Pak Mahat Tukang Cukur
Oleh
Mohd. Affandi Hassan
13.10.2001
Siapa sangka Pak Mahat tiba-tiba
jadi tokoh antarabangsa? Semuanya berkat serangan ganas Amerika Syarikat ke
atas Afghanistan. Para wartawan
antarabangsa yang singgah di KL Sentral dan KLIA ternampak satu papan tanda besar yang cantik, berwarna
kuning dan merah, yang terpampang tulisan Rumi dalam stail Jawi mengiklankan
kedai Pak Mahat: Mr. Mahat The
International Shaver. Para wartawan tertarik dengan papan-tanda itu, lalu
mengambil gambar dan menyiarkannya dalam FEER dan AsiaWeek, dengan gambar Pak
Mahat sendiri sedang mencukur sang
wartawan. Wartawan FEER yang baru sampai dari Kabul, berjanggut tebal dan
memakai jubah Taliban (atau mungkin juga jubah Usamah bin Laden), ditahan oleh
kakitangan keselamatan di lapangan terbang KLIA, lalu diberitahu beliau perlu
bercukur sebelum dapat masuk ke Malaysia.
“Tuan
boleh jumpa Pak Mahat,” kata pegawai keselamatan.
Wartawan yang tercengang kebingungan
itu terkebil-kebil memandang pegawai keselamatan.
“Tuan juga perlu tukar pakaian.
Tidak boleh pakai jubah di sini,” kata pegawai keselamatan itu lagi. “Tuan
boleh beli pakaian biasa di mana-mana kedai di sini.”
Wartawan yang penat dan pucat itu
terlongo, terlalu terkejut dengan
peraturan itu.
“Mengapa saya mesti bercukur dan
tukar pakaian?” tanyanya hairan.
Pegawai keselamatan itu tersenyum
manis.
“Kami baru luluskan undang-undang
baru. Tidak boleh lagi simpan janggut, jambang dan misai. Jubah dan sarban juga
tidak boleh pakai. Kami tidak mahu dipanggil pengganas.”
Wartawan yang baru sampai dari medan
perang di Afghanistan itu terkebil-kebil memandang pegawai keselamatan yang
masih tersenyunm simpul, menayangkan mukanya licin monir tidak ada seurat bulu
pun.
“Mari ikut saya,” kata pegawai
keselamatan, lalu terus membawa sang wartawan ke kedai cukur Pak Mahat.
Wartawan itu terkejut lagi, kerana
kedai cukur yang besar itu penuh dengan manusia berjanggut dan berjambang,
sedang menunggu giliran masing-masing.
Sang wartawan diberi angka gilirannya. Mengikut congaknya, dia harus
menunggu kira-kira 30 orang yang sampai lebih awal. Dia duduk bersila di atas
permaidani yang berbulu dan berbau agak
hapak. Dia melihat ramai pegawai keselamatan sedang berkawal, untuk memastikan
semua orang berjanggut dan berjambang licin mukanya dan mana-mana yang memakai
jubah menukar pakaiannya. Wartawan itu tertidur, dan hanya terjaga apabila
dikejutkan oleh pegawai keselamatan setelah giliran wartawan itu tiba.
Ketika bercukur itulah wartawan itu
membuat temujanji dengan Pak Mahat untuk ditemuramah. Mereka bertemu di salah
sebuah kedai makan di KLIA.
“Bagus perniagaan Pak Mahat?” kata
wartawan itu.
“Sangat bagus, tuan. Saya sudah ada
cawangan seluruh Malaysia sekarang. Hanya dalam masa pendek saja. Saya sudah
ada syarikat holdings di semua
lapangan terbang, stesen kereta api, setesen bas dan teksi. Perniagaan ini
sangat baik. Tidak sangka pula begitu
ramai orang berjanggut dan berjambang di Malaysia atau yang datang ke Malaysia.
Semua mereka mesti dicukur licin. Itulah undang-undang baru kami. Saya fikir
undang-undang itu sangat baik, membuka peluang perniagaan baru, dan
menguntungkan pula. Tuan tidak tahu perubahan ini? Sebenarnya masih baru lagi,
baru tiga empat bulan atau lebih sedikit. Kira-kira tiga minggu selepas Amerika
Syarikat serang Afghanistan, Kerajaan kami buat undang-undang baru kerana ramai
sangat orang berjambang dan berjanggut yang pakai jubah. Rakyat kami jadi
takut. Mereka desak kerajaan supaya undang-udang baru dibuat di Parlimen.
Rakyat kami tidak mahu puak Taliban berkeliaran di negara kami. Puak itu
menakutkan kerajaan dan menakutkan rakyat. Ketua Parti beritahu saya ada
peluang perniagaan baru apabila undang-undang janggut dan jambang diluluskan.
Saya orang susah, tuan. Tapi lepas jadi tukang cukur, saya hidup senang.”
Wartawan yang kini licin lemu
mukanya itu tersenyum kahairanan mendengar keterangan Pak Mahat yang lancar
berbicara itu.
“Pak Mahat begitu lancar cakap
Inggeris. Belajar di mana?” tanya wartawan yang kagum itu.
“Kami ada Kelab Bahasa Inggeris di
kampung-kampung. Ketua Parti bilang,
semua orang kampung mesti belajar cakap Inggeris, bahasa internasional. Kalau
tidak tahu bahasa Inggeris, nanti tertinggal bila tiba Wawasan 2020. Tuan fikir
bahasa Inggeris saya baik?”
“Baik sekali. Lebih baik daripada
bahasa Inggeris ahli politik atau menteri yang tergagap-gagap bila bercakap,
tapi mahu cakap Inggeris…”
“Tak baik tuan sindir pemimpin
kami,” kata Pak Mahat tersenyum sinis. “Tuan tamu kami, tak baik kritik
pemimpin kami. Tuan tidak objektif.”
Sang wartawan tertawa.
“Maafkan saya, Pak Mahat,” kata sang
wartawan sambil tersenyum-senyum.
“Wartawan luar selalu komen tidak
baik tentang Malaysia. Tuan fikir kami jahat sangatkah?” cabar Pak Mahat.
Sang wartawan terus tertawa.
“Tidak, Pak Mahat. Tidak,” kata sang
wartawan sambil terus tertawa.
Seminggu kemudian Pak Mahat jadi
tokoh antarabangsa. Temuramahnya dengan wartawan yang dicukur janggut dan
jambangnya itu disiarkan dalam FEER. Kata wartawan yang membuat laporan, dia
fikir akan lahir ramai lagi Pak Mahat di seluruh dunia, apabila negara-negara
lain mengikut Malaysia memperkenalkan undang-undang anti-jambang dan jubah.
Bravo Malaysia kerana jadi pelopor, sang wartawan membuat kesimpulan.
(Tiba-tiba tersurat catatan kecil untuk Pak Mahat: Adakah saya komen yang tidak
baik tentang Malaysia, Pak Mahat?).
Temuramah itu mengejutkan para
wartawan Malaysia sendiri. Mereka berasa malu kerana tidak tahu wujudnya tokoh
besar seperti Pak Mahat Tukang Cukur, walaupun mereka pernah tertawa melihat
papan-tanda kedai Pak Mahat di KL Sentral. Mereka tersinggung kerana terlepas
peluang menemuramah Pak Mahat, padahal tokoh itu berada di depan mata mereka,
tekun mencukur jambang dan janggut rakyat Malaysia dan para pelancong yang
berjambang. Mereka mentertawakan undang-undang anti-jambang dan janggut sebagai
undang-undang gila, padahal undang-undang itu telah memulai satu industri baru
di Malaysia, iaitu industri kecil cukur jambang dan janggut. Para wartawan itu
baru sedar bahawa tidak ada lagi orang berjambang dan berjanggut, yang memakai jubah dan serban. Kini Malaysia lebih
bersih dan lebih aman, kerana tidak
kelihatan lagi para pengganas atau bakal pengganas yang dulunya berkeliaran di
bandar-bandar Malaysia, di sekolah dan universiti, di pejabat kerajaan dan
lain-lain.
Selepas keluar dalam FEER, Pak Mahat
menjadi tokoh pilihan majalah MASSA.
Sebuah rencana khas yang ditulis oleh
Wartawan Negara melaporkan pembukaan
kedai baru Pak Mahat di Putrajaya. Menurut Wartawan Negara, Pak Mahat adalah
tokoh besar negara, yang mempelopori bidang perniagaan baru mencukur jambang
dan janggut rakyat Malaysia dan para pelancong. Kata Wartawan Negara, jika
seorang penyanyi layak diberi gelaran Tan Sri, maka seorang pencukur jambang
dan misai seperti Pak Mahat juga layak mendapat anugerah negara kerana jasanya
membersihkan muka lelaki Malaysia dan menanam perasaan aman di hati rakyat
Malaysia kerana tidak ada lagi orang berjambang dan berjanggut yang memakai
jubah berkeliaran di negara ini. Selepas itu majalah MASSA menerima banyak
surat menyokong cadangan Wartawan Negara, malah ada negeri yang menawarkan
bintang tertentu untuk Pak Mahat Tukang Cukur. Tetapi yang paling
menggembirakan Pak Mahat ialah cadangan seorang pembaca supaya ditubuhkan Kelab
Tukang Cukur Malaysia, dengan Pak Mahat menjadi presidennya.
No comments:
Post a Comment