Kehadiran teori dan pendekatan kritikan Barat dalam sastera Melayu moden
telah berjaya membawa sarjana sastera ke
dalam belantara maklumat dan sesat meraba-raba di situ. Teori dan pendekatan itu telah memberi mereka
keseronokan “akademik” yang membuat mereka khayal dalam timbunan maklumat yang
mereka gunakan sewenang-wenangnya dalam kerja-kerja akademik mereka. Kita dapat lihat keseronokan di kalangan
sarjana ketika mereka membentangkan kertas kerja mereka dalam seminar pemikiran
para sasterawan negara. Kita sudah mempunyai sekurang-kurangnya 200 kertas
kerja yang boleh dijadikan bukti betapa penggunaan maklumat yang tidak disaring
dengan konsep ilmu yang benar itu mengelirukan para sarjana ini, dan ini
dijadikan asas oleh mereka ketika membuat penilaian dan kritikan terhadap karya
kreatif. Kita akan meneliti beberapa buah tesis Ph.D. yang telah diterbitkan
untuk melihat bagaimana kekeliruan ini dijadikan arus perdana dalam kajian dan
kritikan sastera.
Para sarjana sastera Malaysia telah
berjasa besar membawa masuk begitu banyak maklumat tentang kritikan sastera,
dalam pelbagai pendekatan yang dipakai di Barat. Mereka begitu ghairah
memperkenalkan aneka ragam pendekatan yang kadang-kadang aneh-aneh, seperti
misalnya pendekatan interteksualiti, teori pascakolonial, feminisme, unsur subaltern dalam teori hegemoni Gramsci,
dan lain-lain. Terbaru yang diperkenalkan mereka ialah teori (atau pendekatan?)
sastera perjalanan, yang membicarakan pengalaman perjalanan sasterawan melihat
muzium, patung-patung di muzium, kubur sasterawan dunia, dan lain-lain. Semua
“teori” ini sesuai digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara, dan dapat membantu menyerlahkan kekuatan karya
mereka. Beberapa orang sasterawan negara sudah ada yang menulis kisah alam
akhirat, tetapi hingga kini belum ada lagi teori tentang sastera akhirat ini.
Mungkin sedang dalam pembinaan. Jika teori sastera akhirat ini muncul, maka
lengkaplah teori sastera dunia yang boleh dipakai untuk menganalisis karya para
sasterawan negara. Antara yang berani menulis tentang akhirat ini ialah Anwar
Ridhwan, (lihat Laporan 2009, hal. 9,
mengenai cerita pendek “Hati” tentang kehidupan manusia di alam roh), Arena
Wati, dan mungkin yang lain-lain juga. Imaginasi para sasterawan negara ini
tidak terbatas! Dalam hal ini mereka
adalah pengikut yang sangat taasub teori sastera Barat, dan tidak menghormati
etika penulisan menurut pandangan Islam.
Dalam perkembangan ini, kita dapat
melihat dengan jelas betapa terikatnya para sarjana kita kepada teori sastera
Barat. Sekali imbas keterikatan ini seolah-olah satu perkembangan biasa, yang
banyak berlaku di negara-negara lain. Ada dua perkara penting mengapa hal ini
terjadi. Pertama, inilah kesan kolonialisme yang memberikan anak jajahan bahasa
jajahan, seperti Inggeris, Perancis, German, Portugis, Belanda, Sepanyol. Semua
ini bahasa penjajah yang diterima menjadi bahasa kedua yang utama; malah itulah
juga bahasa rasmi beberapa buah negara yang kemudiannya diberikan kemerdekaan dengan syarat-syarat tertentu, walaupun ada
yang merebut kemerdekaan itu dengan pemberontakan. Bahasa penjajah, sistem
ekonomi, sistem politik, perundangan, malah sistem sosial sendiri pun mengalami
perubahan besar hasil penjajahan itu. Perubahan dari segi sosial lebih berkesan
dengan tumbuhnya bandar-bandar baru yang mengurung penghuninya dalam
rumah-rumah kecil yang sempit yang kemudiannya menjadi sumber jenayah.
Pembangunan dan pemodenan membawa masalah baru yang kemudiannya dibiasakan,
iaitu jenayah dalam berbagai-bagai bidang kehidupan moden. Dalam hal ini, dua
jenis jenayah yang sangat popular dan dijaga dengan seluruh kekuatan sistem:
iaitu jenayah ekonomi dan politik dalam bentuk rasuah. Kini rasuah diinstitusikan
dari segi politik dengan diberi nama-nama khusus yang tidak lagi berupa bentuk
rasuah, tetapi termasuk dalam belanjawan negara atas nama projek tertentu untuk
kemakmuran rakyat. Di sinilah politik memainkan peranannya yang istimewa: wang
yang diperuntukkan itu akhirnya masuk poket ahli politik sendiri dengan
kerjasama pengusaha dan peniaga yang membangun negara. Jenayah kedua, yang lebih penting,
dilaksanakan dalam bentuk pelajaran dan pendidikan. Sebelum merdeka sistem
pendidikan utama dalam bahasa Inggeris, yang menyatukan orang Melayu, Cina dan
India di bawah satu bumbung. Selepas merdeka, semuanya dipisahkan ke sekolah
jenis kebangsaan, dengan itu tiga jenis manusia yang menjadi rakyat Malaysia
tidak lagi belajar dalam satu sekolah, satu sistem. Sekarang kita mempunyai
tiga sistem: sistem kebangsaan untuk orang Melayu dan segelintir murid Cina dan
India. Cina dan India diberi sekolah mereka sendiri dengan dibiayai oleh
kerajaan. Hanya di sekolah kebangsaan saja subjek sastera ditawarkan dan diajar. Cina dan India ada sastera mereka sendiri.
Inilah wajah korupsi dalam bentuk kebudayaan dan pelajaran.
Apabila kritikan sastera lahir, ia
lahir dalam satu sistem yang sudah korup, yang dikuasai sepenuhnya oleh sistem
pendidikan Eropah/Barat. Semua nilai
sastera ditentukan di Eropah, di negara Barat. Semua konsep yang kita pakai dan
jadikan panduan, kita ambil terus dari Eropah/Barat. Genre kita yang baru
adalah genre Eropah, yang menirunya dari Arab dan Parsi, dari negara-negara
Islam di Andalus. Hanya drama saja yang boleh kita katakan yang totok Eropah,
berasal dari Yunani sebagai persembahan kepada dewa-dewa mereka. Sekarang
inilah yang menjadi kegilaan masyarakat moden apabila dicipta peralatan baru
untuk mendramakan semua pengalaman
manusia, asal saja yang terlintas di fikiran mereka atau imaginasi mereka.
Antara yang dongeng dari alam fantasi dengan yang real dari pengalaman dunia
nyata, tidak ada lagi garis pemisah yang membezakan antara keduanya. Inilah
alam kesusasteraan yang sedang kita hadapi sekarang, dan dari alam inilah teori
sastera dikonsepsi dan dipraktikkan. Anda ambil saja mana-mana teori sastera
Barat, misalnya teori interteksualiti, yang mengatakan tidak ada karya sastera
yang murni dan asli, semuanya diadun secara sedar atau tidak daripada fantasi
yang sudah diwujudkan dalam dongeng atau yang dialami sendiri oleh
penulis. Dengan menggunakan istilah ini,
segala kerja plagiat, kutipan, curian, ambilan seluruh atau sebahagian,
peniruan dan sebagainya, tidak lagi menjadi suatu jenayah, sebaliknya suatu
kerja terpuji menggambarkan pengarang luas pengalaman dan tahu memilih mana
satu yang hendak dicuri atau ditiru. Sekarang memplagiat sudah menjadi kerja
terpuji. Dengan pandangan dan anggapan seperti ini, tidak hairanlah jika para
sasterawan menganggap diri mereka lebih tinggi darjatnya daripada para ulama
dan ahli ilmu, oleh itu gelaran sasterawan negara itu memang cocok dengan
mereka. Barangkali inilah, antara lain, jasa paling besar teori sastera Barat.
Jika anda teringatkan teksdealisme, jangan lagi berkata tiruan atau ambilan
atau pencurian daripada tulisan dan idea Harold Bloom, kerana Harold Bloom
sendiri berkata mencuri itu terpuji, menunjukkan pengarang mempunyai keberanian
untuk mengambil apa saja dan mengubahnya.
Baca bukunya, antara lain, The
Anxiety of Influence: A Theory of Poetry (1973), A Map of Misreading (1975). Teksdealisme lahir dari buku-buku ini,
dan ini amat menarik kerana tidak seorang pun sarjana yang menyebut hakikat
ini. Sangat aneh? Saya fikir mereka tidak tahu, kerana memang benar kesimpulan
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas,
para sarjana ini adalah kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba.”
Teori sastera Barat adalah sejenis dongeng intelektual yang sentiasa
berubah naratifnya, apabila muncul tukang dongeng intelektual baru yang memberi
wajah lain kepada dongeng yang sedia
ada. Inilah sifat asasi “teori” interteksualiti yang dibina oleh Julia Kristeva
daripada idea Bakhtin, Saussure, Jacque Lacan, yang berpunca daripada Sigmund
Freud. Jika tidak berhati-hati, penggunaan teori seperti ini akan hanya
melahirkan sejenis dongeng akademik yang mungkin kelihatan impresif, tetapi
hanya sekadar melambakkan sejumlah maklumat biasa, bukan dalam bentuk ilmu yang
boleh dijadikan panduan. Tidakkah tujuan dan matlamat ilmu untuk dijadikan
panduan manusia? Kerana itu ilmu tidak boleh mengusutkan masalah, antaranya
dengan berhanyut dalam idle talk
dalam pesta bullshit penuh
dengan pretensi intelektual semata-mata.
Inilah yang terjadi kepada buku yang berasal daripada tesis Ph.D. Mawar Shafie,
Novel Intertekstual Melayu (UKM,
Bangi, 2010). Buku ini antara lain membicarakan karya Anwar Ridhwan daripada
pendekatan intertekstual. Apakah hasilnya? Boleh saja anda puji beliau kerana
ketekunannya menampilkan begitu banyak “bukti” untuk menunjukkan Anwar Ridhwan
pandai menggunakan teks dari sumber lain untuk dimasukkan ke dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman.
(Rujuk antara lain hal. 118-132). Di sini
timbul satu persoalan besar yang tidak disentuh oleh Mawar Shafie, malah
persoalan itu timbul akibat dari analisis beliau sendiri: Apakah pengajaran
yang ingin disampaikan oleh intertekstualiti? Tidak ada apa-apa yang berguna,
kecuali paparan teknik yang dikatakan digunakan oleh Anwar Ridhwan dalam
menulis novel itu.
Pertama sekali yang ingin kita
pastikan ialah, siapakah Pak Hassan? Benarkah beliau seorang seniman? Apakah
makna seniman bagi Pak Hassan dan bagi Anwar Ridhwan sendiri? Pak Hassan ialah seorang penglipur lara yang
disensasikan hidupnya oleh penulis novel ini, yang seluruhnya dirundung malang.
Beliau bukan seorang seniman. Pak Hassan sendiri tidak pernah memikirkan
statusnya sebagai seorang seniman, malah dia tidak pernah mendakwa dirinya
seorang seniman; Anwar Ridhwan sendiri pun tidak pasti siapakah Pak Hassan sebenarnya. Dia hanya bercerita tentang Pak Hassan, tanpa
memberi sedikit sekali pun gambaran
kehidupan seorang seniman. Pendekatan intertekstualiti tidak dapat membantu
sedikit pun untuk kita memahami status Pak Hassan; yang pasti ialah beliau
bukan seorang seniman. Kalau begitu, siapakah beliau sebenarnya? Anwar Ridhwan
tidak bertanya soalan ini; beliau hanya ingin bercerita tentang seorang
penglipur lara yang bukan seorang seniman. Di mana-mana pun di atas dunia,
dalam budaya mana pun di dunia, seorang seniman adalah seorang pemikir yang
amat conscious tentang kewujudannya,
kerana apa saja yang dibuatnya semuanya dilihat dalam konteks matlamat yang
ingin dicapainya sebagai seorang seniman.
Jadi judul novel ini yang tepat ialah, Hari-hari Terakhir Seorang Penglipur Lara Gila. Dengan tajuk ini,
Pak Hassan boleh terus wujud dalam novel ini seperti yang dirancang oleh
penulisnya: tentang seorang penglipur lara yang bernama Pak Hassan yang tidak
siuman kerana tekanan hidupnya. Tentu saja kehidupannya amat membosankan, tanpa
sebarang cabaran untuk membolehkannya muncul sebagai satu watak yang gigih dan
cerdik. Kecerdikan bukanlah ciri perwatakan Pak Hassan, yang sepanjang hidupnya
sentiasa murung dan kecewa kerana dia tidak tahu bagaimana mengurus dirinya. Kalau begitu,
mengapa novel ini ditulis? Mawar Shafie menjawab, kerana Anwar Ridhwan sangat
cintakan warisan tradisinya, terutama dalam kelangsungan penglipur lara dalam
masyarakat moden. Andaian ini tidak saja
tidak tepat, tetapi mengarut, just idle
talk semata-mata. Jika andaian Mawar Shafie benar, tentu saja Anwar Ridhwan
akan menjadikan Pak Hassan seorang watak yang gigih mempertahankan warisannya,
dan pada waktu yang sama berfikir dan bertindak untuk memahami kehidupan moden
yang tidak lagi memerlukan cerita-cerita penglipur lara versi Pak Hasaan dalam
novel ini. Bagaimana jika Anwar Ridhwan menjadikan Pak Hassan berfikir secara
kreatif, misalnya dengan berkenalan dan berkawan dengan seorang pengarah filem
atau drama, lalu menceritakan cerita-cerita penglipur laranya untuk difilemkan
atau dijadikan kartun untuk mengajar murid-murid sekolah mencinta ilmu,
misalnya. Tetapi baik Pak Hassan mahupun Anwar Ridhwan, kedua-duanya tidak
berfikir secara lateral sebagai
seorang seniman atau sasterawan; malah mereka sebenarnya terlalu literal dalam menghadapi persoalan
kehidupan manusia. Jadi berapa banyak pun Mawar Shafie menghumbankan segala
macam maklumat dalam konteks intertekstual yang dimaksudkan oleh Julia
Kristeva, novel ini akan tetap berdiri sebagai sebuah novel biasa yang mirip
kepada novel picisan saja. (Lihat definisi picisan dalam Gagasan Persuratan Baru). Retorik peragaan yang digunakan oleh
Mawar Shafie tidak dapat menyelamatkan novel ini daripada kedudukannya sebagai
hanya sebuah novel picisan, yang wataknya sangat lemah, keliru, dan tidak
siuman. Tidak ada pembohongan yang lebih besar daripada ucapan ini, yang
dikutip oleh Panel Anugerah Sastera Negara tentang novel ini: “Sementara itu,
sarjana dan penterjemah, Harry Aveling, berpendapat bahawa ‘Anwar’s world is more than of the urban intellectual: more precise,
more restrained, at once Malay and international’”
(hal. 7, Laporan 2009). Inilah idle talk yang dikatakan oleh Martin
Heidegger, atau sejenis bullshit
dalam pemikiran Prof. Frankfurt. Satu penghinaan atau pujian terhadap orang
Melayu? Atau tidak lebih daripada sejenis bullshit
saja!
Bahagian ini mendapat komen yang
menarik, seperti berikut:
Anonymous: "Apabila saya melihat diri saya di dalam cermin, saya
tertanya, inikah dunia saya? Saya tidak mahu lagi melihat imej dalam cermin
itu, kerana saya dihantui imej A.Samad Said, Shahnon Ahmadd, Baha Zain, dan
Anwar Ridhwan"
In order to exorcise the Great Void, I must succumb to the great Void. I resist
it, but i cannot avoid it.”
Komen ini menarik kerana nama-nama
yang disebut itu telah ditakdiskan sebagai Brahmin dalam sastera Melayu moden,
suatu pengakuan yang jujur dan membenarkan andaian saya selama ini. Jarang,
malah sukar sekali, mendapat kejujuran seperti ini dalam dunia sastera Melayu
yang dikuasai sepenuhnya oleh faham pandirisme (the ideology of pandirisme).
Tidak semena-mena, apa yang dinafikan selama ini, tiba-tiba diakui bahawa sesungguhnya kumpulan Brahmin itu
memang wujud dalam sastera Melayu dan mereka ini diberi kemewahan
(kadang-kadang sangat berlebihan) untuk dikalung dengan bunga malai retorik
peragaan yang dihiasi dengan kefasihan fatamorgana bahasa, yang pernah disebut
oleh Panel Anugerah Sastera Negara [tentang para Brahmin itu], “ibarat sebatang
pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu
masa kini. … semerbak dengan wangian
kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” (Laporan 2012, hal. 21).
Good
for them, tetapi menjadi kutukan kepada
budaya ilmu yang diselewengkan oleh para Brahmin sastera ini. Kehadiran mereka, para Brahmin sastera ini,
sebagai sasterawan negara, sangat janggal dan tidak sepatutnya diberi kedudukan
itu, melangkah kepala para ulama dan cendekiawan Melayu lainnya. Semakin banyak dibicarakan tentang mereka,
semakin ketara budaya pandirisme, dan semakin ketara kehilangan adab dalam
kebudayaan Melayu. Tidak ada hujah sama
sekali untuk meletakkan para sasterawan negara ini di atas para ulama dan
cendekiawan Melayu yang lebih cerdik dan benar-benar berjasa dalam membina
tamadun ilmu dalam kebudayaan kita, apatah lagi apabila mereka dijadikan
golongan Brahmin sastera. Zaman Brahmin
ini sudah lama luput dalam kebudayaan Melayu, oleh itu tidak ada alasan sama
sekali untuk menghidupkannya dengan nama sasterawan negara. Analisis dan
penilaian saya dalam “Keunggulan yang Cacat” adalah tepat menilai kualiti
sebenar novel-novel Anwar Ridhwan sebagai penglipur lara moden, dikunci dengan
istilah pretensi intelektual yang mengisyaratkan betapa superficialnya karya-karya yang amat lemah perwatakannya ini. Usaha
Mawar Shafie untuk mengangkat novel-novel Anwar Ridhwan menjadi sia-sia dan
membuang masa kerana semua hujah beliau boleh dipatahkan dengan mudah, dan
berkesan, jika dilihat dari perspektif pretensi intelektual yang saya
maksudkan. Saya tidak keberatan jika kesimpulan ini disanggah oleh mana-mana
sarjana ciritan. Saya meletakkan wibawa Muhammad Haji Salleh sebagai sandaran,
yang mengatakan kita telah banyak melakukan kesalahan menilai karya kita yang bercorak
Melayu dengan menggunakan teori sastera Barat. Sekiranya sandaran saya tidak
tepat, dan dapat dimatikan dengan hujah yang lebih kuat, maka nyatalah Muhammad
Haji Saleh hanya melontarkan idle talk
saja, tidak dapat dijadikan pegangan dalam membuat penilaian yang kritis
terhadap teori sastera Barat. Adakah pendapat beliau hanya sejenis permainan
lawak akademik sahaja? “Lu fikirlah sendiri!” sergah Raja Lawak Malaysia.
Sergahan Raja Lawak itu penting
untuk menyedarkan para sasterawan yang khayal dan berada dalam bakul seronok sendiri (perhatikan saya
menggunakan perkataan bakul!), memuji
dan mengangkat sama sendiri dalam Mutual Admiration Club yang telah dikutuk
sejak tahun 1973 oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, oleh itu tidak masuk akal
jika kemudiannya beliaulah yang menjadi pengasas Mutual Admiration Club di
kalangan sasterawan negara! Pemilihan
Baha Zain ternyata amat cacat, seperti yang dibangkitkan oleh Shahnon Ahmad.
Jika beliau selama 30 tahun tidak layak, bagaimana dengan tiba-tiba beliau layak
diangkat sebagai sasterawan negara? Tentulah dengan pertolongan anggota Mutual Admiration Club,
yang beliau adalah salah seorang anggotanya. Tidak masuk akal jika beliau yang
tidak layak dahulunya tiba-tiba menjadi layak, padahal beliau terus dinilai
berasaskan karya dahulu juga. Apakah ukuran yang dipakai dulu dan apa pula
ukuran yang dipakai sekarang? Semua ini menimbulkan keraguan yang luar biasa
tentang kejujuran akademik dan kompetensi Panel Anugerah Sastera Negara. Kita
perlukan penjelasan daripada mereka.
Para sarjana ciritan yang selekeh
pengetahuannya tentang kritikan sastera Barat sekalipun, dan langsung tidak
kenal pemikiran Islam dalam ilmu persuratan, begitu murah sekali dengan pujian
yang tidak berasas, yang ditabur sewenang-wenangnya ke atas kepala para
sasterawan negara. Dua perkara yang
menjadi kegemaran mereka sekarang: menggelar karya para sasterawan negara
sebagai karya intelektual; kedua, memasukkan unsur Islam ke dalam karya itu
walaupun yang ditulis bertentangan dengan Islam. Kedua-duanya
merupakan pembohongan akademik yang tidak sepatutnya dilakukan oleh
sarjana yang mempunyai harga diri dan yang menghormati ilmu. Persoalan
ini telah saya sentuh acap kali dalam pos yang disiarkan dalam blog ini.
Jika mereka benar-benar percaya kedua-dua unsur itu terdapat dalam karya para
sasterawan negara ini, cara paling tepat dan objektif untuk menentukannya ialah
dengan menelitinya daripada perspektif Persuratan Baru. Mereka tidak mahu
melakukannya kerana mereka sendiri tahu unsur-unsur tadi tidak ada dalam karya
itu. Mereka sudah mempunyai alat untuk menguji dakwaan mereka, iaitu gagasan
Persuratan Baru. Bagus juga jika mereka berkata PB tidak boleh digunakan untuk
menilai karya para sasterawan negara dan karya sasterawan yang lain; kerana
menurut mereka PB direka-reka untuk
digunakan bagi menilai karya Mohd. Affandi Hassan saja. Argumen ini kalah
gelagat Raja Lawak! Nasib baik seloka
“Sarjana Ciritan” itu saya tulis 2004 sebelum mendapat berita besar ini. Oleh itu cabaran intelektual dan cabaran
akademik yang dihadapkan kepada mereka masih belum mereka sanggah secara ilmiah
dan secara akademik, walaupun mereka gemar bercakap tentang pemikiran dan aspek
intelektual dalam penulisan. Golongan
Brahmin sastera dan para pengikut mereka sarjana ciritan ini tidak
ada pilihan melainkan tunduk menerima
pelawaan PB untuk masuk ke gelenggang ilmiah membahaskan dengan mendalam
kedudukan ilmu dalam kritikan sastera. Akan tiba masanya para pelajar mereka
sendiri akan bertanya, mengapa mereka bersikap anti-ilmu ketika mereka diperlukan
memberi dorongan kepada para pelajar itu untuk
mencintai ilmu yang benar. Para pelajar ini akan membacakan kepada para
sarjana ini episod “Tenggelam Dalam Arus” dalam Balai Maqamat untuk mendapat pandangan kritis mereka, sambil
berbahas dengan para pelajar itu. Edisi
kedua Gagasan Persuratan Baru sudah
terbit untuk dijadikan landasan perbincangan; dan ketika itu para pelajar tidak
ada pilihan melainkan memberi pendapat kritis mereka tentang teori sastera
Barat yang ditusuk ke dalam benak mereka, dengan melihatnya daripada perspektif
Persuratan Baru. Pendahuluan yang
ditulis oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, berupa kertas kerja yang
dibentangkan dalam “Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia” (Universiti
Pendidikan Sultan Idris, 28-29 September 2012), membicarakan dengan jelas
peranan PB sebagai alternatif dalam kritikan sastera Malaysia. Inilah masanya
untuk para sarjana dan pelajar mereka belajar bersama-sama bagaimana teori
sastera Barat, yang tidak dibahaskan dengan kritis, telah menutup kecerdasan
intelektual mereka, yang dapat dipulihkan dengan mudah melalui perkenalan
secara kritis dengan Persuratan Baru. Tidak ada siapa pun yang dirugikan dengan
perbahasan kritis seperti itu. Ini hanya dapat dilakukan di universiti, secara
formal, sebab di situlah satu-satunya tempat ilmu dikembangkan. Sambil menolak
kepalsuan dari sumber mana sekalipun, termasuk dari sumber Persuratan Baru
sendiri. Satu cadangan yang amat
sederhana untuk mengembalikan keyakinan ilmiah yang sekian lama ditutup oleh
kedatangan mendadak serangan teori sastera Barat. Ketahui olehmu (ini gaya lama yang masih
bagus dipakai) bahawasanya wahai murid, menggunakan sesuatu alat yang kamu
tidak kenal betul boleh membahayakan
kamu, oleh itu hendaklah kamu ketahui terlebih dahulu dan gunakannya dengan
cermat supaya kamu selamat. Hendaklah kamu elakkan dirimu daripada tersesat
dalam belantara maklumat yang kamu tidak faham.
Dengan terbitnya edisi kedua Gagasan Persuratan Baru, para penulis
muda yang sudah menampakkan minat dalam epistemologi dalam penulisan, akan
menjadi peneroka kepada perkembangan kreatif berasaskan ilmu yang benar, dan
dalam masa terdekat ini kita akan melihat percambahan yang sihat dalam dialog
yang bersifat ilmu di kalangan para penulis muda ini. Merekalah yang akan
memulai revolusi kreatif di
Malaysia, dengan mencipta karya-karya persuratan mengikut acuan mereka sendiri,
tetapi tidak keluar daripada epistemologi Islam berasaskan tauhid dan
taklif. Mereka juga yang akan menjadi
pembicara yang benar-benar akademik dalam persoalan ini, dengan mengemukakan
pendapat mereka tidak lagi berasaskan emosi, tetapi terus terjun ke dalam dunia
ilmu kerana hanya di situ saja mereka akan dapat membangunkan pemikiran orang
Melayu dan berupaya mencerdikkan generasi baru.
Kegagalan para sasterawan dan para sarjana ciritan yang menyokong mereka
akan menjadi semakin jelas dengan mendedahkan kepalsuan kumpulan pinggiran yang
cetek meraba-raba, yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu,
yang berselindung di sebalik Mutual Admiration Club yang dulunya dikutuk oleh
ketua-ketua mereka. Pengutuk utama dalam tahun 1973 kini muncul sebagai
pelindung utama Mutual Admiration Club ini. Mereka menggunakan Panel Anugerah
Sastera Negara untuk melangsungkan kepalsuan yang semakin jelas kelihatan dalam
karya para sasterawan negara. Mereka tidak mempunyai hujah untuk mempertahankan
kepalsuan mereka, walaupun mereka mengambil pendirian untuk tidak berbahas
dengan kumpulan penulis baru yang lebih sedar akan kepentingan ilmu dalam penulisan.
[Bahagian 3, akhir, akan menyusul].
SESAT
DALAM BELANTARA MAKLUMAT: PERANAN TEORI SASTERA BARAT DALAM SASTERA MELAYU
MODEN (Bahagian III)
Terlanjur buku Gagasan Persuratan Baru (edisi 2) sudah terbit, ada baiknya jika pembaca blog ini jenguk
sekejap hal. 279-295 buku tersebut, khusus tentang pandirisme dalam kritikan
sastera dan dalam dunia akademik Malaysia (khusus tentang sastera). Anda semua,
yang saya harap berwibawa dalam bidang akademik dan kritikan sastera, dapat
membuktikan apa yang saya tulis di situ tidak tepat, hanya salah faham atau
tidak faham tentang perkembangan dalam dunia akademik Malaysia yang
menyerlahkan keunggulan akademik dan pemikiran yang mendalam tentang kritikan
sastera dan bidang akademik dalam teori sastera yang menjadi pegangan ahli
akademik kita. Anda harus membuat pembetulan jika saya tersilap, atau terlalu
cetek dalam analisis saya sehingga menyelewengkan begitu jauh hakikat
sebenarnya. Jika anda bersetuju, katalah anda mungkin tersilap arah, dan
bersedia untuk kembali ke jalan yang betul supaya tidak sesat dalam belantara
maklumat yang anda perolehi dalam teori sastera Barat. Baca terutamanya satu
kutipan di hal. 288 yang saya kira penting untuk menyedarkan orang yang tidur
dalam keseronokan postmodernism.
Bolehkah kita berkata dengan pasti
bahawa para sasterawan negara adalah kumpulan manusia yang paling cerdik di
Malaysia? Barangkali tidak perlu kita tahu; atau mungkin yang paling wajar kita
tanyakan ialah, siapa di antara sasterawan negara itu yang paling cerdik dan
berapa IQ nya? Siapa lagi orang Malaysia yang setinggi itu IQ nya? Secara umum,
adakah para sasterawan negara itu adalah kumpulan yang paling tinggi IQ nya,
berbanding dengan kumpulan lain, seperti ulama, sarjana dan ahli sains. Siapa
di antara mereka yang kita boleh panggil seorang genius? Prof. Fazlur Rahman
tanpa ragu memberitahu muridnya, Prof. Wan Mohd. Noor Wan Daud, bahawa Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah seorang genius dalam bidangnya. Hanya
seorang genius yang tahu seorang genius
yang lain bila ditemuinya atau berbicara dengannya. Saya pernah dengar Prof.
Sutan Takdir Ali Sjahbana pun kata begitu, ketika saya mula masuk Universiti
Malaya 1965 dan Prof. Takdir Ketua Pengajian Melayu. Hanya seorang genius yang
tahu siapa genius yang lain. Hanya seorang genius yang kenal seorang genius
yang lain. Mengapa perkara ini tiba-tiba muncul dalam tulisan ini? Setelah
membaca pujian yang melepasi langit ketujuh yang dilontarkan kepada sasterawan
negara, saya terfikir, mereka ini, para sasterawan negara ini, pastilah
kumpulan genius semuanya. Jika tidak, bagaimana mereka boleh diberi pujian
tinggi seperti itu? Tidak masuk akal jika yang memuji itu berbohong, atau
terlalu bodoh untuk memberikan pujian yang tidak cocok dengan manusia yang
dipuji. Memang dalam dunia penulisan, dikatakan oleh orang Barat, genius mereka
di kalangan penulis yang paling tinggi IQ nya ialah Voltaire, dikatakan
angka ukuran IQ nya 190. Jangan-jangan sasterawan negara pun punya IQ
melebihi Voltaire? Siapa tahu? Supaya pasti, silalah ahli psikologi kita
membuat ukuran itu. Voltaire diukur dari tulisannya, keputusan para pakar itu
dipersetujui oleh sebahagian besar pakar psikologi Barat. Sekarang para sasterawan negara telah
ditakdiskan, tidak boleh disentuh apatah lagi dikritik. Dalam pemerhatian saya,
manusia besar dalam budaya Melayu yang tidak keberatan dikritik dan dikatakan
bodoh ialah Pak Pandir. Dari banyak kalinya Pak Pandir disebut-sebut, sudah sah
dia amat popular. Jika dipakai ukuran Malaysia, seperti yang dibuat oleh pakar
DBP ketika memilih karya agung abad 20, antara ukuran yang dipakai ialah
banyaknya karya itu dibicarakan dan diberi pujian; ukuran ini pun dikenakan
juga ketika memilih para sasterawan negara.
Kalau kita pakai ukuran ini, Pak Pandir adalah seorang genius, mungkin
genius teragung dalam budaya lawak Melayu, malah dalam budaya Melayu secara
umum. Tetapi dia tidak setanding dengan sasterawan negara. Itulah masalahnya.
Tetapi dialah yang memberi kita konsep pandirisme, yang kemudiannya
mewarnai kesusasteraan Melayu, dikuatkan lagi dengan pemilihan para sasterawan
negara yang dari segi logik merekalah yang paling mulia dan paling tinggi
kemampuan intelektualnya daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang lain.
Anda agak berapa IQ Pak Pandir? Pastilah lebih tinggi daripada IQ para
sasterawan negara. Akhirnya saya ingin memberitahu anda semua, angka-angka IQ
ini tidak berguna sedikit pun bagi orang Islam. Yang akan membawa mereka ke syurga
bukan jumlah IQ nya; tetapi amal ibadatnya yang ikhlas. Jadi para
sasterawan negara bolehlah tidur lena
jika IQ Pak Pandir lebih tinggi daripada IQ mereka.
Katalah antara yang dibuat soalan
dalam peperiksaan di Malaysia ialah ukuran IQ tokoh-tokoh besar kita; katalah
antara soalan yang diberikan, mana satu IQ tertinggi antara Pak Pandir dan
Shakespeare? Sebelum dijadikan soalan, tengok dulu jumlah IQ dua orang tokoh
besar ini, supaya bila didapati IQ Pak Pandir melebihi Shakespeare, barulah
dijadikan soalan; tetapi andainya lebih rendah, tak perlu dijadikan soalan
melainkan kita benar-benar sayangkan Pak Pandir yang bijak itu. Apa tujuannya
perkara ini disebut di sini? Supaya anda
semua dapat maklumat yang betul, dan semua orang dapat kesempatan untuk melihat kecerdikan tokoh-tokoh yang berjasa kepada dunia kebudayaan
masing-masing. Selain dari itu, supaya
para sasterawan negara berasa megah kerana IQ mereka lebih tinggi daripada IQ
Pak Pandir, walaupun jauh lebih rendah daripada IQ Shakespeare. Demikianlah
fungsi kritikan sastera itu ditentukan dengan membuat perbandingan, suatu
strategi yang amat tidak digemari di kalangan para sasterawan negara. Mereka
yakin IQ mereka tidak setinggi mana jika dibandingkan dengan IQ Pak Pandir,
seorang genius di kalangan orang-orang pandir Melayu. Melalui Pak Pandir, kita dapat konsep
pandirisme, yang dengan cepat dijadikan arus perdana walaupun ditolak dengan
keras oleh para sasterawan negara dan sarjana ciritan. Sekarang pandirisme akan kekal dalam budaya
intelektual Melayu dan akan terus dikaitkan dengan kedudukan intelektual para
sasterawan negara. Di situlah bukti
kualiti genius Pak Pandir sebagai
seorang pemikir. Kini Pak Pandir bangga mempunyai cucunya yang sangat cerdik,
Polan Cupan. Juga seorang genius seperti beliau. Yang paling pelik dan lucu, Polan Cupan
menang hadiah sastera!
Sekarang anda boleh lihat sendiri
bagaimana sastera Melayu moden telah melahirkan ramai manusia genius yang kini
bergelar sasterawan negara, manakala tidak seorang pun di antara para ulama
yang dapat dianggap sebagai genius. Jadi tidak ghalat lagilah tuduhan palsu
selama ini yang mengatakan para sasterawan negara tidak mempunyai IQ yang tinggi. Kalau sudah dapat mengalahkan
ulama yang alim itu, mahu IQ jenis apa lagi?
Cerita dongeng begini boleh dijadikan novel para sasterawan negara,
dengan judul yang menarik: Hari-hari
Bermulanya Polan Cupan Jadi Genius. Kita kontraskan antara genius dengan
seniman, mana satu yang lebih unggul. Unggul yang tidak cacat.
Perbincangan tentang aspek genius
ini sangat penting ketika membicarakan sumbangan pemikiran para sasterawan
negara, satu gerakan besar-besaran yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka untuk menonjolkan para sasterawan negara ini sebagai pemikir bangsa
yang unggul. Usaha ini begitu penting
dalam rangka mentakdiskan para sasterawan negara sebagai kumpulan yang amat
istimewa yang melayakkan mereka digelar sasterawan negara, berada lebih tinggi
daripada kedudukan para ulama yang tidak mempunyai apa-apa gelaran, dan kedudukan
cendekiawan Melayu lainnya yang tidak diketahui pun siapa mereka. Dalam tesis Ph.D. yang diterbitkan oleh UKM,
Dr. Mawar Shafie melimpahkan pujiannya terhadap novel Naratif Ogonshoto, karya sasterawan negara Anwar Ridhwan. Dari
pujian itu, kita boleh berkata Anwar Ridhwan mempunyai IQ yang lebih tinggi
daripada Voltaire, yang jumlahnya hanya 190, sama dengan yang dipunyai Ludwig
Wittgenstein (ahli falsafah) dan Sir Isaac Newton (ahli sains). Jika kita membaca buku Mawar Shafie ini, kita
diberitahu Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang sangat jempolan kerana
pandai mengambil di sana sini untuk menulis novelnya yang istimewa itu,
seolah-olah seperti seorang pemborong idea yang sangat cekap menggunakan idea
orang lain untuk membina karyanya sendiri yang sangat asli dan mantap dari segi
gaya, retorik dan perwatakan. Tetapi ada satu perkara yang tertutup dari
pandangan kita jika kita tidak sensitif kepada penerokaan idea baru dalam
penulisan. Kita akan terbawa-bawa oleh “ketangkasan” mengambil di sana sini
untuk dimasukkan ke dalam bakul “kreatif” sendiri barang pinjaman dari luar
atas nama intertekstualiti hanya untuk merangkaikan cerita dalam bentuk
penglipur lara moden, bukan untuk mewacanakan pemikiran original beliau sendiri
dalam sebuah karya kreatif yang memberi perhatian kepada pemikiran, tidak hanya
kepada kelangsungan cerita seperti yang ditunjukkannya dalam Naratif Ogonshoto itu. Kita hanya akan menyedari hal ini jika karya ini
dibaca dalam mod bacaan intelektual seperti yang dijelaskan oleh Prof. Ungku
Maimunah dalam tulisannya yang dimuat dalam Gagasan
Persuratan Baru, edisi kedua. Mod bacaan cerita yang digunakan oleh Mawar
Shafie menggunakan pendekatan intertekstual itu menghasilkan bacaan yang jauh
berbeza daripada mod bacaan intelektual. Antara keduanya, manakah yang lebih
tepat dipakai jika kita ingin melihat ketangkasan berfikir seseorang
pengarang? Kerana menggunakan mod bacaan
cerita, Mawar Shafie membuat satu kesilapan besar dengan mengangkat
cerita-cerita dari al-Quran sebagai sebahagian daripada pinjaman interteks yang
dilakukan oleh Anwar Ridhwan untuk menyelinapkan kononnya semangat Islam dalam
karyanya, iaitu tentang cerita Nabi Nuh. Inilah jenis pensetaraan (levelling) yang disebut-sebut oleh Prof
Syed Muhammad al-Attas dalam tulisannya ketika mengkritik para penulis moden
yang tidak lagi menghormati wahyu seperti yang difahami dalam Islam, dengan
menolak sebarang autoriti dalam tradisi Islam, sebaliknya menganggapnya sebagai
teks biasa yang boleh dicedok-cedok sewenang-wenangnya untuk menaik taraf
karyanya sendiri. Dalam teks Anwar
Ridhwan, bahtera dibangunkan berpunca daripada kepercayaan karut keluarnya
penyu raksasa dari gua persembunyiannya, memberi tanda banjir besar akan
berlaku. Yang karut dan tahayul dalam Naratif
Ogonshoto disamakan dengan wahyu dalam al-Quran. Bagaimana sarjana dan
sasterawan Islam boleh terima kesesatan ini? Apakah yang mendorong mereka untuk
sesat begitu jauh? Hanya kerana ingin meniru idea Barat tentang
intertekstualiti!
Kesimpulan
Dari analisis dan penilaian yang
diberikan dalam tulisan ini, kita dapat melihat dengan jelas betapa teori dan
pendekatan Barat yang tidak gunakan dengan berhati-hati, dengan kefahaman yang
mendalam dalam aspek epistemologi Islam, akan membawa kita ke belantara maklumat
yang simpang siur, berserabut dengan segala kontradiksi yang kusut hanya kerana
kita menolak aspek epistemologi ini dan konsep ilmu yang benar. Punca kesesatan
dalam belantara maklumat ini ialah tiadanya konsep ilmu yang jelas, yang
diajarkan dalam Islam. Inilah yang akhirnya melahirkan sarjana yang kehilangan
adab, yang tidak dapat membezakan mana yang benar dengan mana yang palsu,
dengan menerima kepalsuan itu sebagai kebenaran hanya kerana keliru dalam
konsep ilmu. Apabila maklumat disamakan dengan ilmu, maka terjadilah kekeliruan
yang membawa kepada kesesatan, kerana
akal tidak lagi digunakan untuk mengenal yang benar dan menolak yang
palsu.
Kesimpulan saya tentang novel besar satu-satunya di Malaysia (siapa
yang kata begitu? Umar Junus…!) ini adalah sebuah novel penglipur lara moden
yang tidak mempunyai kualiti pemikiran yang bernas, hanya dibalut dengan cerita
penuh sensasi yang amat lemah pengolahan dan perwatakannya. Para sarjana ciritan dan sasterawan yang jadi
penganut pandirisme mengatakan novel ini sebuah novel intelektual. Saya boleh
terima jika dikategori sebagai novel picisan
intelektual, dinilai dari perspektif pretensi intelektual seperti yang
dilakukan oleh mereka. Tetapi tetap sebuah novel picisan yang melanggar
kesopanan berkarya di dalam Islam. Jika kita
membaca dengan betul, yakni dengan membaca karya ini dalam mod bacaan
intelektual, kita akan dapati novel ini hanya tidak lebih daripada novel
penglipur lara moden yang tidak mempunyai kecanggihan berfikir dan keterampilan
teknik penulisan, apatah lagi teknik stylization
of ideas yang dimaksudkan dalam Persuratan Baru. Anda mungkin bertanya
dengan hairan: Kalau begitu, mengapa novel ini diterima sebagai sebuah novel
yang istimewa dan yang terbaik yang pernah ditulis di Malaysia? Itulah pengaruh
dan kesan pandirisme dalam kesusasteraan Melayu, yang dihuraikan dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi 2, hal.
279-295. Jawapannya ada di situ. Bacalah
dengan kritis dan objektif. Baca dalam mod bacaan intelektual, bukan dalam mod
bacaan cerita.
Pembicaraan saya tentang novel dan
cerita pendek Anwar Ridhwan berbeza jauh daripada kesimpulan yang didapat oleh
para anggota panel penilaian dan sarjana sastera terjadi hanya kerana satu
prinsip penting: saya melandaskan analisis dan penilaian saya kepada konsep
ilmu yang benar yang sudah dijadikan
warisan oleh para ulama dan penulis syair sejak beratus tahun; sedangkan
analisis dan penilaian panel yang memilih karya sasterawan negara ini sebagai
istimewa dilandaskan seluruhnya kepada fahaman sastera Barat yang menolak
bulat-bulat unsur kerohanian dan agama dalam karya kreatif. Sekiranya sasterawan ini menulis dalam
kesedaran Barat dan bertujuan untuk menjadi Barat dan menonjolkan cara berfikir
Barat dalam karyanya, dan ini diterima dengan baik oleh para sarjana dan
penilai sastera Melayu, maka saya mencabar keseluruhan konsep itu sebagai tidak
wajar dikembangkan dalam tamadun Melayu yang dibangunkan oleh worldview Islam. Sekarang kita mempunyai
dua pandangan dan cara penilaian yang sangat berbeza: mana satukah yang wajar
dikembangkan dalam pembinaan budaya ilmu di negara kita? Para sasterawan dan
sarjana yang diwakili Anwar Ridhwan bertegas bahawa jika sekiranya kita ingin
maju dan diiktiraf oleh dunia, kita mesti mengikut mereka dan menggunakan
nilai-nilai mereka. Bagi saya pandangan dan keyakinan ini bersikap anti-ilmu
dan terlalu megah menjadi peniru Barat yang cetek. Pilihan ini bagi saya adalah
pilihan yang salah dan sangat bertentangan dengan tradisi keilmuan Islam yang
kita warisi melalui para ulama dan cendekiawan kita. Jawapan kepada kesilapan
besar dalam pembikinan tamadun ini saya tegaskan dalam Gagasan Persuratan Baru.
Selepas ini, seluruh perbincangan kita tentang kemajuan kreatif yang kita
ingini akan berlegar antara dua kutub: Barat yang sudah menyesatkan mereka
sendiri dan memang diakui mereka (lihat pandangan P. A. Sorokin, The Crisis of Our Age; dan tesis Ph.D.
Robert Sinai, The Decadence of the Modern
World; lihat juga buku penting ini, Decolonising
the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms, terbitan
USM 2012); atau kita membina tradisi kita berasaskan epistemologi Islam dengan
memberi penekanan kepada persuratan, bukan kesusasteraan yang sudah jelas telah
mengecewakan kita kerana kecetekannya. Hujah ini mudah dilihat kebenarannya
dalam karya para sasterawan negara sendiri, yang dianggap terbaik, tetapi
ternyata tidak demikian. Supaya kita semua menjadi cerdik dan pandai memilih
yang terbaik, saya serahkan perbincangan ini kepada generasi baru untuk
memutuskan apakah yang mereka mahu untuk bangsa mereka yang komited kepada
Islam.
----
Nota kecil tentang konsep picisan dan pretensi intelektual
Terdapat beberapa jenis karya
picisan menurut tanggapan PB. (1) Novel picisan sosial, contoh TIVI oleh Shahnon Ahmad. Masalah hiburan
dalam konteks budaya hawa nafsu adalah serius di Malaysia, yang melahirkan
berbagai-bagai masalah sosial. Jika sasterawan tidak berupaya memahaminya
dengan betul (tentu lebih baik jika difahami dengan mendalam), maka lahirlah
novel TIVI yang dangkal dan
picisan. (2) Novel picisan seksual,
contoh Kuala Lumpur Kita Punya oleh
Abdullah Hussein (3) Novel picisan intelektual, contoh Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan novel-novel lain karya Anwar
Ridhwan. Keterangan tentang aspek
picisan ini terdapat dalam Gagasan
Persuratan Baru, edisi 2, hal. 141-144 dan di beberapa tempat lain; lihat
indeks.
Ungkapan pretensi intelektual penting diberi perhatian dan difahami dalam
konteks yang betul supaya karya picisan tidak diterima sebagai karya
intelektual. Lihat entri bertarikh 10 Oktober 2014 untuk mendapat penjelasan
lanjut. Seterusnya lihat entri bertarikh
28 Oktober 2014, “Keunggulan yang
Cacat,” untuk mendapat gambaran jelas tentang kedudukan sasterawan negara dalam
kebudayaan Melayu.
No comments:
Post a Comment