Tuesday, February 19, 2019

SASTERA MELAYU MENGHALANG KEMAJUAN BERFIKIR



Poster tentang PB (rujuk entri bertarikh 4/2/2019) yang saya terima daripada para mahasiswa dari empat universiti sekitar April 2014 membuktikan mereka menerima kemunculan PB sebagai satu pendekatan baru yang boleh memajukan persuratan Melayu setelah konsep sastera yang dipraktikkan oleh para sasterawan dan diperjuangkan oleh para sarjana sastera ternyata telah gagal melahirkan karya kreatif yang berasaskan konsep ilmu yang benar.  Menolak konsep ilmu bererti menolak kebenaran al-Quran, sesuatu yang tidak masuk akal  bagi orang Islam.  Mereka yang menolak konsep ilmu ini mengatakan bahawa yang ditolak ialah PB, yang bagi mereka bertentangan dengan ajaran al-Quran. Bila kita bertanya, apakah yang dikonsepsikan oleh PB itu bertentangan dengan konsep ilmu yang benar?. Bila pertanyaan ini dikemukakan, para penentang kebenaran ini mendiamkan diri. Sepatutnya mereka bersikap terbuka untuk memberikan penjelasan yang menurut mereka itulah yang sebenarnya.  Mengapa susah sangat hendak menyerlahkan kebenaran mereka? Mengapa mereka ini membiarkan para pengikut konsep ilmu yang benar itu hanya mengarut, dan pendapat merekalah yang benar dan betul.  Pembohongan intelektual begini tidak wajar dilakukan oleh para sarjana yang mengaku mereka golongan akademik yang istimewa.

Kerana adanya sikap negatif terhadap ilmu maka perkembangan intelektual dalam penulisan kreatif dan penilaiannya terbantut dan tertahan hampir satu abad, yakni kira-kira 80 tahun.  Jika kesimpulan ini tidak tepat, mereka yang mengaku diri mereka jujur dan cerdik sepatutnya mengemukakan hujah mereka supaya kita  boleh menilai pendirian mereka.  Sehingga mereka mengemukakan hujah itu, saya tetap mengatakan para sasterawan negara tidak diperlukan dan karya mereka adalah picisan. Ukuran yang digunakan untuk memilih mereka juga adalah picisan.  Perbincangan dan huraian panjang telah dibuat dalam blog ini, yang boleh dibaca oleh sesiapa yang berminat.  Kali ini saya hanya akan berbicara tentang kesan buruk penolakan konsep ilmu dalam penulisan, kreatif dan kritikan.

Kesan pertama yang dialami dan dihadapi oleh para sasterawan dan sarjana ialah mereka terus menjadi hamba teori Barat, tanpa memahami teori itu dengan mendalam dan mengenal pasti kesan buruknya dalam penjajahan ilmu.  Penjajahan ilmu kini menjadi senjata yang sangat dialu-alukan oleh golongan terpelajar Malaysia; malah setiap kejayaan universiti diukur berasaskan ukuran yang ditetapkan di Amerika, Britain, dan Eropah menggunakan poin tertentu. JANGAN KATA KITA TELAH TERLEPAS DARI PENJAJAHAN POLITIK, kerana kita dipaksa menerima sistem demokrasi seperti yang diamalkan di US dan negara-negara Barat.  Di Amerika dan Eropah, demokrasi menjadi alat kaum kapitalis untuk menguasai ekonomi dan politik negara yang kononnya “mengamalkan” demokrasi.  Pembaca yang mahu tahu mengenai persoalan ini, persilakan membaca buku-buku mengenai sistem demokrasi ini. Untuk memudahkan anda memahami persoalan ini, anda dipersilakan meneliti dengan kritis sebuah buku yang diterbitkan di USM, Decolonising The University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms. (Penerbit USM, 2012. Eds. Claude Alvares & Shad Salim Faruqi.) 

Kesan kedua lebih dahsyat daripada kesan pertama. Golongan yang menentang konsep ilmu yang benar ini akan dikutuk oleh generasi akan datang kerana para penentang ini mengelirukan masyarakat dengan sokongan pihak berkuasa.  Walaupun siswa sastera menolak kekeliruan pihak berkuasa universiti dan kerajaan yang tidak mengiktiraf konsep ilmu yang benar, sebaliknya menjadikan teori Barat sebagai asas pengajian sastera, para siswa ini tidak diberi kebebasan dalam peperiksaan dan oleh itu tidak boleh menyebut dan menggunakan  pendekatan PB. Jika mereka menyebutnya mereka akan gagal dalam peperiksaan, oleh itu ijazah mereka tidak diluluskan. Dengan itu mereka terpaksa menerima keputusan universiti dan pensyarah mereka untuk menerima hakikat bahawa hanya teori sastera Barat saja yang diterima dalam peperiksaan.  Menyedari hakikat ini, saya harap para pelajar sastera ini tidak menentang kezaliman akademik dan intelektual yang dihempap ke atas mereka oleh universiti dan pensyarah mereka. Oleh itu, jawapan yang mereka berikan dalam peperiksaan hendaklah menggunakan teori sastera Barat walaupun salah dari segi akademik kerana kini telah ada pendekatan baru yang diajukan oleh Gagasan Persuratan Baru.

Berapa lama penipuan akademik ini akan diteruskan oleh universiti? Sehingga ini yang sedar akan penipuan akademik ini telah diserlahkan dalam buku Decolonising the University,  hanya UKM dan UPM saja yang menerima kedudukan PB sebagai alternatif, sedangkan universiti lain menolaknya. Pengkhianatan akademik ini direstui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, yang juga menolak Gagasan Persuratan Baru, dengan itu menolak konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam.  Kementerian Pendidikan telah mengambil kedudukan bahawa hanya penilaian yang ditetapkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang terpakai secara rasmi kerana Panel inilah yang telah memilih para sasterawan negara; oleh itu kedudukan Panel dan para sasterawan negara yang mereka pilih adalah mutlak, tidak boleh diusik dan tidak boleh dipersoalkan. Inilah kecelakaan intelektual yang dipaksakan kepada masyarakat dan semua pelajar mesti menjadikan kecelakaan intelektual ini panduan dalam pembelajaran sastera.  Walaupun telah timbul kesedaran di kalangan siswa sastera di empat buah universiti seperti yang mereka tegaskan dalam poster mereka (rujuk entri  4/2/2019), namun mereka tidak dibenarkan menggunakan pendekatan PB ketika menjawab soalan peperiksaan.  Universiti menerima ketetapan ini kerana bagi mereka teori sastera Barat sudah wujud berpuluh tahun, sudah dijadikan standard dalam pembelajaran sastera, sudah menjadi global; maka kedudukan teori sastera Barat itu mesti dibawa ke negara ini jika kita mahu menjadi global dalam pembicaraan tentang sastera.

Dalam hal ini amat menarik pandangan Panel Hadiah Nobel yang menolak seseorang penulis untuk tidak diberi Hadiah Nobel Sastera bukan kerana penulis itu tidak layak, tetapi kerana aspek lain. Perhatikan pandangan mereka mengenai persoalan ini. Saya rujuk buku The Nobel Prize in Literature: A Study of the Criteria behind the Choices, oleh Kjell Espmark (Boston, Massachusetts, versi Inggeris 1991.  Versi asal 1986.)  Jika anda membaca buku ini dengan kritis, anda akan dapati Hadiah Nobel Sastera adalah penjelmaan Apartheid Budaya dan Nazisme Politik Intelektual yang jauh lebih jahat daripada Apartheid South Africa dan Nazism versi Hitler. Adalah amat bangsat apabila sasterawan Malaysia dan Indonesia terhegeh-hegeh ingin diberi Hadiah Nobel Sastera, tanpa menyedari Hadiah Nobel Sastera adalah bukti terbaik budaya politik Apartheid dan Nazism Eropah untuk diberikan sesama mereka di kalangan pengarang Eropah/Barat. Hadiah yang diberikan kepada pengarang Mesir adalah tempelak yang sangat biadab terhadap Islam; dan ini disedari oleh ulama Mesir terutama dari Universiti al-Azhar.  Pengarang ini sudah pun diberi penghormatan sebagai seorang pengarang Islam yang sudah murtad; dan inilah ukuran utama Jawatan Kuasa Hadiah Nobel Sastera ketika memilih pengarang ini.  Saya akan menulis satu entri khusus mengenai persoalan ini.  Perjuangan kita bukanlah untuk mendapat pengiktirafan atau hadiah, tetapi untuk melestarikan konsep ilmu yang benar dalam pembinaan budaya intelektual bangsa Melayu dan masyarakat dunia Islam yang lebih luas. Untuk melaksanakan semua ini, kita perlukan pemikiran bebas yang hanya terikat kepada konsep ilmu yang benar itu sahaja.  Apa bila para sasterawan dan sarjana sastera menolak konsep ilmu yang benar, maka kita yang percayakan konsep ilmu yang benar tidak ada pilihan lain kecuali “memerangi” mereka di peringkat pemikiran dan sikap positif terhadap konsep ilmu yang benar itu.  Bagi saya sendiri, Gagasan Persuratan Baru saya ketengahkan untuk dicabar oleh sesiapa saja yang menolak konsep ilmu yang benar itu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaing Jaya, 19/2/2019.


No comments:

Post a Comment