Tuesday, February 26, 2019

CUKUP DULU BUAT MASA INI




Kuliah tidak rasmi tentang PB mungkin setakat ini saja. Saya ingin menumpukan masa kepada penulisan kreatif dan akademik. Maklumat tentang PB boleh dirujuk  tulisan yang lepas, yang rasanya mencukupi untuk memahami Gagasan PB. Kalau mahu, boleh ulang baca dengan lebih kritis, dengan semangat untuk membina kembali persuratan Melayu selepas dirosakkan oleh Asas 50 seperti yang selalu saya tegaskan dalam blog ini. Jumlah entri hingga kini sudah mencecah 493 buah, sudah memadai untuk memahami apakah PB. Pada mulanya saya ingin membuat rumusan, tetapi selepas membuat pertimbangan serius, saya fikir tidak perlu. Seperti yang selalu saya tegaskan, karya itu sendirilah yang akan mempertahankan pendirian anda dan keupayaan intelektual anda. Inilah keyakinan saya dan dengan keyakinan inilah saya positif dan yakin akan bangkit angkatan baru yang celik ilmu, dari kalangan mereka yang mengirimkan saya poster mereka tentang PB, untuk membina kembali persuratan Melayu berasaskan ilmu yang benar. Kumpulan ini sudah wujud, dan sedang mempersiapkan diri untuk tampil di gelanggang akademik dan kreatif memberi nada dan warna baru kepada penulisan kreatif dan kritikan sastera. Selepas ini pengajaran sastera di universiti akan menjadi lebih menarik kerana para pelajar didedahkan kepada cabaran baru yang tak pernah mereka alami sebelum munculnya PB.  Mereka dicabar untuk berfikir dengan serius ketika membaca teori Barat sambil menyanggah PB, sekiranya mereka mahu mengambil pendekatan sedemikian.  Saya fikir pendekatan itu akan menyeronokkan para siswa sastera, dengan syarat guru atau pensyarah mereka bersedia untuk melayan mereka secara akademik. Saya sudah bayangkan perkara ini dalam Balai Maqamat, tetapi nampaknya belum lagi muncul perbincangan kritis tentang buku itu. Balai Maqamat yang disunting dan dibaiki oleh seorang sarjana terkenal kaya dengan kesalahan yang disengajakan, untuk membuktikan PB tidak berupaya menghasilkan karya yang bermutu, dengan itu Balai Maqamat penuh dengan kesalahan yang disengajakan yang dilakukan dengan persetujuan ITBM yang menerbitkan buku itu.

Selama hampir seratus tahun sastera moden diperkenalkan di Malaysia, belum ada lagi usaha terancang untuk memberi wajah baru kepada penulisan kreatif dan penilaian karya.  Semuanya berubah dengan radikal dengan munculnya PB. Tidak saja kita menghadapi perubahan yang amat radikal dalam praktik penulisan kreatif dan penilaiannya; malah boleh dikatakan semua sasterawan dan sarjana menjadi bingung seperti orang kelemasan dalam peristiwa kapal karam, apabila kedudukan mereka dipersoalkan dengan kritis dan dinilai dengan tegas berasaskan ukuran yang boleh dipakai untuk menilai semua karya, kreatif dan akademik. Semuanya menjadi amat terkejut, hampir terkencing apabila PB menegaskan kita tidak perlukan sasterawan negara, dan karya mereka adalah karya picisan yang hanyut dalam imaginasi liar yang tidak diasaskan kepada konsep ilmu tertentu yang jelas makna dan matlamatnya. Mujurnya tiada di antara mereka yang menjadi hilang akal; tetapi hampir semua mereka menjadi cacing kepanasan kerana tidak dapat mempertahankan kedudukan mereka kerana terlalu terkejut menghadapi cabaran yang belum pernah mereka alami.  Akhirnya mereka mengambil keputusan yang sungguh bijak menurut perhitungan mereka, dengan mendiamkan diri seperti lembu kenyang sambil mengunyah “falsampah” pandirisme yang dicampak ke batang hidung mereka yang selama ini dengan angkuh mendabik dada bahawa mereka adalah kumpulan sasterawan negara yang terpilih dan mempunyai kedudukan istimewa, yang gelarannya mesti disebut setiap kali disebut nama mereka. Inilah dunia Pak Pandir yang mereka banggakan, yang kini terdedah kepalsuannya.  Sebenarnya bukan tidak ada reaksi yang tidak siuman, misalnya ada yang berkata pengkritik mereka adalah anjing kurap dan tidak layak ditendang sekalipun. Mereka memang sangat hebat…

Yang istimewanya tuduhan itu dilemparkan oleh dua orang tokoh besar sastera Melayu dan sarjana ulung yang diberi kedudukan istimewa. Kedua mereka memakai nama Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Dr. Fatimah Busu, penulis novel picisan terbesar berjudul  Salam Maria.  Belau mengakui inilah novel mengenai kehidupan beliau sendiri, oleh itu seharusnya diterima sebagai sebuah karya besar kerana bukan cerita rekaan, tetapi sejenis autobiografi dalam bentuk cerita rekaan!  Prof. Dr. Fatimah Busu ternyata tidak boleh dikritik sama sekali, sehingga beliau menulis sebuah buku picisan yang diberinya judul yang amat menarik, Nyanyi Sunyi Salam Maria VS Sarjana Nasi Dingin (2007).  Lihat peranan dan perilaku anjing kurap di hal. 162.  Siapakah anjing kurap itu, penulis buku ini atau seseorang yang tidak dapat menerima Salam Maria sebagai sebuah novel yang bermutu?  Menurut Prof. Dr. Fatimah Busu, novel ini sebuah novel berunsur Islam yang mengangkat seorang tokoh Kristian bernama Maria Zaitun! (Menurut beliau, nama itu diambilnya daripada sajak “Nyanyian Angsa” karya seorang sasterawan Indonesia yang ketika itu seorang Kristian, kemudiannya masuk Islam untuk berkahwin dengan perempuan Islam! Tokohnya seorang pelacur yang diselamatkan oleh Nabi Isa ‘a.s.  Adakah Maria Zaitun juga seorang pelacur? (Rujuk hal. 134.)  Pelik juga bagaimana sasterawan Melayu suka sangat memberi tempat istimewa kepada seorang pelacur, seperti dalam Salina yang terkenal itu. Mungkin inilah makna sensasi dalam sastera Melayu).

Yang jelas dalam kes ini ialah perihal ceteknya penulis Melayu apabila ingin menyatakan sesuatu perkara yang mereka anggap penting, padahal hanya remeh-temeh sahaja.  Watak yang diberi nama Maria Zaitun itu tidak mempunyai perwatakan seorang manusia yang layak menjadi tokoh penting dalam sebuah novel yang serius; tetapi hanya satu nama yang diheret ke sana ke mari oleh pengarang untuk menonjolkan kehebatan seorang tokoh yang tidak ditokohkan, yang mempunyai ciri-ciri perwatakan yang boleh mengagumkan pembaca, misalnya dalam mengolah sesuatu persoalan penting yang menjadi inti dalam novel itu. Cerita hanyut dalam cerita yang dibikin-bikin, dengan wataknya menerima apa saja kejadian yang menimpanya tanpa memberinya kesempatan untuk mengolah dengan mendalam, seperti yang kita boleh dapati dalam perwatakan yang dipaparkan dalam Pujangga Melayu. Contoh dalam Pujangga Melayu disebut di sini untuk memberi para pembaca memahami maksud perwatakan yang kuat itu. Watak utama dalam Pujangga Melayu adalah seorang ahli ilmu, sesuai dengan peranannya untuk mengupas beberapa aspek kehidupan seorang sarjana dan pengarang yang berwibawa.  Perkara ini telah dianalisis dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Mohd Zariat Abdul Rani dalam tulisan mereka ketika menganalisis novel ini. Sila rujuk di sana.

Tabiat memberi perhatian kepada yang remeh-temeh ini menghalang para sasterawan dan sarjana dari mengesan perkembangan sumbang dalam sastera Melayu, iaitu kemunculan aesthetics of adultery  yang dihuraikan dalam tesis Ph.D. Norhayatie Ab. Rahman yang kemudiannya diterbitkan oleh USM tahun 2012.  Kini perzinaan yang dijadikan persoalan utama oleh A. Samad Said dalam novel Salina, yang menceritakan kehidupan seorang pelacur yang baik hati bernama Salina, diberi wajah baru dalam bentuk the aesthetics of adultery ini.  Inilah perkembangan yang menjadi kebanggaan para sasterawan dan  sarjana sastera, kerana semua yang berlaku dalam sastera Melayu sudah betul-betul seperti yang terjadi dalam sastera Barat. Itulah kemajuan besar yang mereka sanjung, dan inilah tema yang mereka mahu kemukakan kepada Academy Nobel untuk diberi pertimbangan sebagai sumbangan daripada masyarakat Melayu yang kini sudah mencapai kemajuan tertinggi dalam sastera mereka dengan kemunculan Salina dan the aesthetics of adultery dalam sastera Melayu.  Sejauh mana Nobel Institute akan memberi perhatian kepada mereka belum nampak riaknya lagi. Untuk mendapat perhatian itu, baik sekali jika DBP atau ITBM mengemukakan satu memorandum kepada Nobel Institute supaya diwujudkan jawatan kuasa khas untuk menilai karya berbahasa Melayu/Indonesia.  Mana tahu karya saya akan mendapat perhatian istimewa daripada Nobel Institute itu!  Apa salahnya jika PB diperkenalkan kepada mereka, sebagai satu aliran baru yang tidak pernah terfikir oleh mereka.  Lebih baik lagi jika ITBM menterjemahkan edisi ke-2 Gagasan Persuratan Baru sebagai sumbangan kepada teori sastera dunia yang lahir dari dunia Melayu. Tulisan dalam blog ini mendapat perhatian yang baik dari Perancis, Russia, dan German jika kita lihat pageviews yang tinggi, sering kali mengatasi yang datang dari Malaysia sendiri.  Ketika saya menulis entri ini sekarang, pageviews dari Perancis 181, dari Malaysia 140. Antara yang terendah ialah dari Indonesia, yang sering kali tidak sampai 10, sekitar 5-7 saja.  Ada orang beritahu saya, pageviews yang tinggi dari tiga negara itu terjadi kerana mereka ingin belajar bahasa Melayu, yang tidak relevan kepada pembaca Indonesia dan Malaysia.  Ada ketikanya pageviews dari Russia dan German meningkat melebihi 300!

Setelah sepuluh tahun menulis di blog ini, saya fikir ada baiknya jika kandungan blog ini dianalisis secara ilmiah di peringkat universiti.  Ini tidak bermaksud untuk membawa pemikiran tentang sastera dan teori sastera yang dikemukakan dalam blog ini ke peringkat pengiktirafan yang lebih luas. Saya fikir hal ini tidak akan terjadi kerana saya bukan seorang ahli akademik secara rasmi yang mengajar sastera di universiti. Malaysia harus menunggu 100 tahun lagi untuk dapat menerima seorang aktivis ilmu yang pemikirannya terlalu ke depan, sukar dapat diikuti oleh pensyarah sastera yang malas membuat penelitian akademik jika pemikiran itu muncul di kalangan pemikir Malaysia. Tidak ada glamour untuk mengangkat pemikiran seorang penulis biasa yang tidak ada position apa-apa. Lain halnya dengan penerimaan di kalangan sarjana luar negeri, yang ketika diminta untuk mengenal pasti sebuah buku teori sastera Melayu, yang memberi perakuan kepada Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid ialah seorang sarjana asal German yang mengajar di SOAS, tokoh yang dikenali di Malaysia kerana dia antara sarjana yang dijadikan rujukan oleh DBP. Anda tentu tahu siapa beliau, atau kalau tidak pasti boleh tanya DBP.  Kalau anda belum jelas, bolehlah saya beritahu bahawa PB terus dipinggirkan kerana PB tidak menerima pelantikan sasterawan negara yang boleh dianggap sebagai perbuatan biadab, oleh itu sasterawan negara tidak diperlukan. Dari perspektif PB, kemunculan para sasterawan negara ini samalah dengan peribahasa yang terkenal, “tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas”. 

Kalau anda yakin dan percaya sasterawan negara benar-benar sasterawan yang hebat, anda perlu debatkan kedudukan mereka dengan menggunakan ukuran yang boleh menentukan kehebatan pemikiran dan kekuatan kreatif mereka. Yang dapat memenuhi syarat itu hanya PB. Tetapi ini tidak bererti anda tidak dibenarkan membuat pilihan lain. Sila kemukakan kerangka analisis itu, dan kita pertentangkan PB dengan kerangka itu, sehingga kita dapat melihat dengan jelas mana satu yang boleh memberikan penilaian yang tidak dapat diragui ketika membuat sesuatu penilaian terhadap karya para sasterawan negara ini. Anda tidak mahu, kerana anda tahu anda tidak mempunyai kaedah yang dapat melumpuhkan kaedah yang dikemukakan oleh PB. Ke mana pun anda lari, anda berada dalam situasi ayam jantan yang kuat berkokok, tahi lekat di ekor.

Persoalan tentang kedudukan para sasterawan negara adalah persoalan besar yang memerlukan penjelasan secara akademik mengapa kita perlukan sasterawan negara.  Pasti akan timbul pertanyaan yang mesti dijawab: Jika para sasterawan negara itu benar-benar hebat, mengapa kedudukan mereka tidak didebatkan dari perspektif PB?  Cara terbaik untuk mengangkat kedudukan para sasterawan negara dan karya mereka ialah dengan membahaskannya sehabis kritis yang anda mahu. Tidak mungkin kita dapat emas tulen tanpa dibakar terlebih dulu dan emas itu ditapis dengan teliti. Tukang emas tahu buat kerja ini. Dalam sastera, tukang emas itu ialah para pengguna PB dalam kritikan sastera.  Tentulah sangat pelik, dan amat aneh, jika anda tidak mahu menjadi tukang emas yang cekap dan dihormati.  Yang salah bukan emas yang masih bercampur dengan unsur-unsur yang bukan emas; yang salah itu anda yang tidak tahu memisahkan emas asli dari unsur-unsur campuran yang perlu dibuang untuk mendapat emas asli.  Jika anda boleh faham hujah ini, anda tentu boleh faham mengapa PB sangat penting dalam perkembangan ilmu dan budaya ilmu dalam bidang yang anda sebut sebagai sastera yang indah itu. Sastera, seperti emas bercampur tadi, hanya akan indah jika dikembalikan keasliannya melalui tapisan konsep ilmu yang benar.  Tidak sukar untuk memahaminya. Yang sukar ialah kedegilan anda yang tidak mahu melihat kebenaran, walaupun anda tahu anda tidak mempunyai hujah untuk mempertahankan yang batil.

Mari kita simpulkan perbincangan ini dengan memberi dua alternatif untuk difikirkan dan jika perlu untuk dibuat pilihan.  Pertama, para penyokong projek sasterawan negara, dan sasterawan negara sendiri, tentulah berasa terhina apabila ada pihak yang menolak kehadiran mereka. Dalam hal ini, puak yang menolak sasterawan negara mengemukakan hujah mereka dengan jelas, dengan mengasaskannya kepada Gagasan Persuratan Baru. Kata puak yang sokong sasterawan negara, mengapa mesti menggunakan PB untuk menilai para sasterawan negara. Mereka sudah pun dinilai oleh pakar sastera yang berada di dalam Panel Anugerah Sastera Negara.  Ketika itu belum pun wujud PB, oleh itu amat janggal, kata mereka, untuk menilai para sasterawan negara berasaskan PB. Berapa kali hendak dinilai? Mengapa tidak diterima saja, tanpa sebarang bangkangan kerana mereka sudah dinilai dengan …. (Soalan: dengan apa?).  Siapakah penyokong PB hendak memandai-mandai merombak keputusan yang telah dipersetujui. Apa gunanya mempersoalkan lagi kedudukan para sasterawan negara?  Kalau anda cerdik, anda akan dapat mengesan dengan mudah, semua soalan ini lahir dari kumpulan yang ketakutan, yang cuba berselindung di belakang Panel Anugerah Sastera Negara. Kalau anda cerdik, tidak saja kehadiran para sasterawan negara itu dipersoalkan; malah kewujudan Panel Anugerah Sastera  Sendiri dipersoalkan.  Mereka ini tidak mempunyai ukuran yang mantap, jelas dan tepat berasaskan konsep ilmu yang jelas. Mengapa pula dibawa masuk konsep ilmu?   Inilah pertanyaan yang paling bodoh jika anda berpegang kepada epistemologi dalam kegiatan ilmiah anda, juga dalam kegiatan akademik. Mengapa tidak boleh bertanya, Apakah konsep ilmu anda?  Semua ahli ilmu sudah beribu tahun mencari jawapan kepada pertanyaan, Apakah ilmu? Bagaimana memakainya dalam perbincangan ilmiah? Dan lain-lain pertanyaan … Pertanyaan itu penting. Jika anda mahu membeli kain untuk dibuat pakaian, anda mesti tahu jenis kain yang sesuai dengan keperluan anda. Kain untuk dipakai di kawasan panas tidak boleh digunakan di tempat sejuk bersalji.  Perbandingan ini sangat asas , tujuannya untuk memudahkan anda melihat persoalan yang sangat penting dalam  sesuatu perbincangan. Saya berhenti di sini untuk difikirkan.  Dalam kegiatan seni yang mempunyai tujuan tertentu, ukuran yang digunakan untuk menilai hasil usaha seseorang penulis dan sebagainya mestilah jelas. Dalam konteks PB, semua penilaian mestilah untuk memberi penjelasan dan penilaian kepada konsep yang menjadi matlamat penulisan, iaitu yang mesti indah dan bermakna. Saya telah menghuraikan persoalan ini sudah banyak kali.  Dua konsep ini kelihatan mudah, tetapi saya perlukan sebuah buku tebal untuk menghuraikannya: Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 26/2/2019.














No comments:

Post a Comment