Friday, September 16, 2016

MENGEMBALIKAN KEHILANGAN ARAH DAN MARUAH SASTERA MELAYU: PENGARUH GERAKAN ‘IWAJAN DALAM KEBUDAYAAN, BAHASA DAN KESUSASTERAAN MELAYU

Kesan negatif yang amat buruk dalam persuratan Melayu, yang dibawa oleh kumpulan Asas 50, belum lagi diberi analisis yang kritis berasaskan perilaku para anggota Asas 50 sendiri dan para pengikut mereka.  Mitos yang dibina ke atas mereka begitu kuat, seolah-olah sastera Melayu tidak wujud tanpa Asas 50; padahal  yang sebenarnya terjadi adalah sebaliknya. Asas 50 telah mencemarkan imej Islam dengan melemparkan fitnah, tanpa pengetahuan yang tepat, bahawa bahasa Melayu menjadi lembap dan mundur kerana menggunakan tulisan Jawi, yang menurut Asas 50 tidak kena mengena dengan Islam, kerana itulah hakikatnya, kata mereka tanpa pengetahuan, yang  berlaku di Turki. Kata mereka, tulisan Arab (di sini tulisan Jawi) tidak kena mengena dengan perkembangan Islam di Turki. Ini suatu kesimpulan yang amat jahat, yang cukup celaka dalam konteks perkembangan agama Islam, kerana tuduhan ini tidak berasas sama sekali.  Seperti yang kita ketahui,  di mana saja Islam berkembang, bahasa Arab atau bahasa al-Quran itulah yang menjadi asas perkembangan bahasa-bahasa moden Islam seluruh dunia. Dalam kata-kata Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas:

“Bilamana Islam menyebarkan diri pada bangsa-bangsa insani maka yang pertama menerima kesan keislaman tertayang pada bahasa bangsa-bangsa itu, kerana pengislaman sesuatu bangsa nyata terjelma dalam rencana bahasanya. Maka di sisi kebudayaan pengislaman bahasa merencanakan pengislaman pemikiran. Dan pemikiran yang diislamkan itu merencanakan pandangan alam yang ditayangkan oleh peristilahan-dasar Islam menerusi bahasa Arab.  Maka dengan ini nyatalah bahawa Islam sedari awal-mulanya memang mengenali sifat sesuatu bahasa itu sebagai merupakan suatu rencana pandangan terhadap alam dan hakikat semesta, yang masing-masing berbeza mentafsirkan hakikat pengalaman dan keadaan sekeliling menerusi tapisan bahasa jua; memang mengenali bahawa bahasa itu seakan-akan suatu tabir tipis beraneka-warna yang senantiasa berada di hadapan wajah akali si pemandang alam, baikpun yang dipandangnya itu alam zahir mahu alam batin. Maka warna dan corak, sifat dan bentuk alam yang dipandang itu akan terpengaruh juga oleh sifat bawaan tabir tipis bahasa yang merupakan alat akali bagi mengawal merencana-bentukkan corak gambaran serta pengertian dan pentafsiran yang berlaku menerusinya itu. Dengan ini kita lihat jelas bahawa bahasalah jua yang menimbulkan masalah yang paling rumit dalam ilmu falsafah. Dapat juga direnungkan bahawa sesungguhnya nahu sesuatu bahasa itu merupakan bagi kebudayaan suatu rencana penerokaan terhadap hakikat kejadian semesta yang difahami serta difahamkan oleh kebudayaan, dan perbendaharaan-katanya mencorakkan faham-faham yang membina rencana penerokaan  itu.  Kesimpulannya sangat jelas bahawa pengislaman bahasa itu merupakan unsur utama bagi kefahaman terhadap Islam dan kebudayaan serta tamadun Islam pada keseluruhannya. Sekiranya rencana ma’nawi serta penisbahannya yang terdapat dalam peristilahan-dasar bahasa-bahasa orang Islam itu dikacau-kelirukan maksudnya, dan disaru-samarkan dengan rencana ma’nawi serta penisbahannya yang dibawa masuk dari sumber-sumber asing, maka sudah barang tentulah akan berlaku apa yang digelar di sini sebagai penafian keislaman dalam pemikiran dan fahaman; sebab keadaan demikian menafikan pengislaman yang telah dikenakan pada pemikiran orang Islam menerusi peristilahan-dasar bahasanya. Dan keadaan demikian ini memang kini sedang pesat berlaku di kalangan Kaum Muslimin.”  (Himpunan Risalah, 2015:  hal. 113-114).

Kutipan panjang ini penting difahami kerana inilah yang terjadi dalam kebudayaan, bahasa dan kesusasteraan Melayu, sebagai kesan malapetaka yang dibawa oleh Asas 50, yang kemudiannya diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menjadi inti-sari semua karya para sasterawan negara.

Mengapakah hanya Malaysia mempunyai sasterawan negara? Apakah keistimewaan Malaysia dan apa pula keistimewaan sasterawan negara? Dua perkara ini saling bergantung, sebagai kesan negatif perkembangan politik feudal di Malaysia. Kemunculan UMNO dengan usaha pemerintah Inggeris adalah malapetaka besar kepada bangsa Melayu. Mereka dikandangkan dalam projek  pembukaan tanah baru, FELDA, oleh Tun Razak bin Hussein dari Pahang selepas Tanah Melayu merdeka tiga tahun. Orang Melayu menyambut projek perhambaan moden ini dengan amat ghairah, kononnya mereka akan mendapat tanah mereka yang mereka teroka sendiri. Betul mereka diberi tanah enam ekar, tetapi mereka tidak sedar mereka telah dikandangkan dalam kawasan tanah baru itu untuk menjadi kuli kepada para pemimpin UMNO. Apabila FELDA sudah maju, para peneroka dijadikan hamba untuk memberi input kepada perniagaan, yang memang diwujudkan untuk kepentingan politik dan untuk memberi faedah kepada ahli politik. Apabila timbul kesedaran di kalangan para peneroka bahawa mereka telah ditipu, yang timbul di kalangan peneroka Kelantan, mereka bawa kes penipuan ini ke Mahkamah. Mereka menang, dan selepas itu semakin ramai peneroka membawa kes mereka ke Mahkamah dan menang. Tiba-tiba kini menjadi sepi? Apa yang terjadi? Satu sejarah perjuangan rakyat perlu ditulis tentang penipuan politik dan ekonomi di FELDA  ini. Kita perlu tahu mengapa mereka tidak dibenarkan mengurus harta benda mereka sendiri, dilatih dan diberi kemudahan daripada hasil titik peluh mereka sendiri. Mengapa mesti diambil orang politik untuk mentadbir syarikat FELDA yang begitu besar sekarang? Mengapa peneroka masih terus miskin? Inilah cerita yang ada kaitannya dengan kemunculan sasterawan negara. Cerita ini hanya boleh difahami jika dilihat dalam konteks gerakan bercorak iwajan  dalam perkembangan bahasa dan sastera, dalam politik dan kebudayaan Melayu. Apabila Asas 50 menjatuhkan hukum bahawa bahasa Melayu tidak perlukan tulisan Arab jika mahu maju, maka terjadilah rangkaian kehilangan arah dan maruah dalam kebudayaan Melayu yang selama beratus tahun menggunakan tulisan Jawi dalam persuratan Melayu. Bagaimana ini berkait dengan FELDA? Sekarang tidak saja rakyat tertipu dan ditipu dalam bidang politik dan ekonomi, dikandangkan dalam tanah-tanah FELDA, malah para penulis dan sasterawan pun sudah dikandangkan dalam sistem penilaian kejayaan penulisan yang diberi tafsirannya oleh pekerja kebudayaan yang mendapat faedah daripada ahli politik. Kerjasama sasterawan dan ahli politik inilah yang melahirkan sasterawan negara. Dengan kerjasama ini, maka para sasterawan dengan rela hati dan bangga dimasukkan ke dalam kandang feudalisme budaya, yang diberi nama ITBM. Hasil pengandangan budaya ini boleh dilihat dengan jelas dalam kertas kerja yang dicernakan oleh para penulis kertas kerja untuk SKPM 2014. Itulah yang terjadi, maka dengan itu kedudukan para sasterawan negara diperkukuhkan dalam program yang berunsur iwajan ini.

Kemunculan sasterawan negara adalah kemenangan besar Asas 50 yang kemudiannya merosakkan arah dan maruah persuratan Melayu. Projek iwajan Asas 50 berjaya cemerlang dengan sokongan dan dukungan ahli politik UMNO yang berjaya mengandangkan para penulis, sasterawan dan ahli akademik untuk meneruskan feudalisme budaya yang dicipta oleh ahli politik UMNO. Walaupun kumpulan Asas 50 dan para pengikut mereka sering bercakap tentang adab dan kesopanan, mereka tidak dapat dimasukkan ke dalam golongan orang beradab kerana hanya satu sebab: mereka tidak menerima konsep ilmu yang benar yang menjadi asas adab dalam Islam, oleh itu mereka menggunakan ukuran mereka sendiri untuk menilai karya kreatif dan akademik tanpa dikaitkan dengan adab seperti yang difahami dalam Islam. Oleh itu, apabila mereka mengadakan peraduan menulis, mereka pilih yang menang itu dari kumpulan mereka sendiri, tidak berasaskan kepada sumbangan dalam meningkatkan adab dalam masyarakat dan dalam dunia ilmu. Dalam SKPM 2014, Prof. Ulung Tan Sri Mohd. Kamal Hassan telah diberi tugas untuk memberi ucaputama (keynote address) kepada perhimpunan itu; tetapi dalam edisi kemas kini buku ITBM yang mengandungi kertas kerja SKPM, tidak terbayang sedikit pun adanya perbincangan mengenai ucaputama itu. Adakah ini sebahagian daripada adab kesarjanaan untuk tidak membahaskan kandungan ucaputama itu?  Ucaputama itu sebenarnya mempunyai perutusan yang amat penting dalam pembinaan tamadun yang dikatakan menjadi minat ITBM yang menganjurkan SKPM itu, iaitu tamadun berteraskan moral. Terkandung di dalamnya ialah aspek ilmu, sebagai teras pembinaan tamadun Malaysia.  Kerana ucaputama itu tidak dibincangkan, maka kedudukan moral dan adab dalam pembinaan tamadun diketepikan dan tidak diutamakan walaupun hanya sebagai satu idea.  Oleh hal yang demikian, apakah asas ITBM menjadikan sastera “teras negara bangsa”?  Empat orang sasterawan negara yang menulis dan membentangkan kertas dalam SKPM tidak menyebut di mana-mana dalam tulisan mereka bahawa sastera layak dijadikan teras negara bangsa, sebagai satu slogan baru.  Sebaliknya, tulisan mereka sendiri adalah gambaran jelas betapa kuatnya pengaruh pandirisme dan ciri-ciri iwajan dalam kegiatan sastera mereka. Mereka adalah “tukang cerita” kritik sastera, bukan mengemukakan idea konkrit yang boleh dijadikan asas perkembangan intelektual yang sihat. Semua tulisan  empat orang sasterawan negara ini  memperjuangkan ciri-ciri iwajan dalam bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu.  Oleh sebab saya telah banyak menulis tentang perkara ini dalam blog ini, anda hanya perlu membaca entri blog berkenaan untuk mendapat gambaran yang lebih jelas.  Tulisan mereka dalam SKPM ini menjadi bukti betapa mereka  bukanlah golongan pemikir seperti yang  digembar-gemburkan oleh DBP dalam seminar tentang pemikiran para sasterawan negara ini.  Jika anda faham maksud iwajan dalam perkembangan kebudayaan, bahasa dan sastera, anda akan melihat betapa suburnya aspek iwajan ini dalam tulisan empat orang sasterawan negara ini.  Saya harap kutipan panjang daripada Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas di atas memberi anda gambaran apa yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan ciri-ciri iwajan itu dalam perkembangan kebudayaan, bahasa dan sastera yang dibawa oleh Asas 50 dan dikemaskinikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Pemahaman ini sangat penting kerana ini ada kaitannya dengan kedudukan mereka  sebagai sasterawan negara, yang dilihat dari sudut yang menjadi pokok perbincangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu cukup jelas membuktikan mereka tidak layak diberi gelaran itu. Sila semak dengan kritis kefahaman anda tentang perkara ini.

Sebagai kumpulan yang kehilangan adab, seperti yang dihuraikan dengan jelas dan mantap oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam banyak tulisannya, maka para sasterawan negara ini  sudah jelas termasuk dalam kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972 di UKM, yang sudah tentu tidak layak dan tidak sewajarnya diangkat menjadi sasterawan negara kerana mereka sebenarnya tidak layak diberi kedudukan itu.  Karya merekalah yang menjadi saksi dan bukti hilangnya kelayakan itu.  Ini suatu kesimpulan penting yang perlu dinafikan oleh mereka dan para pengikut mereka, yang hingga kini belum lagi dikemukakan oleh mereka.

 Kehadiran Persuratan Baru dalam kritikan sastera Melayu menjadi saingan dan cabaran besar kepada teori sastera Barat yang masih digunakan dengan meluas oleh para sarjana dan sasterawan, walaupun teori sastera Barat sudah diisytiharkan oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dalam ucapan pentingnya 2005 di DBP sebagai punca kepada penilaian yang salah dan tidak tepat ke atas karya kreatif dalam sastera Melayu. Tetapi Profesor Muhammad Haji Salleh tidak berupaya menjelaskan dengan terperinci tesis beliau itu, oleh itu pendapat yang bagi saya tidak matang itu mati beragan. Dengan munculnya gagasan Persuratan Baru sebagai teori alternatif, kebenaran pedapat Profesor Muhammad Haji Salleh boleh diuji dengan menggunakan pendekatan yang dikemukakan oleh Persuratan Baru, tetapi kemungkinan ini telah ditolak oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan para pengikutnya sebagai tidak lebih daripada “salakan anjing kurap” dalam kritikan sastera Melayu, seperti yang ditegaskan dengan bergaya oleh Dr. Fatimah Busu dalam bukunya yang terkenal dan dijadikan bacaan wajib di Universiti Malaya di kalangan para pelajar sastera.  Adakah penilaian Profesor Muhammad Haji Salleh dan para penyokong beliau berasaskan pertimbangan ilmiah dan akademik? Saya belum lagi melihat apa-apa buku yang secara serius diterbitkan untuk menolak gagasan Persuratan Baru. Oleh itu, kehadiran gagasan Persuratan Baru jelaslah tidak boleh dicabar secara ilmiah dan akademik oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan para pengikut beliau. Kalau andaian ini benar, maka tepatlah kemunculan gagasan Persuratan Baru memang ditunggu-tunggu dalam kritikan sastera Melayu. Walaupun gagasan Persuratan Baru ditentang oleh kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba yang diwakili oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan para penyokong beliau, termasuk ITBM sendiri dan kumpulan yang berada di bawah pengaruhnya seperti PENA dan GAPENA,  namun belum ada lagi sanggahan ilmiah dikemukakan oleh mana-mana sarjana sastera. Dengan itu kehadiran gagasan Persuratan Baru sebagai pendekatan yang paling canggih pada waktu ini dalam kritikan sastera, belum lagi mampu dicabar oleh mana-mana sarjana, sama ada yang telah mengemukakan “teori” (sebenarnya bukan teori) mereka sendiri atau pun daripada para sarjana sastera secara umumnya.  Selama mana para sarjana sastera ini sanggup membodohkan diri mereka sendiri untuk tidak menerima cabaran gagasan Persuratan Baru sebagai kaedah alternatif yang paling canggih yang wujud ketika ini dalam kritikan sastera Malaysia? Mereka dijemput dengan segala hormat sebagai kumpulan sarjana yang berwibawa untuk menolak gagasan Persuratan Baru sebagai  satu-satunya “teori” sastera yang boleh digunakan dengan meyakinkan untuk menilai karya sastera di Malaysia.  Apakah yang menghalang mereka daripada menyahut cabaran yang biasa dalam perkembangan ilmu ini? Dengan mengambil sikap “lembu kenyang” (satu istilah Kelantan yang terkenal), sastera Melayu telah dikhianati oleh mereka ini yang kononnya menganggap Persuratan Baru hanya “salakan anjing kurap” saja. Tidakkah ini amat memalukan? Serendah itukah standard akademik kita?  Jadi mereka tidak ada pilihan, melainkan menghadapi secara ilmiah kehadiran gagasan Persuratan Baru ini.  Hanya inilah saja caranya mereka dapat melepaskan diri mereka dari kutukan sebagai “golongan pinggiran yang cetek meraba-raba”, yang tidak kenal kebudayaan sendiri dan berada di pinggiran sahaja dalam teori sastera Barat yang mereka tiru. Keadaan ini amat memalukan bagi golongan akademik yang mendakwa merekalah yang menentukan ukuran dalam penilaian karya kreatif dan dalam bidang kesarjanaan.  Sehingga mereka membuktikannya, maka kedudukan mereka sebagai “golongan pinggiran yang cetek meraba-raba” akan kekal, menjadi gerakan pandirisme yang telah mengkhianati perkembangan intelektual di Malaysia. Tentu saja ini merupakan satu cabaran yang amat besar, yang tidak boleh didiamkan sebagai “lembu kenyang” dalam ungkapan Kelantan yang terkenal itu.

Satu keistimewaan gagasan Persuratan Baru ialah pendekatan ini telah memberi takrif “pemikiran” dalam sastera, dengan mengemukakan konsep stylization of ideas. Inilah konsep yang dianggap oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu sebagai “salakan anjing kurap” dalam kritikan sastera Melayu.  Tuduhan ini menarik kerana ia menggambarkan dengan jelas sekali kualiti akademik  sarjana sastera yang mendakwa mereka mempunyai murid yang ramai dan pandai-pandai pula.  Seperkara lagi, tuduhan ini memberi perakuan tinggi kepada pandirisme yang dimiliki oleh mereka, namun mereka tidak sedar kerana terlalu asyik memantul kehebatan mereka sebagai golongan pinggiran yang cetek meraba-raba. Penjelasan lanjut yang agak mencukupi telah diberikan dalam Gagasan Persuratan Baru (edisi 2, 2014; hal. 330-336). Sebelum itu, ketika membicarakan pemikiran dalam Aligupit, saya telah menghuraikan stylization of ideas  dalam novel itu (Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan, hal.  149-151).        Kedua-dua rujukan ini penting diberi perhatian kerana di situ ditakrif makna “pemikiran” dan bagaimana pemikiran itu dijelmakan dalam karya kreatif.  Berasaskan penjelasan ini, anda boleh dengan mudah melihat “pemikiran” para sasterawan negara dalam karya mereka, untuk menentukan adakah mereka golongan pemikir atau hanya golongan penglipur lara sahaja. Menentukan perbezaan ini penting untuk menentukan kualiti karya mereka dan kualiti “pemikiran” mereka.  Jelaslah bahawa Gagasan Persuratan Baru berupaya membantu anda dalam membuat penilaian yang tepat kepada karya kreatif para sasterawan negara ini; di samping itu dapat pula melihat bagaimana para sarjana (ciritan) menghuraikan aspek pemikiran ini dalam kertas kerja mereka. Semua ini tidak akan berlaku jika sekiranya anda masih berada dalam kandang Mutual Admiration Club atau terus terikat kepada laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang langsung tidak berbicara tentang pemikiran, hanya memberi tumpuan kepada peniruan para sasterawan negara terhadap teknik dan teori sastera Barat yang telah gagal membaca dengan objektif karya para sasterawan negara ini.  Lihat juga penggunaan ruang naratif dalam konteks stylization of ideas yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir sewaktu beliau mengulas peristiwa kecil Prof. Awang memberi nama rumahnya (Pujangga Melayu, hal. 282), yang dihuraikan dengan cantik sekali dalam bukunya Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009, hal. 122-125); dan ulasan saya dalam Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016, hal. 370.)  Kesemua rujukan ini perlu dibaca dengan kritis dan kreatif untuk mendapat manfaatnya, dan makna stylization of ideas dalam Persuratan Baru.  Jika anda betul-betul memahami makna stylization of ideas anda akan dapat memahami dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan pemikiran dalam karya kreatif. Dan anda akan mengerti mengapa saya membuat kesimpulan para sasterawan negara ini adalah kumpulan penglipur lara moden, bukan jenis penulis yang berfikir.  Sekarang anda boleh berhujah dengan menyakinkan untuk menolak Persuratan Baru sebagai hanya “salakan anjing kurap” seperti yang dibuat oleh Profesor Muhammad Haji Salleh dan disokong oleh Dr. Fatimah Busu.  Gelanggang sudah terbuka luas untuk anda masuki. Masuklah sebagai ahli akademik yang berwibawa, yang memahami dengan mendalam konsep ilmu dan betapa pentingnya konsep ilmu yang benar itu menjadi asas penulisan kreatif dan akademik.

Anda perlu memasuki gelanggang ini untuk membawa kembali arah dan maruah persuratan Melayu Abad 21, di samping mengembalikan arah dan maruah anda sendiri yang sudah amat teruk bergelimpangan di lembah kekeliruan dan sesat dalam belantara ambiguiti teori sastera Barat. Naiklah ke tebing kebenaran dengan mencapai tangan Persuratan Baru yang dihulurkan kepada anda. Jangan malu untuk kembali kepada kebenaran.

@@@@

Cabaran yang saya kemukakan dalam entri ini, setelah memberi peluang kepada anggota Mutual Admiration Club yang berada di pinggiran dan cetek meraba-raba untuk menolak Gagasan Persuratan Baru dengan tuntas sebagai sarjana yang berwibawa dan mempunyai maruah akademik yang tinggi, perlu disambut dengan serius oleh sarjana handalan sastera Melayu seperti Profesor Muhammad Haji Salleh dan sahabat beliau Profesor Zawiyah Yahya yang meremehkan Persuratan Baru sebagai “contrived and closed” (hal. 65 bukunya),  juga oleh tokoh besar kritikan sastera Melayu seperti Prof. Dato’ Rahman Shaari, Baha Zain (yang mahu dijadikan model oleh Muhammad Haji Salleh tentang pencapaian tertinggi dalam kritikan sastera),  oleh “Raja Kritikan Sastera Melayu”, Prof. Madya Dr. Rahman Napiah atau Mana Sikana yang mengajar sasterawan dan sarjana melanggar semua peraturan untuk menjadi unggul dan layak berada di takhta keunggulan seperti semua sasterawan negara, termasuk juga Dr. Fatimah Busu yang bengis itu. Dan lain-lain sarjana besar atau sasterawan  yang anda lebih tahu siapa mereka.  Mereka tidak ada pilihan, melainkan berdepan dengan kebenaran. Mereka perlu bersifat murah hati untuk mendedahkan kehebatan akademik mereka sebagai sarjana yang menjadi ikutan, supaya tiada lagi di kalangan para pengikut mereka sarjana yang cetek meraba-raba.  Keaiban intelektual yang mereka perlihatkan selama ini memberi gambaran buruk kepada sastera Melayu dan sasterawan negara yang tidak diberi pembelaan ilmiah, sebaliknya dijadikan bahan ejekan dan bahan jenaka dengan memuji mereka begitu tinggi, seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan Mana Sikana dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, padahal mereka sebenarnya berada di atas tong kosong daripada kayu gabus yang banyak didapati di Pasar Chaw Kit.  Yang boleh mengembalikan maruah sastera Melayu dan para sasterawan dan sarjana hanya gagasan Persuratan Baru.

Quote:


“If you are irritated by every rub, how will your mirror be polished?”
― Rumi

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 15 September 2016.




No comments:

Post a Comment