Wednesday, February 6, 2019

BANTAHAN DAN JAWAPAN ...



Beberapa orang teman membantah dengan keras dua bahagian awal tulisan ini dengan menuduh saya keterlaluan “menghina dan meremehkan para sasterawan negara yang dipilih oleh negara dan diberi tauliah oleh Agong sendiri.” Marah betul mereka. Tetapi adakah ini adil?  Anda tahu makna adil dalam epistemologi Islam?  Supaya perspektif kritikan saya tidak tergelencong jauh, saya siarkan kembali tulisan ini.

Kalau tulisan saya dibaca dengan kritis dan kreatif dalam konteks “reading is an argument” yang ditegaskan oleh Paul de Man, saya pasti anda akan lebih berhati-hati. Pertamanya, saya bukan menghina sesiapa. Saya hanya mengkritik perbuatan melantik sasterawan negara itu kerana TIDAK WAJAR SASTERAWAN DILETAK LEBIH TINGGI DAN MULIA DARIPADA PARA ULAMA DAN CENDEKIAWAN Melayu yang jauh lebih berjasa. Mahu saya sebut sumbangan mereka dan judul kitab-kitab mereka? Kalau anda tidak tahu semua ini, apakah asas hujah anda?  Memang benar saya mengkritik mereka agak keras, tetapi ini tidak bererti tidak wajar kerana saya cukup cermat menghujahkan pandangan saya. Jika mereka tidak boleh dikritik, anda akan bertindak lebih tidak siuman kerana meletakkan mereka “beyond criticism”.  Andainya anda berkata, boleh dikritik, tetapi mestilah jujur dan wajar serta adil.  Maka saya jawab: Adakah penilaian dan pujian terhadap karya mereka tidak melampau, jujur, wajar dan adil? Kedua, bagaimana dan apakah yang dikatakan kritikan yang jujur, wajar dan adil? Saya telah melakukannya dengan memberi hujah berasaskan bukti daripada karya mereka sendiri. Adakah itu tidak jujur, tidak wajar, dan tidak adil? 

Oleh sebab saya telah banyak menulis tentang isu ini, tindakan anda yang paling siuman ialah memeriksa dengan kritis (tidak kreatif pun tak mengapalah), maka anda perlu bertindak dengan jujur, wajar dan adil dengan membaca dan faham pandangan saya yang saya paparkan dalam tulisan yang berkenaan. Kalau anda sendiri tidak membacanya dan tidak pula tahu asas penilain saya, bagaimana anda boleh meletakkan diri anda sebagai manusia yang jujur, wajar dan adil?

Isu sebenar yang cuba disembunyikan atau lebih tepat diketepikan dengan angkuh ialah tentang konsep ilmu seperti yang diajarkan oleh Islam. Boleh dikatakan semua sasterawan negara menolak aspek ini; apatah lagi para sarjana yang memang tidak tahu apa-apa tentang konsep ilmu ini, maka dengan bangga dan agak angkuh mereka menolak sambil memperli bahawa sastera itu sendiri adalah ilmu. Pendapat ini sebenarnya ditolak oleh sarjana Barat sendiri, walaupun ada juga pandangan yang mengatakan sastera lebih tinggi darjatnya daripada falsafah. Kalau saya biadab saya akan menengking mereka: Kepala hotak kamu!  Tetapi saya tidak pernah kata begitu. Saya masih menerima mereka sebagai manusia yang wajar dihormati, seperti yang saya nyatakan dalam entri itu.  Malah saya memberi peluang kepada mereka untuk mengkritik saya sehabis kritis yang mereka mahu, kerana saya sendiri menulis karya kreatif selain karya akademik. Saya cukup yakin karya saya boleh mempertahankan saya tanpa saya masuk campur dalam perbincangan mereka.  Malah inilah pendirian para sasterawan negara sendiri. Oleh itu tidak ada isu sebenarnya. Yang tidak boleh menerima kritikan bukan para sasterawan negara, tetapi para sarjana yang menjadi penyokong mereka. Dengan itu saya rasa isunya ialah sikap negatif terhadap ilmu dan keengganan untuk menerima kosep ilmu yang benar.  Sepatutnya itulah yang patut dijadikan asas penilaian kita.

Mohd. Affandi Hassan, 21/3/2016.



No comments:

Post a Comment