Monday, August 29, 2016

JAWAPAN KEPADA TEGURAN YANG BIASA DIDENGAR ...

Nota: Saudara Ramlee Wahab beri komen ringkas kepada entri 13 April 2016. Saya balas komen beliau seperti di bawah. Komen beliau berbunyi:
ramlee wahabMarch 14, 2016 at 12:10 AM
Asslm.wbkth.
Tulisan yang menarik, mencabar wibawa jiwa dan ketajaman minda...syabas!

Ini pula respon saya:

Sdr. Ramlee Wahab, terima kasih kerana membaca blog ini.
Ada teguran mengatakan saya terlalu memberi perhatian kepada sasterawan negara, seolah-olah mereka saja yang wujud dalam sastera Melayu. Perlukah saya jawab? Beginilah, untuk mudah difahami. Katalah saya suka ayam percik, dan memilih ayam percik dari masakan yang lain, dan setelah merasanya berkata dengan tegas: Ini bukan ayam percik, ini ayam bakar yang tak masak disapu santan masam, bukan ramuan percik yang betul. Sekira-kira begitulah karya para sasterawan negara ini. Dipasarkan sebagai ayam percik yang tak masak, dengan ramuan santan yang masam, bukan ramuan ayam percik yang betul. Bagi orang yang tak pernah makan ayam percik, atau tidak mempunyai pengalaman menikmati ayam percik yang tulen, yang asli, maka dia pakai hantam saja, tak kira kualitinya kerana dia memang tidak tahu kualiti ayam percik yang sebenar. Itulah kedudukan para sarjana yang memuji melangit para sasterawan negara ini, dengan menempelkan segala istilah dari Barat yang mereka sendiri tidak faham secara mendalam dan dalam konteks yang melahirkan konsep-konsep yang mereka ratah mentah-mentah itu. Saya akan menulis tentang isu ini pada kesempatan lain, secara khusus, walaupun sebenarnya telah saya sebut banyak kali dalam blog ini. Isunya ialah mereka ini tidak mempunyai konsep ilmu yang betul, dan menolak konsep ilmu yang betul itu. Mereka tidak dapat membezakan antara ilmu dan maklumat, seperti mereka tidak dapat membezakan ayam percik yang tulen dengan ayam mentah yang disapu santan masam, bukan ramuan percik yang sebenar. 
Ini pula komen Prof. Dato’ Rahman Shaari untuk Baha Zain, kini seorang sasterawan negara:
" ...Baharuddin Zainal ialah pengkritik sastera yang cukup berjaya. Ia sebenarnya berjaya akibat daripada sikap berhati-hati yang ada padanya, dan sikap itu sentiasa dipeliharanya. Sikap berhati-hati itu menyebabkan kritikannya kerap kali mengandungi isi yang bernas, dan isi itu disampaikan melalui bahasa yang kreatif. Elok saya tegaskan , bahawa tidak besar jumlah pengkritik sastera yang berkeupayaan membina bahasa yang kreatif." -- Prof. A. Rahman Shaari, "Baharuddin Zainal Pengkritik Sastera dan Penyair." dalam Esei& Puisi Baha Zain (2000)

Pujian ini saya dapat dalam blog Baha Zain sendiri. Nampaknya beliau memuji kejujuran Prof. Rahman Shaari memuji beliau, dengan memuji dirinya sendiri dengan menggunakan kata-kata Rahman Shaari. Hakikat bahawa beliau amat tertarik dengan pujian ini menunjukkan beliau sangat terhutang budi kepada Prof. Rahman Shaari yang jujur memberi pujian kepadanya.  Ini biasa berlaku dalam sastera Melayu, oleh itu Baha Zain hanya meneruskan saja tradisi intelektual para sasterawan dan sarjana. Perbuatan Prof. Rahman Shaari bertepatan dengan nasihat Prof. Muhammad Haji Salleh supaya menjadikan Baha Zain contoh sarjana unggul yang patut dikuti oleh pengkritik Malaysia. Tetapi perbuatan ini dikeji dengan keras oleh seorang ulama besar Aceh dalam sebuah kitabnya, yang mengambil sebuah hadis sahih dari Sahih Muslim  ketika Nabi SAW memberi amaran kepada umat Islam dengan melarang mereka dari memuji manusia kerana yang layak mendapat pujian hanya Allah SWT saja. Siapa ulama itu, judul kitabnya, dan bunyi hadis itu, telah saya sebut berulang kali dalam blog ini.

The point is, adakah pujian ini kepada ayam percik asli yang sedap atau hanya memuji ayam bakar mentah yang disapu santan masam?  Mengenal mana satu yang asli dan mana satu yang fake adalah kewajipan orang berilmu.  Di Malaysia, hanya para sasterawan negara, para sasterawan dan sarjana saja yang kenal percik asli walaupun rasanya masam dan isinya mentah. Inilah contoh “pemikiran” yang diperoleh dengan bermimpi di atas bumbung kilang berkarat ala Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan teman-teman dalam Mutual Admiration Club mereka.

Inilah warisan kita, menurut ITBM dalam bukunya,  Sastera Teras Negara Bangsa.

Bagi orang yang biasa makan ayam percik asli, semua ini contoh ayam bakar biasa yang mentah disapu santan masam, bukan ayam percik asli.  Kerana saya sudah biasa makan ayam percik asli, dan dibesarkan dalam budaya itu, maka tentu saja saya tolak ayam bakar mentah yang disapu santan masam. It is as simple as that!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 28/8/2016.



1 comment:

  1. Tak tau nak kata, Tuan ini bijak atau lucu. Tapi bila difikir rasanya tepat perbandingan Tuan tentang ayam percik asli dan ayam bakar mentah disapu santan masam. Dua perkara bebeza diukur dengan ukuran yang sama. Mana boleh macam itu. Kalau begitu SN umpama ayam bakar tak masak disapu dengan santan masam? Patutlah Tuan kritik mereka teruk sangat.

    ReplyDelete