Monday, March 11, 2019

CATATAN LAMA YANG TETAP SEGAR

Catatan: Saya terjumpa nota ini dan bila dibaca menarik pula, terutama komen seorang guru dari Negeri Sembilan. Dia jujur dan objektif. Kelantan ramai melahirkan golongan intelektual, yang selalunya menjadi pelopor dalam banyak bidang. Kerana saya dari Kelantan, biarlah orang dari luar Kelantan menulis tentang tajuk ini. Baca sajalah nota saya kepada ASTRO ini, moga-moga anda boleh lihat sejauh mana kita berubah dalam so called Malaysia Baru ini.





ANALISIS Astro

Kami harap anda sudah terima komen kami yang panjang dalam e-mail  12/3/2008. Ada beberapa perkara tertinggal, oleh itu kami nak nyatakan dalam e-mail ini.

Menurut perhitungan kami, dalam masa 13 hari sebelum mengundi, semua stesen TV di Malaysia menyiarkan setiap saat lambang dacing BN dengan slogan: pilihlah Malaysia dengan memangkah kami (pilih BN). Secara kasarnya, pendedahan ini berjumlah lebih dari 450,000 kali. Perbuatan ini nyata tidak bermoral, sangat kuat unsur rasuahnya, dan langsung tidak menghormati penonton dan pengundi. Penonton/pengundi jadi meluat, marah kerana diganggu begitu rupa. Iblis pun tidak memujuk sekerap itu. Perbuatan ini lebih dahsyat daripada pujuk rayu Iblis. Hasilnya, BN hampir lingkup. Mengapa perbuatan ini terjadi? Kerana rendahnya moral sesiapa juga yang merancangnya, dan orang2 yang bermoral rendah inilah yang bercakap tentang rasuah sampai berapi mulutnya. Tak seorang pun pakar anda sebut perkara ini. Apa sudah jadi dengan mereka, terutama para ahli akademik yang diharap objektif komennya? Sekarang anda pula melakukan perkara yang sama, tanya bertalu2 bagaimana pelaboran boleh digalakkan oleh kerajaan negeri yang dikuasai BA. Cepat, cepat, dunia globalisasi mahu semua cepat. Waduh, bagusnya sikap prihatin terhadap pelaboran ini.

Kami teringat satu pandangan seorang pesara guru dari Negeri Sembilan yang lama mengajar di Kelantan. Bila balik ke Seremban, dia bilang (dalam TV Malaysia) Kota Baharu lebih maju daripada Seremban. Yang jadi pengacara terkejut. Pesara itu bilang, kemajuan bukan hanya bangunan dan jalan raya, tetapi manusianya. Kalau anda pernah pergi ke Kelantan, anda akan dapati rumah2 besar lebih hebat daripada yang terdapat di PJ. Orang miskin Kelantan hidup mewah kerana mereka kuat bekerja. Tentu saja tidak semewah Tun Mahathir dan anak2nya. Tetapi tetap mewah. Kerana itu mereka tolak bulat2 janji “kemewahan” BN dalam manifesto. Cerita wayang kulit lebih menarik daripada cerita manifesto BN. Prof. Senator Ismail Salleh, pakar ekonomi yang sangat celik hatinya, berkata dalam program yang sama, makna pembangunan itu bukan hanya bangunan dan seumpamanya. Ada perkara lain. Ahli sejarah Islam, ulama dan pakar pembangunan Islam, selalu mengingatkan bahawa yang termaju di dunia ialah Firaun. Tetapi merekalah yang terkutuk, dikutuk oleh Allah Ta’la sendiri. Jadi bila anda buat terlalu banyak bangunan tinggi, sampai masjid pun dibuat hebat untuk memukau pelancong, maka anda berjiwa Firaun. Adakah itu kemajuan? Ada pelaboran lain dalam kehidupan manusia, iaitu yang dinamakan kebahagiaan. Bahagiakah para pemandu kereta yang hendak ke utara yang kena bayar tol lebih seratus ringgit dengan minyak yang hampir sama? Lebih cepat dan murah naik kapalterbang. Apa jenis pembangunan yang menyusahkan demikian rupa? Biarlah pakar2 anda dalam ANALISIS sentuh sedikit perkara ini, supaya ada keseimbangan dalam analisis mengenai perkara ini. Jika anda banyak membaca dan kenal tradisi pemikiran Islam, kenal tamadun Islam, anda tidak akan berasa aneh membaca komen ini.

Pada umumnya di Malaysia terdapat tiga matlamat pembangunan. (1) Untuk menunjuk-nunjuk, pameran, bermegah2. Contoh: Masjid Kristal di tempat tak ada makmum, dibina untuk tontonan pelancong. (2) Untuk membuktikan kerajaan prihatin, tak tinggalkan rakyat. Contoh: Bila ada pilihan raya kecil, jalan2 dibaiki, dibubuh tar, diberi gran tanah, diberi bonus kepada peneroka. (3) Untuk mencari keuntungan. Inilah yang paling utama. Wang dibelanjakan besar2an, disalurkan kepada golongan tertentu seperti peniaga, kontraktor dan sebagainya. Kemajuan dapat dilihat, berapa banyak wang dibelanjakan tidak diketahui. Alih2 kita lihat ahli politik hidup mewah, parti jadi banyak wang. Dan seterusnya. Adakah ini mesti diteruskan? Apa yang rakyat dapat? Mereka harus membayar segala macam cukai, yang nampak dan tidak nampak.  Inilah model pembangunan yang dimajukan oleh BN, yang akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat. Kerana itu, antara sebabnya, ditolak oleh rakyat Kelantan. Mereka tahu yang akan senang lenang bukan mereka, tapi para pemimpin yang “membawa” pembangunan itu. Anda di ANALISIS patut bincang perkara ini, sebab inilah antara punca kemiskinan, atau gagalnya “pembasmian” kemiskinan walaupun sudah 50 tahun merdeka. Dengan adanya penswastaan, rakyat harus bayar cukai tiga kali ganda. Bagaimana ini terjadi biarlah para penganalisis  huraikan. Kebajikan rakyat, kemiskinan mereka, keperluan mereka, diperdagangkan dan ada orang jadi kaya raya kerananya. Mereka adalah para wakil rakyat, ketua parti, dan lain2 yang berkenaan. Dalam keadaan seperti ini, tidak mungkin rasuah dihapuskan. Sebab itu ada teori ekonomi yang membenarkan rasuah, untuk memudahkan terlaksananya pembangunan, untuk mempercepatkan. Kami fikir teori ini dipraktikkan dengan cekap di Malaysia.

Trikh: 3/11/2008.

Amaran: Sila baca Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu, untuk mendapat makna sebenar yang dikatakan korupsi itu. 

PJ 11 Mac 2019.




No comments:

Post a Comment