Catatan: Ketika membelek-belek fail lama, terjumpa tulisan ini. Belum tersiar. Bila saya baca, bagus pula. Inilah yang terjadi sekarang. Sila bantah habis-habisan jika anda mendapati sebaliknya. Dalam dunia politik Barat, mereka telah bersetuju pembohongan adalah strategi yang wajib dipakai kalau mahu menang. Dalam HIKAYAT BUYUNG LURUS saya sebut cerita pembohongan PM Britain ketika itu. Tahu siapa dia? Akhirnya dia mengaku dia memang berbohong. Jangan kritik ahli politik jika mereka berbohong. Kata Tun M, dia tak boleh tunaikan janji nak hapuskan toll kerana belanjanya terlalu mahal, 441 bilion. Katanya, masa dia berjanji, dia tak sangka dia akan menang dan jadi PM lagi. Semua orang terima pembohongan Tun M sebagai stratregi paling tepat. Kalau anda ada sedikit kecenderungan agama, sila dapatkan definisi orang munafik. Definisi ini telah ditolak bulat-bulat oleh Melayu. Tahu mengapa?
Inilah tulisan itu.
Menurut YB
Ibrahim Ali yang digelar Raja Lompat oleh orang ramai, Ahli Parlimen yang bebas
bernaung di bawah PAS dan menang atas tiket PAS, masalah politik Malaysia
menjadi begitu gawat kerana ahli-ahli politik pembangkang (tidak termasuk
bebas) semuanya munafik.
Mereka pembohong dan sangat pandai menggunakan
pembohongan untuk mendapat kuasa hingga hilang kuasa di Perak. Rakyat Malaysia
patut bangga kerana adanya orang seperti YB Ibrahim Ali ini yang seumur
hidupnya tidak pernah berbohong. Sebenarnya inilah masalah politik Malaysia
yang merumitkan iaitu apabila semua pemimpin UMNO atau bekas pemimpin UMNO yang
ditendang keluar seperti Ibrahim Ali tidak saja tidak pernah telanjang seperti
Elizabeth Wong, tetapi juga tidak pernah berbohong. Pembohongan sangat penting
dalam politik. Tanpa pembohongan tidak akan wujud muslihat politik. Hal ini
disedari oleh para pemimpin UMNO, yang menggunakan strategi “tidak bercakap
benar” sebagai senjata politik yang amat berkesan. Tidak bercakap benar tidak
sama dengan berbohong. Seseorang itu berbohong jika dia tidak bercakap benar;
tetapi orang yang tidak bercakap benar bukan berbohong, hanya menggunakan
strategi untuk mengelirukan musuh politik yang jahat dan bodoh. Peristiwa
rampasan kuasa di Perak adalah contoh paling baik untuk dijadikan kajian kes
(case study) tentang makna bohong yang tidak sama dengan tidak bercakap benar.
Orang yang tidak bercakap benar adalah
orang yang sempurna akalnya, bersih hatinya daripada segala penyakit hati,
jujur dalam kata-kata dan mulia semua kelakuannya serta tindakannya. Semua ini
telah dibuktikan dalam kes rampas kuasa di Perak. Rampasan kuasa itu dilakukan
untuk membela kebenaran dan menjaga kepentingan rakyat kerana rakyat telah melakukan
kesilapan besar dengan memberi kuasa kepada puak yang tidak boleh dipercayai.
Menurut ulama yang tidak pernah berbohong, dan tahu betapa jahatnya berbohong,
rampasan kuasa itu menjadi wajib dan berdosa jika tidak dilakukan kerana rakyat
menderita di bawah pentadbiran para pembohong yang tidak tahu mentadbir negara.
Oleh itu ulama berkata ada bohong sunat, ada bohong wajib, ada bohong harus.
Bohong sunat, kata ulama, ialah bohong kecil yang terpaksa dilakukan untuk
memelihara maruah; manakala bohong wajib pula ialah jenis bohong yang tidak
dapat tidak mesti dilakukan untuk memastikan kuasa yang ada terus kekal kerana
jika kuasa itu terlucut celakalah rakyat dan pemimpin yang sudah biasa dengan
pembohongan itu; sementara bohong harus pula ialah jenis bohong main-main untuk
memujuk rakyat mengundi seseorang calon pilihan yang dijamin kebaikannya dan
tidak pernah berbohong serta tidak pernah telanjang seumur hidupnya.
Barangsiapa yang tidak percayakan pembohong akan jadi susah, akan dituduh
menderhaka, biadab, kurang ajar, pembelit, tak tahu undang-undang, jahil dan
lain-lain kutukan yang dilemparkan dengan rakus dan angkuh oleh para pembohong
yang jujur. Para pembohong yang jujur ini akan menggunakan apa juga ruang yang
ada atau diadakan untuk menunjukkan kejujuran pembohongan mereka kepada rakyat.
Merekalah orang paling berjasa dan paling jujur serta paling prihatin kepada
rakyat. Mereka tidak main-main dengan pembohongan mereka, kerana berasaskan
pembohongan itulah mereka melaksanakan pembangunan negara dan mendapat faedah
besar daripadanya. YB Ibrahim Ali mempunyai pengalaman luas dalam aspek
pembangunan ini dan beliau boleh menghuraikan dengan mendalam mengapa
pembohongan menguntungkan para pemimpin yang berkuasa. Krisis politik di Perak
tidak akan berlaku andainya para pemimpin bercakap benar memberitahu rakyat
bahawa mereka berbohong kerana itulah jalan terbaik dan jujur untuk membela
rakyat yang sudah lama tertipu.
(21/2/2009)
Mohd.
Affandi Hassan
No comments:
Post a Comment