MENANGANI PEMBANGUNAN BANGSA MELAYU
DALAM KONFLIK POLITIK
YANG BERTERUSAN
Oleh
Mohd.
Affandi Hassan
Hakikat Sejarah Yang Kekal
Bangsa Melayu sangat beruntung
apabila sekumpulan ulama menubuhkan sebuah parti berlandaskan Islam ketika
politik Melayu dalam ujian besar apabila penjajah Inggeris berjaya mendapat
sokongan pemimpin feudal Melayu untuk merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu
dalam bentuk yang ditentukan oleh Inggeris sendiri. Demikianlah tertubuhnya
UMNO. Dengan wujudnya UMNO di bawah naungan Inggeris sendiri, maka perjuangan
umat Melayu yang dipelopori oleh golongan nasionalis dan agama (Islam),
diketuai oleh Ibrahim Yakub, Dr. Burhanuddin, Ishak Hj. Muhammad, Ahmad
Boestamam dan lain-lain, berjaya dimusnahkan dan cita-cita politik Melayu berpindah
dari tangan rakyat ke tangan golongan feudal naungan Inggeris. Dalam konteks
inilah kelahiran PAS sangat penting, kerana dengan itu perjuangan orang Melayu
diberi nafas baru dengan asas Islam. Perjuangan politik bangsa Melayu tidak
lagi dimonopoli oleh golongan feudal dan birokrat serta teknorat Melayu yang
mendapat kesempatan baru untuk mendapat kuasa hasil perjuangan orang lain.
Walaupun pada peringkat awal kewujudannya perjuangan PAS agak samar-samar
(Safie Ibrahim, 1981:80), atau menurut Dr. Alias Mohamed “shrouded in
obscurity” (1994:1), tetapi kemudiannya diberi nafas baru di bawah kepemimpinan
Dr. Burhanuddin dan Zulkifli Muhammad, kedua-duanya dari Perak. Setelah melalui
pergolakan nasionalis dan agama selepas kematian Dr. Burhanuddin dan Zulkifli
Muhammad, PAS muncul sebagai sebuah gerakan Islam sepenuhnya di bawah
kepemimpinan ulama. Orang Melayu mendapat slogan baru, “Membangun Bersama
Islam”, yang selama ini seolah-olah tenggelam dalam keghairahan pembangunan
ekonomi kapitalis yang disediakan modelnya oleh Inggeris. Melalui peranannya
yang unik, PAS menjadi benteng kepentingan Melayu dan Islam yang terhakis di
bawah kepemimpinan UMNO, di samping memberi cabaran kepada relevansi kewujudan
UMNO sendiri sebagai wadah kepentingan orang Melayu dan Islam. Kertas ini akan
cuba melihat bagaimana penerimaan bangsa Melayu terhadap perjuangan Islam
dengan slogan baru yang menghairankan sebahagian besar dari mereka dan
bagaimana UMNO berhempas pulas mempertahankan kedudukan mereka yang tercabar
dengan menafikan apa juga sumbangan PAS dalam kesedaran Islam dan kedudukan
Islam sebagai faktor politik yang penting di Malaysia.
Apakah Takrif Pembangunan Bagi Orang
Melayu?
Selepas 12 tahun merdeka, pemimpin
Melayu tidak tahu apa yang harus mereka lakukan dengan “kemerdekaan” itu,
sehingga menimbulkan kegelisahan orang Melayu, yang akhirnya membuat mereka
terlibat dalam rusuhan 13 Mei 1969 setelah para pemimpin Melayu hampir
tersingkir dari kekuasaan politik mereka selepas pilihan raya 1969. Rusuhan itu
mengajar dua golongan: pemimpin Melayu yang lalai dan lemah, dan kaum bukan
Melayu yang angkuh. Sedikit perubahan telah terjadi apabila pertukaran
kepemimpinan dalam UMNO berlaku. Pemimpin Melayu yang menang meneruskan
rancangan Inggeris membuka tanah ladang dengan memberikannya kepada rakyat.
Maka terjadilah pembangunan negara besar-besaran dengan terbukanya hutan
belantara untuk diduduki oleh orang Melayu. Itulah projek FELDA, yang berjaya
membumikan orang Melayu, menjadi sejenis kuli atas pilihan sendiri, dikawal
sepenuhnya oleh birokrasi kerajaan. Inilah tahap orang Melayu dari kalangan
rakyat berhutang secara besar-besaran, tetapi dilakukan dengan rela dan senang
hati kerana kini mereka bertuankan kerajaan, bukan lagi penjajah. Tidak seorang
pun tahu bahawa projek membumikan Melayu itu akhirnya menimbulkan masalah besar
bagi mereka, apabila mereka ditinggalkan dalam proses perindustrian yang
dilaksanakan secara besar-besaran di bawah Dasar Ekonomi Baru dan projek
Wawasan 2020. Hingga kini projek FELDA menjadi masalah, dan secara tidak
dirancang (?) tiba-tiba menjadi punca kemikinan orang Melayu – walaupun pada
mulanya projek itu diwujudkan untuk “menghapuskan” kemiskinan mereka.
Di pihak yang lain, di bawah Dasar
Ekonomi Baru, muncullah golongan kaya di kalangan orang Melayu, yang kini
diagihkan 30% kekayaan negara untuk mereka. DEB adalah satu projek ekonomi dan
politik besar-besaran untuk mewujudkan golongan menengah Melayu yang akan
menjadi tunjang kekuatan politik pemimpin feudal-birokratik yang menguasai kerajaan.
Setelah DEB dihapusdkan dengan persetujuan orang Melayu sendiri, digantikan
dengan Dasar Pembangunan Negara, hanya 19% daripada 30% kekayaan yang diagihkan
itu “didakwa” dapat dicapai, dengan orang Melayu semakin jauh ketinggalan dalam
bidang profesional, perkhidmatan, perindusrtian, dan perladangan. Malah yang
dikayakan melalui DEB harus dibantu untuk memastikan yang dikejar dapat, yang
dikendong tidak tercicir. Inilah permulaan politik kronisme dan nepotisme
penswastaan di bawah Malaysia Incorporated, apabila semua perkhidmatan yang
dinikmati diswastakan sepenuhnya dan dengan rela dibayar oleh rakyat dengan
harga yang lebih tinggi. Petronas, sebuah badan yang menjadi kebanggaan negara,
menjadi pembekal modal yang terbesar untuk “pembangunan” raksasa, yang tidak
semestinya dimanfaatkan oleh rakyat, tetapi dijanjikan akan mendapat faedah
besar melalui pelancongan dan industri. Itulah wujudnya litar lumba kereta yang
mahal, dan wujudnya segala-gala yang menjadi kemegahan dari segi belanja
pembinaannya. Orang Melayu berpindah dari nasionalisme politik kepada
nasionalisme ekonomi; dan sama ada mereka sedar atau tidak, di bawah
nasionalisme ekonomi yang dipaksakan kepada mereka, mereka kehilangan bahasa
Melayu sebagai tonggak kemegahan negara, yang dulunya dikira boleh
menyatupadukan rakyat. Kini bahasaa Melayu harus berjuang bermati-matian dengan
saingannya bahasa Inggeris yang dinaikkan tarafnya dalam sistem pendidikan
negara. Ternyata bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi dan nilai ilmu.
Melalui naratif ringkas ini kita
boleh melihat bagaimana orang Melayu diumbang-ambingkan oleh para pemimpin
mereka dalam menentukan pembangunan untuk mereka. Setelah dibumikkan di kawasan
FELDA, orang Melayu mula sedar bahawa keadaan mereka tidak banyak berubah, masih
bergantung kepada ketua-ketua mereka, yakni ahli-ahli politik yang sering
mengugut mereka supaya terus menyokong kerajaan. Kemajuan dan pembangunan masih
kekal di kawasan yang dahulunya diteroka oleh penjajah Inggeris. Yang maju dan
membangun sebenarnya bukan kawasan Melayu, atau negeri Melayu, tetapi kawasan
Barat Tanah Melayu. Di sinilah bersimpang siur jalan-jalan besar, gudang-gudang
perniagaan, firma dan industri. Orang Melayu berpusu-pusu “berhijrah” ke
tempat-tempat itu mencari pekerjaan. Anak-anak gadis Melayu dan para pemudanya
kini menjadi kuli di syarikat-syarikat antarabangsa di kawasan-kawasan
perindustrian yang dibuka di Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Perak, serta
sedikit-sedikit di Negeri Sembilan dan Melaka. Bagi ahli-ahli politik barisan
sekular, inilah pembangunan dan kemajuan. Rakyat dapat pekerjaan dan gaji. Di
tempat-tempat yang padat dengan penduduk Melayu, mereka terus dibumikan
(menunggu untuk dikebumikan?) di kawasan kampung yang dibuka khusus untuk
mereka. Jadi apakah yang didapat oleh bangsa Melayu sebenarnya?
Apakah Corak Pembangunan Yang Adil?
Kadar jenayah, terutama jenayah
rogol dan pembunuhan, hampir dimonopoli oleh orang Melayu, demikian juga
kegiatan membuang anak haram. Mereka juga berbangga dengan bilangan penagih
dadah terbesar, sehinggas pusat-pusat serenti menjadi monopoli anak-anak muda
Melayu yang mendapat nikmat kemerdekaan dan pembelaan para pemimpin mereka yang
menyediakan tempat-tempat itu untuk mereka. Mereka juga menjadi penganggur
terbesar selepas tamat pengajian di universiti, kerana menurut para pemimpin
mereka, matapelajaran yang mereka ambil tidak laku di pasaran, walaupun
matapelajaran itu disediakan oleh para pemimpin mereka sendiri yang ingin
melihat anak-anak Melayu ramai yang lulus universiti. Walaupun orang Melayu
sudah ramai berhijrah ke bandar-bandar, terutama selepas kejadian 13 Mei,
tetapi tempat-tempat tinggal merekalah yang sering dilanda banjir dan terbakar.
Rumah-rumah yang diberikan kepada mereka adalah rumah-rumah murah yang tidak membebankan
mereka dari segi bayaran, oleh itu secara logik tempat-tempat tinggal mereka
adalah kawasan-kawasan rendah yang tidak tinggi harga tanahnya, atau
kawasan-kawasan setinggan yang sementara. Gambaran ini tidak berapa manis
(manis lawan masam atau pahit), tetapi itulah hakikat yang dihadapi sebahagian
besar umat Melayu: di kampung mereka miskin, dibandar mereka tertindas dan
dipinggirkan.
Cerita basi yang direka-reka, kata
yang tidak menyukai gambaran ini. Tetapi setiap kali berlaku banjir, kita lihat
orang Melayulah yang dihalau dari kediaman mereka untuk keselamatan
mereka. Setiap kali penagih dadah
memberontak kerana didera di pusat-pusat serenti, kita melihat budak-budak
Melayu. Setiap kali kejadian rogol dan pembunuhan ngeri dilaporkan, kita melihat
muka Melayu. Jika ini hanyalah perkara kecil sahaja, mengapa menjadi isu besar
sehingga seorang Perdana Menteri harus ikut campur? Ataukah memang tabiat
Perdana Menteri untuk ikut campur dalam perkara-perkara remeh-temeh seperti
keruntuhan moral anak-anak Melayu ini? Tidakkah ini sangat ironis, kerana pada
hakikatnya, inilah yang berlaku kepada orang Melayu: mereka dihalau dari
mendapat faedah maksimum dalam negara mereka sendiri, yang kini bukan lagi
dipanggil Semenanjung Tanah Melayu.
Semua ini terjadi kerana fahaman mereka tentang pembangunan telah merusakkan
kehidupan mereka, dan telah membuat mereka terpinggir dari arus perdana. Mereka
telah dibawa oleh para pemimpin mereka kepada suasana dan keadaan ini kerana
mereka hanya menerima arahan dan tekanan, tetapi tidak bangkit dengan gagah
membantah perilaku para pemimpin mereka yang gemarkan kemewahan dan kekayaan,
lantas meninggalkan mereka terpinga-pinga menghadapi cabaran pembangunan
kebendaan yang terlalu mahal untuk dikejar. Mereka telah dinafikan mendapat
keadilan dalam pembangunan negara mereka sendiri.
Ini terjadi kerana pada dasarnya
pembangunan ekonomi hanya untuk memesatkan lagi kemajuan ekonomi, yang tujuan
utamanya menambah pendapatan negara. Orang Melayu, dengan kedudukan mereka di
pinggir-pinggir negara, tidak menyumbang kepada pembangunan ekonomi moden yang
berpusat di bandar-bandar atau kawasan-kawasan yang berdekatan dengan bandar.
Oleh kerana semua kawasan pembangunan itu telah ditentukan oleh penjajah
Inggeris berada di Pantai Barat Semenanjung, maka adalah lebih mudah bagi para
pemimpin warisan Inggeris meneruskan saja pola pembangunan penjajah itu. Jadi
jika negeri-negeri Melayu ketinggalan, maka hal itu terjadi sebagai pilihan
mereka sendiri. Banyak halangan dikemukakan, terutama dari segi jarak
perjalanan, yang membuat kos lebih tinggi, dan keadaan prasarana yang mundur,
yang tidak menarik minat pelabur. Adalah lebih mudah membawa anak-anak Melayu
dari kampung-kampung, dengan perbelanjaan mereka sendiri, untuk menjadi kuli di
pusat-pusat pembangunan dik Pantai Barat ini, daripada membawa “kemajuan” itu
ke kawasan yang memerlukannya. Inilah perhitungan ekonomi yang pragmatik,
disokong oleh para pemimpin Melayu yang melihat kemewahan yang melempah-ruah
dalam pembangunan ekonomi yang terpusat.
Adakah ini bermakna orang Melayu
telah ditipu oleh para pemimpin mereka sendiri? Nampaknya mereka bersetuju
dengan cara pembangunan negara dilaksanakan sedemikian rupa, dengan terus
mengangkat para pemimpin yang komited kepada kaedah pembangunan terpusat di
Pantai Barat itu. Sebenarnya orang Melayu tidak memprotes apa-apa dalam aspek
ini, sama ada mereka tidak dibenarkan, atau mereka selesa berada dalam keadaan
sediakala. Tetapi timbul masalah besar yang menjadi cabaran kepada para
pemimpin Melayu: Adakah ini yang terbaik untuk bangsa Melayu? Membiarkan mereka
mendapat reja-reja sahaja dalam kemajuan di negara mereka sendiri? Dalam sistem
ekonomi yang dilaksanakan sekarang, orang Melayu tertonjol sebagai pekerja atau
kuli, sebagai pengguna, dan sebagai penderma tanah-tanah milik mereka untuk
dimajukan, yang kemudiannya dihuni oleh orang lain yang bukan seketurunan
dengan mereka. Sebaliknya orang bukan Melayu tertonjol sebagai penerima derma
tanah-tanah kepunyaan Melayu yang tidak dapat dimajukan selagi berada di tangan
Melayu; atau sebagai tuanpunya syarikat dan kedai-kedai yang menyediakan
barang-barang keperluan orang Melayu; atau sebagai penentu corak ekonomi,
hiburan, pendidikan, pekerjaan, yang akan diwujudkan. Kita jangan lupa bahawa
yang memungkinkan lahirnya seorang seniman seperti P. Ramlee ialah syarikat
Cina, yang dikendalikan dari segi produksinya oleh pengarah-pengarah India. Apabila
orang Melayu sendiri yang diberi peluang menerajui syarikat begitu, mengapa
tidak muncul lagi P. Ramlee baru? Adakah kerana sudah tidak ada lagi P. Ramlee,
atau kerana suasananya tidak membenarkan munculnya beberapa P. Ramlee lagi?
Analogi ini sangat penting difahami,
kerana kita sekarang berhadapan dengan satu masalah rumit yang tidak boleh
diketepikan: Adakah para pemimpin Melayu, dalam apa bidang sekali pun, terutama
dalam bidang politik, menghalang munculnya tokoh-tokoh besar yang lebih baik
dari mereka, yang akan jadi pemimpin yang lebih berwibawa dan lebih hebat
daripada mereka? Inilah masalah bangsa Melayu yang dihadapi oleh mereka dalam
semua bidang, terutama sekali dalam bidang politik. Bolehkah kita berkata tanpa
ragu-ragu bahawa kita telah menyediakan suasana yang membolehkan munculnya
pemimpin besar, para genius dalam segala bidang, dan budaya yang mencintai ilmu dan menghormati
orang-orang berilmu? Inilah aspek kemanusiaan dalam pembangunan yang kurang
diberi perhatian, malah tidak digalakkan berlaku. Dan inilah punca kemunduran
bangsa Melayu sebenarnya. Perhatikan contoh yang mungkin kecil, tetapi
mencerminkan peribadi pemimpin Melayu. Apabila seorang ahli ekonomi
mencadangkan ditubuhkan Tabung Haji, lalu ditubuhkan, dan mempunyai banyak
wang, maka organisasi yang begitu tersusun dan menguntungkan, dikacau oleh ahli
politik, lalu berlakulah beberapa penyelewengan, dan akhirnya Tabung Haji
muncul sebagai sebuah badan perniagaan yang besar, dengan minat terbesar
mencari keuntungan seberapa banyak, tanpa mengira halal-haramnya (contoh:
Tabung Haji mempunyai 30% saham – untuk memenuhi quota DEB - dalam Syarikat
Country Hight (?) yang terlibat dengan judi dan diketahui oleh Tabung Haji),
lalu setiap tahun para jemaah harus membayar kos haji yang lebih tinggi untuk
memastikan keuntungan syarikat Tabung Haji tidak berkurangan. Apabila
mengerjakan haji dikomersilkan begitu rupa, faedahnya tidak lagi kepada
penyumbang, tetapi kepada peniaga, dengan faedahnya diperolehi oleh para
birokrat syarikat.
Polisi membasmi kemiskinan dan
memperkaya sekumpulan orang Melayu ternyata gagal memberi kesan kepada pembangunan
bangsa Melayu keseluruhannya. (Lihat laporan panjang dalam Utusan Melayu
Mingguan, 27 Jun 2003,
disiarkan ketika UMNO sedang melangsungkan perhimpunan agungnya. Antara yang
dipaparkan ialah Dr. Mahathir bersedih (muka depan), dengan para perwakilan sedang
tertawa pada hal. 3). Kemiskinan tidak mungkin dihapuskan, manakala pengkayaan
sebahagian yang terpilih hanya akan meluaskan lagi jurang ekonomi di kalangan
rakyat. Apa yang diperlukan oleh semua manusia ialah keadilan dalam pembahagian
harta dan kemakmuran negara, serta kebebasan untuk membuat pilihan yang terbaik
untuk kehidupan mereka. Inilah yang tidak terdapat dalam polisi ekonomi dan
pembangunan yang diamalkan sekarang. Kemiskinan rakyat masih menjadi masalah
kerana tidak ada pembahagian kekayaan yang adil: yang miskin terus tertindas,
yang berada semakin mewah. Ahli politik yang berapi-api bercakap untuk membela
rakyat, mengaut keuntungan sebesar-besarnya dari kekuasaan yang mereka perolehi
melalui berbagai macam projek besar-besaran yang diwujudkan untuk menambah
kemewahan hidup segelintir pemimpin dan suku-sakatnya. Apakah jenis kemewahan
yang dapat dinikmati oleh rakyat dengan wujudnya litar lumba kereta dan
banyaknya wang negara yang didapat dari sumber minyak yang dibelanjakan untuk
itu? Rakyat tidak akan kenyang dengan kemegahan segelintir pemimpin dan
suku-sakatnya yang mengaut keuntungan daripada projek-projek mewah yang
diwujudkan bukan untuk mereka. Dalam konteks inilah kita harus memeriksa
kembali falsafah pembangunan yang kita amalkan di Malaysia.
Pembangunan Negara Antara Fasad dan
Islah
Dalam buku Saudara Rahim Zain, Kelantan: Siapa Berani Cabar?,
disenaraikan secara terperinci segala masalah Melayu Kelantan yang mundur
akibat perbuatan para pemimpin yang tamak, tidak kompeten, malas, cetek ilmu,
sempit pengalaman, tidak amanah, sombong, dengki dan khianat, mementingkan
diri, dan sebagainya. (Lihat terutamanya bab 17). Menurut beliau, terdapat dua
kumpulan yang saling bertentangan satu sama lain, iaitu pemimpin barisan
sekular dan pemimpin barisan agama. Sifat-sifat yang disebutkan itu ialah
sifat-sifat pemimpin dari kumpulan barisan sekular. Mereka tidak berminat
kepada pembangunan negeri Kelantan dan rakyatnya, tetapi berminat hanya untuk
mendapat kuasa dan kekayaan. Kemahiran mereka ialah mengkritik pihak lawan
setelah mereka disingkir dalam pilihanraya, sehingga semua keburukan pemimpinan
barisan agama “didedahkan”, tetapi mereka tidak boleh memberi bukti bahawa
ketika berkuasa dahulu mereka telah berbuat yang terbaik untuk Kelantan dan
rakyatnya. Dengan itu, keburukan yang mereka tohmahkan kepada pemimpin barisan
Islam pada hakikatnya tepat mencirikan keburukan mereka sendiri. Mereka tidak
bebuat apa-apa ketika berkuasa, kecuali mengaut harta dan kekayaan. Kata
Saudara Rahim Zain, mereka inilah yang menjadi punca kemunduran Kelantan (hal.
205). Analisis Saudara Rahim Zain memperlihatkan bahawa pembangunan adalah
suatu permainan politik yang mengasyikkan ketua-ketua parti, terutama dari
barisan pemimpin sekular. Tetapi lebih penting, analisis itu menunjukkan betapa
songsangnya konsep pembangunan yang dipolitikkan itu. Pembangunan menjadi
senjata (yang seringkali makan tuan) untuk mengkritik lawan, bukan senjata
untuk membawa kemakmuran kepada rakyat. Menurut analisis Saudara Rahim Zain,
Kelantan mundur kerana didera dan ditindas oleh barisan pemimpin sekular yang
berkuasa di peringkat pusat dan yang disingkirkan di Kelantan.
Bagaimanakah kita boleh memahami
keadaan ini? Yang kita perlukan ialah menghuraikan masalah ini dengan memakai konsep
yang betul, seperti yang diajarkan oleh al-Quran. Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, bekas
Timbalan Pengarah ISTAC (International Institute of Islamic Thought), dalam
bukunya Pembangunan di Malaysia: Ke Arah
Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna (2001) mencadangkan konsep islah untuk menggantikan konsep
“pembangunan”, dengan mempertentangkannya dengan konsep fasad sebagai lawan kepada islah.
Beliau mengemukakan ayat Quran 2:11-12 sebagai hujah: “Bila dikatakan kepada
mereka, ‘Janganlah membuat kerosakan, penyelewengan (fasad) di bumi,’ mereka menjawab, ‘kami hanya membuat kebaikan (islah). Sesungguhnya merekalah yang
melakukan kerosakan dan penyelewengan (fasad),
tetapi mereka tidak menyedarinya.”
Yang dimaksudkan dengan perbuatan fasad itu meliputi makna kerosakan,
kezaliman, penyelewengan, kemerosotan, pembaziran, kekacauan dan sebagainya
dari pelbagai sudut dan jenis kegiatan manusia (hal. 21, berasaskan pengertian
yang diberikan oleh Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan a-Arab). Sementara islah
merujuk kepada kebaikan, perbuatan yang betul, teratur, adil, sesuai dengan
nilai yang tinggi. Dari penjelasan ini kita melihat konsep “pembangunan” yang
dipakai di negara kita berada di antara dua kedudukan yang saling bertentangan,
di antara fasad dan islah. Yang menentukan mana yang lebih
berat dan arah mana yang dituju ialah konsep taklif, iaitu amanah keinsanan yang mencirikan hubungan manusia
dengan Allah Ta’ala dalam konteksnya sebagai seorang hamba Allah (ini yang
pertama) dan khalifah di bumi (ini yang kedua). Sebarang penyelewengan dari
taklif secara automatis menuju ke arah fasad, walaupun kelihatan untuk kebaikan
manusia. Kita telah menyebut pembinaan litar lumba kereta yang mahal itu.
Adakah pembinaannya untuk melaksanakan konsep taklif tadi? Adanya aspek
pembaziran, permainan yang melalaikan, percampuran lelaki perempuan yang
leluasa, penggunaan arak, pemujaan terhadap pelumba kereta, dan tidak
prihatinnya kepada bahaya yang boleh membunuh, dengan mudah membuat kita
menjeniskan “pembangunan” ini sebagai perbuatan fasad. Demikian pula segala
program pelancongan yang menggunakan wanita sebagai umpan, perayaan yang
bersifat syirik, pergaulan bebas, makanan yang tidak halal, dan sebagainya,
akan menjadikan program seumpama itu perbuatan fasad, bukan “pembangunan” dalam
makna islah yang disebutkan tadi. Dengan itu jelas bahawa yang kita perlukan di
negara kita, sebagai sebuah negara Islam seperti yang telah diisytiharkan,
ialah “pembangunan” yang hakiki dalam makna islah tadi. Apakah contoh yang
boleh kita kemukakan? Membina jalanraya untuk kemudahan orang ramai, tanpa tol
yang terlalu banyak, adalah suatu contoh. Tetapi jika terlalu banyak tol,
sehingga membebankan rakyat dan pengguna, maka perbuatan itu lebih dekat kepada
fasad. Walaupun kutipan tol halal, tetapi memaksakan kutipan tol ke atas setiap
pembinaan jalan atau lebuhraya adalah perbuatan fasad. Itulah bentuk kezaliman
yang disemukan dalam pembangunan ekonomi, padahal tersirat di dalamnya unsur
penindasan.
Dengan menggunakan istilah dan
konsep yang tepat, yang betul dan sesuai dengan hakikat taklif, maka kita akan
dapat merancang setiap pembangunan dengan lebih adil, teliti, dengan
matlamatnya yang utama untuk membahagiakan manusia, bukan semakin
menyusahkannya. Perhatikan satu contoh yang lumrah kita lihat, iaitu pembinaan
bandar-bandar baru dan taman-taman perumahan. Jika manusia yang akan menjadi
penghuni rumah-rumah itu berada dalam kepanasan, tidak selesa kerana terlalu
sempit, selalu berada dalam keadaan cemas kerana terlalu dekat dengan jalan raya
yang sibuk, jauh dari tempat kerja tanpa kemudahan kenderaan umum, tidak
sempurna dari segi bekalan kemudahan asas seperti api, air dan tempat membuang
sampah, maka projek perumahan yang demikian jelas dilaksanakan dalam konteks
fasad tadi, bukan dalam konteks islahnya. Dalam hal ini, baik juga direnung
pendapat seorang ahli seni bina Mesir yang terkenal, Sheikh Hassan Fathy, yang
pernah menyatakan bahawa jika ciri-ciri yang disebutkan di atas dialami
penghuni rumah, maka pembinanya dan tukang pelannya senang-senang menempah
tempat di neraka. Tegasnya, menurut beliau, sesebuah rumah yang hawa di
dalamnya lebih panas daripada di luar, maka itu sudah mencukupi untuk
melontarkan arkiteknya ke neraka. Demikian halusnya pertimbangan seorang ahli
seni bina yang memahami konsep taklif.
Penjelasan ringkas ini menunjukkan
bahawa konsep “pembangunan” menurut Islam tidak hanya semata-mata tertumpu
kepada keuntungan ekonomi, atau sekadar menyediakan kemudahan kepada manusia.
Kedua-duanya penting, malah harus menjadi matlamat utama pembangunan; tetapi
aspek keruhanian daripada pembangunan untuk membawa kesejahteraan kepada
manusia dan alam sekitar, menjadi ukuran yang menentukan boleh tidaknya
dilaksanakan pembangunan tadi. Falsafah pembangunan seumpama ini tentulah tidak
disukai oleh barisan pemimpin sekular, kerana mereka tidak akan mendapat faedah
kewangan daripadanya. Dari sinilah kita dapat membuat penilaian terhadap
keikhlasan barisan pemimpin sekular ini, dan ini seharusnya disedari oleh
rakyat yang akan memilih wakil-wakil mereka dalam pilihanraya. Andainya rakyat
diberi kesedaran ini, sedikit demi sedikit barisan pemimpin sekular ini boleh
dihapuskan, atau diberi kesedaran baru untuk meninggalkan gaya hidup sekular mereka. Adakah ini terlalu
sukar untuk dilakukan?
Kembali kepada persoalan yang sering
dibangkitkan, Kelantan tidak membangun. Apakah maksud Kelantan tidak membangun,
mundur, ketinggalan, miskin, terpisah dari arus perdana? Dari aspek mana kita
melihatnya? Dari aspek fasadnya atau islahnya? Kelantan dan Terengganu adalah
satu-satunya negeri yang masih boleh, dan perlu, mengemukakan
pertanyaan-pertanyaan ini, kerana kedua-duanya harus menentukan bentuk
“pembangunan” yang dikehendaki dalam Islam. Slogan “Membangun Bersama Islam”
harus diisi dengan projek-projek yang konkrit, yang boleh dilihat dan dinilai
kewujudannya. Ini sukar dilaksanakan, tetapi tidak mustahil dilakukan. Dalam
konteks ini Saudara Rahim Zain menegaskan bahawa dua kumpulan harus memainkan
peranan mereka dengan berkesan: ahli politik memberikan kepemimpinan yang
berkesan, dan birokrasi negeri mesti digembeling untuk melaksanakan
projek-projek pembangunan yang berteraskan taklif, atau pengislahan
projek-projek ekonomi. Menurut beliau, kedua-dua kumpulan ini tidak
melaksanakan tugas mereka masing-masing, malah katanya ahli-ahli politik
dipermainkan oleh para birokrat (hal. 209): “Orang politik jadi mainan pegawai
kerajaan”. Timbulnya konflik ini ialah kerana birokrasi menyatakan kesetiaannya
kepada ahli-ahli politik yang berada di luar kerajaan, bukan kepada kerajaan
yang memerintah. Siapakah ahli-ahli politik itu? Menurut Saudara Rahim Zain,
mereka adalah ahli-ahli politik yang gila kuasa. Tegas beliau: “Bala yang
menimpa Kelantan adalah dalam bentuk pemimpin-pemimpin yang gila kuasa” (hal.
205). Slogan “Membangun Bersama Islam”
sukar dilaksanakan sekiranya keadaan fasad yang ditimbulkan oleh birokrasi dan
pemimpin gila kuasa ini tidak diatasi dengan bijaksana dan berkesan. Bagaimana
ini boleh dilakukan?
Pembentukan Sekretariat Pengislahan Kelantan
Seperti yang ditunjukkan oleh
Saudara Rahim Zain dalam bukunya, Kelantan mempunyai sumber alam dan sumber
manusia yang kaya, yang boleh dibangunkan untuk memakmurkan rakyatnya. Tetapi
kelemahan kepemimpinan ahli-ahli politik yang berkuasa dan kecurangan ahli
politik yang disingkir rakyat, dengan birokrasi negeri memihak kepada ahli-ahli
politik yang curang itu, menyulitkan pengislahan Kelantan. Banyak masa
digunakan untuk melayan perkelahian politik yang sebenarnya tidak perlu, jika
setiap puak bersikap positif dan memihak kepada kepentingan rakyat, bukan
kepentingan puak atau diri sendiri. Puak yang kalah, dari kalangan barisan
pemimpin sekular, tidak dapat menerima pilihan rakyat yang menolak mereka dalam
sistem demokrasi yang mereka banggakan jika mereka menang. Maka dengan itu
mereka memilih untuk memainkan peranan yang sangat negatif, untuk menjadi
pemimpin perusak, bukan pemimpin membina. Dengan kerjasama pihak istana,
pemimpin perusak ini mengganggu secara langsung pentadbiran negeri, dengan
mempengaruhi birokrasi negeri untuk menentang kerajaan pilihan rakyat. Menteri
Besar kini harus menghadapi dua musuh: dari luar dan dalam. Sementara pemimpin
perusak mendesak setiap kakitangan kerajaan memberikan kesetiaan kepada
kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang mereka kuasai, di Kelantan dan
Terengganu mereka mendesak birokrasi negeri menentang kerajaan pilihan rakyat.
Inilah wajah demokrasi paling buruk dan huduh yang mencerminkan wajah sebenar
pemimpin perusak ini, yang sekaligus mencerminkan kelemahan sistem demokrasi. Para pemimpin perusak inilah yang paling banyak bercakap
tentang pembangunan, setelah sumber kemewahan dan kekayaan mereka terlepas dari
tangan mereka dengan kekalahan dalam pilihan raya. Apakah yang dapat dibuat
oleh kerajaan negeri yang ingin Membangun Bersama Islam bila berhadapan dengan
birokrasi yang anti-kerajaan ini? Satu struktur pentadbiran yang lebih dinamik
dan profesional harus diwujudkan. Di sini diberikan cadangan yang tidak
semestinya dilaksanakan tanpa perubahan, tetapi berguna untuk dikaji
kewajarannya.
Dengan andaian birokrasi negeri
sudah berjaya dilumpuhkan oleh pemimpin perusak yang ditolak rakyat, maka
perlulah diwujudkan sekumpulan golongan profesional untuk menangani masalah
ini. Mereka terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang penyelidikan pembangunan,
bidang ekonomi, dan bidang kewangan. Jika perlu, perlembagaan negeri haruslah
dipinda untuk membolehkan mereka bertindak dengan berkesan, di bawah seliaan
Menteri Besar sendiri. Mereka tidak perlu ramai, sesuai dengan peranan mereka
sebagai pakar runding bidang-bidang yang disebutkan; oleh itu sokongan
kakitangan tidak menjadi masalah kerana kakitangan yang ada dalam birokrasi
negeri boleh digembeling untuk bertugas dengan kumpulan pakar ini. Yang penting
ialah mereka berperanan sebagai pemimpin yang berkesan dalam pembangunan
Kelantan. Mereka menyediakan kepemimpinan yang bersifat kepakaran dan sekaligus
penyelia projek-projek yang ditentukan oleh kerajaan negeri.
Tiga bidang utama sahaja yang
memerlukan khidmat pakar runding ini, dengan mewujudkan tiga sekretariat yang
diberi kuasa untuk melaksanakan kerja-kerja mereka dengan berkesan. Pertama,
Sekretariat Penyelidikan Pembangunan, yang tugasnya menentukan bidang-bidang
utama yang ingin dimajukan dalam jangka masa tertentu di kawasan-kawasan yang
dipilih. Misalnya, jika kerajaan pusat menolak sebarang permintaan untuk
memajukan sumber alam di Kelantan, seperti minyak dan galian, maka Sekretariat
ini akan berperanan sebagai pelobi yang cukup tegas mendesak kerajaan pusat
bertindak memajukan sumber-sumber alam terpilih yang dalam kajian Sekretariat
ini boleh dimajukan untuk kebajikan rakyat. Kedua, Sekretariat Perolehan Sumber
Kewangan, dengan peranan utama untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai
pembangunan Kelantan. Bagaimana ini dapat dilakukan menjadi tugas utama
Sekretariat ini, tanpa menceroboh tugas perbendaharaan negeri. Tetapi jika
andainya terdapat kelemahan dalam kutipan hasil, dan struktur yang ada tidak
dapat membaikinya, maka Sekretariat ini boleh membantu mencari jalan dan cara
yang paling berkesan untuk mendapatkan hasil semaksimum mungkin. Sekretariat
ketiga ialah Sekretariat Pelaksanaan Pembangunan Negeri, dengan tugas khusus
menjadi pemantau semua projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan
negeri. Sekretariat ini juga akan menentukan setiap pelaksanaan pembangunan
tidak membawa kepada perbuatan fasad atau dikhianati oleh mana-mana golongan.
Ketiga-tiga sekretariat ini akan melaporkan kerja-kerja yang mereka laksanakan
setiap kali diadakan persidangan Dewan Undangan Negeri, dan setiap laporan akan
dihebahkan kepada rakyat, supaya mereka tahu apa yang berlaku, dengan itu
ketelusan perancangan pembangunan negeri berada dalam makluman rakyat. Ketiga-tiga sekretariat ini
mempunyai matlamat yang sama, iaitu setiap pembangunan dilaksanakan dalam
konteks islah, bukan membawa kepada fasad.
Yang dicadangkan di sini hanyalah
salah satu jalan keluar untuk menghadapi kebuntuan yang mungkin dihadapi
sekarang, yang perlu diselesaikan secara bijaksana dan berkesan. Cadangan ini
perlu dibahaskan dengan mendalam, terutama dari segi konsepnya dan jenis
kepakaran yang benar-benar diperlukan untuk mencapai maksud yang dituju. Satu
kertas konsep perlu disediakan untuk perbincangan lanjut seterusnya.
Negara Islam Dalam Politik Orang Melayu
Sebab utama mengapa para ulama
menubuhkan sebuah parti Islam untuk orang Melayu ialah apabila mereka
beranggapan UMNO telah mengkhianati cita-cita membentuk sebuah Negara Islam di
Tanah Melayu. Sikap UMNO meremehkan hukum Islam dengan alasan-alasan yang
diada-adakan muncul sejak awal penubuhan parti itu lagi, apabila Kesatuan
Melayu Kedah mencadangkan supaya Jabatan Agama UMNO dan parti itu mengadakan
loteri untuk menampung keperluan kewangan UMNO, dengan memanggilnya sebagai
“derma”. Perkara ini tidak selesai, walaupun ada bangkangan, kerana keputusan
muktamat tidak diambil (Ramlah Adam, 1978: 92-93). Selepas merdeka, UMNO
menjadikan perjudian loteri satu projek kebajikan dan ekonomi, yang kemudiannya
dinaikkan ke taraf industri besar-besaran di Genting Highlands dan di Janda
Baik, dengan itu perjudian memberikan pulangan ekonomi dalam bentuk cukai yang
besar kepada negara. Dalam konteks inilah kita harus melihat reaksi UMNO
terhadap hukum hudud yang diwartakan oleh PAS Kelantan dan Terengganu, dengan
mengejek bahawa itu bukan hukum hudud Islam, tetapi hudud PAS; dan sikap yang
sama terhadap risalah PAS tentang Negara Islam yang dianggap para pemimpin UMNO
sebagai plagiat daripada program keagamaan UMNO yang telah melaksanakan
sebahagian besar perkara yang dicadang oleh PAS dalam risalahnya itu. Para
ustaz UMNO berhujah bahawa UMNO tidak
menolak hukum hudud, tidak menolak konsep Negara Islam, malah
memperjuangkan Islam sepenuhnya; tetapi kata mereka dari segi pelaksanaannya
bertahap-tahap mengikut kesesuaian semasa, sesuai dengan kehendak “perjuangan
Nabi sendiri” yang bertahap-tahap. Tentu saja PAS menolak hujah demikian, yang
bagi mereka tidak lebih daripada dalih yang lemah untuk tidak melaksanakan
hukum Allah dan Rasulnya di Tanah Melayu. Dalam keadaan demikian, di mana orang
Melayu berada?
Pada dasarnya orang Melayu berada di
dalam kekeliruan besar, yang memaksa mereka memilih salah satu pendirian itu,
sehingga akhirnya membawa mereka kepada apa yang disebut “kejadian
kafir-mengkafir” dalam tahun 1960-an. Jelaslah para pemimpin Melayu, terutama
dalam UMNO, telah gagal memberikan pengertian yang betul dalam masalah ini,
kerana kepentingan politik mereka mengatasi kepentingan agama dan kepentingan
rakyat. Para pemimpin UMNO mengejek dan mengutuk apa juga usaha PAS memperkenalkan
politik Islam, atau ideologi Islam dalam politik Malaysia, sebagai tidak lebih
daripada usaha memancing undi semata-mata. Lama kelamaan tuduhan ini termakan
oleh orang Melayu yang mendapat faedah daripada pemimpin UMNO, lalu percaya
bahawa para pemimpin PAS terdiri daripada orang-orang yang gila kuasa dan
tamakkan kuasa politik, dengan menggunakan agama Islam sebagai umpan dan ugutan
kepada rakyat untuk memilih mereka. Tanpa disedari, UMNO telah melontarkan imej
Islam yang sangat negatif di kalangan sebahagian besar umat Melayu dan di
kalangan orang-orang bukan Islam. Jika benar PAS bersalah dalam penyediaan
undang-undang hudud (ini suatu tuduhan bahawa ulama PAS tidak tahu
undang-undang Islam), maka menjadi kewajipan UMNO untuk membetulkannya dengan
mengemukakan versi yang didakwa mereka yang betul-betul mengikut undang-undang
Islam dan adil. UMNO tidak berbuat demikian, kerana bukan perjuangannya untuk
melaksanakan hukum syariah sepenuhnya, termasuk hukum hudud. Lagi pula UMNO
tidak perlu berbuat apa-apa selain mengkritik dan mempersalahkan PAS, kerana
dengan berbuat demikian UMNO mempunyai peluang dan ruang untuk terus
mengelirukan rakyat dan menutup cita-citanya yang sebenar.
Dalam ketakutannya akan kehilangan
pengaruh dalam pertarungan politik dengan barisan pemimpin agama, para pemimpin
barisan sekular menjadikan Islam sebagai faktor penghalang kemajuan dan
pembangunan negara, dan perjuangan Islam sebagai perjuangan yang diilhamkan
oleh para pengganas yang akan menghancurkan negara. Untuk kali pertamanya dalam
sejarah negara ini, sekumpulan orang Melayu yang dituduh cuba
memberontak, didakwa di mahkamah sebagai pengkhianat negara, dan ada di antara
mereka yang dihukum bunuh. Kumpulan al-Maunah muncul dalam sejarah Malaysia
sebagai penjahat yang lebih zalim dan ganas daripada gerakan komunis di zaman
darurat. Demikianlah usaha UMNO yang bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan
betapa bahayanya pemikiran politik Islam. Peristiwa al-Maunah ini penuh
tandatanya, oleh itu ada yang menganggapnya sebagai satu sandiwara yang
menarik, satu peristiwa yang benar-benar “shrouded
in obscurity and mystery”.
Bagaimana kita dapat memahami
konflik politik dua kumpulan ini? Dr. Safie Ibrahim dalam bukunya The Islamic Party of Malaysia (1981)
menyebut satu perkara yang boleh membantu kita memahami persoalan ini, atau
sekurang-kurangnya meletakkan konflik ini dalam konteks yang jelas, yang boleh
dipakai untuk menganalisis sebab sebenar munculnya konflik politik dua golongan
umat Melayu ini. Menurut penulis, Dr. Burhanuddin pernah menulis sebuah
karangan bertajuk “Panduan Jiwa Perjuangan” (tersiar dalam Suara Islam, Disember 1957), membicarakan tiga jenis kumpulan
manusia: golongan yang mengikut jalan yang lurus; golongan yang sesat; dan
golongan yang dimurkai Allah. Inilah klasifikasi yang terdapat di dalam Surah
al-Fatihah. Tiga jenis golongan manusia ini selari dengan tiga keadaan jiwa
manusia, yang disebut al-nafs al-ammarah
(Quran, 12:53), nafsu yang menyuruh kepada kejahatan, yang didorong oleh hawa
nafsu dan naluri kebinatangan, yang mendorong manusia melakukan kejahatan; al-nafs al-lawwamah (75:2), jiwa yang
amat menyesali dirinya sendiri, yang sentiasa berada dalam ketegangan,
kadang-kadang berbuat baik, seringkali pula melakukan kejahatan; dan al-nafs al-mutmainnah (89:27), yakni
jiwa yang tenang tenteram, yang menerima kehendak dan suruhan Allah dengan
rela. Menurut Dr. Safie Ibrahim, huraian Dr. Burhanuddin ini penting kerana
inilah asas perjuangan PAS. Kata beliau: “The significance of this thinking
lies in the fact that it is a mixture of Islamic mysticism and political
thought” (hal. 98). Menurut perkiraan saya, Dr. Burhanuddin dalam hal ini
terpengaruh dengan pemikiran Shah Wali Allah, ulama India yang terkenal. Maulana Abul
Kalam Azad, seorang pengikut ajaran Shah Wali Allah, menulis sebuah kitab tafsir panjang lebar
tentang surah al-Fatihah (The Opening
Chapter of the Quran), membicarakan peranannya dalam perjuangan Islam.
Beliau ketika itu didalam penjara, dipenjarakan oleh penjajah Inggeris. Dr.
Burhanuddin sendiri pernah belajar di India, dan memang mengenal ajaran
Shah Wali Allah. Ini suatu fakta sejarah yang penting, kerana pengaruh ajaran
Shah Wali Allah di Kelantan, yang dibawa oleh para ulama yang mendapat
pendidikan di India,
menjadi pengaruh yang definitif dalam membebaskan rakyat Kelantan dalam membuat
keputusan politik mereka. Menurut analisis saya, jika aspek ini dapat
dikembangkan di luar Kelantan, orang Melayu akan jadi lebih cerdik, lebih
berani, dan lebih bebas membuat keputusan politik mereka. Ajaran Shah Wali
Allah saya kira menjadi faktor yang positif dalam kesedaran politik orang
Melayu, dengan kes Kelantan sebagai bukti yang nyata. Pengaruh ajaran Shah Wali
Allah dalam pemikiran politik Dr. Burhanuddin jarang diperkatakan, padahal
kaitan ini sangat penting. Adakah kaitan itu telah diputuskan oleh PAS setelah
Dr. Burhanuddin tiada lagi?
Saya membangkitkan tulisan Dr.
Burhanuddin ini untuk memahami sikap mental yang berbeza antara PAS dan UMNO.
Jelas dari tulisan Dr. Burhanuddin, al-Fatihah menjadi jiwa perjuangan PAS,
dihidupkan tidak saja dalam ibadat khusus mereka, tetapi juga menjiwai
perjuangan politik mereka. Sebaliknya, tidak ada seorang pun dari kalangan
ustaz atau pemimpin UMNO yang membicarakan implikasi politik surah al-Fatihah
ini, dengan itu al-Fatihah tidak menjiwai perjuangan politik mereka. Walaupun
orang UMNO membaca Fatihah sama seperti anggota PAS dan para pemimpin mereka,
tetapi bacaan mereka hanyalah untuk memenuhi kehendak ritual dalam ibadat mereka, bukan menjadi jiwa perjuangan mereka.
Dengan itu tidak hairanlah jika mereka menyindir dan meremehkan saja apa pun
juga perjuangan yang dijiwai oleh surah al-Fatihah itu.
Perpaduan Melayu atau Perpaduan Rakyat?
Konflik politik antara PAS dan UMNO
yang pada mulanya berlegar di sekitar nasionalisme Melayu, kini bertukar
menjadi konflik antara faham perkauman yang masih diteruskan oleh UMNO dengan
universalisme Islam yang diperjuangkan oleh PAS melalui konsep Negara Islamnya.
Dengan perkembangan baru ini UMNO digambarkan oleh PAS sebagai ketinggalan
zaman, masih berpaut kepada corak politik perkauman, oleh itu UMNO tidak lagi
relevan dalam fasa baru perjuangan orang Melayu untuk menegakkan Negara Islam.
Orang bukan Melayu dan bukan Islam, setelah berjaya diracuni pemikirannya oleh
para pemimpin UMNO untuk menerima Islam dalam bentuk ritual semata-mata, seperti yang dimaksudkan oleh Perlembagaan
Malaysia, bukan sebagai ideologi politik yang sah, menolak konsep Negara Islam yang
diperjuangkan PAS, tetapi menerima Islam sebagai faktor politik dalam konteks ritual yang dimajukan oleh UMNO. Bagi
mereka, orang Melayu boleh “memperjuangkan” Islam yang bersifat ritual itu, tetapi tidak dalam konteks
politiknya. Seorang ahli politik pembangkang bukan Islam pernah bersumpah
dengan angkuhnya, “langkah mayatku dulu” sebelum Negara Islam dapat ditegakkan,
dengan itu seolah-olah mengisytiharkan perang terhadap cita-cita politik
PAS. Ahli-ahli UMNO menerima amaran itu
dengan baik, kerana kini mereka telah berjaya menanam semangat anti-Islam di
kalangan orang bukan Islam yang sejak akhir-akhir ini bebas dan berani sekali
mengkritik apa juga persoalan mengenai Islam walaupun tidak kena mengena dengan
mereka. Saudara Rahim Zain membangkitkan perkara ini dalam bukunya (hal. 244)
sambil mengkritik sikap para pemimpin Melayu yang berpura-pura berjuang untuk
menegakkan “pertuanan Melayu” sedangkan matlamat sebenarnya untuk menjadi wira
dan mendapat faedah politik darinya.
Kekeliruan umat Melayu ini sudah
dibudayakan dalam sistem nilai mereka, oleh itu seorang bekas Ketua Polis
Negara, yang semasa dalam jawatan
mengerah Dr. Haron Din dan rakan-rakannya menulis buku tebal Islam dan Manusia (1985) untuk menjadi
panduan polis, menerima perlantikan sebagai orang kedua terpenting di kasino
Genting Hinghlands; malah sudah menjadi semacam adat bagi para pegawai kanan
polis menyertai syarikat-syarikat perjudian setelah bersara. Jadi di sini tidak
saja terdapat konflik antara nasionalisme Melayu yang diwakili UMNO dengan
universalisme Islam yang diperjuangkan oleh PAS, malah yang lebih parah ialah
meluasnya konflik nilai dalam diri orang Islam sendiri yang tidak lagi sensitif
kepada halal-haram dalam tingkah laku mereka. Dan mereka ini terdiri daripada
para pemimpin yang berpengaruh dan mendapat penghormatan tinggi daripada
kerajaan dan negara.
Dalam konteks inilah konsep
perpaduan Melayu diperjuangkan. Orang-orang yang bercakap tentang perpaduan dan
pertuanan Melayu menggunakan istilah perpaduan itu untuk melindungi kedudukan
mereka sebagai ketua yang tidak lagi relevan setelah kesedaran politik mutakhir
lebih condong kepada perjuangan mendapatkan keadilan sejagat. Di sinilah
relevannya perjuangan PAS dengan konsep Negara Islamnya, kerana sejarah Islam berada
di pihak mereka tentang bagaimana keadilan itu dilaksanakan dalam pemerintahan
Islam. Bagi Roger Garaudy, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Perancis yang
akhirnya memeluk Islam dan menjadi pendakwah keadilan politik Islam, sistem
politik Andalus yang berpusat di Cordoba adalah yang terbaik pernah diwujudkan
di Eropah, yang berjaya menyatukan umat Islam, Keristian, dan Yahudi. Tetapi
sistem itu dihancurkan oleh para pemimpin atau raja-raja Islam sendiri yang
gila kuasa dan tamakkan kemakmuran untuk diri mereka. Adakah para pemimpin
Melayu sudah sampai ke peringkat itu, menggadai maruah bangsa dan menghumbankan
nilai-nilai Islam semata-mata untuk terus berkuasa?
Masalah perpaduan bukanlah masalah
politik semata-mata, tetapi berkaitan juga dengan masalah ekonomi, sosial dan
budaya. Dari segi ekonomi, jelas sekali perpaduan ekonomi tidak diberi
perhatian langsung oleh barisan pemimpin sekular. Kawasan-kawasan yang majoriti
penduduknya terdiri daripada orang Melayu dibiarkan mundur dan ketinggalan,
kerana fokus utama ialah pembangunan ekonomi di Pantai Barat Semenanjung. Malah
bagi Saudara Rahim Zain, yang berbicara khusus tentang Kelantan, para pemimpin
barisan sekular ini menjadi penghalang kepada kemajuan ekonomi Kelantan (lihat
terutamanya bab 20). Katanya: “Orang Melayu telah dihampakan oleh
pemimpin-pemimpin besar mereka” (hal. 240). Mereka juga menjadi punca
perpecahan dalam masyarakat (lihat bab 17), dan secara langsung, melalui
tindakan politik perpecahan yang mereka amalkan, menjadi penghalang kepada
kemajuan Kelantan (hal. 212). Sandiwara politik ini semakin jelas kepada rakyat
Kelantan dan Terengganu, sehingga memungkinkan PAS menumpaskan UMNO. Bagaimana
kepercayaan yang hilang ini dapat dikembalikan di kalangan rakyat?
Saudara
Rahim Zain memberi cadangan yang sangat baik. Katanya: “Jika pemimpin-pemimpin
politik Kelantan benar-benar hendak berkhidmat kepada Kelantan, banyak yang
boleh dibuat tanpa menunggu menang pilihanraya. Mereka boleh sediakan rancangan
ekonomi yang berkesan dari segi pembangunan. Tiap-tiap bahagian boleh
mewujudkan program yang berdaya maju untuk menjana kegiatan-kegiatan
pembangunan sosioekonomi; tidak kira siapa yang memerintah negeri” (hal. 250).
Tetapi dari segi kepentingan ekonomi dan politik para pemimpin, perbuatan ini
tidak menguntungkan, oleh itu rancangan yang baik ini tidak pernah dibuat di
mana-mana, apatah lagi di Kelantan. Dari segi realiti politik, seorang ketua
atau pemimpin hanya akan “berbudi” dan “berkhidmat” jika budi dan khidmat itu
mendapat balasan positif melalui undi yang diperolehinya. Jika tidak, rakyat
akan didera kerana menolak “budi” dan “khidmat” yang mereka tawarkan. Inilah
yang terjadi kepada rakyat Terengganu, apabila UMNO dengan marah menarik balik
pemberian “wang minyak” yang selama ini dibayar kepada kerajaan Barisan
Nasional Terengganu. Dengan perbuatan ini, barisan pemimpin sekular meludah
keputusan rakyat Terengganu yang tidak menggunakan saluran demokrasi yang
diberikan kepada mereka dengan betul, dengan menolak kumpulan yang “memberikan”
mereka hak demokrasi itu. Tentulah amat sukar bercakap dan menyeru supaya
dijalin perpaduan, sedangkan pada waktu yang sama rakyat didera dan dihina oleh
para pemimpin yang kalah, yang masih berkuasa di pusat. Inilah bentuk perbuatan
fasad yang tidak kelihatan
sifat-sifat jahatnya dan zalimnya kerana dibungkus dalam istilah perpaduan
Melayu, padahal perbuatan itu sendiri memecahbelahkan masyarakat. Dalam politik
Islam, tidak ada perpaduan dalam melakukan perbuatan fasad.
Syura, Demokrasi dan Perpecahan Dalam
Masyarakat
Tentulah para pemimpin barisan
sekular tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka menjadi punca pecahbelah
dalam masyarakat Melayu dengan menyalahgunakan demokrasi, seperti yang berlaku
di Terengganu, dan pernah berlaku di Kelantan sekitar tahun 1978 apabila
darurat diisytiharkan untuk memastikan demokrasi berjalan seperti yang
dirancang oleh mereka, yakni rakyat memilih mereka dalam pilihanraya yang
dipaksakan ke atas rakyat untuk menghalalkan kecurangan politik mereka. Inilah
cerita biasa yang berlaku dalam demokrasi. Dalam buku mereka yang terkenal, The Democratic Façade (1991), Daniel
Hellinger dan Dennis R. Judd Brooks menegaskan bahawa golongan elit Amerika
menindas dan memaksa rakyat memilih mereka (hal. 6) dalam pilihan raya yang dikuasai
propaganda dan penipuan (hal. 10), menggunakan alasan keselamatan negara untuk
menekan rakyat daripada membuat bantahan (hal. 195), dan menjadikan pembohongan
dan propaganda untuk mempengaruhi rakyat terus menyokong golongan yang
berkuasa. Sejauh mana ciri-ciri ini terdapat di Malaysia dapat dilihat dalam
tiga contoh terpenting (daripada ratusan contoh): darurat di Kelantan 1978
untuk membolehkan Barisan Nasional berkuasa melalui pilihanraya; pemberhentian
“wang minyak” sebaik-baik saja Terengganu dikuasai PAS; dan yang paling
menjijikkan ialah kes Anwar Ibrahim difitnah, dihina, dan dihukum hanya untuk
mengekalkan kuasa seorang pemimpin yang tidak boleh menerima cabaran dalam
sistem demokrasi. Dalam kes ketiga terdapat kesangsian dan ketakutan akan terbocor
rahsia besar seorang pemimpin ketika menguruskan kewangan negara.
Dari segi politik, perpecahan rakyat
boleh menguntungkan golongan berkuasa, oleh itu secara logik perpecahan rakyat
memang dialu-alukan oleh pemimpin yang mencari pengaruh. Perkara ini disebut
oleh Saudara Rahim Zain dalam bukunya: “Pemimpin-pemimpin politik Kelantan
memecahbelahkan rakyat kerana hendak meramaikan pengikut dalam parti sendiri.
Perebutan kuasa dan kemahuan yang amat sangat untuk menjadi pemimpin dalam
barisan sekular di peringkat cawangan, bahagian dan negeri, melibatkan
penggunaan wang, salahguna kuasa, ancaman, ugutan, penafian peluang dan
pelbagai perbuatan yang melaga-laga pengikut untuk menentang musuh
masing-masing, untuk menolak kepemimpinan lawan, dan mensabotaj kerja-kerja dan
nama baik lawan. Kerja-kerja seperti itu memecahbelahkan rakyat di akar umbi,
dan tidak menggalak ke arah usaha memajukan diri, memajukan masyarakat. …
Mereka bertindak tidak adil terhadap ahli parti lawan. Ramai yang berebut-rebut
kuasa hendak jadi pemimpin. Wang diguna, pengaruh diguna, ugutan diguna untuk
kem masing-masing. Jadilah rakyat berpecah-belah” (hal. 207). Gambaran ini
memperlihatkan watak sebenar para pemimpin “yang menawarkan diri” untuk
berkhidmat kepada rakyat. Jika kita kembali kepada istilah fasad, inilah golongan mufsidun
yang dikutuk oleh Allah Ta’ala. Tentu saja mereka tidak layak menjadi pemimpin,
oleh itu memang wajar dan logik jika rakyat menolak mereka. Tetapi bagaimanakah
perpaduan dan rasa ukhuwah boleh dikembalikan di kalangan para pemimpin dan
rakyat yang berada dalam perpecahan ini?
Islam menjadikan syura sebagai asas
proses perpaduan ummah, dan sekaligus mengajar ummah membuat keputusan terbaik
untuk semua. Tetapi syura hanya boleh berfungsi dengan berkesan jika keputusan
diambil oleh orang-orang yang berwibawa dari segi ilmu, akhlak, sifat adil,
sifat amanah, dan kejujuran. Syarat-syarat ini adalah antara beberapa syarat
yang amat diperlukan dalam pelaksanaan syura tadi. Syarat-syarat inilah juga
yang menjadi ciri-ciri yang harus dipunyai oleh para pemimpin. Konsep syura
dalam Islam tidak sama dengan proses demokrasi dalam sistem politik Barat.
Seperti yang disebutkan dahulu, demokrasi dihidupkan dengan pembohongan,
propaganda, penipuan dan penindasan, tanpa mengira dosa pahala dalam perebutan
kuasa. Syura tidak membenarkan semua itu dalam proses membuat keputusan. Jika
ini difahami, dan terdapat kerelaan untuk melaksanakannya di kalangan pemimpin
Melayu, jalan ke arah perpaduan senang diteroka. Tetapi dalam keadaan sekarang,
jelas bahawa jalan yang diambil oleh golongan pemimpin sekular ialah untuk
menghapuskan barisan kepimpinan agama, oleh itu proses syura ditolak
bulat-bulat oleh mereka. Apa yang akan terjadi ialah pembalasan dendam kesumat
terhadap pihak lawan, yang tidak berhak lagi hatta untuk bertanding dalam
proses demokrasi sekali pun. Pendirian ini menutup ukhuwah, tidak saja menutup
jalan ke arah perpaduan ummah. Adakah para pemimpin Melayu dan Islam seburuk
itu tingkah lakunya?
Dua Mitos Agung Dalam Sistem Politik
Melayu
Pilihan para pemimpin Melayu dan
Islam untuk terus memecahbelahkan masyarakat menjadi halangan besar kepada
pembangunan ekonomi orang Melayu, bukan saja di Kelantan, tetapi juga di
kawasan-kawasan majoriti Melayu di negeri-negeri selain Kelantan. Kemunduran
orang Melayu, khususnya kemunduran negeri Kelantan, tidak ada kaitan sama
sekali dengan kewujudan PAS atau kerana kemenangan parti itu di Kelantan (dan
kini di Terengganu). Bukti paling jelas tentang kepalsuan andaian ini boleh dilihat
dalam kes kemunduran orang Melayu di Pulau Pinang,
yang jauh ketinggalan serba-serbinya jika dibandingkan dengan kaum Cina yang
mendapat faedah besar daripada kerajaan Barisan Nasional. Yahya Ismail, bekas
seorang ahli akademik di Universiti Sains Malaysia, menerbitkan bukunya Masalah Melayu Pulau Pinang (1978),
untuk menganalisis ketinggalan orang Melayu di Pulau Pinang, yang masih kekal
hingga sekarang. Antara fakta aneh yang disebutnya ialah tentang penghijrahan
orang Melayu ke Pahang dan Terengganu (hal. 52) walaupun penduduk Melayu amat
kecil di Pulau Pinang. Apa yang mereka cari di
negeri-negeri itu? Jika rakyat Kelantan, terutama para pemudanya, diseranah dan
dikecam kerana mencari kerja di luar Kelantan, berhijrah ke merata tempat
mencari rezeki kerana kemunduran Kelantan menutup rezeki mereka, maka bagaimana
pula Melayu Pulau Pinang yang “kaya raya” dan dipelihara oleh kerajaan Barisan
Nasional dihantar ke negeri-negeri Pantai Timur untuk mendapat rezeki?
Mitos
mengaitkan PAS dengan kemunduran orang Melayu tertolak bulat-bulat, tak perlu
dihujahkan lagi dengan sengaja mencari-cari helah untuk menutup kenyataan yang
diketahui umum. Kemunduran itu lebih tepat mencerminkan kegagalan para pemimpin
Melayu memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat dan para pengikut
mereka. Kemunduran itu juga mencerminkan sifat tamak, khianat, putar belit,
mementingkan diri sendiri, yang berada dalam diri para pemimpin itu, menjadi
sifat-sifat peribadi mereka. Seperti yang ditekankan oleh Saudara Rahim Zain dalam
bukunya, peluang untuk para pemimpin memberikan perkhidmatan terbaik untuk
rakyat terbuka luas, tidak terikat kepada menang atau kalah dalam pilihanraya.
Tetapi para pemimpin ini memilih untuk menjatuhkan lawan dan mengganggu
pentadbiran negeri yang tidak disukai dengan berbagai helah dan tipu-daya.
Mereka memilih untuk memecahbelahkan rakyat sambil mencari peluang untuk
mendapat kepentingan diri dari perpecahan itu. Mengapa orang Melayu mendapat
pemimpin seperti yang mereka dapat sekarang?
Kita memerlukan satu teori politik
yang tepat dan lengkap untuk menjawab soalan ini, yang boleh kita perolehi
dengan memeriksa sejarah perjuangan orang Melayu dan sistem politik yang mereka
warisi. Dalam ruang yang terbatas, kertas ini akan hanya memberi huraian yang
ringkas saja tentang teori Dua Mitos Agung dalam sistem politik Melayu.
Analisis lebih mendalam dan terperinci akan dibuat pada kesempatan lain. Apakah
yang dimaksudkan dengan teori Dua Mitos Agung itu?
Peranan mitos dalam kehidupan
manusia sudah diketahui sejak manusia mula membina tamadunnya. Dalam kajian
politik pula, mitos memainkan peranan penting yang membolehkan kita memahami
dengan lebih jelas dan lebih mendalam beberapa aspek tindakan politik manusia.
Ciri mitos yang pertama ialah mitos disampaikan dalam bentuk cerita. Cerita
tadi tidak semestinya khayal, walaupun inilah sifat umum mitos seluruh dunia.
Peristiwa yang benar-benar berlaku boleh dimitoskan apabila disampaikan dalam
bentuk cerita yang mengagungkan tokoh atau peristiwa itu. Ciri lain mitos ialah
isinya mengenai kejadian alam, penjelasan kepada sesuatu peristiwa yang tidak
diketahui asal usulnya, tetapi perlu diketahui oleh masyarakat rahsianya. Mitos
juga menceritakan aspek metafizik, tentang alam ghaib yang selalu menjadi
tanda-tanya manusia, misalnya tentang ketuhanan dan asal kejadian manusia dan
kesudahannya. Dalam kajian politik, mitos merupakan salah satu faktor penting
untuk memahami tingkah-laku politik sesuatu puak atau bangsa, malah mitos
menjadi asas tamadun manusia di Yunani,
India, China dan
lain-lain. Dalam kajian politik Malaysia
moden, penggunaan mitos jarang dilakukan dalam analisis politik, mungkin belum
ada kajian yang menggunakan mitos sebagai asas analisis kajian tersebut. Satu
aspek penting dalam mitos ialah peranan wira, pahlawan, hero, pemimpin, atau
ketua yang sangat handal, sakti, baik budi, sempurna tingkah-laku, cerdik,
pintar, berpengaruh dan sebagainya yang berkaitan dengan ciri-ciri keagungan
seorang wira. Dalam konteks inilah mitos penting dalam analisis politik.
Dalam sistem politik dan
kepemimpinan Melayu, penggunaan mitos yang berasal dari India dan
Iran/Parsi menjadi asas pembentukan sistem beraja di Tanah Melayu. Raja-raja
Melayu menjadi sakti dan berdaulat setelah dikaitkan dengan Anushirwan Adil,
Iskandar Zulkarnain, dewa-dewa Hindu, Nabi Sulaiman. Setiap raja akan
memastikan kaitannya dengan tokoh-tokoh itu sejak permulaan datuk neneknya
diangkat menjadi raja, malah datuk neneknya memang berasal dari salah seorang
tokoh tadi. Salasilah keturunan itu sangat penting untuk menimbulkan kehebatan
keturunan raja-raja tadi. Demikianlah yang diceritakan oleh Sejarah Melayu, yang menegaskan bahawa
keturunan raja-raja Melaka berasal dari Bukit Seguntang, dari Gunung Mahamiru,
dari laut, dan dari kayangan. Dengan itu raja-raja menduduki tempat yang
terasing, jauh terpisah dari rakyat yang keturunannya tidak menentu. Gambaran
yang diberikan oleh Sejarah Melayu
dikaitkan dengan keagungan bangsa Melayu yang mempunyai raja-raja yang sakti,
berdaulat dan sebagainya. Walaupun Sejarah
Melayu mengatakan raja-raja itu diimport dari luar, tetapi mereka adalah
istimewa kerana kehadiran mereka di dalam masyarakat Melayu telah memberikan
masyarakat itu sebuah kerajaan. Raja kemudiannya akan memilih orang-orang
besarnya dari kalangan ketua-ketua masyarakat, diberi gelaran tertentu, dan
kedudukan tertentu dengan taraf tertentu pula. Dari situ terbinalah sistem
kepemimpinan Melayu yang kekal hingga ke hari ini. Dalam sistem itu, golongan
raja dan pembesar mendapat keistimewaan dalam semua perkara, yang terpenting
ialah keturunan raja dan kedudukan raja tidak boleh digugat. Perbuatan itu
dinamakan menderhaka, dan hukumannya sangat berat. Penderhaka akan dibunuh, dan
semua keturunannya akan dihapuskan. Kejahatan dan kezaliman raja adalah restu
untuk rakyat dan kebaikan untuk mereka; kebaikan rakyat tidak bermakna apa-apa
jika tidak direstui raja. Dalam sistem
kepemimpinan ini, semua kebaikan dan kejahatan ditentukan oleh seorang
pemimpin, yang digelar raja. Sebarang bangkangan adalah penderhakaan, oleh itu
raja berhak menghapuskannya dengan kejam. Yang akan melakukannya ialah pembesar
yang dilantik raja. Sistem ini memberi kuasa mutlak kepada pemimpin tertinggi
untuk membuat apa juga keputusan yang dia mahu. Para
pembesar akan mengikut kerana risiko untuk membantah terlalu besar. Setia dan
derhaka adalah dua kontinum yang di tengah-tengahnya berdiri kekuasaan seorang
raja. Dia boleh sesuka hatinya menentukan ke mana arah condongnya sesuatu
tindakan pembesar dan rakyatnya. Sistem kepemimpinan sebegini mencirikan mitos
agung pertama, iaitu Mitos Sejarah Melayu.
Mitos inilah yang menjadi asas sistem politik Melayu, diakui Inggeris ketika
menjajah negeri-negeri Melayu, dan diterima oleh semua penduduk Tanah Melayu.
Ciri utamanya ialah kesetiaan dan ketaatan kepada ketua; dengan kedudukan ketua
yang istimewa dari segi kuasa yang diberikan kepadanya.
Apabila orang Melayu mula
memperjuangkan kemerdekaannya dari penjajahan Inggeris dengan menubuhkan
Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1937, para pelopornya terdiri daripada
kalangan pemimpin yang berada di luar sistem Mitos Sejarah Melayu itu. Mereka
tidak diakui oleh penjajah, baik Jepun mahupun Inggeris, yang mengharamkan parti politik Melayu yang pertama
itu. Apabila selepas Perang Dunia II Inggeris memperkenalkan Malayan Union,
golongan kiri itu menyokongnya, tetapi Inggeris menolak sokongan mereka, malah
menerima para penentang Malayan Union yang diketuai oleh Dato Onn Jaafar. Di
atas runtuhan perjuangan rakyat, yang para pemimpinnya dipenjarakan Inggeris,
maka lahirlah UMNO, yang menentang Malayan Union, yang kehadirannya dalam arina
politik Tanah Melayu disambut Inggeris. Para
pemimpin UMNO kemudiannya “merundingkan” kemerdekaan Tanah Melayu dengan
Inggeris. Mengapa Inggeris memilih penentangnya untuk menjadi rakan kongsi
merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu?
Inggeris tahu para pemimpin UMNO disokong oleh raja-raja Melayu,
manakala ketua-ketua UMNO terdiri daripada para pembesar Melayu, dengan itu
Inggeris boleh menjamin projek kemerdekaannya akan berjaya seperti yang
dirancangnya. Pada waktu itu rakyat Melayu tidak mempunyai pemimpin, setelah
para pelopor kemerdekaan dipenjarakan. Mitos Sejarah Melayu memainkan peranan
penting dalam rundingan kemerdekaan itu, mewakili sistem politik Melayu yang
masih utuh walaupun semua raja Melayu telah berpaling tadah dengan menurunkan
persetujuan mereka kepada projek Malayan Union. Seperti yang dijelaskan
terdahulu, kesalahan raja adalah penderhakaan rakyat jika ditentang, oleh itu
raja-raja didakwa telah dipaksa atau ditipu untuk bersetuju. Tetapi raja-raja
tidak sebodoh itu untuk ditipu begitu mudah, seperti yang digambarkan dalam
buku-buku sejarah. Raja-raja sebenarnya cukup arif bahawa rakyat baginda akan
terus berada di samping baginda dalam keadaan yang bagaimana sekalipun, kerana
mereka tidak pernah menganggap raja-raja mereka boleh melakukan kesalahan atau
kesilapan, oleh kerana mereka dikelilingi para pembesar yang bijak-bijak
belaka. Mitos Sejarah Melayu dengan itu telah menyelamatkan raja dan para
pembesar daripada dituduh mengkhianati rakyat.
Apabila kemerdekaan diperolehi dari
Inggeris dengan syarat-syarat yang ditentukan mereka, maka lahirlah mitos agung
kedua dalam sistem politik Melayu. Kelahiran mitos kedua ini tidak dapat
dielakkan, kerana peranan raja-raja dalam Mitos Sejarah Melayu diambil-alih
oleh para pemimpin politik yang berkuasa. Yang menjadi tuan, yang berkuasa
menentukan corak dan cara pemerintahan Tanah Melayu yang merdeka, ialah seorang
Perdana Menteri dan ahli-ahli jemaah menterinya. Raja masih di atas, tetapi
telah diberi kedudukan kedua dalam sistem baru itu. Pertukaran peranan ini
disempurnakan dalam tahun 1983 apabila raja-raja diberi kedudukan tetap sebagai
simbol ketuanan Melayu, yang kini tidak bermakna lagi kerana yang benar-benar
berkuasa sekarang ialah ahli politik dan rakan-rakannya para teknokrat,
saudagar, dan golongan birokrat. Tahun 1983 dapatlah dianggap sebagai tahun
rasmi kemunculan Mitos Malayan Union, dengan berubahnya kedudukan ahli politik
sebagai “maha perdana” dalam segala bidang, dalam semua bidang. Mulai tarikh
itu, ahli-ahli politik yang mewarisi “perjuangan” menentang Malayan Union,
muncul sebagai wira negara, sebagai penyelamat bangsa dan tanah air. Agak aneh,
terdapat sedikit keraguan tentang siapa pula yang menjadi penyelamat agama.
Tetapi ini tidak menjadi masalah besar, kerana kemunculan Mitos Malayan Union
ini diiringi dengan terhakisnya peranan agama dalam pembangunan Malaysia moden.
Walaupun diwujudkan universiti Islam, bank Islam, takaful Islam, dan
sebagainya, tetapi semua institusi itu berfungsi sebagai pilihan semata-mata.
Sistem kapitalis dan dasar ekonomi kapitalis masih menjadi sistem utama negara,
satu-satunya sistem yang dipergunakan sepenuhnya untuk membangun Malaysia moden.
Peranan agama menjadi momokan apabila parti Melayu yang memperjuangkan Islam
memenangi Dewan Undangan Negeri Kelantan, kerana “dibuktikan” Islam tidak boleh
memajukan negara. Adalah menjadi kemegahan barisan pemimpin sekular untuk
mengekalkan imej Islam sebagai penghalang kemajuan, kerana kewujudan UMNO akan
menjadi tidak relevan lagi jika Islam dapat dibuktikan menjadi pencetus
pembangunan yang adil dan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat. Dengan
menggunakan dua mitos agung yang disebutkan, maka kepemimpinan Melayu terus
dimonopoli oleh golongan feudal atau yang mengamalkan nilai-nilai feudal dalam
faham politik mereka.
Sejauh mana dua mitos agung ini akan
kekal dalam politik Malaysia?
Inilah cabaran baru yang muncul bersama munculnya idea Negara Islam yang
diperjuangkan oleh PAS. Masalahnya ialah, adakah PAS akan meneruskan dua mitos
ini dengan caranya yang tersendiri, atau mewarisinya secara total?
Kesimpulan
Perjuangan menubuhkan sebuah Negara
Islam di Malaysia adalah satu fasa penting dalam perkembangan politik Malaysia, yang
akan mempengaruhi arah pembangunan ekonominya. Jika Negara Islam itu
benar-benar dapat diwujudkan dengan persetujuan rakyat sendiri, maka iklim
politik Malaysia
akan berubah sama sekali daripada iklim yang wujud sekarang. UMNO akan jadi
tidak relevan lagi, dan terpaksa bernaung di bawah PAS. Ini bermakna tentangan
paling hebat terhadap rancangan penubuhan Negara Islam datangnya daripada orang
Melayu sendiri, yang beragama Islam. Jika di dalam penentangan itu UMNO akan
didampingi raja-raja Melayu, seperti ketika menentang Malayan Union, maka
barisan pemimpin agama akan dimusnahkan, sama seperti pemimpin nasionalis kiri
dimusnahkan oleh Inggeris. Jika raja memilih Negara Islam yang diperjuangkan
PAS, maka akan timbul soalan baru yang sangat menarik: Adakah Mitos Malayan
Union akan dihapuskan, dan Mitos Sejarah Melayu akan diteruskan, tetapi dalam
bentuk yang bagaimana? Demikianlah cabaran yang akan dihadapi dan rumitnya
perjuangan menegakkan Negara Islam di Tanah Melayu. Jika kita ingin mengambil
iktibar dari perjuangan Islam di Iran, hanya seorang Ayatullah saja yang dapat
menangani perjuangan ini. Wallahu a’lam.
Petaling Jaya,
23 Januari 2004.
______________________________________________________________________
Rujukan
Abdullah Nuh, Semangat
Perajurit-Perajurit Muslim (Kota Bharu: Matba’ah Ismailiyyah, t.t., mungkin
1940)
Abul Kalam Azad, The
Opening Chapter of the Quran, ed. and trs. by Dr. Syed Abdul Latif (Kuala
Lumpur: Islamic Book Trust, 1991)
Alias Mohamed, Pas’
Platform: Development and Change 1951-1986 (Petaling Jaya: Gateway
Publishing House Sdn. Bhd., 1994)
Alias Muhammad, Kelantan:
Politik dan Dillema Pembangunan (Kuala Lumpur: Penerbit Utusan Melayu (M)
Bhd., 1975)
Allen, James de V., The
Malayan Union (Yale University,
Southeast Asia Studies, Monograph Series No. 10, New Haven, Connecticut, 1967)
Bidney, David, “Myth, Symbolism, and Truth,” in Sebeok,
Thomas A., ed. Myth: A Symposium (Bloomington
and London: Indiana University Press, 1972)
Cassirer, Ernst, The
Myth of the State (New Haven and London: Yale University Press, 13th.
printing, 1975)
____________, Philosophy
of Symbolic Forms, vol. 2, Mythical Thought (New Haven: Yale University
Press, 1955)
Ghazali Shafie, Malay
Nationalism and Globalization, kuliah Tun Razak ke-5, 1988 (Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia, 1988)
Gomez, Edmund Terence, Politik
Dalam Perniagaan: Pelaboran Korporat UMNO (Kuala Lumpur: Forum Enterprise,
1990)
_____________, Money
Politics in the Barisan National (Kuala Lumpur: Forum Enterprise, 1991)
Koentjaraningrat, Kebudayaan
Mentalitet dan Pembangunan (Jakarta: Penerbit P.T. Gramedia, 1974)
Lau, Albert, The
Malayan Union Controversy 1942-1948 (Southeast Asian Historical Monographs,
1990)
Mohd. Affandi Hassan, “Pentamilan dan Pengkelingan Budaya
Melayu: Satu Analisis Awal Tentang Peranan Emosi Dravidian Dalam Budaya
Melayu”, (Kertaskerja Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2003 Tentang
Emosi Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 11-12 Julai 2003)
Mohamed Noordin Sopiee, From
Malayan Union to Singapore Separation: Political
Unification in the Malaysia
Region (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1974)
Muhammad Yusoff Hashim, Kesultanan
Melayu Melaka (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989)
Ramlah Adam, UMNO:
Organisasi dan Kegiatan Politik (Kota Bharu: Mohd. Nawi Book Store, 1978)
Safie bin Ibrahim, The
Islamic Party of Malaysia: Its Formative Stages and Ideology (Pasir Puteh,
Kel.: Published by Nuawi bin Ismail, 1981)
Tudor, Henry, Political
Myth (London: Pall Mall Press Ltd., 1972)
Roff, W.R, The Origins
of Malay Nationalism (Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1967)
Stockwell, A.J, British
Policy and Malay Politics During The Malayan Union Experiment 1942-1948 (Kuala
Lumpur: MBRAS, 1979)
Yahya Ismail, Masalah
Melayu Pulau Pinang (Kuala Lumpur:
Dinamika Kreatif, 1978)
No comments:
Post a Comment