Salah
satu kecelakaan yang dihadapi oleh pelajar universiti dan pelajar sekolah
menengah yang mengambil mata pelajaran sastera ialah mereka dipaksa – untuk lulus periksa – membaca karya-karya picisan
berupa novel, sajak, drama dan sebagainya yang ditulis oleh para
sasterawan (tentunya termasuk karya
sasterawan negara) yang cetek meraba-raba, yang tidak berilmu dan anti-ilmu.
Persoalan ini sudah lama disedari di Amerika Syarikat selepas terjadi serangan
Amerika ke atas Vietnam dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Vietnam oleh
Amerika Syarikat, pengganas dunia yang mendakwa menjadi simbol kebebasan
manusia sejagat dan yang mengamalkan demokrasi.
Seorang tokoh yang berpengaruh di Amerika Syarikat, Lionel Trilling
dalam bukunya Beyond Culture
membahaskan bagaimana pengajaran sastera moden mendatangkan masalah kepada
kehidupan intelektual Amerika. Catatan
tentang pengalaman beliau di Amerika, yang menjadi orang pertama memperkenalkan
subjek ini, amat menarik untuk diikuti dan dijadikan peringatan bagi para
sarjana sastera. Bagi beliau, masalah
paling besar ialah kedudukan karya moden sebagai sumber pedagogi: Adakah karya
yang begitu individualistik mempunyai nilai moral yang tinggi dan sesuai untuk
diteladani?
Nilai
murni yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tidak selalunya
berasaskan ajaran moral, tetapi lebih untuk memperkuat kedudukan kerajaan
supaya para pelajar tetap setia setelah keluar sekolah dan bekerja. Apa yang
disebut oleh Kementerian Pelajaran sebagai nilai-nilai murni sebenarnya adalah
nilai-nilai palsu. Jika anda ragu-ragu membaca kesimpulan saya, biarlah saya
ceritakan sedikit tentang kumpulan cerita pendek Angin Dari Gunung yang diselenggarakan oleh Prof. Madya Abdullah Tahir
(al-Marhum) dan diterbitkan oleh DBP.
Buku itu pada mulanya dicadangkan akan dijadikan salah sebuah buku teks
dalam pengajaran sastera, tetapi tidak dibenarkan kerana di dalamnya terdapat
cerita pendek “Angin Dari Gunung” yang menjadikan seorang guru di pedalaman
menentang General Orders dengan memberi cuti kepada murid sekolah supaya mereka
mengiringi jenazah seorang pemimpin kampung yang terkenal. Perbuatan itu
melanggar Perintah Am. Bila saya
memberitahu pegawai Kementerian bahawa tuduhan itu tidak betul, dan menjelaskan
tujuan Cikgu Mansur ialah untuk menghormati seorang tokoh yang berjasa di
kampung, yang seluruh hidupnya mengamalkan nilai-nilai murni untuk diteladani
oleh masyarakatnya, maka pegawai tersebut memberitahu, nilai murni dalam konteks
Kementerian tidak berunsur ingkar perintah seperti yang dilakukan oleh Cikgu
Mansur. Maksudnya, nilai murni itu ialah nilai rasmi yang ditetapkan oleh
Kerajaan. Apakah bezanya ini dengan yang berlaku di universiti? Para sarjana
sastera sendiri menerima versi nilai murni Kementerian Pelajaran dengan
mempertahankan kesesuaian novel Naratif
Ogonshoto karya Anwar Ridhwan kerana beliau seorang sasterawan negara,
walaupun novel itu memperagakan segala kejahatan manusia yang bernama pemimpin
dan manusia yang menjadi pengikutnya, sebuah novel sensasi yang tidak ada nilai
intelektual dan nilai moralnya yang murni. Anda dijemput membaca analisis
mengenai persoalan ini dalam tulisan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, dalam
analisisnya, “Kritikan Sastera Melayu: Konteks dan Praktik”, dalam Islam dan Pengaruh Barat dalam Kirtikan
(2016). Makalah ini penting diberi
perhatian kritis kerana di situ dibincangkan dengan penghujahan yang mantap
betapa kelirunya penilaian yang dipakai oleh para sarjana sastera sewaktu
mereka meletakkan sesuatu karya sasterawan sebagai karya bermutu. Bagaimana penilaian itu dibuat dianalisis
oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam makalahnya, dalam bab 10, buku yang sama, sewaktu beliau
membicarakan penilaian para juri ketika memilih novel Azizi Haji Abdullah untuk
diberi hadiah satu peraduan mengarang anjuran DBP. Penganjur menetapkan
beberapa kriteria; para juri pula menetapkan kriteria mereka sendiri dengan
tidak memberi perhatian kepada ukuran yang diberikan kepada mereka. Hasilnya agak melucukan apabila satu kumpulan
juri yang menilai buku saya Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan
Tauhid mendapati buku itu tidak diplomatik (hal. 24). Dengan demikian, walaupun juri mengakui isi
buku itu “agak baik”, menjadi tidak bernilai kerana tidak diplomatik! Sebaliknya, buku yang “tidak bernilai
akademik” diberi hadiah kerana berada dalam kumpulan Mutual Admiration Club
mereka. Saya maksudkan buku Dr.
Norhayati Ab. Rahman dan Dr. Mawar Shafie, yang juga dianalisis oleh Prof.
Ungku Maimunah dalam makalahnya.
Nampaknya
kedudukan para sasterawan negara amat goyah sekarang, kerana para sarjana tidak mahu lagi mereka
diusik, pemilihan mereka adalah muktamad, walaupun penilaian yang dibuat oleh
Panal Anugerah Sastera Negara amat banyak kelemahannya, seperti yang dihuraikan
oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya. Saya sendiri menolak penilaian
Panel, kerana sangat bertentangan dengan sifat sebenar karya yang dinilai oleh
mereka. Saya tetap dengan pendirian saya bahawa karya para sasterawan negara
memang tidak mempunyai kualiti kreatif yang hebat, dan tidak ada sedikit pun
pemikiran yang boleh dibanggakan. Saya telah menjelaskannya dalam banyak
tulisan. Kedudukan para sasterawan negara tidak boleh dipertahankan, hatta
dengan menggunakan teori sastera Barat sekali pun. Saya boleh cabar sesiapa juga yang menjadi
ahli Panel untuk berbahas tentang ukuran yang mereka pakai dan kualiti karya
para sasterawan negara sendiri, sekali pun dilihat dari perspektif teori sastera
Barat. Sekiranya karya para sasterawan negara ini dinilai dari perspektif
Persuratan Baru, tidak sebuah pun karya itu boleh berdiri sendiri menghadapi
kriteria penilaian bersandarkan konsep ilmu yang benar. Inilah persoalan besar dalam pendidikan
sastera di Malaysia, apabila para sarjana bersikap seperti kumpulang samseng
untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara ini berasaskan ukuran
yang keliru, cetek meraba-raba. Inilah
ajaran mereka di universiti, dan inilah yang menyebabkan sastera mati beragan,
tidak boleh hidup dalam dialog ilmiah yang benar-benar memperihalkan hakikat
karya para sasterawan negara. Secara
intrinsik, karya mereka tidak boleh dipertahankan dari segi kreatif dan tidak
juga dari perspektif intelektual. Jadi, apa gunanya disimpan para sasterawan
negara ini. Saya tidak bermaksud menarik balik gelaran mereka. Tidak. Saya
hanya berharap mereka dinilai dengan kritis dan kreatif, sesuai dengan
kedudukan mereka. Mereka tidak perlu takut untuk dinilai, kerana memang mereka
diberi gelaran untuk dinilai dari masa ke semasa sesuai dengan perkembangan
ilmu dalam masyarakat Malaysia. Ini proses biasa dalam dunia akademik, oleh itu
tidak perlu dijadikan isu. Kategori
karya persuratan bukanlah satu kategori baru yang sengaja dicari-cari untuk
menafikan kehadiran para sasterawan negara yang berada di luar kategori
itu. Kategori itu sudah ada, seperti
yang dibuktikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani yang membicarakan
karya Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu. Apa yang boleh dibuat oleh para sarjana
ciritan sekarang ialah menolak analisis Dr. Mohd. Zariat sebagai tidak tepat,
sengaja diada-adakan. Nanti penilaian mereka, terutama oleh Panel Anugerah
Sastera Negara sendiri, akan dibuktikan dengan hujah dan bukti yang diambil daripada hujah mereka sendiri adalah
penilaian yang sengaja dicari-cari dan diada-adakan. Malah hal ini telah
dibayangkan dengan jelas dalam analisis Prof. Ungku Maimunah sendiri dalam dua buah buku yang disunting beliau itu. Para sasterawan negara ini patut dikasihani
kerana telah diterbangkan ke langit ke tujuh oleh Panel Anugerah Sastera
Negara, sehingga mereka tidak boleh turun lagi. Sampai berapa lama mereka boleh
berada di angkasa pujian Panel? Musibah
ini tidak patut ditimpakan ke atas para sasterawan ini. Mereka tidak saja sasterawan sensasi yang
menggunakan sensasi sebagai gaya; tetapi mereka sendiri disensasikan oleh Panel
Anugerah Sastera Negara dan para penilai lain, seperti yang dapat kita saksikan
dalam kes Naratif Ogonshoto dan
“Pulang Si Tenggang”. Kita perlu bantu
mereka untuk membawa mereka kembali ke dunia nyata, dengan memberi mereka
tempat dan kedudukan yang layak untuk mereka. Ini hanya boleh dilakukan oleh
Persuratan Baru. Nampaknya mereka tidak ada pilihan lain.
Satu-satunya
pilihan yang ada pada para sarjana sastera ini ialah memahami dan menggunakan
konsep “underlabouring” yang
diperkenalkan kembali oleh Prof. Wilkinson dalam bukunya A Fresh Look At Islam .... Dalam tamadun ilmu Islam, konsep ini telah
dipraktikkan beribu tahun dahulu lagi, apabila setiap ulama besar mempunyai
murid masing-masing yang menghuraikan setiap pendapat dan ijtihad mereka,
sehingga mereka sendiri muncul sebagai ulama besar pula. Demikianlah ilmu
diperkembangkan dalam tamadun Islam, yang kemudiannya merebak ke Eropah dan
seluruh dunia. Dalam negara kita, praktik ini dilakukan oleh para murid Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas. Saya fikir
persuratan Melayu Abad 21 akan muncul sebagai gerakan intelektual yang
kuat jika konsep ini dijadikan ikutan oleh para sarjana kita. Apa salahnya menghidupkan
kembali tradisi ilmu yang baik, sambil membina kembali warisan persuratan
Melayu. Di sinilah ITBM dan DBP boleh
memainkan peranan mereka masing-masing. Saya
sangat optimis akan muncul di kalangan anak muda yang cintakan ilmu untuk kembali
kepada tradisi persuratan Melayu sambil menjadi ahli waris tradisi keilmuan Islam
yang sangat hebat itu.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 6 September 2016.
No comments:
Post a Comment