NARATIF BUDAYA DAN
NARATIF PEMBANGUNAN DALAM POLITIK MALAYSIA
Perilaku golongan berkuasa boleh
ditafsirkan dalam pelbagai sudut, tidak terbatas kepada sudut politik dan kuasa
sahaja. Dari segi undang-undang misalnya, pemimpin politik yang berkuasa boleh
berbuat apa saja yang dikehendakinya dengan menggunakan saluran undang-undang
untuk membataskan pergerakan penentangnya, atau menyembunyikan
penyelewengannya. Biasanya saluran ini digunakan apabila golongan berkuasa
sudah buntu untuk menepis serangan lawan secara demokratik atau secara politik.
Tetapi cara ini tidak selalunya berkesan, terutama apabila penentangan sudah
meluas atau penyelewengan sudah merebak. Oleh itu sejak awa-awal lagil golongan
berkuasa ini akan menggunakan strategi lain untuk menanam kepercayaan rakyat
bahawa mereka tidak menipu atau melakukan apa-apa penyelewengan. Dua cara
berkesan yang sering dipakai ialah dengan menggunakan naratif budaya dan
naratif pembangunan untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka sentiasa diutamakan
dalam apa juga tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Dengan menggunakan
dua cara ini, rakyat akan dihunjam dengan cerita-cerita yang direka khas untuk meyakinkan
mereka bahawa kerajaan yang ada adalah yang terbaik untuk mereka, dan sebarang
penentangan akan merosakkan segala kemudahan dan kemakmuran yang mereka terima
sekarang. Rakyat tidak sedar bahawa naratif budaya dan naratif pembangunan yang
dihunjam ke dalam benak mereka diasaskan kepada pembohongan halus dengan
menggunakan hujah palsu. Kita akan lihat pembohongan dan kepalsuan ini dalam
contoh-contoh yang akan dianalisis dalam rencana ini.
Contoh paling terkenal ialah tentang
pemberhentian royalti minyak kepada kerajaan Trengganu sebaik saja PAS
membentuk kerajaan. Rakyat diberitahu bahawa pembangunan hanya dapat
dilaksanakan oleh kerajaan Barisan
Nasional, khususnya UMNO. Apa yang disebut royalti itu sebenarnya kepunyaan
kerajaan Persekutuan, diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional Trengganu
untuk membangun negeri itu. Oleh kerana kini Trengganu tidak lagi ditadbir oleh
Barisan Nasional, maka hak untuk mendapat royalti itu hapus dengan sendirinya.
Dengan menggunakan naratif pembangunan ini, maka kerajaan Persekutuan
mengetepikan undang-undang dan perjanjian yang dibuat dengan kerajaan
Trengganu, kerana kerajaan baru di bawah PAS tidak kena mengena dengan
perjanjian itu. Hujah ini bukan saja tidak bermoral, tetapi kaya dengan
pembohongan yang sengaja direka untuk menafikan rakyat Trengganu daripada
mendapat hak mereka. Mereka diberitahu, hak itu hanya akan mereka dapat jika
mereka memilih Barisan Nasional, bukan parti lain. Secara retorik rakyat
Trengganu diberitahu bahawa demokrasi yang diberikan kepada mereka bukan untuk
memilih parti lain; tetapi demokrasi itu hanya untuk memilih Barisan Nasional.
Dengan andaian ini, sekiranya Barisan Nasional terpilih, mereka akan dapat
berbuat apa saja di atas nama demokrasi. Tetapi hak itu dinafikan jika rakyat
tidak memilih Barisan
Nasional. Perhatikan bagaimana pembohongan dan pembangunan dijadikan hujah
untuk mengabui rakyat supaya mempercayai Barisan Nasional sebagai pembela
rakyat, padahal hujah-hujah yang dilemparkan itu menafikan sama sekali hak
rakyat untuk membuat pilihan secara aman. Mereka akan dihukum, jika tidak
menerima pembohongan sebagai hujah.
Contoh kedua tentang penghijrahan
rakyat Kelantan ke negeri-negeri lain untuk mencari kerja. Sebaik saja PAS
berkuasa di Kelantan, rakyat Kelantan diberitahu bahawa kini terdapat lebih
daripada 200,000 orang rakyat Kelantan di seluruh Malaysia mencari kerja, kerana
Kelantan di bawah PAS tidak membangun, oleh itu tidak ada pekerjaan. Rakyat
Kelantan mungkin sudah sedar bahawa Kelantan adalah sebahagian daripada Malaysia, dan
mereka adalah warganegara Malaysia
yang berhak pergi ke mana saja di Malaysia.
Mereka bukan pendatang haram walaupun berada di Selangor, Perak, Kedah dan
lain-lain tempat. Mereka adalah warganegara Malaysia yang tidak dapat dinafikan
hak mereka untuk mencari rezeki di mana-mana saja di Malaysia. Tetapi dengan berhujah
bahawa Kelantan mundur, rakyat tertindas sehingga perlu keluar dari Kelantan
untuk mendapat rezeki, maka mereka diberitahu bahawa kini mereka bukan lagi
warganegara Malaysia
setelah mereka meletakkan PAS menguasai kerajaan negeri Kelantan. Jika kerajaan
Persekutuan menggalakkan rakyat dari luar Malaysia untuk menjadi kuli projek
pembangunan, maka rakyat Kelantan tidak diberi keistimewaan itu. Mereka adalah
pendatang haram, yang terpaksa lari dari negeri Kelantan kerana tidak mempunyai
pekerjaan. Adapun pekerjaan yang terdapat di mana-mana saja dalam Malaysia, bukan
untuk orang Kelantan, tetapi hanya terkhusus untuk orang lain yang bukan dari
Kelantan. Hujah perkauman yang berbau Zionist ini tidak pun dipakai di Israel, yang
menerima orang Palestin bekerja di Israel. Kita lihat bagaimana
naratif pembangunan ini digunakan untuk menafikan hak warganegara Malaysia
sendiri, yang berasal dari Kelantan yang telah memilih PAS untuk menerajui
kerajaan negeri. Dalam kes ini pun kita lihat bagaimana demokrasi telah diberi
tafsiran berasaskan naratif pembangunan yang diasaskan kepada pembohongan dan
penyelewengan fakta.
Dengan menggunakan naratif budaya,
rakyat diberitahu bahawa hanya para pemimpin Barisan Nasional, terutama UMNO,
sahaja yang bercakap benar, yang berjuang untuk rakyat, yang berjasa kepada
rakyat, yang menjadi pembela rakyat. Pemimpin selain mereka adalah pembohong,
penyeleweng, penipu, korup, dan sebagainya. Mereka adalah pemimpin jahat yang
rakus merampas kekayaan harta rakyat, misalnya dengan memberi kontrak kepada
suka-sakat sendiri, atau membuka hutan balak untuk mendapatkan kekayaan
persendirian. Dengan menggunakan naratif budaya ini, TV dan surat khabar akan menyiarkan segala
“keburukan” pihak lawan, dengan segala putar-belit yang diada-adakan. Oleh
kerana naratif budaya yang dihunjam kepada rakyat itu diasaskan kepada
pembohongan dan penipuan, maka pihak lain tidak diberi peluang untuk memberi
penjelasan, malah sebarang penjelasan akan dijadikan bahan pembohongan baru.
Untuk memperkuat naratif budaya ini, dipanggil pula orang ramai memberi pendapat yang kononnya
mewakili rakyat. Orang-orang
yang diberi kesempatan itu akan menghentam semau-maunya pihak lawan, padahal
mereka tidak tahu hujung pangkal hakikat sebenarnya. Jadi rakyat diajar
berbohong, digalakkan memberi pendapat yang berasaskan kejahilan, dan dijadikan
contoh untuk diikuti walaupun mereka adalah pembohong yang tidak tahu hujung
pangkal sesuatu isu. Naratif
budaya berasaskan pembohongan ini diangkat menjadi suara rakyat, yang kononnya menyuarakan
kebenaran.
Setelah melihat contoh-contoh ini,
apakah yang dimaksudkan dengan naratif budaya dan naratif pembangunan? Naratif budaya ialah penghujahan palsu yang
dilakukan oleh golongan berkuasa dengan
menggunakan unsur budaya seperti moral, jasa, kebenaran, nilai masyarakat, dan
sebagainya untuk meyakinkan rakyat bahawa pihak yang berkuasa boleh dipercayai,
bercakap benar, jujur, bertanggungjawab dan sebagainya. Manakala naratif
pembangunan pula ialah penghujahan palsu (ungkapan ini perlu ditekankan) dengan
menggunakan unsur-unsur ekonomi untuk
meyakinkan rakyat bahawa golongan berkuasa memang berusaha keras untuk
memakmurkan rakyat dengan melaksanakan projek-projek pembangunan ekonomi. Yang
ditekankan ialah setiap, semua, seluruh projek ekonomi adalah untuk rakyat dan
faedahnya hanya pulang kepada rakyat. Dengan itu mereka diberitahu bahawa
setiap sen wang yang digunakan adalah untuk memakmurkan rakyat dan memberi
segala kemudahan kepada mereka demi untuk kesenangan mereka. Kedua-duanya menggunakan
naratif atau
penghujahan untuk mendapat kepercayaan rakyat bahawa mereka tidak dibohongi.
Tetapi oleh kerana setiap naratif dikemukakan dengan tafsiran tersirat, maka
setiap naratif dipastikan hanya untuk menceritakan kebaikan golongan berkuasa,
hatta dalam menceritakan kegagalan dan keburukan mereka sekali pun. Misalnya,
apabila anak-anak sekolah dan pemuda Melayu terutamanya dikatakan tidak fasih
berbahasa Inggeris, maka yang dipersalahkan bukan sistem pengajaran bahasa
Inggeris, tetapi budak-budak Melayu sendiri yang tidak dapat menguasai bahawa
Inggeris. Jalan keluar yang diambil ialah dengan mengajar matematik dan sains
dalam bahasa Inggeris, bukan memperbaiki kemahiran berbahasa Inggeris. Oleh
kerana orang Melayu sekarang tidak tahu peribahasa mereka lagi, maka mereka
tidak nampak
bahawa inilah contoh lain bengkak lain
menanah. Dengan menggunakan naratif budaya, rakyat cuba diyakinkan
bahawa mereka akan mendapat faedah besar daripada penggunaan bahasa Inggeris
dalam mata pelajaran matematik dan sains.
Naratif pembangunan sudah dijadikan
senjata berkesan oleh Barisan Nasional dan UMNO untuk memberitahu rakyat bahawa
pembangunan adalah monopoli mereka. Golongan lain tidak mempunyai pengalaman
membangun negara, malah sebaik saja berlaku pertukaran kerajaan di
negeri-negeri, yang terjadi ialah kemunduran. Dengan menghunjam naratif
pembangunan ini kepada rakyat, maka mereka diyakinkan bahawa pilihan terbaik
untuk mereka bukanlah yang akan mereka lakukan sendiri, tetapi yang akan
diberikan kepada mereka oleh kerajaan Barisan Nasional sahaja.
Dalam system demokrasi Barat,
terdapat satu unsur penting yang dinamakan “mobilization
of bias”. Maksud ungkapan ini ialah dalam pertandingan merebut kuasa,
perhatian rakyat akan diarahkan kepada sesuatu isu yang diada-adakan oleh pihak
berkuasa, untuk menonjolkan kebagusan mereka dan keburukan pihak lawan. Contoh mobilization of bias yang kini sedang diarahkan untuk mendapat
perhatian rakyat ialah isu “samseng” yang dibangkitkan oleh Tuan Guru Hj. Nik
Aziz. Isu ini sama tarafnya dari segi mobilization of bias ini dengan isu hukum
hudud. Dalam kedua-dua isu ini, tidak sedikit pun terdapat percubaan pihak yang
membangkitkannya untuk menjelaskan hakikat sebenar kedua-dua isu ini.
Demikianlah naratif
budaya dijadikan senjata untuk mendapat pengaruh politik, walaupun terpaksa
berbohong dan mempersendakan hukum Islam.
Dengan memahami kedua-dua konsep
ini, rakyat akan dididik untuk menjadi lebih kritis dan lebih berhati-hati
ketika menghadapi hujah-hujah palsu golongan berkuasa. Rakyat harus disedarkan
bahawa mereka sedang dipermainkan oleh golongan berkuasa ini untuk kepentingan
mereka, bukan untuk kepentingan rakyat. Dengan kesedaran ini, rakyat akan dapat
melihat kepalsuan para pemimpin yang bersungguh-sungguh mendapatkan sokongan
mereka.
@@@@@/1.9.2002
No comments:
Post a Comment