Monday, August 22, 2016

KARYA PERSURATAN TIDAK SAMA DENGAN KARYA SASTERA: Cabaran Intelektual Untuk Golongan Indie

Dalam entri lepas saya mencadangkan supaya kumpulan indie mengambil alih gerakan intelektual di Malaysia setelah gagal dilaksanakan oleh ITBM dan DBP. Sehubungan dengan itu, saya ingin mencadangkan seseorang dari kumpulan indie yang berminat kepada penyelidikan menulis sebuah buku tentang sejarah gerakan indie di Malaysia.  Antara isu penting yang perlu dicatat ialah mengapa tiba-tiba saja muncul gerakan indie ini. Apa yang hendak dicapai mereka dan mengapa mereka menggelar kumpulan mereka kumpulan indie.  Dengan latar belakang ini, kita  boleh mengesan peranan yang dimainkan oleh ITBM dan DBP yang mendorong munculnya kumpulan indie ini. Adakah kumpulan ini serius? Isu seterusnya ialah penglibatan mereka dalam penerbitan dan penulisan.  Adakah mereka ini hanya penjual buku di kaki lima atau lebih dari itu? Sejauh mana mereka berbeza daripada kumpulan tradisional (ITBM dan DBP)?  Penjelasan kepada isu ini akan memberi kita sedikit gambaran tentang cita-cita kumpulan indie ini. Adakah mereka hanya peniaga biasa saja? Apakah visi mereka?  Bahagian ketiga buku ini akan membicarakan projek dan program masa depan kumpulan indie. Barangkali inilah bahagian terpenting kerana di sinilah kita dapat melihat sumbangan sebenar yang ingin dicapai oleh gerakan ini. Saya harap cadangan ini mendapat respon yang positif. Kita tunggu siapakah agaknya yang akan mengambil tanggujngjawab besar ini. Menurut perhitungan saya, orangnya sudah ada, tinggal hanya mendorongnya mengerjaksan tugas ini. Kalau ini terlaksana, maka inilah buku pertama yang akan ditulis tentang perkembangan gerakan intelektual di Malaysia. Akan muncul nanti buku-buku yang hampir senada, misalnya yang akan menulis tentang perjuangan (?) Asas 50, peranan GAPENA dalam memalapkan perkembangan intelektual yang bernas di Malaysia, dan lain-lain tajuk yang seiras.  Semoga harapan ini tidak dihampakan.

Perkara kedua ialah mengenai penerbitan Jurnal Persuratan Melayu.  Yang ada dalam fikirn saya waktu ini ialah tugas ini diambilalih oleh UPSI, kerana di sana sudah ada unit khas mengenai pengajaran Jawi. Jurnal ini akan diterbitkan dalam tulisan Jawi ejaan Za’ba yang standard, bukan ejaan baru yang hanya tidak lebih daripada trasliterasi bunyi mengikut fonetik Inggeris, bukan asal Melayu yang kaya dengan konsep ilmu yang dikembangkan oleh para ulama melalui persuratan Melayu,  menggunakan tulisan Jawi. Diterbitkan juga makalah dalam tulisan Rumi, untuk dibaca oleh yang buta Jawi.  ITBM yag menganjurkan SKPM tidak langsung menyebut dan berminat dalam penerbitan jurnal seumpama ini, kerana tidak memberi faedah dan keuntungan secara langsung kepada para sarjana dan sasterawan yang kebanyakannya tidak cekap (malah mungkin ada yang tidak tahu) membaca Jawi.  Mereka anggap Jawi penghalang kemajuan, seperti yang mereka warisi daripada Asas 50.

Sekarang saya akan berbicara tentang karya persuratan dan karya sastera. Konsep sastera yang difahami dan dipraktikkan di Malaysia telah membekukan pemikiran dan gagal melahirkan karya besar dari segi pemikiran. Saya telah menulis panjang tentang perkara ini dalam blog ini, yang anda boleh semak dengan meneliti senarai blog yang saya sediakan. Saya juga telah menulis tentangnya dalam Gagasan Persuratan Baru (2014, edisi kedua).  Para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, termasuk sasterawan negara, menolak kategori karya persuratan. Mereka tidak memberikan apa-apa hujah, sekadar menolak kerana tidak dapat menghujahkannya. Ini bukan kerja orang berfikir, seperti yang mereka peragakan dalam tulisan mereka untuk dibaca oleh pembaca yang mereka didik untuk menjadi bodoh, tidak kritis dan tidak kreatif. Bagaiamana pula pendirian golongan indie?  Anda pun tidak ada hujah untuk menolaknya, kerana pilihan yang diberikan kepada anda hanya utuk memahaminya dengan mendalam berasasksn konsep ilmu yang benar. Jika anda menolak konsep ilmu yang benar sekali pun, anda tidak dapat menolak kategori karya persuratan itu. Idea ini telah masuk ke dalam pemikiran Barat sendiri, yang mereka tertawakan seperti mereka tertawakan al-Quran. Adakah itu menjadikan al-Quran tidak relevan? Tidak. Yang tidak relevan mereka, bukan al-Quran. Inilah persoalan yang dibahaskan dengan mendalam oleh Prof. Wilkinson dalam bukunya yang saya minta dibaca dengan teliti dan difahami oleh kumpulan indie.  Jika anda menolaknya, kerana anda fikir dengan sikap kurang ajar dan biadab yang anda banggakan itu anda boleh melakukan apa saja yang bertetangan dengan akal sihat, maka anda tidaklah  berbeza dengan golongan sasterawan konvensional yang anda tolak melalui gerakan indie anda. Apakah cabaran yang perlu anda faham? Al-Quran memberi nama “iwajan”, kebengkokan (crookedness). Rujuk dalam  Surah al-Kahfi dan baca huraian Maulana Ali Nadwi yang menulis buku khusus untuk membicarakan surah ini. Jadilah orang cerdik yang tahu memilih yan g terbaik untuk anda.

Saya harap sekarang sudah jelas mengapa kategori karya persuratan itu penting, kerana inilah jenis karya yang akan kita bina untuk generasi akan datang dan masa kini, dan untuk mencabar karya dunia seluruhnya. Anda boleh melakukannya kerana contoh dalam tamadun Islam terlalu banyak, apabila para ulama dan ahli fikir kita memberi pencerahan kepada kegelapan Barat zaman itu. Kini anda pula diwajibkan memberi pencerahan baru kepada kekejaman dunia yang kita sedang saksikan in stark reality!  Bukan mudah untuk menggelar diri anda golongan indie, jika anda masih mahu menjadi pak turut sastera yang telah menjadikan orang Melayu bodoh selama hampir 100 tahun. Apakah pilihan anda? Hapuskan kebodohan itu dan puncanya. Itulah misi perjuangan anda, yang anda fahamkan kepada saya melalui segala macam kenyataan dan tulisan anda. Adakah anda mahu nafikan sekarang setelah anda dapat merasakan kesukarannya untuk mencapai hasrat anda sendiri?

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 22 Ogos 2016.

No comments:

Post a Comment