Tajuk ini
agak panjang, tetapi maksudnya mudah saja. Seorang ahli politik tidak diukur
kejayaannya dari kejujurannya; tetapi dari kejayaannya mendapat kuasa. Kejujuran tidak dapat diukur, dan tidak pun
perlu diukur. Cukup hanya dengan mengakuinya dia seorang yang jujur dan boleh
dipercayai. Politik adalah kuasa, dengan itu sesiapa juga yang menceburkan
dirinya dalam arena politik matlamatnya untuk mendapat kuasa. Paling rendah kuasa itu ialah untuk diterima
sebagai seorang ahli politik dan dijadikan ketua. Untuk itu, dia perlukan
organisasi yang boleh memberinya kedudukan sebagai ketua. Maka lahirlah parti
politik, satu gerakan moden yang ditiru dari pengalaman Barat. Dalam sistem moden itu, di mana duduknya
Islam? Dalam politik moden, Islam tidak mempunyai tempat, dan tidak perlu pun
diberi tempat. Kalau begitu, bagaimana Islam melaksanakan aspek politiknya?
Mari kita
bincang tajuk ini dengan serius dan … jujur!
Bagi seorang
ahli politik, kejujuran adalah penting dalam pelbagai jenis penipuan dan
korupsi yang dilakukannya sebagai aktiviti biasa dalam usahanya mengekalkan
kuasa politiknya. Seorang penipu mengenal penipu yang lain. Itulah ciri politik
sebenarnya. Kalau anda mahu bukti, saya telah menyebutnya dalam entri yang
lepas. Sang Mahathir Mohamed mengutuk Si Haji Hadi Awangi sebagai seorang
pendusta dan munafik; dengan memberikan ciri munafik yang digemarinya. Kerana
kegiatan politiknya sama saja dengan cara berpolitik Si Ustaz Abdul Hadi Awang,
maka beliau yang bernama Mahathir Mohamed itu dengan bangga pula
mengisytiharkan dirinya sebagai seorang munafik. Apakah pengajaran yang anda
dapat daripada dua tokoh agung politik Melayu ini? Paling penting, menjadi
munafik adalah penting dalam politik, sekiranya seseorang ingin dikenali dan
disanjungi dalam dunia politik. Sekali lagi, Mahathir Mohamed dan Abdul Hadi
Awang menjadi contoh terbaik. Jika anda
meneliti kegiatan mereka dan kata-kata mereka, anda menjadi amat kagum di atas
keupayaan mereka berbohong dan melonjakkan keagungan mereka sebagai tokoh
munafik.
Adakah
perbuatan ini salah dalam kegiatan politik? Tidak. Inilah caranya seorang ahli
politik berusaha menipu pengikutnya untuk menyokongnya dan mengabui mata para
pengundi bahawa mereka adalah tokoh politik yang unggul, oleh itu perlu dipilih
untuk menjadi ketua dan seterusnya mendapat kuasa politik melalui pilihan raya
yang kaya dengan penipuan politik yang dikenali sebagai mobilization of bias. Itulah
bentuk demokrasi berparlimen yang selalu disebut-sebut. Bolehkah anda berkata
demokrasi adalah sistem politik berasaskan pembohongan? Saya tidak perlu
memberikan jawapannya; anda sendiri lebih tahu, lebih-lebih lagi jika anda
seorang ahli politik dan menjadi Ketua Parti pula.
Jika
kesimpulan ini benar, adakah kita perlu hapuskan politik? Jika ini yang anda
mahu buat, anda mengundang huru-hara dan barangkali pemberontakan besar-besaran
yang menghuru-harakan masyarakat. Pilihan terbaik ialah terus saja berbohong
dengan tulus kerana rakyat dan pengundi anda sendiri menghormati anda dengan
berbuat demikian. Itulah maksud kejujuran berpolitik dalam sistem demokrasi
yang asasnya mobilization of bias
itu.
Apakah yang
dilakukan oleh ahli politik setelah berkuasa dan tamak pula dalam meneruskan
kuasa politiknya? Eropah dan Amerika memberikan kita contoh terbaik dalam hal
ini. Saya tidak perlu menyebut tokoh-tokohnya, tetapi jika anda menjadi
pemerhati politik yang sensitif kepada perkembangan politik di Amerika dan
Britain ketika ini, anda akan dapat melihat bagaimana penipuan dijadikan
senjata paling ampuh untuk kekal berkuasa. Bagaimana di Malaysia? TST kata
budak-budak muda yang kini nampaknya diiktiraf sebagai penentu kepada ahli
politik untuk berkuasa … Anda tahu slogannya, bukan?
Mari kita
lihat beberapa contoh yang diberikan sendiri oleh rakyat yang sudah tertipu dan
tahu mereka tertipu dan ditipu oleh ahli politik yang jujur berpolitik itu. Jika
anda bijak membaca retorik penulisan popular,
anda akan dapat memberikan beratus contoh yang anda boleh dapat dengan
mudah betapa hebatnya kejujuran dalam penipuan itu di dalam kegiatan politik
Malaysia. Sila rujuk YouTube bertarikh 31/12/2012, “Ahli PAS Ambil Keputusan
Keluar Parti”. Satu lagi YouTube 5/2/2013, “80 Ahli PAS Keluar Parti Sokong
UMNO2”. Kedua-dua contoh dari Terengganu, kubu PAS. Contoh dari UMNO? Anda tahu siapa orangnya
yang kini pegang jawatan tertinggi negara! Tak perlu cerita panjang.
Terkini
terdapat satu perkembangan terbaru yang jika dianalisis dengan kritis akan
memberikan anda satu pengajaran yang amat penting dalam dunia politik yang
mewah dengan penipuan ini. Dalam perkembangan terbaru ini, jika anda ditakdir
mendapat kuasa dan dengan itu membentuk kerajaan, maka anda dibenarkan dan
malah diharapkan oleh rakyat supaya anda menyalahkan seteru politik anda yang
anda kalahkan dalam pilihan raya.
Kegagalan anda melaksanakan janji politik anda sebelum pilihan raya
boleh dengan mudah dilemparkan kepada musuh politik anda yang anda kalahkan.
Inilah yang terjadi dalam politik Malaysia sekarang. PM yang baru menang kini
mendapati sukar untuk bekerja kerana kebanyakan para pembantunya yang menjadi
menteri tidak mempunyai pengalaman. Ini bukan satu kekurangan, tetapi rakyat
tidak sabar melihat mereka terhuyung hayang cuba meletakkan diri mereka dalam
konteks seorang menteri yang berwibawa. Terlalu sensitif untuk menamakan orang
tertentu, cukuplah dengan berkata anda perlu menjadi pemerhati yang kritis
menilai tindakan menteri PH yang tiada pengalaman itu. Dalam keadaan ini maka seorang yang lama
pengalaman sebagai PM boleh saja memberitahu rakyat bahawa dia dan gengnya dalam
kabinet perlu diberi peluang untuk menjalankan tugas mereka, jangan dikritik
dulu, tunggu hingga lima tahun apabila diadakan pilihan raya baru. Nampaknya ini suatu permintaan yang munasabah
dalam standard politik Malaysia, oleh
itu kerajaan baru yang besar kepala dan agak angkuh menyalahkan kerajaan dahulu
kini mempunyai alasan untuk menyangkal bahawa mereka tidak boleh menjalankan
tugas dengan memuaskan. Jika anda
menilai permintaan ini dalam konteks konsep kejujuran yang kita bincang di
sini, maka inilah makna dan maksud kejujuran dalam politik: mengaku lemah untuk
mendapat simpati, tetapi tetap angkuh menyalahkan musuh politik yang sudah pun
dikalahkan dan sepatutnya tidak diungkit sepanjang masa.
Bila anda
renung semua persoalan yang dibangkitkan di sini, anda akan dapati betapa
sukarnya menjadi pemimpin jika anda mempunyai cita-cita peribadi untuk mendapat
faedah, dalam segenap bidang, yang anda akan dapat melalui kegiatan
politik. Adakah anda seorang yang jujur?
Jika anda mengaku itulah yang anda cari, maka bolehlah kita berkata anda
seorang yang jujur; tetapi perbuatan anda untuk mendapat faedah peribadi itu
bukanlah perbuatan seorang pemimpin yang jujur. Mana satu yang anda pilih? Anda
tidak boleh pilih kedua-duanya, seperti yang sedang berlaku sekarang. Jika
itulah yang terjadi, sah seratus persen anda bukan seorang yang jujur. Anda
memperjuangkan kepentingan diri dengan menggunakan politik. Di mana duduknya
para menteri dan PM yang menjadi ketua mereka?
Kita tutup
perbincangan ini dengan memetik pandangan YB Nurul Izzah tentang pengundurannya
dalam politik. Kata beliau, merujuk kepada perkembangan politik dalam tempoh setahun
lalu, “Sangat mencabar dan huru-hara.
Saya belajar banyak perkara, tetapi saya juga rasa saya sudah seperti patah
hati.” Mengapa jadi begitu? Dia menyebut penyertaan bekas ahli Parlimen UMNO
dalam parti komponen PH merupakan perkara yang mengecewakannya. Katanya, “Ia situasi
sukar yang sangat buruk, bukan hanya untuk PKR, tapi juga untuk pengundi dan
rakyat Malaysia secara keseluruhannya.”
Saya tidak fikir ini satu rintihan yang mengecewakan; malah bagi saya
ini satu kritikan yang pedas dan tepat. Buktinya bila beliau seterusnya membuat
kesimpulan yang saya setuju seratus peratus. Katanya, “Bekerja dengan bekas diktator
yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan
saja pada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia
bukan sesuatu yang mudah.” Tepat sekali.
Selama 22 tahun menjadi PM, Dr. Mahathir Mohamed membiarkan terus orang Melayu menjadi golongan bangsat yang
diperalatkan oleh UMNO baik di bawah pimpinan Mahathir mahu pun pemimpin
selepasnya. Kalau ini bukan satu pengkhianatan, apakah ungkapan atau istilah
yang boleh kita gunakan? Bagusnya pula,
Mahathir menjadi lambang kepada pembohongan politik Malaysia, yang setiap
tindakannya semuanya untuk faedah dirinya, anak-anak, teman-teman rapat.
Perlukah Melayu yang bangsat itu kepada KLCC? Bukanlah satu kecerdikan dan
sifat pemurah untuk menggunakan wang minyak untuk membina bangunan impiannya
seperti KLCC. Inilah piramid dalam politik Melayu, maka dengan itu tepatlah
gelaran yang diberikan kepadanya sebagai Mahafiraun dan Mahazalim. Membelanjakan
wang sebesar membina KLCC adalah satu kezaliman yang paling terkutuk. Anda tahu
apa makna kezaliman dalam Islam? Pastilah Mahathir tidak tahu, dan kalau dia
tahu dia tidak peduli. Yang penting, seperti Firaun, ialah memperlihatkan
kemegahan diri dan kekuasaannya. Dalam konteks ini, Mahathir adalah seorang
tokoh politik yang jujur, ketika dia berkata dia tidak keberatan diberi gelaran
itu.
Setelah
terbina KLCC, ke mana perginya wang Petronas? Kalau tokoh ini jujur, dia
tentulah memberi perhatian kepada pembangunan Pantai Timur, terutama sekali di Terengganu,
yang seharusnya dijadikan negeri contoh dengan pembangunan yang dirancang dan
dilaksanakan secara besar-besaran setelah Terengganu menjadi sebuah negeri yang
menghasilkan minyak di Semenanjung. Mengapa Terengganu dan Kelantan, dan Pahang,
ditinggalkan? Takutnya Mahathir kepada pengaruh PAS membuatnya bertindak zalim
membiarkan negeri penghasil minyak itu. Dia tidak mahu penyokong PAS mendapat
faedah dari penghasilan minyak. Yang berhak ialah para pengikut UMNO dan para
pemimpin UMNO. Maka terbinalah
Putrajaya, dan inilah negeri ciptaan Mahathir untuk dirinya anak-beranak, yang
dibantah keras dan tidak diredhai oleh Sultan Selangor ketika itu, yang menolak
untuk mengisytiharkan Putrajaya sebagai satu wilayah. Mahathir sendiri yang mengisytiharkan
Putrajaya. Untuk mendapat Putrajaya, Mahathir memecat Abu Hassan Umar sebagai
MB Selangor, dan melantik Khair Toyo sebagai MB, dan kemudiannya meluluskan
Putrajaya, hak milik Selangor, untuk dijadikan … Anda mesti tahu hakikat kejujuran
politik peribadi ini.
Barangkali inilah
antara contoh yang dimaksudkan oleh Nurul Izzah. Orang Melayu yang cerdik dan bersikap kritis,
memang bersetuju “kebangkitan” Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam politik Malaysia
adalah satu malapetaka kepada orang Melayu. Lebih-lebih lagi sekarang Tun Dr. Mahathir, Sang
Perdana Menteri giliran kedua, amat terhutang budi kepada DAP yang kini
menamakan Malaysia sebagai Malaysia Baru, yang dahulunya dipanggil DAP
Malaysian Malaysia. DAP menggunakan Mahathir habis-habisan untuk mencapai
perancangan politiknya. Kemenangan terbesar DAP yang didapatnya melalui dan
dengan izin Mahathir ialah konsep perkauman dan chauvinism kini menjadi milik khusus orang Melayu. Kalau
Melayu mengkritik DAP, maka itu namanya perkauman. Jika DAP mengkritik Melayu,
maka itu persamaan hak. Mujurlah tidak semua Melayu itu lembu yang
menghulurkan lehernya untuk disembelih. Sebagai penganalisis politik yang
mempunyai gelar sarjana politik dalam Political Behaviour, (MA in Political
Behaviour from Essex University, 1977),
maka saya bolehlah berkata dengan meyakinkan bahawa bibit perkauman yang dibangkitkan kembali
oleh DAP akan cambah dengan subur dalam bentuk kebencian antara kaum yang pada
waktu ini masih boleh dibendung. Peristiwa berdarah 1969 apabila DAP berarak di
Kuala Lumpur memekik “Melayu Balik
Kampung” telah dihuraikan dengan mendalam oleh Tunku Abdul Rahman Putera
al-Haj dalam buku beliau, May 13: Before & After (Utusan
Melayu Press, 1969). Semua rakyat Malaysia perlu membaca buku ini.
Dengan
kedudukan istimewa S/U Agung DAP sebagai Menteri Kewangan, yang menjadi simbol
kebodohan Melayu, maka sudah kerap kedengaran di kalangan Melayu perasaan tidak
puas hati, yang oleh DAP dicap
sebagai sikap perkauman, apabila Melayu menyatakan kesangsian mereka kepada KEJUJURAN
Dap. Jelasnya, anda sebagai Melayu tidak
berhak untuk menyatakan kesangsian anda kepada hegemoni DAP. Jika ini
berterusan, maka akan berlakulah pembelahan Malaysia, seperti yang saya
huraikan dalam Hikayat Salim Adil.
Selepas ini orang-orang DAP mungkin akan membaca Hikayat Salim Adil dan meminta Kerajaan mengharamkannya! Kalau ini benar-benar terjadi (saya harap
begitulah), maka benarlah ramalan saya dan rumusan analisis saya dalam Hikayat Salim Adil itu. Kalau masih ada Melayu yang tidak kenal saya
sebagai seorang penulis kreatif yang sangat kritis membicarakan masalah negara,
maka betullah Melayu itu sejenis kaum yang bodoh dan tidak menghargai sumbangan
seseorang intelektual dari kalangan bangsanya sendiri. Saya menulis untuk menjadikan Melayu cerdik,
maka tentulah saya sangat mengharapkan mereka membaca karya saya yang kritis
itu. Manis sekali jika antara yang membacanya itu Nurul Izzah dan keluarganya! Mulailah dengan membaca Aligupit. Lepas itu baca
pula Hikayat Buyung Lurus, yang
secara khusus membicarakan pelbagai aspek korupsi dalam negara Malaysia. Seorang ahli politik Melayu yang tidak
membaca karya saya yang serius dan kritis itu bukanlah ahli politik yang cerdik!
Kata Tok
Mindok: “Selamatlah jiwa yang sempurna!”
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 26/3/2019.
No comments:
Post a Comment