Thursday, September 1, 2016

SARJANA CIRITAN DAN SASTERAWAN PICISAN YANG MENGHALANG KEMAJUAN BERFIKIR DALAM SASTERA MELAYU

Kehadiran sarjana ciritan dan sasterawan picisan dalam sastera Melayu telah menghalang kemajuan berfikir dalam perkembangan sastera Melayu. Apabila saya bertanya beberapa orang pelajar sastera di universiti, apakah yang mereka pelajari tentang sastera di universiti, dengan agak keberatan mereka menjawab, “Tak ada apa-apa yang menarik. Kami ambil kertas sastera kerana senang lulus. Hafal apa yang diberikan oleh pensyarah, dapat markah tinggi.”  Bila saya bertanya, Mengapa sampai begitu sekali?  Tidak ada yang mahu menjawab, semuanya mengangkat bahu menyatakan keengganan mereka.  Bagus jika ada pensyarah memberi sedikit penjelasan, sama ada pelajar sastera berbohong atau memang benar pengajaran sastera gagal di universiti.  Apakah faktornya?

Saya akui dengan senang hati, saya memang amat kritis bila berbicara tentang persoalan ini. Setelah 59 tahun cerita pendek saya “Kapitalis Kecil” diterbitkan oleh Ahmad Boestamam dalam akhbar mingguan Pedoman, yang menjadi asas kepada pemikiran saya tentang sastera, yang masih hidup dan diteruskan hingga kini, maka pengalaman dengan pelajar sastera itu tentulah amat mengecewakan. Apa sudah jadi?  Membaca beberapa percubaan sarjana sastera untuk menjawab persoalan ini, seperti yang dicuba oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan (yang cukup dengan statistiknya), memberi sedikit gambaran mengapa hal ini terjadi, tetapi gambaran itu adalah mencukupi untuk meyakinkan saya masalahnya ialah masalah ilmu. Sastera Melayu yang diajar di universiti adalah sastera yang anti-ilmu, yang tidak membenarkan pelajar berfikir dan membicarakan dengan kritis karya atau tajuk yang diberikan kepada mereka. Terus terang, bagi saya ini merupakan satu pengkhianatan dalam pendidkan. Memang perkara ini sudah saya tegur dan kritik sejak 1970-an lagi, dengan menulis bagaimana para sarjana ini mengajar pelajar mereka menjadi bodoh, bukan menjadi cerdik dan terbuka kepada perbincangan ilmiah. Kualiti pengajaran sastera menjadi rendah dan akhirnya membunuh minat pelajar apabila para pensyarah yang mengajar sastera cetek meraba-raba, berlagak sebagai sarjana poyo yang banyak bercakap tentang perkara yang tidak mereka kuasai dengan meyakinkan. Saya amat yakin inilah yang terjadi, setelah meneliti kerjaya dua orang sarjana besar sastera Melayu yang amat terkenal dan popular, Mana Sikana dan Profesor Muhammad Haji Salleh.

Pengaruh negatif yang mereka lempar dalam dunia akademik adalah hasil dari kecetekan mereka dan keengganan mereka untuk berbicara dengan mendalam tentang konsep ilmu dalam pengajaran sastera.  Tahap perbincangan mereka masih di peringkat maklumat mentah yang tidak tepat pula, seperti yang saya tunjukkan dalam kritikan saya tentang mereka.  Tentulah amat menghairankan apabila seorang sarjana besar seperti Mana Sikana yang memang banyak menulis, hanya sekadar mencurahkan maklumat cetek yang tidak difahami dengan mendalam. Inilah yang terjadi dalam tiga buah buku beliau yang saya bicarakan dalam blog ini. Kekeliruan beliau tentang konsep teori dan sikap beliau terhadap perkembangan teori sastera di Barat yang menjadi ikutan beliau,  menjadi saksi betapa ceteknya kefahaman beliau tentang sastera dan pemikiran dalam sastera. Malah seorang sarjana besar yang dihormati seperti Profesor Muhammad Haji Salleh tiba-tiba, dengan tidak semena-mena, bertindak begitu lucu penuh lawak murahan apabila beliau mengaku telah memanjat bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham untuk menulis kertas kerjanya untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Mengapa sampai begitu sekali? Kalau tajuk itu dimaksudkan untuk berpura-pura dalam permainan bahasa seorang pensajak, maka cara dan tempatnya sangat awkward, tidak cocok dengan kedudukan beliau sebagai sasterawan negara dan Tokoh Akademik Negara. Adalah biadab sekiranya ada orang yang mengaku berilmu cuba berjenaka tentang ilmu, dan meremehkan ilmu sampai serendah itu seolah-olah bukan seorang ahli akademik, sebaliknya seorang pelawak sahaja, a kind of academic comedian yang hanya boleh muncul dan dibenarkan muncul dalam dunia akademik Malaysia saja. Cheap thrill seperti ini mesti ditolak, jika kita benar-benar serius tentang sastera.

Sekarang apa yang perlu kita buat? Pertanyaan ini sebenarnya tidak perlu, kerana yang perlu kita buat ialah menolak sikap anti-ilmu di kalangan sarjana sastera; dan kita dengan tegas harus kembali kepada konsep persuratan seperti yang dikembangkan oleh para ulama dan cendikiawan kita ketika membina tamadun ilmu di negara ini. Pada waktu ini konsep persuratan dan konsep sastera disamakan oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, yang akibatnya telah membuntu perbincangan tentang peranan ilmu yang benar dalam kegiatan kreatif dan akademik.  Mereka telah menghidangkan ayam bakar yang tidak masak yang disalut santan masam sebagai ayam percik yang asli dan tulen. Bagi mereka kedua-duanya sama kerana pengalaman budaya pemakanan seumpama itu tidak ada pada mereka. Mereka sangat gembira apabila penipuan ilmiah ini diterima dengan baik sekali oleh para pengguna, sehingga apabila ada orang yang tahu membuat teguran, mereka menjadi sangat marah kerana mereka pun, saya fikir, ada juga rasa malu kerana mereka pun tahu kesilapan mereka. Cuma, kata mereka dengan bengis, tegurlah dengan sopan, jangan sampai memalukan mereka yang terhormat itu. Ini pun satu perkara yang saya bangkitkan sejak tahun  1970-an, apabila saya merungut mengapa mesti ada golongan Brahmin dalam sastera Melayu. Inilah dia, tercokol di depan mata kita menjadi masalah besar kepada perkembangan ilmu dalam budaya kita.  Ketika saya bangkitkan perkara begini tiada siapa pun di antara kalangan sarjana dan sasterawan ambil peduli, kerana ketika itu mereka sudah berada, dalam ungkapan yang masyhur di Kelantan,  dalam kalangan “lembu kenyang”.  Mereka telah masuk kandang “lembu kenyang” itu.  Ungkapan ini, jika anda banding dengan ungkapan dari Minangkabau yang diberitahu kepada saya oleh Umar Junus, “kentut berebus”,  anda akan dapati sangat tepat mencirikan perilaku manusia yang bersikap seperti itu. Untuk makluman, ungkapan “kentut berebus” telah dibuktikan benar apabila laporan tentang pembohongan kerajaan British dalam Perang Iraq adalah sejenis “kentut berebus” di peringkat global. Tetapi Presiden George Bush mengambil sikap “lembu kenyang” walaupun  dia tahu itulah yang terjadi. Now you see the point mengapa saya menggunakan ungkapan yang anda sendiri, walaupun ahli dalam bidang anda, tidak tahu atau tidak pernah dengar. Luaskan sedikit pengalaman budaya anda, sebagai seorang ahli akademik, supaya anda tidak salah faham apabila saya menggunakan ungkapan “lagu bertabuh” dalam konteks pendahuluan sesuatu tindakan, atau dalam sesuatu perbincangan. Ada sarjana telah salah faham, menuduh saya mengajaknya bertumbuk! Gila betul bila kejahilan dijadikan hujah.

Sastera telah mati di Malaysia, dibunuh oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan yang anti-ilmu.  Mereka inilah yang mengkhianati tradisi persuratan Melayu dengan melantik sasterawan negara untuk mengambil alih peranan para ulama dan cendekiawan dalam perkembangan intelektual dan pembangunan tamadun moden berteraskan konsep ilmu yang benar. Usaha ITBM dan PENA untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, dilihat dalam konteks perkembangan ilmu melalui persuratan Melayu, adalah suatu usaha yang bertentangan dengan warisan persuratan yang kita terima. Maka dengan itu usaha ITBM dan PENA untuk meletakkan sastera sebagai teras negara bangsa adalah satu pengkhianatan kepada tradisi keilmuan melalui persuratan yang kita warisi daripada para ulama dan cendekiawan kita sendiri, yang menjadikan konsep ilmu yang benar seperti yang dikehendaki dalam Islam sebagai asas perkembangan intelektual.  Perbuatan melantik sasterawan negara telah memutuskan tradisi persuratan dari ikatannya dengan Islam, yang berakhir dengan miskinnya pengetahuan para sasterawan dan sarjana sastera dalam budaya ilmu yang dibangunkan oleh para ulama dan ilmuan Islam sejak beratus abad.  Sikap anti-ilmu yang masih boleh diawasi, akhirnya menjadi gerakan anti-Islam apabila manusia tidak lagi dilihat dari perspektif Islam, walaupun mereka beragama Islam. Semua ini menjadi punca kepada kebodohan orang Melayu sendiri, terutama dari kalangan terpelajar, yang tidak lagi boleh berfikir dengan bebas dan jelas mengenai peranan mereka dalam pembinaan tamadun mereka sendiri. Inilah yang diigini oleh orang-orang seperti Mana Sikana, yang menjadikan faham pascamodenisme sebagai ukuran dalam kemajuan kreatif dan akademik seperti yang saya bincang dalam entri yang lepas. Apabila Mana Sikana meletakkan Islam di bawah pascamodenisme, seperti yang saya tunjukkan dalam entri yang lepas, maka pengajaran sastera di sekolah dan universiti diberi status liberalisme sepenuhnya, tidak lagi untuk mendidik bangsa Melayu menjadi pembina tamadun ilmu yang benar, tetapi sebaliknya mengandangkan mereka (yakni:  memasukkan ke dalam kandang)
dalam kandang sekularisme total yang berpaut sepenuhnya kepada teori sastera Barat (saya bercakap tentang kegiatan kreatif) untuk mengejar kemajuan yang  kononnya diilhamkan oleh faham pascamodenisme. Jika anda perhatikan, pada mulanya teksdealisme terdapat sedikit unsur Islam dari pengakuan Mana Sikana sendiri, tetapi kemudiannya dan hingga sekarang unsur itu dibuang terus. Kita perlu mendapat penjelasan Mana Sikana mengapa unsur Islam itu dibuang, tidak diperlukan dalam teksdealisme.  Adakah untuk menyelamatkan teksdealisme supaya serasi dengan pacamodenisme?

Dolak-dalik seperti ini biasa kita temui dalam tulisan dua orang tokoh besar sastera Melayu, Mana Sikana dan Profesor Muhammad Haji Salleh. Jelas sekali mereka tidak bermiant dan tidak memberi perhatian kepada konsep ilmu, hanya sekadar mengulang maklumat yang selalunya tidak tepat, maka dengan itu tulisan mereka merayau tak tentu arah, tidak ada fokus yang boleh dirumuskan sebagai “pemikiran” yang jelas matlamatnya.

Penyelesaian kepada kemelut yang sia-sia dan sengaja dicari-cari ini mudah sahaja, iaitu dengan kembali kepada konsep ilmu yang benar. Melalui pendekatan yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru, atau apa-apa juga pendekatan  yang berteraskan konsep ilmu yang benar, akan mengembalikan semula maruah tamadun Melayu yang berteraskan ilmu. Oleh itu, usaha Profesor Muhammad Haji Salleh membawa tamadun Melayu ke zaman animisme seperti yang dicadangkannya dalam kertas kerjanya dalam SKPM 2014, harus ditentang dan ditolak dengan tegas. Membawa orang Melayu dan masyarakat Malaysia ke dalam kandang animisme dengan alasan itulah yang dilakukan oleh Salman Rushdie yang hasilnya bergemerlapan adalah satu pembohongan intelektual yang tidak boleh diterima.  Kalau anda perhatikan tabiat dua orang sarjana besar ini, anda akan lihat Mana Sikana terlalu tergilakan pascamodernisme yang menolak kebenaran itu dan menganggap merekalah yang benar; manakala Profesor Muhammad Haji Salleh pula tergilakan zaman lampau, sehinggga dia sanggup mencadangkan supaya diwujudkan benda-benda ini: “Saya cadangkan diadakan suatu Kerusi Sastera Lisan dan Suatu Kerusi Sastera Lama di Universiti dan juga Jabatan Folklor atau Sastera Lisan. Tanpanya dua bidang ini biasanya tidak diberi ruang atau makna yang hak padanya, dan hak pada jati diri kita.” (hal. 207-208). Maju untuk kembali ke zaman silam, kepada animisme, oleh itu sesuailah perkara-perkara ini dicadangkan oleh beliau diwujudkan di Sabah dan Sarawak. Itukah caranya sarjana kita berfikir?  Kalau itulah caranya, tentulah mereka ini tidak layak menentukan bagaimana membina negara bangsa dengan konsep sastera yang begitu cetek dan keliru.

Pelajar Melayu yang mengambil mata pelajaran sastera tidak harus menjadi mangsa kumpulan yang keliru ini.   Mereka, para pelajar ini, dipaksa menjadi keliru dengan tidak memberi mereka peluang mengenal konsep ilmu yang benar, dan bagaimana ilmu yang benar itu menentukan pembinaan peradaban Islam.  Tidak mungkin kumpulan pensyarah yang anti-ilmu dapat memberikan kepada para pelajar ini cara berfikir dan bertindak yang kritis untuk memastikan mereka membuat keputusan yang tepat dan berfaedah kepada semua. Salah satu punca kelemahan bahasa Melayu para pelajar ini, yang dikatakan mengambil mata pelajaran sastera yang diajar dalam bahasa Melayu, ialah kerana mereka tidak diajar berfikir dengan kritis dan ditunjukkan bagaimana bahasa yang kritis itu boleh membina peribadi mereka. Saya tidak pernah dengar mana-mana pensyarah sastera bercakap tentang perkara ini seperti yang kita semua harapkan. Kegagalan pengajaran sastera di universiti terjadi kerana para pensyarah yang mengajar subjek ini tidak saja cetek meraba-raba, tetapi juga bersifat anti-ilmu. Anda boleh lihat semua ini jika anda membaca dengan kritis dan kreatif tulisan Mana Sikana dan Profesor Muhammad Haji Salleh, dan sarjana lain yang mengajar sastera. Inilah kenyataannya, yang cuba disembunyikan dengan menjadikan gagasan Persuratan Baru sebagai seteru mereka yang utama, yang mesti disekat daripada digunakan dalam pengajaran sastera. Satu pengkhianatan terhadap ilmu yang tidak boleh dimaafkan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1/9/2016.








No comments:

Post a Comment