slogan baru
untuk meniru kemahuan pemerintah yang kini sedang bergelumang dengan korupsi
dalam skandal 1MDB. Adakah para sarjana dan sasterawan menyokong kemunculan
gergasi korupsi 1MDB itu? Kita lihat ini dalam konteks yang diberikan oleh Baha
Zain, yang menegaskan bahawa “kemakmuran” menimbulksan akses kepada ketamakan
dan perebutan kemewahan. Adakah ini terlepas daripada perilaku para sastrerawan
negara dan lain-lain sasterawan serta para sarjana? Yang boleh menjawab soalan
ini hanya sejumlah resolusi yang diputuskan oleh mereka dalam SKPM 2014 itu,
yang sayangnya tidak dimasukkan ke dalam edisi terkini Sastera Teras Negara Bangsa. Tidak pentingkah resolusi itu, atau
resolusi itu agaknya memalukan mereka kerana banyak sangat permintaan mereka
yang bukan-bukan, hingga menjadi duta sastera (?) dan dimestikan ikut serta apa
juga rombongan kerajaan ke luar negara supaya mereka dapat memperkenalkan diri
mereka sebagai sasaterawan negara. Ada resolusi yang dengan tegas mesti
melantik hanya para sasterawan negara menduduki beberapa organisasi baru yang
dicadangkan. Dan banyak lagi yang agak pelik jika kita lupa bahawa mereka juga
manusia biasa yang juga ingin kemewahan dan kedudukan secara rasmi untuk
ditayang-tayang kepada masyarakat, seperti yang dibuat oleh ahli politik. Dalam hal ini nampaknya mereka tidak
original, walaupun mereka klaim dengan bangga bahawa mereka paling original
dalam karya mereka. Anda boleh percaya? Perbincangan saya di sini hanya untuk
menarik perhatian anda semua kepada beberap perkara yang agak menonjol. Banyak
lagi yang boleh kita persoalkan dalam tulisan tokoh contoh Baha Zain ini. Tepat sekali bila saya meggunakan ungkapan
“retorik teh tarik” satu masa dulu, kerana inilah yang kita dapat daripada kertas
kerja tokoh contoh Baha Zain ini.
Cadangan
Baha Zain supaya kerajaan Malaysia menubuhkan Pusat Dokumentasi Melayu terbesar
perlu dilihat dalam konteks sejarah bagaimana para sarjana Melayu sendiri, ada
di antaranya sahabat baik Baha Zain sendiri, mengkhianati penubuhan IBKKM di
UKM oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Mereka berusaha gigih untuk memusnahkan IBKKM kerana perasaan hasad yang
tidak terbendung. Kini mereka mahu satu
lagi pusat yang dulu sudah dimusnahkan itu? Anda perlu baca catatan saya dalam Gagasan Persuratan Baru (edisi kedua,
hal. 199 nota 10) untuk mendapat sedikit gambaran tentang perkara ini. Walau bagaimana pun, saya fikir kita patut
ada pusat seumpama itu. Tempatnya yang sesuai tentulah di DBP. Tetapi ini
memerlukan rombakan besar-besaran di DBP, dari segi struktur pentadbiran dan
pelantikan kakitangan yang pelbagai disiplin, dengan mengkhususkan bahagian
pentadbiran kepada pakarnya yang arif dalam management. Saya lebih cenderung untuk menjadikan DBP
sebuah organisasi pelbagai bangsa, kerana kita sudah ramai mempunyai pakar
bahasa Melayu dalam pelbagai bidang yang tidak lagi terbatas kepada orang
Melayu saja. DBP mesti bersifat dan bersikap terbuka. Para sarjana Melayu, jika
mereka benar-benar berkualiti, tidak harus takut menghadapi cabaran ini.
Jika
anda tiada perasaan malu untuk menggesa manusia menjadikan sahabat anda
sendiri, yang tidak pula seorang ahli ilmu, untuk dicontohi, sebagai uswatun hasanah dalam sastera Melayu,
maka jelaslah anda tidak ada maruah. Malu. Belajarlah menjadi malu yang positif.
Keterbatasan
bakat alam sangat jelas dalam kes Baha Zain dan Profesor Muhammad Haji Salleh
ini. Walaupun profesor yang gah ini seorang sarjana, belum tentu beliau
mempunyai ilmu. Bukti dari tulisan beliau hanya menunjukkan beliau ada sedikit
maklumat yang tidak mencukupi untuk dijadikan tokoh yang boleh dicontohi. So sorry for that! Begitu juga dengan Baha Zain, oleh itu
amatlah aneh apabila Profesor Muhammad Haji Salleh mencadangkan kepada kita
yang mereka anggap bodoh ini supaya mencontohi Baha Zain yang tidak ada bezanya
dengan Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri sebagai seorang tokoh biasa-biasa
saja yang telah dimitoskan oleh Mana Sikana sebagai dua orang sasterawan
terbesar Malaysia sepanjang zaman.
Kesimpulan: Meneruskan Pandirisme
Dalam Perkembangan Intelektual
Konsep
bakat alam, atau bakat semula jadi dalam istilah yang dipakai oleh Baha Zain,
tidak cukup untuk menjadikan anda seorang penulis yang cemerlang tanpa sokongan
ilmu. Maklumat saja tidak cukup untuk membuat anda faham, kerana setiap teori
sastera Barat yang anda baca anda akan dapati mempunyai hingga 12 wajah,
seperti feminisme misalnya. Tetapi semua teori hanya berkisar kepada tiga paksi
saja: kepada pengarang (melahirkan romantisisme); kepada karya (melahirkan New Criticism); kepada pembaca (melahirkan
bermacam-macam teori pula). Di manakah para sarjana Malaysia berada? Mereka
berada di mana-mana untuk tidak ke mana-mana. Suatu keadaan yang aneh,
tetapi inilah corak kesarjanaan Melayu dalam sastera. Banyak sekali mereka tayangkan
segala macam teori yang mereka jiplak daripada teori sastera Barat, tetapi
tidak satu pun mereka kuasai dengan baik. Tahu serba sedikit, lalu berlagak
tahu semuanya, akhirnya mereka lebih banyak merapu tak tentu arah di atas
bumbung kilang berkarat untuk bermimpi mencari ilham, tetapi hasilnya ocehan
kosong saja. Inilah hasil tulisan manusia yang meminta kita meniru dan belajar
daripada Baha Zain, yang tidak lebih baik kualiti tulisannya daripada beliau
sendiri yang membuat cadangan itu. Itulah saja yang dapat diberikan oleh “bakat
semula jadi” atau bakat alam. Akhirnya mereka mempromosikan pandirisme. Amatlah besar kemaluannya!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 18 Ogos, 2016.
LAMPIRAN (Untuk makluman yang berminat)
RESOLUSI
SIDANG KEMUNCAK PENULIS
MALAYSIA 2014
DARULAMAN GOLF & COUNTRY RESORT, JITRA
KEDAH
24 – 26 OKTOBER 2014
Sumbangan sasterawan dan intelektual dalam pembinaan
peradaban negara bangsa sangat besar ertinya. Tidak ada peradaban yang diingati
kebesarannya tanpa memiliki khazanah kesusasteraan yang tinggi. Oleh itu, untuk
membina sebuah negara bangsa yang berharkat tinggi dan meneguhkan peradaban
yang sedia kita miliki, kesusasteraan khususnya, dan persuratan amnya, perlulah
diperkukuh dengan dimensi baharu, mengikut perkembangan zaman.
Bagi melunasi cita-cita tersebut, satu perhimpunan
telah diadakan pada 24-26 Oktober 2014, bertempat di Darulaman Golf and Country
Resort, Jitra, Kedah. Perhimpunan yang dinamai Sidang Kemuncak Penulis Malaysia
(SKPM) ini menghimpunkan 250 pengarang, sasterawan, budayawan, dan cendekiawan yang mewakili 46 institusi yang
terdiri daripada persatuan penulis, syarikat penerbitan, aktivis bahasa dan
kebudayaan, pengamal media, serta ahli akademik yang berkaitan. Pertemuan yang
diisi dengan perbincangan ilmiah serta perbahasan intelektual itu berhasrat
mencari gagasan yang diharapkan dapat memantapkan martabat persuratan bangsa.
Lanjutan daripada itu telah terhasil sebuah resolusi yang praktis untuk
diusulkan kepada pihak-pihak yang berwewenang:
A.
Sastera dalam Pendidikan Negara
Menyedari bahawa kesusasteraan semakin dilemahkan dan
dipinggirkan dalam sistem pendidikan, Kementerian Pendidikan diminta memulihkan
dan memperkasakan subjek sastera dalam sistem pendidikan kebangsaan dengan
beberapa saranan yang strategik:
1. Mewajibkan subjek sastera sejak di
peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi mengikut kesesuaiannya.
2. Sastera daripada huraian ketamadunan
dijadikan subjek wajib dalam sistem pendidikan negara.
3. Teks kesusasteraan daripada tamadun
Islam, India, dan Cina yang representatif dimasukkan sebagai unsur luar yang
memperkaya subjek sastera dalam huraian ketamadunan.
4. Menggunakan teks kesusasteraan yang
representatif dalam subjek sastera, iaitu teks-teks yang memancarkan akal budi
tamadun wilayah ini dari abad ke-16 hingga ke-21.
5. Penambahbaikan kurikulum subjek
Kesusasteraan Melayu dengan penekanan kepada nilai sejagat.
6. Memperkasakan semula kurikulum
mengkaji teks klasik dan karya agung Melayu di peringkat sekolah dan institusi
pengajian tinggi sebagai asas pengukuhan keperibadian tamadun Melayu.
B.
Pengembangan Sastera Melayu Nasional, Serantau dan Antarabangsa
Menyedari bahawa kesusasteraan nasional akan lebih maju dan
dikenali di peringkat antarabangsa beberapa strategi perlu dilaksanaka. Dalam
konteks ini, SKPM menyokong penubuhan Yayasan
Penulis Malaysia yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun
Mahathir, dan dalam masa yang sama meminta kerajaan menyalurkan bantuan tahunan
secara tetap untuk Yayasan terus memainkan peranan dalam konteks pembangunan
kesusasteraan nasional. Yayasan Penulis
Malaysia perlu memberikan penekanan kepada kebajikan penulis, sama ada
dalam konteks kebajikan peribadi mahupun penataan, pengkaryaan, dan penerbitan.
Di samping
itu, kerajaan perlu memperuntukkan dana tetap untuk tujuan pengembangan dan
penterjemahan karya sastera nasional kepada agensi-agensi yang berkaitan, iaitu
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan &
Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku, dan Majlis Buku Kebangsaan
Malaysia. Secara konkrit dan praktisnya, langkah yang perlu dilakukan
adalah seperti yang berikut:
1. Penterjemahan:
1.1 Mempergiat
penterjemahan karya sastera Melayu Malaysia pelbagai genre dan peringkat
khalayak ke dalam bahasa-bahasa utama dunia.
1.2 Mewujudkan
geran untuk melantik penterjemah tamu bagi menterjemahkan sastera Melayu ke
bahasa natifnya. Misalnya, dilantik penterjemah dari Perancis untuk
menterjemahkan sastera Melayu ke bahasa Perancis bagi menghasilkan terjemahan
yang berwibawa.
1.3 Menterjemahkan
karya kontemporari yang berpotensi untuk dikemukakan kepada pihak yang
menganjurkan anugerah sastera di peringkat antarabangsa seperti Anugerah
Sastera Komanwel.
2. Anugerah Persuratan
Melayu-Islam:
Mewujudkan Anugerah Persuratan Melayu-Islam Nusantara yang
dinaungi oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong. Selain bertujuan mengiktirafkan sasterawan
Melayu-Islam, anugerah ini bersungsi
sebagai medan solidariti ummah di peringkat
Nusantara.
3. Kerajaan, melalui agensi-agensi yang
berkaitan, sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan &
Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota
Buku, atau Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, perlu menyediakan Dana Pembangunan
Penulis bagi tujuan penyelidikan, penciptaan karya, penyertaan dalam kegiatan
sastera peringkat antarabangsa, mengikuti kursus berkaitan, dan residensi
penulis muda, yakni berusia 40 tahun ke bawah.
4. Kerajaan perlu menubuhkan Majlis Sastera, Bahasa,
dan Kesenian Malaysia yang berperanan sebagai badan pemikir bersifat autonomi
dan bertanggungjawab kepada menteri yang berkaitan bagi tujuan menyemarakkan
pengkaryaan dan penciptaan, peluasan kegiatan apresiasi, penataran bakat,
kemahiran, dan keilmuan serta merancang strategi pemasaran karya dalam dan luar
negara, sekali gus mencipta peluang pekerjaan baharu yang berasaskan modal
insan kreatif dan inovatif.
5. Kerajaan perlu memilih dan melantik
penulis tempatan yang berwibawa untuk menduduki Kerusi Pengajian Bahasa dan
Sastera Melayu di luar negara, termasuk di universiti-universiti antarabangsa
yang menawarkan kursus bahasa dan sastera Melayu. Keutamaan hendaklah diberikan
kepada penulis mapan yang memperlihatkan mutu pemikiran yang tinggi, karya yang
teruji serta sumbangan yang jelas terhadap dunia kesusasteraan.
6. Menyediakan
anugerah untuk penulis muda berumur 40 tahun ke bawah yang memperlihatkan mutu
pemikiran garda depan dan komitmen dalam pembangunan dunia sastera
kontemporari. Hadiah tersebut adalah dalam bentuk penyediaan prasarana untuk penulis
memajukan pengkaryaannya serta untuk memasyarakatkan karyanya.
8. Mewujudkan
sayembara penulisan esei dan kajian ilmiah sastera untuk penulis muda, tidak
terhad kepada pelajar institusi pengajian tinggi sebagaimana yang telah
dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (Pengajian
Tinggi).
9 . Penubuhan Institut Penulisan Sastera
Kreatif berwibawa yang berada di bawah satu bumbung bagi melatih bakal penulis
dan profesionalisme penulisan kreatif. Hal ini telah dilakukan oleh
negara-negara Barat seperti Universiti Iowa di USA.
10. Meminta Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) dan universiti tempatan menerbitkan jurnal akademik
dalam talian yang berfokus pada sastera Melayu dalam dwibahasa yang bertaraf
Scopus dan International Science Index (ISI).
11. Promosi
11.1. Kerajaan
melalui Kementerian Luar hendaklah mewujudkan atase kebudayaan di peringkat
kedutaan bagi membantu memperkenalkan dan menyebarluaskan sastera Melayu di
luar negara.
11.2 Kementerian
Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia perlu mewajibkan semua syarikat penerbangan
tempatan menyisipkan karya terjemahan daripada sastera kebangsaan (cerpen dan
puisi) di dalam majalah yang diletakkan di dalam pesawat.
11.3 Kerajaan
hendaklah membawa sasterawan sebagai delegasi dalam setiap lawatan rasmi
pemimpin tertinggi negara bagi tujuan promosi sastera.
11.4 Kerajaan
perlu mewajibkan semua Badan Berkaitan Kerajaan (GLC) khususnya, dan
menggalakkan syarikat swasta untuk memperuntukkan sumbangan tahunan bagi menampung
pembiayaan program sastera dan bahasa kebangsaan serta kos operasi Yayasan
Penulis Malaysia yang akan ditubuhkan.
11.5 DBP
perlu mengaktifkan semula Majlis Sastera Pelbagai Kaum bagi melaksanakan fungsi
penataraan, pengiktirafan, penterjemahan (daripada bahasa Melayu kepada bahasa
etnik lain), dan penerbitan.
12. Kerajaan perlu menubuhkan Muzium Penulis
Malaysia bagi tujuan pendokumentasian dan pelestarian bahan tentang
persejarahan persuratan Melayu, merangkumi susur galur penulis dan perkembangan
penulis di Malaysia.
13. Pihak Kerajaan Negeri Kedah
khususnya wajar menjadikan rumah pusaka Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato’
Shahnon Ahmad di Sik sebagai Muzium/Galeri
Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.
Pewujudan muzium atau galeri tersebut membuktikan pengiktirafan Kerajaan Negeri
kepada bidang sastera di samping dapat menjadikannya sebagai produk
pelancongan.
C. Dasar Kesusasteraan Negara.
Menyedari bahawa kedudukan sastera di
negara ini masih belum
mempunyai dasar yang jitu untuk
menentukan falsafah dan hala tujunya dalam agenda pembangunan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu menggubal
Dasar Kesusasteraan Negara. Dasar ini bertujuan melegitimasi bidang
kesusasteraan sebagai suatu hasil kreativiti bidang ilmu yang sama nilainya
dengan bidang-bidang lain dalam agenda pembangunan negara.
Penggubalan sebuah Dasar Kesusasteraan
Negara dapat menjadi panduan, landasan kukuh serta penegasan teguh bagi membina
falsafah, hala tuju penciptaan karya, penerbitan, pengedaran, dan matlamatnya
bagi memenuhi aspirasi nasional.
Jawatankuasa penggubal Dasar Sastera
Negara perlu dilantik daripada kalangan Sasterawan Negara, ahli akademik, wakil
persatuan penulis yang tertentu, pengamal undang-undang di samping wakil
daripada agensi kerajaan yang berkaitan
Dibentangkan
pada 26 Oktober 2014
(Sumber:
DBP).
Anda
perlu baca ini dan beri pandangan kritis anda. Misalnya, cadangan untuk
menggubal Dasar Kesusasteraan Negara
adalah naif, penjelasannya bercelaru, dan cadangan siapa yang akan duduk dalam
penggubalan itu membuktikan betapa tamaknya golongan ini kepada kedudukan,
kemewahan (?), dan prestij, walaupun mereka tidak memberikan sumbangan yang
cemerlang di mana-mana pun dalam bidang apa pun. Mereka akan hanya meneruskan
pandirisme dalam budaya Melayu, bukan dinamisme bersifat ilmu. Klise. Itulah
sebenarnya.
No comments:
Post a Comment