Dalam
rangkain cerita penglipur lara Melayu, terdapat sekumpulan tokoh besar dalam
sastera lisan yang menghuni dunia jenaka Melayu, lantas mereka dikenali sebagai
tokoh-tokoh cerita jenaka Melayu. Siapakah mereka? Nama-mana mereka lebih
terkenal daripada nama-nama para sasterawan negara yang muncul mulai tahun 1981
sebagai hasil usaha kumpulan Asas 50 yang berhijrah ke Malaysia untuk
memitoskan golongan mereka dan penyokong mereka dengan memilih beberapa orang
di antara mereka untuk diberi gelaran “sasterawan negara”. Mereka adalah tokoh-tokoh penglipur lara
Melayu moden yang menggelarkan diri mereka “sasterawan”, mengaku mereka adalah
pembina budaya intelektual moden dalam sejarah kebudayaan Malaysia. Kedudukan mereka dalam kebudayaan Melayu
sebagai golongan pinggiran yang cetek meraba-raba telah dihurai dan
dibincangkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan
beliau yang diucapkan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur dalam
tahun 1972. Sebuah buku telah
diterbitkan dengan judul, Islam Dalam
Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Untuk
beberapa ketika yang pendek saja selepas syarahan itu dilakukan, timbul
bantahan yang dikepalai oleh Prof. Ismail Hussein, mewakili GAPENA, yang
menolak syarahan pengukuhan itu. Keangkuhan
reaksi mereka, di kalangan sasterawan yang mendakwa mereka adalah “ahli waris
sastera dunia”, menjadi suatu jenaka intelektual yang terkenal dalam sejarah
cerita jenaka Melayu. Bantahan itu tidak
pernah ditolak secara ilmiah atau secara akademik baik berupa buku, mahupun
berupa tesis sarjana dan Ph.D. Tidak
seorang pun pelajar sastera berminat untuk mengupas dengan kritis kesimpulan
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, mungkin kerana mereka tidak mempunyai
hujah, atau lebih munasabah ialah kerana tidak ada penyelia yang mahu menjadi
penyelia membahaskan tesis itu. Mana
Sikana, seorang tokoh terbesar jenaka intelektual Melayu yang telah
menulis buku khusus dalam usahanya memitoskan para sasterawan negara, tidak
pernah mencadangkan kepada para pelajarnya yang ramai supaya membahaskan
kesimpulan analisis Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hasilnya, jenaka
penglipur lara moden yang dibina oleh Asas 50 dan suku sakat mereka, cuba
diberi wajah oleh Panel Anugerah Sastera Negara dengan
menulis laporan Panel untuk memitoskan para sasterawan negara pilihan mereka;
tetapi laporan itu ditulis dan disusun begitu rupa untuk tidak menyerlahkan kualiti
akademik dalam kritikan sastera, hingga
tiada siapa pun menerimanya sebagai sumbangan penting dalam bidang kritikan sastera
Melayu. Oleh itu, sumbangan mereka tidak disebut dan tidak dianalisis oleh
sekumpulan (3 orang) penulis sejarah kritikan sastera Melayu yang diketuai oleh
Prof. Hashim Awang (dengan dua orang pembantu daripada DBP, termasuk Kemala
yang kemudiannya dilantik menjadi seorang sasterawan negara) yang menulis buku,
Sejarah
Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan (2003).
Komen ringkas saya tentang buku ini terdapat dalam buku, Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM.
2016; suntingan Prof. Ungku Maimunah
Mohd. Tahir, hal. 313): [Prof. Hashim Awang dan rakan-rakannya]
“tidak pun menjeling laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau sendiri
anggotai, suatu keputusan yang amat dikesali
kerana dokumen yang begitu penting diketepikan begitu saja, padahal banyak perkara yang boleh dibahaskan.
Nampaknya Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri tidak menganggap dokumen yang
diterbitkannya itu penting dalam bidang kritikan. ... Bagi saya keputusan itu tidak wajar dan tidak
akademik, mengingat betapa besarnya kesan negatif laporan Panel Anugerah
Sastera Negara itu terhadap perkembangan kritikan dan perkembangan ilmu di
Malaysia.”
Kesan
paling negatif laporan itu ialah memberi wajah palsu kepada para sasterawan
negara, kerana karya mereka tidak mencapai tahap pujian setinggi langit ketujuh
yang diberikan kepada mereka oleh
Panel. Dengan wajah palsu ciptaan Panel
Anugerah Sastera Negara inilah para sasterawan negara mendapat penghormatan
yang tidak layak diberikan kepada mereka, kerana amat jelas laporan itu ditulis
begitu rupa untuk tidak meyakinkan kita bahawa para sasterawan ini adalah “pemikir” sastera yang telah mengangkat darjat
perkembangan intelektual Malaysia, sebaliknya yang ditekankan oleh laporan
ialah betapa mereka hanya terserlah
sebagai para peniru teknik sastera Barat, seperti yang ditegaskan oleh Panel
Anugerah Sastera Negara dalam semua laporan mereka. Para sasterawan negara, dan Panel yang
menilai mereka, mungkin secara sedar memperlihatkan mereka sebagai kumpulan
pinggiran dalam kebudayaan Melayu, yang kedudukannya “cetek meraba-raba” dalam
warisan persuratan mereka sendiri dan dalam teori sastera Barat yang mereka
tiru. Inilah penegasan yang dibuat oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas
dalam syarahan pengukuhan beliau di UKM 1972, yang hingga kini belum disanggah
dan tidak disebut dalam buku Prof. Hashim Awang.
Buku Prof Hashim Awang ini, yang sepatutnya
menjadi sebuah buku penting dalam sejarah pemikiran sastera, dengan sengaja
dijadikan hanya sejenis penglipur lara dalam kritikan sastera, yang penuh
dengan cerita-cerita di sekitar beberapa orang penulis “kritikan sastera” yang
tidak penting tetapi dijadikan penting untuk sekadar menerbitkan sebuah buku
tentang kritikan. Begitu besar pengaruh
penglipur lara ini dalam sastera Melayu moden sekalipun, sehingga sebuah buku
tentang kritikan sastera ditulis dalam bentuk kritikan cerita (atau cerita
tentang kritikan sastera), yang membolehkan para penulis ini menyebut beberapa
nama “pengkritik” yang dianggap oleh mereka sebagai “pelopor kritikan” sastera
Melayu. Dua perkara penting yang dapat kita lihat dalam konteks ini: (1) betapa
ceteknya idea tentang kritikan di kalangan para sarjana sastera; (2) betapa miskinnya kritikan sastera Melayu
dengan idea bernas yang boleh membina tradisi pemikiran tentang penulisan
kreatif dan penilaian tentang hasil
penulisan kreatif itu. Keadaan ini
sebenarnya disedari oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan, tetapi
mereka memilih untuk mengambil sikap “lembu kenyang” (lihat entri bertarikh 27
Ogos 2016) dengan membiarkan saja dua keadaan ini berterusan kerana mereka
mendapat faedah dari keadaan ini.
Kedudukan mereka sebagai kumpulan
“lembu kenyang” tidak tergugat, oleh itu mereka berasa lebih selamat
kerana tidak dibicarakan dengan kritis oleh teman-teman mereka yang berada
dalam Mutual Admiration Club yang menjadi kandang mereka. Mereka berada di
bawah naungan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, yang membuat mereka berasa
selamat. Buku yang membicarakan perkara
ini sudah banyak ditulis, misalnya oleh Dr. Zulkarnain Mohamad, Islam, Feminisme Barat dan Sastera Melayu
(bersama Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir; UKM, 213), Kesusasteraan Islami: Analisa Teori dan Aplikasi (2002). Dua buah buku suntingan Prof. Ungku Maimunah
Mohd. Tahir banyak membicarakan perkara ini: Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan (UKM, 2016); dan Ilmu
Teras Persuratan Melayu (UKM, 2016.
Pendahuluan beliau kepada Gagasan
Persuratan Baru (edisi kedua) oleh Mohd. Affandi Hassan (UKM 2014) juga
menjadi rujukan utama. Bacaan wajib
yang utama ialah syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas 1972, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.
Satu
projek besar untuk memperkasa sastera Melayu (?) telah diadakan oleh ITBM
dengan menganjurkan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 (SKPM). Membaca
makalah yang dibentangkan, memberitahu kita tanpa ragu-ragu tiada perancangan
teliti dibuat dalam pembaziran wang untuk sastera ini. Tajuk-tajuk yang dipilih
pada umumnya sangat “koman” (perkataan ini saya dapati mula digunakan oleh
Pendeta Za’ba sendiri), klise, tidak menyerlahkan pembentangan tajuk yang
tersusun. Paling selekeh ialah perbincangan tentang kritikan sastera, yang
hanya disebut dalam satu perenggan pendek oleh Prof. Muhammad Haji Salah dalam
kertasnya yang sangat puitis tajuknya, “Mimpi sastera di atas bumbung kilang
yang berkarat”. Apakah motif Profesor
Muhammad Haji Salleh memilih tajuk yang digemari oleh budak-budak Tadika
ini? Sekiranya ini dimaksudkan untuk
menimbulkan satu kejutan, maka makalah ini memang mengejutkan kerana tidak
lebih daripada “a kind of ramblings”
tanpa sebarang isian akademik yang memang kita amat harapkan daripada Tokoh
Akademik Negara ini, yang juga seorang sasterawan negara dan bagi Mana Sikana
satu-satunya “Raja Penyair Malaysia”.
Beliau menyentuh dalam satu perenggan pendek tentang kritikan sastera,
sebagai seorang maharaja dalam dunia akademik. Perhatikan kata-katanya yang
angkuh tidak bertempat: “Kritikan sastera ialah satu sayap sastera yang sudah
patah – sebahagiannya dipatahkan orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang
menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau
hormat terhadap penulis lain”. Ucapan ini, kerana terbit dari hati nurani
seorang yang amat jujur dalam sastera Melayu, menjadi sangat pelik dan biadab
kerana tidak dibincangkan dengan mendalam apakah sebenarnya yang menjadi
masalah dalam kritikan sastera Melayu. Muhammad Haji Salleh sangat bangga
dengan kata-kata puitis beliau, “aku sudah belajar, jadi kurang ajar”. Tetapi ucapan ini, walaupun penting, tidak
cukup untuk membicarakan persoalan kritikan sastera Melayu. Satu-satunya usaha
terancang dan dilaksanakan dengan kesungguhan akademik ialah usaha saya
memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru, yang pada waktu Profesor Muhammad Haji
Salleh menulis kertasnya, sudah mempunyai dokumen yang lebih dari mencukupi
untuk dijadikan perbincangan akademik yang menarik, terutama sekali penegasan
saya terhadap pentingnya konsep ilmu dalam sastera, dan bagaimana ini
diwujudkan dalam Persuratan Baru telah dihuraikan dengan panjang lebar dalam
banyak tulisan saya dan tulisan sarjana lain yang berminat dalam bidang
ini. Jelaslah Profesor Muhammad Haji
Salleh tidak mempunyai maruah akademik dan maruah intelektual yang sepatutnya
ada pada dirinya sebagai seorang Tokoh Akademik Negara, meskipun beliau sangat
bangga telah “belajar jadi kurang ajar.”
Kita boleh terima “kekurangan-ajaran” beliau dalam bentuk yang paling
ekstrim sekalipun, asal saja dikemukakan secara akademik dan objektif. Apakah
yang menghalang beliau untuk menerima hakikat bahawa kemunculan gagasan Persuratan Baru adalah satu perkembangan paling
bermakna dalam bidang kritikan sastera Melayu? Beliau diberi ruang dan peluang yang sangat luas untuk
membincangkan dengan kritis Persuratan Baru, atau lebih baik lagi jika beliau
mengemukakan hujah-hujah beliau mengapa Persuratan Baru perlu ditolak dan
diperangi habis-habisan secara total dan terang-terangan. Ini yag kita tunggu
dari tokoh-tokoh besar seperti beliau, Mana Sikana, Baha Zain, Prof. Dato’ Rahman
Shaari dan lain-lain yang memang tokoh-tokoh akademik yang hebat di Malaysia,
malah Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri menyuruh penulis lain belajar
daripada Baha Zain yang hebat itu. Apa
salahnya jika mereka sendiri belajar daripada Persuratan Baru tentang peranan
ilmu yang benar dalam bidang kreatif dan akademik. Saya yakin mereka akan
mendapat manfaat besar, dan jika mereka benar-benar jujur dari segi akademik,
mereka akan memperjuangkan Persuratan Baru sebagai satu alternatif dalam teori
sastera yang boleh menghadapi pengaruh teori sastera Barat, apatah lagi
Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri pernah mengemukakan rintihan beliau
betapa beliau dan rakan-rakannya telah banyak berbuat kesalahan dalam menilai
karya sastera Melayu dengan menggunakan teori sastera Barat. (Jika anda
berminat, sila rujuk ucaputama beliau yang diterbitkan dalam buku, Teori
dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP 2005). Lihat juga makalah saya dalam
Ilmu Teras Persuratan Melayu (edisi
2, UKM 2016) untuk mendapat sedikit maklumat yang amat berguna tentang aspek
ini dalam persuratan Melayu.) Beliau dan
teman-temannya tidak perlu berasa rendah diri untuk mempelajari tentang sesuatu
yang relevan kepada kritikan sastera yang jelas mereka tidak tahu. Dalam
pengalaman pembacaan saya yang agak
luas, saya tidak pernah bertemu dengan mana-mana sarjana yang bangga menjadi
seseorang yang jahil. Tidak patut jika terdapat sarjana Malaysia bangga menjadi
seseorang yang jahil, padahal peluang untuk belajar luas terbuka. Bacalah
tentang Persuratan Baru, untuk memberikan anda pengalaman intelektual yang
sangat menarik dan mencabar.
Bagi
Profesor Muhammad Haji Salleh dan rakan-rakannya, menyahut cabaran seumpama ini
adalah biasa baginya, oleh itu dalam tahun 1983, selepas 10 tahun Seminar
Kritik Sastera diadakah di Johor Bahru, maka Universiti Kebangsaan Malaysia, di
bawah kepemimpinan Prof. Muhammad Haji Salleh, mengadakan “Simposium Kritikan
Sastera” 1983, kertas-kerjanya diterbitkan dengan judul, Kritikan: Situasi Mutakhir dan Arah Masa Depan (DBP, 1985). Buku ini diselenggarakan oleh Prof. Sahlan
Mohd. Saman. Profesor Muhammad Haji
Salleh sangat marah dan kecewa membaca kritikan saya terhadap kertas kerja
simposium ini, kerana katanya semua
kertas itu adalah kertas yang tidak dikemaskini, hanya berupa draf sahaja.
Tetapi apabila kita membaca buku yang diterbitkan, semua teguran saya dalam
kritikan saya masih tercokol di situ, tidak diadakan pembetulan dan kertas yang
berupa draf itu disiarkan sepenuhnya. Malunya saya membaca buku ini, kerana
sedar saya telah memberi penghargaan yang tinggi dengan membuang masa saya
membicarakan kertas kerja simposium itu, padahal para penulis, editor dan
penyelenggara simposium itu sendiri tidak peduli sedikit pun kualiti akademik
mereka. Oleh itu, apabila Profesor Muhammad Haji Salleh menulis kertas kerja
untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 di atas bumbung kilang berkarat,
maka kita dapat bayangkan siapa sebenarnya “orang gasang” yang dimaksudkan oleh Profesor Muhammad Haji
Salleh dalam kertas kerjanya yang amat selekeh itu. Di sinilah terletaknya kejujuran beliau yang
tidak boleh kita persoalkan. Beliau dan
rakan-rakannya telah ketinggalan zaman terlalu jauh dalam dunia akademik ini,
oleh itu sangatlah sukar untuk beliau dan rakan-rakannya menghadapi cabaran
baru dalam dunia intelektual dan akademik dalam sastera Melayu terkini. Sungguh
malang bagi sastera Melayu yang telah dimundurkan
dan dikelirukan oleh mereka ini.
Jikalau saya dengan keras menolak kemunculan sasterawan negara, maka
penolakan itu berasaskan unsur pandirisme yang begitu ketara dalam karya
mereka. Pandirisme adalah kemuncak
pencapaian para sasterawan picisan dan para sarjana ciritan dalam sastera
Melayu, suatu keadaan yang amat jelas dalam kertas kerja Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia ini, yang diterbitkan dengan judul yang amat
mengelirukan, Sastera Teras Negara Bangsa.
Simposium
kritikan dan SKPM ini nampaknya tidak dapat mengatasi Seminar Kritik Sastera
1973 yang telah meletakkan asas perbincangan serius tentang kritikan
sastera. Jasa paling besar Profesor
Muhammad Haji Salleh dalam seminar 1973 itu ialah menimbulkan peri wujudnya
Mutual Admiration Club dalam sastera
Melayu. Pemerhatian beliau yang tajam
itu akhirnya menjadi kenyataan dengan wujudnya para sasterawan negara yang
sekali gus adalah ahli Mutual Admiraton Club yang menurut para sasterawan
diketuai oleh Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri. Mereka memberi contoh paling
konkrit tentang andaian ini dalam kertas kerja beliau untuk SKPM 2014. Selain
dari itu, kata qaul yang sahih, kemunculan para sasterawan negara sendiri
membuktikan betapa kuatnya pengaruh Mutual Admiration Club ini, sehingga
Shahnon Ahmad membantah keras pemilihan Baha Zain sebagai sasterawan negara
padahal beliau adalah penulis sajak-sajak kontot saja. Kemudian Profesor
Muhammad Haji Salleh sendiri menggesa para sasterawan dan pengkritik sastera
menjadikan Baha Zain guru dan contoh ikutan mereka. Ini semua adalah bukti betapa
kuatnya pengaruh Mutual Admiration Club ini dalam sastera Melayu. Dalam konteks
inilah lahirnya pandirisme, dan terbitnya buku Pandirisme Dalam Komuniti Dunia (2016). Idea tentang pandirisme ini saya kemukakan
dalam kertas kerja panjang yang saya bentang di UKM (di bawah Projek DAMAI
anjuran ATMA) tahun 2004. Kertas itu kemudiannya diringkaskan dan disiarkan
dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi
2 (2014, bab 5). Pentingnya pandirisme perlu dilihat dalam konteks stylization of ideas, yang dijelaskan
dengan agak terperinci dalam Gagasan
Persuratan Baru edisi kedua, hal. 330-336. Kedua-dua dokumen ini penting
dalam konteks seminar tentang pemikiran sasterawan negara yang dianjurkan oleh
DBP. Kini kita sudah mempunyai tidak kurang dari 200 makalah tentang sasterawan
negara, membicarakan “pemikiran” mereka. Tetapi benarkah kertas yang begitu
banyak ditulis membicarakan aspek “pemikiran” para sastrerawan negara ini? Dalam penelitian saya, setelah mengikuti
beberapa buah seminar yang sempat saya hadir, saya tidak menemui sebuah pun
makalah itu membicarakan aspek “pemikiran” ini. Kesemuannya adalah kertas kerja biasa yang cetek meraba-raba,
yang hanya menggunakan beberapa pendekatan Barat yang tidak semuanya relevan.
Saya pernah bertanya Prof. Dato’ Rahman Shaari dalam seminar pemikiran A. Samad
Said (2003) adakah A. Samad
Said seorang pemikir? Beliau menjawab
tidak. Saya tidak pasti sama ada beliau sudah mengubah pendiriannya pada waktu
ini. Sebenarnya Panel Anugerah Sastera
Negara sendiri lebih banyak berbicara tentang para sasterawan negara ini
sebagai tukang cerita, atau penglipur lara, bukan golongan pemikir. Kalau kita
masih berminat tentang aspek “pemikiran” ini, kita perlu memberikan beberapa
kriteria yang boleh digunakan ketika menilai karya mereka dari perspektif
“pemikiran”. Jika kita bersetuju dengan saranan ini, kita perlu melihat mereka
dari perspektif ilmu, dan tidak boleh tidak perlu menggunakan konsep ilmu yang
benar sesuai dengan kedudukan mereka sebagai seorang “pemikir” yang kenal dan
tahu sumber ilmu. Siapakah di antara mereka yang dapat memenuhi ukuran ini?
Maka itulah pentingnyaq konsep stylization
of ideas seperti yang dijelaskan dalam Gagasan
Persuratan Baru, di samping itu memahami dengan agak mendalam aspek
pandirisme dalam karya para sasterawan negara ini. Jika mereka lulus ujian ini,
maka mereka bolehlah digelar seorang “pemikir”.
Jika tidak lulus, maka mereka tetap sasterawan negara, tetapi pada
peringkat penglipur lara saja, sekumpulan tukang cerita yang mewarisi cerita-cerita
penglipur lara Melayu. Yang paling jelas dalam aspek ini ialah Anwar Ridhwan,
yang diakui oleh para sarjana sebagai seorang “pencerita” bukan seorang
“pemikir”. Bagaimana dengan sasterawan yang
lain? Anda sendiri perlu membuat keputusannya.
Kita mahu dengar keputusan anda dan ukuran yang anda pakai, suatu
permintaan biasa dalam dunia akademik, atau dalam kritikan sastera yang
diamalkan di Barat sekalipun. Saya tidak
fikir permintaan ini melanggar tatasusila akademik yang dipraktikkan di
Malaysia.
Di
sinilah anda perlu mendekati dengan kritis dan kreatif gagasan Persuratan Baru,
menggunakannya dalam analisis dan penilaian anda supaya apa yang anda faham
tentang “pemikiran” itu terserlah dengan
jelas dalam karya para sasterawan negara ini. Kerja ini bukannya sukar, hanya
bergantung pada sikap anda saja, sama ada positif atau negatif. Sebenarnya anda tidak perlu membuat pilihan
pun, hanya membetulkan sikap anda saja.
Jika ini pun anda tidak boleh buat, lebih baik anda panjat bumbung
kilang yang berkarat dan bermimpi di atas bumbung tentang pemikiran sasterawan
negara. Kalau hasilnya bagus, kita wajib terima dengan senang hati dan perasaan
bangga, sekurang-kurangnya anda membuktikan tempat baru pilihan anda itu adalah
yang terbaik untuk tempat berfikir!
Untuk
saya sendiri, saya hanya membiarkan kucing saya saja naik bumbung mengejar
tikus. Itu kerja dia. Biarlah diteruskannya.
Kesudahannya ...
Mengapakah
badan-badan penulis di daerah, negeri, wilayah dan peringkat nasional tidak
berminat dalam kegiatan intelektual seperti yang dibincangkan dalam entri ini?
Badan-badan penulis daerah dan negeri hanya berminat membaca sajak-sajak celoteh sesama mereka, dalam
satu kumpulan Mutual Admiration Club mereka sendiri; jadi mereka memang tidak
berminat kepada aspek pemikiran ini kerana mereka tidak tahu apa-apa, kecuali
menulis sajak celoteh dan membacakannya sambil memuji sesama sendiri. PENA dan GAPENA mempunyai wang yang banyak
dalam tabung mereka. Ke mana perginya wang itu?
Sekali sekala patut juga diadakan persidangan, atau apa saja nama yang
anda suka berikan, untuk berbincang
dengan serius tentang pekembangan intelektual dan perkembangan pemikiran dalam
sastera kerana kita pun sudah mempunyai tokoh-tokoh besar dalam bidang teori
sastera. Jika persidangan seumpama ini diadakan, untuk teksdealisme saja boleh
dicerna paling kuang 10 kertas kerja, manakala teori-teori lain boleh saja
mengemukakan 10 buah kertas kerja juga sesuai dengan kedudukan teori itu dalam
bidang akademik Malaysia. Untuk gagasan Persuratan Baru, diperlukan hanya satu
kertas kerja yang boleh menganalisis dengan mendalam aspek utama PB, untuk
diperkenalkan kepada para sarjana dan sasterawan yang tidak tahu menahu PB
sudah lama wujud dan sudah pun diterima di luar negeri. Tetapi belum lagi bertaraf antarabangsa
seperti teori-teori Mana Sikana, Muhammad Haji Salleh, Hashim Awang dan lain-lain tokoh besar teori
sastera Melayu yang kini sudah agak ramai, tetapi tidaklah bising kecuali
teksdealisme. Kita mempunyai ramai ahli
akademik yang pakar dalam bidang masing-masing, oleh itu tentu saja boleh
memberi sumbangan yang amat diperlukan pada waktu ini dalam bidang pemikiran
ini. Usaha yang dibuat di UPSI baru-baru
ini amat dialu-alukan. Itulah yang kita mahu. Kita sudah banyak berbicara
tentang pemikiran para sasterawan negara; sudah tiba waktunya kita berbicara
dengan serius tentang pemikiran para pengkritik dan sarjana kita sendiri, terutama yang telah mencernakan
teori mereka masing-masing. Semoga saranan ini diberi sokongan positif.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 8 Ogos 2016.
Note: In English this post should read: "The emergence of clowns in modern Malay literature - the function of mediocrity (pandirisme) in the intellectual development of Malay literature."
Note: In English this post should read: "The emergence of clowns in modern Malay literature - the function of mediocrity (pandirisme) in the intellectual development of Malay literature."
No comments:
Post a Comment