Thursday, March 28, 2019

PEMBINA PIRAMID MALAYSIA TERUS KELENTONG RAKYAT MALAYSIA



Malaysia beruntung mempunyai seorang ahli politik muda seperti Nurul Izzah. Kononnya, Malaysia Baru (kepala hotak hang kata orang Utara tempat asal Dr. Mahathir) meraikan kebebasan beradab, tegas menegur bila diperlukan seperti dalam keadaan sekarang kerajaan PH terus menerus memberi alasan susah mentadbir Malaysia kerana Najib sudah buat hal tinggal macam-macam problem. Era ini adalah Era Gila dalam politik Malaysia. Contoh: PAS dituduh terima dan ambil wang dari UMNO; Dr. Mahathir bilang Haji Hadi munafik ketika berucap di Kuantan (sila rujuk entri lepas), ambil wang tapi tak mahu mengaku. Pandainya Haji Hadi dia puji Mahathir sebagai seorang yang tegas, bukan diktator. Ada udang di sebalik pujian yang jelas tidak ikhlas itu, sekadar nak “ambil hati” supaya PAS tidak dikutuk teruk sangat;  nampaknya kedua-dua belah pihak bukan dari golongan manusia yang baik-baik oleh itu kedua belah pihak saling tuduh menuduh membangkitkan kejahatan pihak lawan. Kalau inilah gaya politik baru dalam pentadbiran PH, tidak ada bezanya dengan zaman Dr. Mahathir jadi PM 22 tahun berbanding berada dalam keadaan sekarang. Dulu hanya UMNO yang baik dan jujur; bukan UMNO semuanya jahat dan pembohong dan seterusnya. Sekarang pula hanya PH yang jujur dan baik; UMNO simbol penipuan politik teragung menurut para pemimpin PH. Bagaimana kita boleh baca semua perkembangan ini? Senang saja. Bacaan yang betul telah diberikan oleh Nurul Izzah, yang dengan tegas memberitahu jantan-jantan yang penakut dan tamak kuasa bahawa dia tidak mungkin bersekongkol dengan “bekas diktator” yang namanya kebetulan Tun Dr. Mahathir Mohamed. Kalau anda perhatikan tindak tanduk ini orang Kedah dalam politik yang dipanggilnya (?) politik baru dalam Malaysia Baru, anda akan dapati hanya Nurul Izzah yang berani memberi pendapat yang paling bernas dalam politik Malaysia tentang tokoh yang digelar oleh para pejuang reformasi (entah apa maksud slogan ini tidak jelas kepada saya) seorang tokoh Mahafiraun dan Mahazalim.

Para baruah yang mencari kesempatan politik peribadi mengkritik Nurul Izzah kerana ketegasannya,  para baruah ini takut tidak dapat habuan yang sudah lama dinganga menunggu diluah ke dalam mulut rasuah mereka. Antaranya seorang yang paling kecewa dengan ketegasan Nurul Izzah ialah bekas seorang penjawat tinggi dalam PKR. Kecewa betul orang ini, belum lagi dapat apa-apa habuan daripada bekas diktator itu. Kecewanya tak terkira, orang lain semua dapat, dia belum lagi dapat habuan yang sudah lama ditunggu. Dalam hal ini, ikutlah tabiat buaya, yang sabar menanti peluang menerkam mangsanya. Ahli politik memang bertabiat buaya, tetapi tak berapa sabar, tidak macam buaya menunggu mangsa. Politik buaya ini memang meluas dalam politik Malaysia, dan tidak akan reda, termasuk zaman PH ini. Tiada kecuali. Malah sekaranglah kita lihat politik buaya ini mendapat sokongan rakyat, suatu keadaan yang amat pelik.  Tidak pasti berapa ramai yang faham maksud saya.  Tetapi semua orang tahu seluruh sejarah politik Malaysia, terutama di kalangan Melayu tidak kira parti mana, adalah pengamal politik buaya ini. Tidak adil kalau anda kecualikan para pemimpin PAS. Berilah mereka peluang yang sama dengan yang didapat oleh UMNO dan Pakatan Harapan.

Politik adalah kuasa, dan kuasa adalah lombong rasuah. Hakikat ini diketahui dan dipraktikkan oleh ahli politik yang aktif, tidak kira dari parti mana mereka berada.  Bodohlah ahli politik yang tidak rasuah ketika peluang luas terbuka untuk mereka berkecimpung dalam merebut peluang yang luas terbuka itu.  Anda boleh sebut berapa orang pemimpin politik yang tidak rasuah? Kita perlukan satu senarai yang diberikan secara sukarela oleh semua parti untuk memberikan senarai itu bagi kepentingan awam dan supaya rakyat tahu pemimpin sekian sekian tidak rasuah, disahkan oleh parti sendiri. Saya dapat tahu, tidak ada parti yang bersetuju dengan cadangan ini, untuk melindungi maruah mereka. Masalah rasuah ini tetap akan tertutup dan tidak mungkin dapat didedahkan kerana bilangan yang terlibat terlalu besar. Bagaimana kita tahu? Senang saja. Mereka yang berkenaan tidak terbuka untuk diketahui, kerana kata mereka menyembunyikan rasuah adalah hak mereka yang dilindungi undang-undang dan Perlembagaan. Jangan main-main! Kesimpulan ini nampaknya dipersetujui oleh pengamal undang-undang, yang memberitahu bahawa maruah setiap warganegara perlu dijaga, sesuai dengan kedudukan setiap rakyat sebagai anggota masyarakat yang tidak boleh diragui kejujurannya. Semua orang adalah jujur, sehingga dibuktikan tidak jujur. Kita kena terima keputusan ini dan keputusan bahawa maruah setiap orang adalah sacred, tidak boleh dipermainkan. Inilah sebab sebenar mengapa rasuah berleluasa.  MELAKUKAN KERJA RASUAH ADALAH SESUATU YANG SACRED DAN SECRET.

Ayat di atas penting dalam konteks rasuah ini. Ketika menulis entri ini, saya terlihat satu video oleh satu kumpulan orang Melayu yang berpakaian agak aneh yang meminta SPRM menyiasat kekayaan anak-anak Tun Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri PH, dari mana mereka dapat harta berbilion. Adakah sewaktu Tun Dr. Mahathir jadi PM kali pertama, selama 22 tahun itu? Tiba-tiba bila saya rujuk kembali, video itu sudah hilang, belum sempat saya salin. Tepat sekali makna rasuah yang saya berikan itu berkaitan dengan sesuatu yang sacred dan secret.  Sekiranya ada di antara anda yang membaca blog ini terjumpa video itu, sila beritahu saya untuk saya simpan salinannya. Sangat penting. Permintaan supaya SPRM bertindak tanpa pilih kasih adalah penting dibuktikan dalam kerajaan Malaysia Baru yang anti-rasuah dan yang telah meletakkan Datuk Najib Razak sebagai seorang yang paling rasuah ketika menjadi PM sebelum pilihan raya 9 Mei 2018.

Jangan lupa, video itu sangat penting sebagai bukti ketelusan SPRM dalam pemerintahan PH.

Kata Tok Mindok: “Selamatlah jiwa yang sempurna!”

Mohd. Affandi Hassan,  Petaling Jaya, 28/3/2019.

No comments:

Post a Comment