Thursday, March 7, 2019

TIGA KATEGORI KARYA KREATIF DALAM SASTERA MELAYU



Apabila saya memperkenalkan tiga kategori karya kreatif dalam sastera Melayu, hampir keseluruhan sarjana dan sasterawan menentang keras, tetapi tidak berani bersuara. Kata mereka, tiga kategori itu tidak pernah wujud dalam persuratan Melayu; malah karya kreatif dalam bentuk novel masih baru lagi dan masih berkembang. Itu kesimpulan mereka. Benarkah mereka percaya genre novel masih berkembang?  Saya amat yakin mereka sebenarnya tersilap memberi kenyataan itu. Jika betul itulah pendapat mereka, mengapa pula mereka tidak boleh menerima genre baru yang dinamakan karya persuratan? Contoh-contohnya telah ada. Malah menurut penyelidikan dan analisis Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani, novel karangan  Abdul Kadir Adabi yang terbit 1938 di Kota Bharu,  Melati Kota Baharu, telah dianalisis dengan mendalam oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani sebagai contoh pertama karya persuratan. (Sila lihat Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan,  ed. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, bab 2. (Penerbit UKM, 2016.)  Sehingga sekarang belum ada lagi mana-mana sarjana sastera yang menolak analisis itu, atau mengkritiknya dengan objektif. Malah pada pengamatan saya, mereka pun tidak pernah dengar nama Abdul Kadir Adabi, apatah lagi membaca novelnya. Yang mereka baca semuanya novel-novel baru yang ditiru dari genre novel Barat.  Demikianlah kemunculan genre novel persuratan tidak mungkin mereka fatwa sebagai haram dan bertentangan dengan perkembangan sastera Melayu moden.  Mereka perlu menjelaskan mengapa bertentangan dengan perkembangan kreatif yang halal dalam sastera Melayu, sehingga mereka mengharamkan kemunculan karya persuratan sebagai sejenis bida’ah saja. Cubalah berikan penjelasan sekiranya anda pandai sangat sehingga sudah mencapai taraf boleh berfatwa dalam sastera Melayu.  Tetapi sekiranya anda tidak dapat memberi penjelasan yang siuman, maka tentulah lebih baik jika anda diam sahaja, tetapi terus menulis sambil mengemukakan fatwa-fatwa yang mu’tabar supaya tidak berlaku kekafiran kreatif dalam sastera Melayu. Tetapi sekiranya anda hanya tidak bersetuju, maka siapakah anda yang pandai-pandai memberi fatwa padahal yang dibawa ke tengah itu benda baharu yang berguna dan jauh lebih baik daripada yang ada pada waktu ini.  Karya persuratan adalah sebuah karya satu-satunya yang secara sedar diasaskan kepada konsep ilmu yang benar … dan seterusnya!  Jika anda mahu juga membantah dan memberikan pendapat cetek dan palsu, maka silalah buktikan konsep ilmu yang benar itu salah dan sesiapa yang mengamalkannya adalah murtad dalam penulisan kreatif!

Pembacaan saya terhadap tulisan para sarjana sastera ini memberikan saya dua perkara yang dari segi intelektual sangat melucukan, tidak berasaskan penelitian yang cermat dan objektif.
Pertama sekali, orang-orang yang anggap diri mereka cerdik dan bertaraf seorang ahli akademik yang jempolan,  sebenarnya menjadi hamba kepada teori sastera Barat.  Tanpa teori Barat, mereka akan bisu, tidak boleh bercakap dengan siuman tentang sastera Melayu.  Kita boleh lihat aspek ini dengan jelas dalam semua tulisan mereka ketika membicarakan sumbangan para sasterawan negara dalam seminar khusus untuk itu yang dibuat oleh DBP.  Kedua, mereka tidak mempunyai daya kritis yang tinggi, oleh itu tidak dapat membicarakan teori Barat itu dengan memuaskan, sebaliknya hanya menjadi hamba kepada teori Barat yang mereka sebenarnya tidak faham dengan mendalam.  Saya telah memberikan contoh-contohnya dalam beberapa entri yang lepas. Kalau anda berminat, lihatlah di sana.

Apakah konteks yang saya pakai ketika mengemukakan tiga kategori karya kreatif dalam sastera Melayu?  Sepatutnya inilah perkara yang mereka bahaskan, untuk membuktikan bahawa saya telah melakukan kesalahan besar dengan mengemukakan tiga kategori itu.   Dari jauh saya pernah dengar orang-orang cerdik yang cetek meraba-raba ini berkata pembahagian saya kepada tiga kategori itu bertujuan untuk merendahkan karya para sasterawan negara.  Sayangnya mereka tidak memberi penjelasan dan hujah. Kalau benarlah karya para sasterawan negara itu sangat hebat, tentulah karya itu tidak terjejas sedikit pun jika dinilai dari perspektif ilmu yang dikemukakan oleh PB. Jika memang picisan, maka apa yang boleh dibuat oleh PB untuk mengangkat karya picisan itu?  Kita mahu dengar hujah-hujah mereka untuk menolak PB sebagai satu kaedah yang terbaik untuk menilai keunggulan sesebuah karya kreatif.  Inilah yang sepatutnya mereka lakukan, bukan membebel tak tentu fasal.  Sudah banyak tulisan ilmiah berbentuk buku dan makalah yang boleh mereka gunakan untuk dijadikan asas bantahan mereka.  Kalau sukar memahaminya, saya bersedia untuk memberi bantuan ilmiah.

Tetapi ada satu pendapat, atau lebih tepat gunjingan, yang mereka kemukakan. Kata mereka, Mohd. Affandi Hassan mereka-reka gagasan PB untuk menaikkan taraf karya beliau sendiri.  Bagaimana gunjingan begini boleh terkeluar dari mulut mereka pelik juga, kerana jika mereka mahu menggunakan teori sastera Barat sekalipun untuk menilai karya saya, bagi saya OK saja. Apa yang menjadi masalah? Kalau benarlah karya para sasterawan negara itu menyerlah dengan cemerlang jika dipakai teori sastera Barat, saya tidak ada apa-apa halangan jika mereka mahu menilai karya kreatif saya menggunakan teori sastera Barat. Tetapi saya ingin beri amaran, jika inilah yang mereka lakukan, mereka mesti pastikan mereka benar-benar faham teori sastera Barat. Saya telah membuat beberapa cadangan untuk membantu mereka, dengan mengemukakan rujukan utama untuk mereka gunakan. Sila semak entri berkenaan yang membicarakan perkara ini.  Sampai begitu sekali saya menghormati para sarjana ciritan ini dan para sasterawan negara yang picisan karyanya. Kaedahnya telah saya cadangkan, rujukannya telah diberikan, dan rujukan itu bukan buku-buku yang lekeh; jadi saya amat terbuka untuk dikritik bagi memuaskan hati mereka. Tunggu apa lagi?

Sebagai bimbingan, sekiranya mereka tidak menemui kategori karya persuratan dalam teori Barat, maka inilah masa dan ketikanya peluang mereka untuk menilai dengan kritis gagasan PB yang tidak ada nilai akademik itu jika dibandingkan dengan teori Barat yang menjadi pujaan mereka. Cuma, berilah hujah dan pembuktian yang mantap, tidak hanya membuat andaian. Mana tahu mereka akan faham dengan lebih mendalam mengapa kategori karya persuratan itu sangat penting dalam persuratan Melayu dan sastera Melayu.  Mungkin hal ini boleh difahami dengan lebih mudah jika anda rujuk poster para siswa universiti yang mengirim satu poster yang menarik kepada saya sekitar April 2014. (Lihat gambarnya dalam entri bertarikh  4/2/2019).

Sekiranya para sarjana ini menggunakan teori sastera Barat untuk menafikan gagasan PB, mereka perlu memberi penjelasan dan hujah mengapa teori sastera Barat itu lebih baik daripada gagasan PB.  Sebagai panduan, sila bahaskan perkara ini dengan menggunakan konsep ilmu yang difahami Barat dan konsep ilmu yang difahami dalam Islam yang menjadi pegangan gagasan PB.  Antara dua konsep ilmu ini, mana satu mengikut pertimbangan anda yang lebih tepat dan perlu menjadi panduan?  Inilah caranya anda membuktikan kepalsuan gagasan PB yang anda tidak terima dan tidak suka itu. Jika anda dapat melakukan kerja yang amat rumit ini, dan dapat membuktikan teori sastera Barat jauh lebih unggul daripada gagasan PB yang berasaskan konsep ilmu dalam Islam itu, maka anda akan berjasa besar dalam mengelirukan para sasterawan dan sarjana sastera dalam persoalan besar yang dikemukakan dalam genre baru karya persuratan itu. Kalau anda berjaya melakukannya, anda mungkin akan mendapat Hadiah Nobel Sastera kerana berjaya menafikan keunggulan konsep ilmu dalam Islam yang menjadi asas gagasan PB. Saya telah menulis dalam entri yang lepas membicarakan aspek ini, dan membuat kesimpulan yang tegas bahawa Hadiah Nobel Sastera adalah lambang kepalsuan kreatif  dan kepalsuan sistem nilai yang dipakai oleh Panel Hadiah Nobel. Sila rujuk buku  mereka yang berjudul,  The Nobel Prize in Literature: A Study of the Criteria behind the Choices, susunan Pengerusi Hadiah Nobel Sastera sendiri, Kjell Espmark (versi Inggeris 1991). Saya berdiri teguh mempertahankan gagasan PB yang dari segi perkembangan ilmu jauh lebih unggul daripada kriteria yang dipakai oleh Hadiah Nobel Sastera. Saya tunggu bantahan atau bangkangan anda, yang sangat penting anda kemukakan jika anda benar-benar mahu mempertahankan kedudukan para sasterawan negara sebagai penulis picisan yang melahirkan karya picisan dilihat dari perspektif ilmu yang benar yang menjadi tonggak gagasan PB. Inilah masanya untuk menolak gagasan PB secara total dengan menerima kriteria Hadiah Nobel Sastera yang lebih unggul, lebih tepat digunakan, dan lebih  besar pengaruhnya dalam pemikiran manusia sejagat.  Maksudnya, jika ukuran yang digunakan dalam pemilihan Hadiah Nobel itu ketika menilai karya para sasterawan negara,  maka kita akan dapati karya para sasterawan negara sendiri adalah sama darjatnya dengan karya para pemenang Hadiah Nobel Sastera. Tidakkah ini satu hujah yang kuat yang menolak secara total ukuran yang dicadangkan oleh PB.  Saya harap ada sarjana sastera yang akan menyahut cabaran ini. Sebagai panduan, beliau boleh memberitahu kita semua bahawa ukuran yang dipakai oleh Hadiah Nobel Sastera adalah tepat untuk melaksanakan tujuan dan matlamat mereka; manakala ukuran yang dicadangkan oleh PB belum lagi diterima oleh para sarjana Islam sendiri yang masih berpegang kepada ukuran Barat ketika menilai karya sasterawan negara, untuk memastikan keunggulan mereka tidak terjejas. Ini bererti, ukuran Barat itulah yang mesti dipakai, sesuai dengan kedudukan para sasterawan negara yang sudah setaraf dengan semua sasterawan dunia. Saya harap semua sarjana sastera dan sasterawan negara puas hati dengan kesimpulan ini dan menerimanya dengan senang hati. 

Sebagai peringatan yang mungkin berguna untuk kita semua ketika mencari makna sebenar ukuran yang kita pakai, di sini saya kutip pandangan saya mengenai perkara ini untuk anda bahaskan dengan kritis. Saya ambil daripada Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2; hal. 146-147, “Menghidupkan Perbahasan Ilmiah dalam Kritikan”.

“Gagasan Persuratan Baru yang dikemukakan di sini  memerlukan perbahasan yang lebih mendalam untuk mendedahkan tujuan dan matlamatnya supaya dapat difahami oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Tradisi perbahasan ilmiah di negara kita agak lembap, apatah lagi dalam era perdagangan ilmu, perbahasan menjadi suatu kegiatan yang pelik, terasing, dan tidak menarik minat para sarjana tempatan kerana tidak menguntungkan.  Di negara-negara Barat yang sudah lama mempunyai tradisi perdebatan tentang ilmu, meskipun ilmu dan kemahiran sudah lama juga diperdagangkan, telah wujud sekumpulan ilmuan mereka yang menjadikan penyebaran ilmu kegiatan seumur hidup dengan tidak mementingkan pulangan kewangan. Oleh itu kita dapat melihat banyaknya jurnal-jurnal ilmiah diterbitkan, yang bukan bertujuan mencari keuntungan, tetapi lebih kepada menyebarkan disiplin keilmuan tertentu. Perbahasan ilmiah di Barat menjadi tradisi yang dipelihara dengan baik, disokong oleh orang-orang kaya mereka melalui bantuan dan yayasan keilmuan. Kita belum ada tradisi seumpama itu, dan orang-orang kaya kita rata-ratanya agak tamak dan kedekut. Para sarjana dan pengkritik sastera dan ahli-ahli akademik pun terpengaruh dengan kehidupan kebendaan memperdagangkan ilmu dan  kemahiran itu, oleh itu para sarjana kita tidak mahu “membuang” masa mereka membahaskan apa juga persoalan yang dilontarkan dalam dunia ilmu atau dunia akademik. Selain tidak mempunyai pulangan kewangan yang lumayan, perbahasan seumpama itu menuntut korban masa, pemikiran, dan mungkin juga kewangan. Jika sekali-skala mereka terjun ke dalam perbahasan kecil-kecilan, maka tujuannya hanyalah untuk “mempertahankan” pandangan peribadi, bukan untuk menyuarakan hasil pemikiran yang teratur. Dengan sikap seumpama itu, banyak persoalan yang boleh dan patut dibahaskan dengan mendalam tinggal terbiar, tidak disentuh dan tidak dihiraukan sama sekali.” (hal. 146-147).

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7 Mac 2019.




No comments:

Post a Comment