Thursday, May 30, 2019

ADAKAH SASTERA MELAYU PUN SUDAH DIBERSIHKAN?



Tajuk kali ini adalah penutup entri yang lepas (26 Mei 2019).  Dibersihkan dari pada apa?  Tidak saja sastera Melayu perlu dibersihkan; lebih-lebih lagi kritikan sastera Melayu memerlukan pembersihan besar-besaran.  Kotor sangatkah sastera Melayu dan kritikan sastera? Jawapannya saya berikan dalam beberapa buah buku, terakhir ialah Anugerah Sastera Melayu Dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).  Dalam entri yang lepas saya berikan rujukan untuk anda teliti sendiri.  Beberapa tulisan dalam bahasa Inggeris yang ditulis oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani  tidak dimasukkan, walaupun penting.

Mengapa sastera Melayu dan kritikan sastera Melayu perlukan pembersihan?  Apa jenis kekotoran yang memerlukan pembersihan itu?  Para sasterawan dan sarjana sastera masih lagi berpegang kukuh kepada teori sastera Barat, kerana mereka percaya sastera Melayu moden adalah warisan daripada sastera Barat, oleh itu terus bergayut kepada sastera Barat adalah satu kemestian yang mesti diteruskan jika sastera Melayu ingin dimajukan dan dikenali dunia.  Dengan berbuat demikian mereka berkata sastera Melayu akan menjadi anggota sastera dunia, suatu matlamat yang mesti dicapai sekiranya martabat sastera Melayu hendak dinaikkan ke taraf universal.  Hebat, tetapi kosong!

Ini mengingatkan kita kepada ucapan Angkatan 45, yang dengan sombong dan angkuh, tetapi bagi saya bodoh, menjeritkan bahawa “Sastera Indonesia Adalah Warisan Sastera Dunia.”  Penulis Melayu agak penakut dan ragu-ragu kerana mereka  tidak terdedah kepada sastera Barat ketika Asas 50 menjeritkan slogannya, yang totok dicuri dari gerakan Marxist dunia: “Sastera Untuk Masyarakat”.  Slogan ini, dan slogan yang satu lagi, “Seni Untuk Seni”, ditolak oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Bukhari Lubis, dalam syarahan perdana beliau di UPSI (2017). Rujuk hal. 21 untuk penjelasan lanjut.  Bagaimana pun, idea untuk merayau ke seluruh dunia menjadi impian sasterawan Melayu, terutama yang bergelar sasterawan negara. Jika anda mahu tahu bagaimana tingginya harapan mereka untuk menjelajah dunia dengan bantuan Kerajaan, baca dengan teliti buku terbitan ITBM  yang mengumpulkan kertas kerja satu persidangan besar tahun 2014 di Padang Golf di negeri Kedah.  Jika anda membaca beberapa cadangan para sasterawan ini untuk menonjolkan diri mereka dan karya mereka yang picisan, anda akan berasa pelik bagaimana sasterawan boleh mengemis pengiktirafan dengan cara yang begitu murah. Sila teliti buku itu sebelum anda menafikan kesimpulan saya. Saya memilih untuk mencabar, kerana ini lebih telus dan lebih adil kepada para sarjana dan sasterawan yang dicabar. Mereka perlu tahu dan faham mengapa dicabar untuk membuktikan mereka tidak picisan, tidak cetek meraba-raba.  Karya mereka dan tulisan mereka menjadi bukti sifat picisan ini; barangkali yang paling memeranjatkan ialah Panel Anugerah Sastera Negara memberikan laporan yang menjadi mercu tanda sifat picisan dalam penilaian sastera, yang anda boleh baca dalam buku saya terbaru, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).

Jika anda faham maksud saya mengenai pembersihan ini, anda akan dapat membuat kesimpulan yang agak tepat bahawa yang perlu dibersihkan itu ialah ukuran yang digunakan untuk menilai para sasterawan negara. Seperti yang saya pernah ulang berkali-kali, Panel  Anugerah Sastera Negara memilih terlebih dulu siapa yang akan mereka gelar sasterawan negara, selepas itu baru dicari alasan untuk membenarkan pilihan mereka itu tepat. Saya telah memberi pandangan kritis tentang kesimpulan ini, yang kita boleh dapat lihat jika kita membaca dan menganalisis Laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Saya pernah mencadangkan kepada DBP supaya mengumpul laporan ini dan menerbitkannya dengan pengantar oleh seorang sarjana sastera. DBP hanya menerbitkan ucap utama penerima Anugerah. Kesan saya membaca ucap utama para sasterawan negara ini meyakinkan saya kita tidak perlukan sasterawan negara. Bukti paling kuat dan kukuh ialah isi ucap utama mereka yang … (anda boleh masukkan sendiri kata sifat yang anda fikir sesuai).  Perhatikan, sejauh mana karya mereka mencerminkan pujian mereka ke atas diri mereka sebagai sasterawan negara.

Terus bergayut kepada sastera Barat bukanlah satu kemajuan; malah tidak ada alasan sama sekali untuk para sasterawan dan sarjana berasa bangga berada dalam kandang sastera Barat sebagai  kumpulan yang bebas bercumbu mesra dengan nilai-nilai Barat yang menolak sama sekali nilai-nilai yang menjadi asas berkarya seperti yang dituntut dalam konsep ilmu yang benar.  Percumbuan dengan sastera Barat dan nilai-nilai teori sastera Barat adalah antara pembersihan yang perlu dilakukan untuk mengembalikan darjat manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di dunia.  Inilah dua tugas besar manusia dalam Islam, yang tidak ada dan tidak dikenali dalam budaya Barat.  Sebaliknya Barat mengikut sepenuhnya ajaran Iblis dan Syaitan yang menganjurkan kebebasan penuh dalam berkarya, tanpa sebarang batasan nilai moral dan kepercayaan agama. Prinsip kebebasan inilah yang menjadi ikutan para sasterawan Malaysia, yang boleh anda lihat dengan jelas dalam karya mereka.  Tidak ada alasan sama sekali untuk mereka menolak kesimpulan ini, setelah mereka menolak bulat-bulat konsep ilmu yang benar.

Sejauh mana karya sastera Melayu mencerminkan dua tugas insan yang disebut di atas?  Saya telah menyatakan pandangan saya; oleh itu anda pulalah, sebagai sasterawan, untuk membuktikan bahawa anda menulis dalam konteks dua tugas besar manusia itu. Jika anda kecualikan diri anda sebagai sasterawan yang bebas, anda masih perlu memberikan pengakuan anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, bersikap lembu kenyang, maka keputusan anda itu menjadi bukti betapa palsunya kedudukan anda sebagai sasterawan negara dan sasterawan secara umumnya.  Sebagai satu cadangan ikhlas, anda tidak perlu melakukannya sendiri; cukup jika anda meminta para peminat anda memberikan pembelaan itu.  Ini telah dibuat oleh Mana Sikana, walaupun pembelaan beliau tidak ada kualiti akademik, hanya sekadar lontaran kata-kata pujian yang tidak dibuktikan dari pembacaan yang teliti dan kritis karya para sasterawan negara ini. Beliau telah menerbitkan tiga buah buku, tetapi buku-buku itu sama picisannya dengan karya para sasterawan negara sendiri.  Saya telah memberi ulasan saya dalam beberapa entri dalam blog ini.

Di sini pun kita perlukan pembersihan itu, dalam bidang akademik.

Bagaimana dengan pembersihan di DBP dan ITBM?  Jangan salah faham, yang saya maksudkan dengan pembersihan di DBP dan ITBM ialah perlunya kecekapan pengurusan dan kejujuran terhadap ilmu dijadikan panduan. Sekarang dua perkara ini tidak jelas, lebih terserlah untuk memihak kepada kelompok tertentu sambil mengambil sikap yang agak ganas terhadap individu atau kelompok yang tidak disukai. Ini jelas boleh dilihat, oleh itu tidak perlu penafian.  Yang masih menjadi tanda tanya, dan perlukan penjelasan, ialah bagaimana idea sasterawan negara ini muncul. Saya berpendapat, inilah kesempatan yang diambil oleh kumpulan Asas 50 yang bekerja di DBP untuk meletakkan diri mereka dan gerombolan mereka sebagai pelopor sastera Melayu moden.  Mereka menggunakan DBP untuk mendapat penghormatan tertinggi negara sebagai sasterawan negara.  Dalam konteks ini, adakah mereka jujur? Jika kita meneliti tokoh-tokoh yang diberi gelaran itu, kita dapati semuanya dari kelompok mereka. Jika mereka berkata, sebagai alasan yang amat lemah, bahawa tidak ada orang lain yang layak kecuali dari kelompok mereka; maka  jawapan itu membenarkan tuduhan selama ini bahawa mereka bekerja untuk kelompok mereka, bukan untuk sastera Melayu.

Kebenaran hanya dapat ditegakkan dengan hujah, dan setiap hujah mesti dibuktikan.  Prinsip ini dipakai dalam Mahkamah, tetapi tidak semua bukti itu benar. Ada bukti yang direka-reka, seperti  yang terjadi dalam kes Anwar Ibrahim yang difitnahkan dan fitnah itu dijadikan bukti di Mahkamah. Hukuman penjara dijatuhkan ke atas beliau berasaskan fitnah itu. Bagaimana ini boleh terjadi dalam perundangan?  Jawapannya mudah: yang berkuasa mesti menang, yang difitnah  mesti kalah.  Tetapi ini bukan sifat Islam. Ini sifat Iblis, malah inilah gerakan Iblis yang paling berkesan yang diterjemahkan dalam sistem demokrasi. Seperti yang telah diberitahu dalam entri yang lain, demokrasi adalah musuh Islam, bertentangan dengan Islam dan demokrasi sebenarnya tidak mempunyai nilai-nilai murni yang dapat diterapkan dalam kehidupan orang Islam. Demokrasi mengutamakan pertandingan dalam politik moden, dan untuk mendapat kemenangan ahli politik melakukan segala jenis kejahatan, paling utama ialah berbohong.  Inti demokrasi ialah mobilization of bias, yang dicurahkan dalam manifesto dan janji-janji palsu untuk menarik minat pengundi memilih parti tertentu. Dalam hal ini, Perdana Menteri  PH dengan jujur mengaku dia memang menjanjikan sesuatu yang tidak dapat dilaksanakannya kerana tiada keupayaan untuk itu; jadi beliau mengaku sudah berbohong untuk memenangi pilihan raya. Secara jujur dia mengaku berbohong kerana dia tidak sangka akan mendapat kemenangan besar. Paling celaka ialah apabila seseorang ahli politik menggunakan Islam untuk mendapat kemenangan dunia yang dicapai melalui sistem demokrasi yang mengutamakan pembohongan dan penipuan.  Islam menjadi rosak dan dihina serendah-rendahnya apabila seorang ahli politik membacakan ayat-ayat al-Quran untuk membenarkan propaganda politiknya.   Demokrasi dipaksakan ke atas umat Islam negara-negara Arab, yang kemudiannya menghancur-leburkan mereka.

Demokrasi dipaksakan ke atas umat Islam negara-negara Arab seperti yang berlaku di Libya, Iraq, Syria dan lain-lain. Dengan alasan untuk memperkenalkan demokrasi, Perancis mengebom Libya dan membunuh Ghadafi, sehingga sekarang Libya masih bergolak setelah sepuluh tahun dihancurkan Perancis. Syria hancur lebur, seperti yang kita lihat setiap hari dalam berita dunia. Iraq pun begitu. Demokrasi adalah musuh Islam dan musuh perdamaian.

Bagaimana pula keadaannya dalam bidang sastera?  Saya fikir saya telah memberikan jawapannya dengan panjang lebar dalam entri bertarikh 9/4/2013.

Bagusnya pula semua sasterawan dan sarjana sastera Malaysia menolak demokrasi, tetapi kerana sebab yang paling jahat, iaitu untuk menyisihkan Gagasan Persuratan Baru supaya tidak diberi tempat secara demokratik dalam kegiatan sastera.  Banyak sekali yang perlu dibersihkan dalam kegiatan sastera Malaysia, terutama sekali dalam kritikan sastera.  Saya biarkan kesimpulan ini tergantung di sini untuk memberi anda peluang yang cukup terbuka untuk  merenung sejenak apakah yang anda telah lakukan untuk mengkhianati perkembangan ilmu di Malaysia.

Selamatlah jiwa yang sempurna!


Mohd. Affandi Hassan,
 Petaling Jaya, 29 Mei 2019.






Sunday, May 26, 2019

CUKUPLAH SETAKAT INI …



Cukuplah setakat ini perbincangan saya tentang Pujangga Melayu.  Pembicaraan saya tentang novel Melayu yang berani mencabar kedudukan novel Russia karya Tolstoy, War and Peace.  Tidaklah Melayu malu sangat kerana para sasterawan mereka menulis karya picisan, dengan idea yang juga picisan, dan tekniknya yang picisan.  Pujangga Melayu memberikan mereka maruah intelektual yang gagal diberikan oleh para sasterawan negara. Gelaran sasterawan negara itu tidak langsung mempunyai erti kerana karya para sasterawan negara ini tidak sebuah pun dapat mengatasi Pujangga Melayu.  Demikianlah penipuan intelektual dan penipuan penilaian berlaku dalam kesusasteraan Melayu. Para sarjana dan sasterawan negara dan yang lain-lain berasa sangat megah kerana dapat menipu masyarakat dengan menonjolkan tokoh palsu yang picisan karyanya dan mereka sendiri pun picisan pula pengetahuannya. Kita wajib tolak gerombolan picisan dalam sastera Melayu supaya masyarakat tidak terus tertipu untuk menerima karya picisan yang palsu dari segi ilmu. Tuntutan ini sangat besar, tetapi mesti dilaksanakan jika kita ingin menyelamatkan anak muda dan generasi akan datang daripada  pengaruh palsu yang anti-ilmu ini.

Entri saya seterusnya akan memberi penekanan kepada soal kepemimpinan dalam politik Melayu; soal pendidikan yang berteraskan konsep ilmu yang benar; soal kritikan sastera yang perlu mencabar kepalsuan teori sastera Barat; soal bagaimana PB boleh dijadikan asas penulisan kreatif dan penilaiannya dalam persuratan Melayu, termasuk sastera. Satu perbincangan khusus tentang tiga kategori  karya (karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan/erotik dan lucah)  perlu  dimulai secara jujur, untuk menilai sama ada pembahagian itu boleh membantu kita memulai perkembangan baru dalam kegiatan kreatif dan dalam penilaiannya. Kita juga harus membincangkan dengan kritis sama ada pembahagian yang ada sekarang, dengan memberi perhatian yang berlebihan kepada sastera, sebenarnya menyekat perkembangan pemikiran baru dan kaedah baru dalam penulisan kreatif dan penilaiannya. Kita terlalu bergantung pada teori sastera Barat, sehingga kita menjadi hamba kepada pemikiran Barat yang kita tidak fahami dengan mendalam dan dapat melihat dengan jelas kekurangan teori Barat itu yang sebenarnya bertentangan dengan konsep ilmu yang diajarkan kepada kita oleh al-Quran dan ajaran Nabi SAW.  Apa untungnya kita meneruskan keterikatan itu kepada Barat; dan apa ruginya kita jika kita memahami konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran dan ajaran Nabi SAW?  Semua persoalan ini memerlukan kita melihat dengan kritis kedudukan persoalan yang kita hadapi sambil menentukan arah yang terbaik untuk kita tuju. Dalam konteks inilah pentingnya kritikan yang paling kritis diarahkan kepada Pujangga Melayu dan karya para sasterawan negara untuk mendapat kepastian mana satu pilihan terbaik dan yang paling tepat.  Tetapi para sarjana sastera dan sasterawan negara sendiri bermati-matian mempertahankan kedudukan istimewa sasterawan negara yang above criticism, tidak boleh dikritik dan tidak boleh disentuh. Inilah Brahmin Sastera, orang suci sastera Melayu yang bersih dari segala kesalahan dan kekurangan. Status ini hanya diberikan oleh orang Inggeris kepada William Shakespeare seorang saja; oleh itu semua sasterawan negara adalah setaraf dengan William Shakespeare tetapi tidak setaraf dengan Tolstoy, kerana karya Tolstoy War and Peace tidak boleh ditandingi oleh mana-mana karya para sasterawan negara yang diangkat menjadi Brahmin Sastera ini.  Tolstoy adalah seorang pengkritik Shakespeare yang paling violent. Saya tidak pasti berapa orang sarjana sastera Malaysia pernah membaca kritikan Tolstoy terhadap Shakespeare ini. Saya hanya ingin membuat catatan kecil, memang patut jika para sasterawan negara ini tidak sukakan Tolstoy kerana tiada sebuah pun karya mereka setaraf dengan War and Peace; tetapi karya itu kata mereka setaraf dengan karya Shakespeare! Tentu anda masih ingat cerita pendek “Sasterawan Negara William Shakespeare”.  Kalau anda membaca Shakespeare dalam konteks konsep ilmu yang difahami dalam Islam, tidak sebuah pun karya beliau boleh diterima sebagai karya bermutu yang setanding dengan karya Tolstoy. Kalau begitu, patutlah para sasterawan negara dan penyokong mereka para sarjana sastera menerima dengan baik sekiranya Shakespeare diberi gelaran Sasterawan Negara! 

Bagaimana pula kedudukan karya saya sendiri? Saya menunggu keputusan yang akan dibuat, atau sudah pun dibuat oleh para sarjana sastera penyokong sasterawan negara ini. Para sasterawan negara ini boleh bernafas lega kerana mereka setaraf dengan William Shakespeare. Adakah ini membuktikan para sasterawan negara ini sasterawan yang hebat?  Yang boleh menjawabnya hanya Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, kerana beliau pakar sastera Melayu dan seorang pakar yang disegani mengenai Shakespeare.  Para pelajar universiti Tahun I bolehlah memohon pensyarah sastera mereka supaya membuat soalan peperiksaan tentang perkara ini. Oleh sebab Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah memberitahu saya dan para pembaca tentang ranking saya yang amat rendah, maka bolehlah kita buat kesimpulan bahawa para sasterawan negara ini setanding dan setaraf dengan Shakespeare. Bayangkan kehebatan sastera Melayu yang mempunyai 13 orang sasterawan negara yang tak lama lagi akan mendapat sasterawan negara baru pula, bulan Julai 2019 nanti, dan kesemua mereka adalah setaraf (mungkin ada yang lebih tinggi tarafnya) dengan Shakespeare.  Dalam konteks ini, bagaimana kedudukan Hikayat Buyung Lurus? Lebih bermutu atau rendah tarafnya jika dibandingkan dengan karya Shakespeare? Saya dan mungkin orang lain juga hendak tahu kedudukan Hikayat Buyung Lurus ini. Tetapi jangan khuatir, tiada siapa pun yang berani bercakap tentang perkara ini.  Mereka tidak mahu kelihatan bodoh dan mengarut jika mereka tidak menguasai dengan agak jelas, walaupun tidak mendalam, makna dan matlamat konsep ilmu yang benar  yang dibayangkan dalam novel itu, yang sebenarnya telah dibahaskan dengan mendalam dalam Pujangga Melayu yang terbit lebih awal. Hikayat Buyung Lurus memberi penekanan kepada aspek korupsi seperti yang difahami dalam Islam yang menggunakan konsep fasad.  Konsep fasad ini lebih menyeluruh, tidak hanya  terbatas kepada pertukaran wang semata-mata seperti makna yang diberikan kepada korupsi. Dengan itu, dan ini perlu diberi penekanan, penggunaan istilah korupsi dalam konteks itu pun adalah perbuatan fasad, yang dengan sengaja menyembunyikan makna fasad yang menyeluruh itu, termasuk korupsi dalam kefahaman tentang ilmu, juga dalam kefahaman tentang makna kreatif menurut pandangan Islam.

Kita kembali kepada ungkapan “persuratan adalah perjuangan” untuk memahami  mengapa konsep ilmu yang benar itu sangat penting dalam membina tamadun intelektual yang sebenar di Malaysia. Aspek ini tidak pernah dibincang oleh mana-mana sarjana sastera mahu pun para sasterawan negara sendiri. Sebabnya sangat mudah. Jika aspek ini mereka jadikan inti perbincangan mereka, maka mereka akan dapati semua para sasterawan negara adalah picisan dan semua karya mereka pun jenis picisan. Oleh itu, menurut mereka, lebih selamat jika perkara yang menjadi inti ungkapan “persuratan adalah perjuangan” itu tidak disentuh, malah dilarang daripada dibincang. Mereka tahu, mereka tidak boleh berkata “sastera adalah perjuangan” kerana idea ini tidak pernah muncul dalam tradisi penulisan yang mereka ikuti, yang dilemparkan oleh Asas 50 dalam slogan kosong mereka “sastera untuk masyarakat” itu.  Apa yang hendak mereka beri kepada masyarakat, terutama sekali dalam perkembangan intelektual?  Kosong.  Tidak ada apa-apa yang akan membolehkan kita membina sebuah masyarakat yang cintakan ilmu dan memperjuangkan kebenaran ilmu seperti yang diajarkan al-Quran. Mereka tidak mempunyai apa-apa visi yang boleh dijadikan landasan untuk membina sebuah negara beradab, kerana karya mereka sendiri tidak mementingkan konsep adab dalam pembinaan tamadun yang kita ingin bina untuk bangsa kita. Kalau begitu, apakah yang mereka bolah lakukan melalui karya mereka?  Sama ada disedari atau tidak oleh mereka, sebenarnya mereka sedang membina kebiadaban baru berasaskan hawa nafsu, menerima budaya hawa nafsu yang dikembangkan di Barat untuk dijadikan contoh. Ini semua boleh kita lihat dalam karya mereka, seperti yang saya telah huraikan dalam buku saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, yang wajib dibaca oleh semua penulis Malaysia jika mereka tergolong dalam kumpulan penulis yang jujur terhadap ilmu.

Perbincangan tentang peranan ilmu dalam penulisan kreatif masih baru lagi di Malaysia, bermula dengan tulisan saya di majalah Dewan Sastera 1989, yang kemudiannya diedit oleh Puan Rogayah Abdul Hamid untuk diterbitkan oleh DBP tahun 1992. Cetakan ke-2 diusahakan oleh KP Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri. Beliau ialah Prof. Firdaus Abdullah. Anda boleh agak judul buku itu, oleh itu tidak perlu dicatat di sini.  Selepas itu terbit buku-buku yang secara khusus membicarakan Gagasan Persuratan Baru, diterbitkan oleh UKM di bawah kelolaan Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani.   Daripada usaha merekalah PB diperkenalkan di peringkat antara bangsa berupa kertas kerja yang dibentang dalam persidangan sastera dan kritikan dan kemudiannya diterbitkan di dalam jurnal. 

Sejauh mana PB dikenali di Malaysia sendiri saya tidak pasti;  tetapi itu tidak penting. Lebih penting ialah mengapa konsep ilmu yang benar itu penting?  Saya berikan satu contoh yang paling bodoh dan mudah, yang begitu mudah sehingga orang yang paling bodoh sekali pun boleh faham. Kalau anda menahan sebuah teksi, dan anda dibenarkan masuk, maka bertanyalah pemandu teksi itu, “Encik hendak ke mana?”  Lalu anda pun memberi alamat anda, pemandu memandu teksinya dengan berhati-hati, dan setelah beberapa lama anda pun sampai di rumah anda. Apa yang anda buat? Biasanya terlebih dulu anda bertanya berapa tambangnya, sebelum keluar dari teksi itu. Anda bayar, dan keluar lalu masuk ke dalam rumah anda. Setakat ini, anda faham maksud saya membawa contoh yang bodoh dan mudah ini?  Tidak mengapa sekiranya anda tidak faham, itu tandanya anda tidak siuman. Tetapi kalau anda tidak siuman, mengapa pula anda menahan sebuah  teksi untuk pulang ke rumah anda?  Sebenarnya orang gila pun tahu di mana rumahnya, jika dia ada rumah. Jika dia tidak punya rumah, dia tidak perlukan teksi; cukup dengan merayau-rayau mencari tempat yang sesuai untuk tempat berhenti dan mungkin untuk tidur. Walaupun dia gila, dia tahu dia tidak akan tidur di tengah jalan yang sibuk dengan kereta lalu lalang. Dia pun mahu selamat dalam kegilaannya. Lalu dia berhenti di kolong jambatan yang di atasnya bising dengan kereta lalu dengan laju. Dia pun tidur. Kalau dia tidak mati ketika sedang tidur, dia akan bangun dan meneruskan kehidupannya sebagai orang gila. Katalah anda bertemu dengan orang gila itu, dan sebagai seorang sasterawan anda pun bertanya, “Mengapa kamu gila? Bahagiakah kamu sebagai orang gila?”  Orang gila itu merenung anda dengan matanya terkelip-kelip, tersenyum, dan setelah beberapa ketika, lalu bertanya, “Adakah pertanyaan tuan siuman? Mungkin anda juga gila, malah lebih gila daripada saya… Boleh beri saya seringgit untuk beli minuman?” Dia pun menghulurkan tangannya, dan anda pun berlalu dari situ. Tetapi anda seorang sasterawan, ketika itu anda berfikir keras, dan bertanya dengan jujur kepada diri anda, “Tidakkah pertanyaan orang gila tadi satu pertanyaan yang siuman? Adakah aku terlalu menggilai sastera sehingga tidak tahu makna kebenaran?”

Sebuah lakaran satu cerita yang kemungkinannya untuk dijadikan sebuah novel yang bermakna tidak terbatas, boleh saja dibentuk secara kreatif untuk dijadikan sebuah novel besar yang memberi makna yang juga besar kepada seorang pembaca yang cerdik dan jujur kepada ilmu, yang tahu peranan ilmu dalam kehidupan manusia yang siuman. Itulah Pujangga Melayu, satu-satunya karya Melayu yang tuntas mencabar karya Tolstoy, War and Peace.  Seorang pengarang yang tidak sanggup melontarkan cabaran seperti itu, maka dia bukanlah pengarang yang berbobot (pertama kali saya guna perkataan ini), tetapi hanya seorang penulis yang hanyut dalam imaginasi karut naik sebuah teksi, tetapi tidak tahu ke mana hendak pergi. Sampai habis minyak pun dia masih tidak tahu di mana hendak berhenti.  Adakah tidak pemandu teksi yang tidak tahu tempat yang hendak ditujunya? Ada, oleh itu dia minta penumpangnya memberitahu. Bagaimana jika penumpang itu tidak tahu ke mana dia hendak pergi? Dialah sasterawan negara yang dilambung-lambung itu!

Kalau ada seorang sasterawan yang seperti dalam sketsa itu, heret dia ke Sungai Kelang dan campakkan saja ke dalam Sungai Kelang yang kini sudah dibersihkan. Adakah sastera Melayu pun sudah dibersihkan?

Selamatlah jiwa yang sempurna!


Rujukan:
Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid.
Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2.
Hikayat Buyung Lurus.
Hikayat Salim Adil.
Balai Maqamat.
Pujangga Melayu.
Pandirisme Dalam Komunikasi Dunia.
Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Ilmu Teras Persuratan Melayu.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir,  Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir,  Dinamika Pemikiran Sastera Melayu.
Muhammad Bukhari Lubis,  Kesusasteraan Islami Bandingan: Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  26/5/2019.


Wednesday, May 22, 2019

“KITA AKAN MENANG, AYAH”: KATA FATIMAH!




Itulah ayat terakhir Pujangga Melayu.

Pembaca yang cerdik dan berfikiran positif  tidak akan bosan dan muak membaca perihal Pujangga Melayu, sesuai dengan kedudukannya sebagai novel terbesar Malaysia, mengatasi semua karya para sasterawan negara. Anda hanya membuang masa anda  dengan membaca karya para sasterawan yang picisan dari segi teknik dan picisan pula dari segi isi. Saya akan tetap membicarakan makna novel besar ini dalam perkembangan pemikiran di Malaysia, satu-satunya novel yang boleh mencabar novel besar Tolstoy, War and Peace.  Mengapa saya masih mengulangi  lontaran cabaran ini kepada para sarjana dan sasterawan Malaysia?  Sebab yang paling mudah ialah kerana mereka telah gagal memberikan sumbangan yang bersifat pemikiran dalam perkembangan seni mengarang di negara ini. Ujian kegagalan mereka hanya dapat diketahui dengan jelas apabila mereka dicabar untuk mengemukakan sebuah karya sebesar karya Tolstoy, War and Peace.  Kerana mereka gagal memberikan kita jawapan konkrit membuktikan  mereka tidak layak digelar sasterawan negara, maka kewujudan mereka sebagai sasterawan negara adalah satu pengkhianatan budaya yang amat serius, yang memalukan kita semua kerana kita dengan sengaja menonjolkan para karyawan picisan yang menulis karya picisan untuk dijadikan contoh, padahal mereka palsu.  Dari segi pemikiran mereka adalah golongan picisan yang tidak layak diberi penghormatan sebagai sasterawan negara.  Kenyataan serupa ini saya ulang berkali-kali untuk mengingatkan anda kedudukan sebenar karya picisan para sasterawan negara ini.

Apakah makna dan maksud kemenangan yang diucapkan oleh Fatimah itu? Jawapannya terkandung dalam ayat terakhir novel yang berbunyi, “Demikianlah sebuah negara Islam perlu ditegakkan kerana Fatimah telah berkata:

“Kita akan menang, ayah!”

Itulah suara Tok Ayah.”

Kalau anda membaca novel ini, anda akan tahu Fatimah itu seorang gadis remaja yang cerdik. Mengapa saya memilih seorang remaja wanita untuk menyampaikan amanah novel ini?  Saya mahu para cendekiawan sastera memberikan jawapannya, kerana jawapan anda akan mencerminkan kecerdikan dan kematangan anda sebagai seorang pemikir sastera, seorang sarjana sastera. Lebih baik lagi jika yang memberikan jawapan itu seorang sasterawan negara, untuk membuktikan bahawa dia seorang yang lebih cerdik daripada seorang gadis remaja yang bernama Fatimah! 

“Persuratan adalah perjuangan”  akan kekal dan terus bergema di kalangan anak muda jika mereka tidak dikhianati oleh para sarjana sastera dan guru-guru sastera yang mengajar mereka di sekolah dan di universiti. Ungkapan “persuratan adalah perjuangan” Itulah suara Tok Ayah, yang akan terus bergema dalam persuratan Melayu hingga ke hari kiamat sehingga terbinanya kemenangan yang diucapkan oleh Fatimah.

Itulah makna dan maksud ungkapan “persuratan adalah perjuangan”.  Sebagai sebuah manifesto politik yang menuju ke arah pembentukan Negara Islam Malaysia dan seterusnya Negara Islam Nusantara,  Pujangga Melayu perlu dibaca dengan kritis dan dibincangkan dengan kritis juga.  Perbincangan ini menjadi menarik dan amat perlu dibahaskan dengan terbuka apabila Melayu dicabar untuk menerima pembahagian Persekutuan Tanah Melayu kepada dua entiti, satu untuk kaum pendatang Cina, satu lagi untuk Melayu yang sejak 40,000 tahun memiliki Semenanjung Tanah Melayu ini, menjadi sebahagian daripada Nusantara,  kini dicabar untuk menafikan sejarah itu dengan menerima kedatangan orang asing sebagai hak yang telah diberikan oleh British ketika mereka membawa masuk orang Cina dan India ke Tanah Melayu.  Kemudian timbullah soal perkauman, sebagai legasi penjajah British yang memberi hak istimewa kepada pendatang haram yang diberi hak jus soli itu pada tarikh “kemerdekaan” Semenanjung Tanah Melayu yang diberikan kepada tali barut British sendiri.  Kemenangan Inggeris selepas Tanah Melayu Merdeka adalah perjuangan politik  yang memberi hak istimewa kepada pendatang yang dibawa masuk oleh mereka. Orang Melayu tidak diberi hak istimewa itu, oleh itu sesiapa juga yang mengatakan Melayu mempunyai hak istimewa adalah buta politik, golongan pengkhianat yang menipu bangsa Melayu.  Inilah punca timbulnya masalah perkauman dalam politik Malaysia. Yang dikatakan “masalah perkauman” itu tidak pernah menjadi masalah dalam politik orang Melayu, tetapi diperjuangkan dengan gigih oleh para pendatang untuk memastikan hak istimewa yang diberikan kepada mereka oleh British terus kekal dan menjadi masalah perkauman dalam politik Malaysia. Semua ini dibuktikan oleh suara jeritan Cina yang berarak di Kuala Lumpur yang menjeritkan, “Melayu balik kampung” yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969. Suara siapakah yang menjeritkan “Melayu balik kampung!” itu?  Jawapan kepada soalan ini akan memberikan anda jawapan mengapa terbentuknya apa yang dinamakan kerajaan Pakatan Harapan itu, dan slogan Malaysia Baru, adalah suara Barisan Nasional yang sudah direkon oleh Dr.           Mahathir Mohamed.  Siapa pemilik Malaysia Baru? Kalau anda Melayu yang cerdik dan tegas, dan faham permainan politik tinggalan British ini, anda akan faham mengapa dalam tahun 1981 timbul gesaan supaya Tanah Melayu dibelah dua. Usaha untuk membina sebuah negara baru tetap akan menjadi matlamat golongan pendatang yang dibawa British ini.  Nama negara telah ada, kini menjadi sebuah universiti di Singapura!

Itulah sejarah dan hakikat politik yang telah dipaksakan ke atas bangsa Melayu, berupa kemenangan British mengekalkan masalah perkauman yang mereka bawa dan maktubkan dengan jayanya dalam Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu 1957 itu.  Untuk siapa yang dinamakan “kemerdekaan” itu?  Penjelasannya telah dibuat oleh Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail dan lain-lain sarjana yang sedar akan penipuan politik ini. Anda boleh dapat maklumat itu melalui YouTube.

Apakah sebenarnya makna politik perkauman?  Dalam politik Melayu, tidak ada konsep perkauman; yang ada ialah konsep puak.  Betulkah orang Melayu suka berpuak-puak?  Tidak pasti sama ada orang Melayu tahu atau tidak bahawa konsep puak-puak ini diangkat menjadi satu sistem hidup yang paling unggul dalam politik moden, iaitu demokrasi.  Sistem demokrasi adalah sistem yang menggalakkan perkembangan puak-puak yang dirasmikan dalam pilihan raya semua peringkat. Sistem demokrasi menggalakkan pembohongan dan dengan itu menggalakkan korupsi. Sesiapa juga yang berkata dia akan menghapuskan korupsi melalui sistem demokrasi adalah pembohong besar. Sama ada dia sedar mengenai pembohongan ini atau tidak, tidak menjejaskan kedudukan dan praktik demokrasi yang hanya boleh hidup dengan korupsi. Demokrasi menggalakkan korupsi setiap peringkat kehidupan manusia, satu sistem yang paling kotor yang menjadikan penipuan sebagai tonggak utama kepemimpinan.  Jika anda seorang pemerhati politik yang tajam, dan tahu serba sedikit tentang demokrasi, anda boleh perhatikan dengan mudah siapakah di antara para pemimpin politik yang tidak korup. Semuanya korup.  Ini tidak dapat dielakkan kerana demokrasi tidak mempunyai pertahanan dalaman yang bersifat kerohanian, satu aspek kehidupan manusia yang tidak dapat dipisahkan. Yang terjadi ialah sering kali keperluan sifat-sifat kerohanian itu diketepikan kerana para pemimpin ini ada yang sedar bahawa pembohongan adalah kutukan terbesar dalam kehidupan seorang pemimpin, yang tidak akan dapat muncul bersama dalam peribadi seorang pemimpin politik.  Jika anda memberi perhatian kepada aspek kerohanian, anda akan bersikap jujur; dan ini tidak sesuai untuk menjadi bawaan seorang pemimpin politik. Sekali lagi, sambil menonton TV atau membaca akhbar, cuba anda perhatikan gelagat para pemimpin politik Malaysia,  yang tidak mungkin tidak berbohong untuk mencapai matlamatnya sebagai seorang pemimpin politik. Tidak ada pengecualian, walaupun ahli politik itu mengaku dia seorang ustaz, ulama, seorang tokoh pemimpin Islam.  Malah kumpulan inilah yang paling berani berbohong kerana mereka pandai membaca ayat-ayat al-Quran dan cekap pula menggunakan hadis  untuk menipu masyarakat dan pengikut mereka.  Anda akan menderetkan ayat-ayat al-Quran untuk memuji parti anda, dan pada waktu yang sama mengutuk parti lawan anda walaupun mereka juga mempunyai pengikut beragama Islam atau seratus peratus beragama Islam. Islam hanya untuk mereka, menjadi milik mereka untuk dijual kepada para pengundi bahawa merekalah pemimpin politik yang jujur dan tidak pernah berbohong.  Rakyat mungkin sudah tahu bahawa tanpa pembohongan sebagai tonggak penting dalam kepemimpinan, seseorang tidak akan berjaya menjadi ahli politik terkenal dan boleh menang pilihan raya. Yang menariknya, rakyat memberi sanjungan tinggi kepada para pembohong ini sebagai tokoh politik yang boleh dipercayai.

Lebih menarik lagi ialah peranan kuasa dalam menentukan siapa pembohong siapa tidak  dan bagaimana kuasa politik digunakan untuk menghukum pihak yang kalah dalam pilihan raya, seperti yang sedang berlaku sekarang di Malaysia.  Kedua-dua pihak, yang mengutuk dan yang dikutuk, hanyut dalam pertandingan hebat kata mengata yang berterusan tanpa sebarang matlamat yang jelas dan boleh dipercayai kejujurannya.  Inilah sifat demokrasi, dengan penekanan kepada hak mutlak yang menang untuk mengutuk yang kalah, walaupun yang kalah itu dari kumpulan yang sama satu ketika dulu.

Sekali imbas perbincangan ini seolah-olah meleret-leret tak tentu hala, tak tentu arah. Tetapi jika anda perhatikan betul-betul, ada dua perkara yang saya tekankan dalam entri ini. Pertama, menegaskan lagi konsep “persuratan adalah perjuangan” yang diringkaskan dalam ayat terakhir, “Itulah suara Tok Ayah” dalam Pujangga Melayu merujuk kepada tradisi persuratan Melayu sebagai alat perjuangan dalam membina sebuah negara Islam yang bermula di Tanah Melayu, yang akhirnya akan menjadi Negara Islam Nusantara. Jika kita perlu seribu tahun untuk mencapainya, kita akan terus berjuang selama seribu tahun. Usaha pertama ialah memberi kesedaran itu bahawa itulah matlamat kita; seterusnya kita akan menghunjam kesedaran itu sehingga menjadi satu perjuangan dalam membina peradaban berasaskan konsep ilmu yang benar itu.  Penekanan kedua ialah hasil penulisan kreatif dalam Persuratan Baru ialah untuk mencerdikkan bangsa Melayu supaya mereka bersedia untuk memegang tanggungjawab kepemimpinan itu dalam membangunkan Negara  Islam Nusantara.  Tiada tempat untuk tertawa mengejek, kerana ini telah dilakukan oleh kafir Quraish pada permulaan kerasulan Nabi Besar Muhammad SAW.  Kemusnahan tetap berada di pihak golongan kafir segala jenis; kemenangan tetap tercapai juga oleh para pejuang Islam. Itulah ketentuan yang dijanjikan!

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 21 Mei 2019.