Dalam entri
yang lepas, saya memberi sedikit gambaran tentang Hadiah Nobel Sastera. Dalam entri ini saya akan perincikan
persoalan ini. Mudah-mudahan selepas
kita tahu serba sedikit tentang Hadiah ini, para penulis/sasterawan kita
tidaklah pelahap dan tergila-gila lagi hendak dapat Hadiah Nobel Sastera. Tidak
ada yang istimewa pun, jika kamu tahu hakikat Hadiah ini dan faham pula
matlamatnya.
Menurut Nobel Institute, terdapat 6
bahagian/cawangan untuk (1.) Slavic languages, (2.) untuk bahasa Perancis dan
Sepanyol, (3.) untuk bahasa Inggeris dan Belanda, (4.) untuk bahasa Portugis, (5.)
untuk bahasa German dan Scandinavian languages, dan (6.) untuk bahasa Itali.
Mengapa tidak ada untuk bahasa Melayu/Indonesia? Bahasa ini dituturkan dan
dijadikan bahasa sastera oleh 300 juta manusia Melayu dan Indonesia. Jelas
sekali terdapat, dan dipraktikkan diskriminasi yang melampau, seolah-olah bahasa
Melayu/Indonesia itu bahasa lembu! Sikap perkauman yang amat jelas ini saya
panggil sikap Nazism dan Apartheid yang cukup jelas, tidak boleh dinafikan
lagi. Maknanya, sastera Melayu dan Indonesia itu bukan sastera tinggi, hanya
sastera (?) lisan saja. Kalau sudah
begitu sikap mereka yang berada di Academy Hadiah Nobel itu, maka di
mana maruah penulis/sasterawan Melayu dan Indonesia yang mengemis penghormatan
dari mereka?
Sekiranya
Malaysia betul-betul tergila-gilakan Hadiah Nobel Sastera ini, maka yang perlu
dilakukan mulai sekarang ialah menterjemahkan semua karya sasterawan negara ke
dalam bahasa Inggeris, Perancis, German dan Itali. Jangan bimbang, kerana saya
tidak akan izinkan semua karya saya diterjemahkan ke dalam bahasa apa sekali
pun, kecuali bahasa Arab dan Urdu. Mengapa
itu yang menjadi pilihan saya? Mudah saja, kerana dengan berbuat begitu, saya
bisa menyisihkan diri saya daripada perasaan ujub dan bangga yang sebenarnya
tidak bermakna. Yang saya cari dan harapkan dalam perjuangan seni saya ialah
untuk mencerdikkan bangsa Melayu, supaya mereka dapat melihat dengan jelas mana
yang berguna untuk mereka dan mana pula yang sia-sia. Itulah nikmat ilmu yang
benar yang akan membawa anda kepada kesejahteraan dunia akhirat. Tidakkah itu
yang diharapkan daripada seorang Muslim?
Bagaimana caranya mendapatkan matlamat itu? Saya persembahkan PB untuk
anda cuba dan lihat hasilnya. Anda mesti cerdik dan berilmu sebelum anda
memasuki bidang kreatif; jika tidak, anda akan hanyut dalam khayalan imaginasi
yang sia-sia. Itulah yang kita lihat dalam karya para sasterawan negara. Jangan marah dulu; sanggah kesimpulan saya
itu berasaskan ilmu. Bawalah hujah dan bukti anda dalam mana-mana teori sastera
Barat, nescaya anda akan dapat lihat betapa sia-sianya teori Barat yang anda puja
itu jika anda tidak tahu makna ilmu yang benar. Dan jika anda sudah faham
maksud ilmu yang benar, anda boleh saja menggunakan teori Barat sebagai seorang
yang berilmu. Indah, bukan? Kalau anda
faham maksud saya, semua anda akan berlumba-lumba menulis dari perspektif PB.
Sekiranya anda tolak tanpa memahaminya, maka bodohlah anda. Penulis atau
sasterawan tidak boleh bangga berada dalam kebodohan. Semudah itu, sebenarnya. Mujurlah kini anda diselamatkan oleh anak
muda, mahasiswa sastera dari empat buah universiti, yang mengirimkan saya
poster mereka yang isinya begitu bersemangat. Itulah sikap yang kita mahu dari
kalangan para sasterawan dan sarjana sastera. Saya bangga kerana murid para
profesor sastera ini muncul sebagai pembela PB yang mendambakan lahirnya
sastera intelektual yang hakiki.
Nah, kalau
begitu, anda tidak perlukan Hadiah Nobel Sastera. Karya anda sendirilah yang
akan menjadi saksi di sini dan di sana. Lagi pula, Nobel Institute tidak pedulikan kehadiran anda yang mereka anggap
dari golongan bangsat, bukan dari golongan Barat yang menjadi kebanggaan mereka.
Masih tidak faham? Bacalah lagi
bagaimana mereka bahagia-bahagikan kumpulan tertentu dalam Academy Nobel untuk
mencari tokoh sastera yang layak diberi Hadiah Nobel Sastera. Para sasterawan
dan sarjana sastera malulah sedikit, dan sedarlah diri betapa orang sebelah
sana tidak pun tahu anda wujud dan anda juga menulis karya sastera. Mereka
tidak tahu anda berada dalam kumpulan besar, 300 juta orang Melayu dan
Indonesia yang bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu. Kalau anda jujur kepada ilmu, dan anda
seorang sarjana, perkenalkanlah PB kepada mereka. Mudah-mudahan mereka tahu
bahasa Melayu itu dituturkan dan dijadikan bahasa sastera oleh 300 juta
manusia. Perkenalkan mereka PB, barangkali ada di antara mereka yang berminat;
walaupun tidak sepatutnya anda berharap sangat akan mendapat simpati dari
kumpulan Apartheid dan Nazism budaya ini.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 21/2/2019.
No comments:
Post a Comment