Di tangan
saya ialah sebuah tulisan oleh Dato’
Shafie Daud, yang tidak saya kenali, berjudul
“Amanat Haji Hadi”, bertarikh 8 November 2001. Saya dapat di Internet.
Perhatikan komen beliau yang menarik ini: “Amanat Hadi ini sepatutnya tidak
timbul lagi selepas Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan yang bersidang di Pekan, Pahang (Februari 1986) memutuskan bahawa,
‘Amanat Hadi’ bercanggah dengan Islam
dan Prinsip Dakwah Islamiah (Utusan
Malaysia 20 Februari 1986).
Walaupun
didapati bercanggah dengan Islam, tidak semestinya diharamkan. Masih boleh
dipakai, sah untuk menghukum UMNO itu kafir seperti yang pernah dilakukan
dulu. Dalam perkembangan seterusnya,
baru-baru ini UMNO dan PAS bersetuju untuk bersatu untuk menyelamatkan Melayu
dari cengkaman DAP dan kaum bukan Melayu bukan Islam. Hairan juga mengapa DAP tidak mendesak
kerajaan PAS diharamkan kerana mengemukakan Amanat Hadi yang mengharamkan UMNO
dan jika mati dalam pertarungan dengan UMNO maka mati itu mati syahid. Bodoh
pula DAP ini tidak mengambil kesempatan untuk mendesak kerajaan baru, PH,
mengharamkan PAS. Tetapi Tun Mahathir mempunyai pandangan lain yang lebih
praktikal. Baginya, PAS sangat berguna
dalam menghadapi cabaran Anwar Ibrahim yang sudah bermula lebih dari 20 tahun
masih belum reda-reda lagi. Ada khabar
angin dimainkan oleh puak yang anti-Anwar bahawa ada kemungkinan dia akan
disumbat ke dalam penjara lagi untuk menjaga kepentingan …. Tak jelas,
kepentingan rakyat atau kepentingan individu. Mana satu pun tidak penting. Yang
penting Tun Mahathir tidak mahu dia tengok musuh politiknya sejak dulu mendapat
kesempatan untuk naik jadi PM. Bahayanya terlalu besar. Tentu dia masih ingat ketika Anwar diberi
peluang memangku PM selama tiga bulan, dipindanya undang-undang rasuah yang
membolehkan kerajaan atau pihak berkuasa mendakwa sesiapa yang disyaki rasuah
untuk dituduh dan dibicarakan. Susah hati sungguh Mahathir kerana harta
bendanya akan dikira dengan cermat, seperti dia melakukannya kepada Najib Tun
Razak.
Menurut
maklumat yang sampai kepada saya, rakyat sebenarnya secara majoriti ingin
melihat Mahathir diperiksa seperti Najib Tun Razak sedang disiksa dengan
tuduhan rasuah yang melampau, begitu besar sehingga sukar untuk dibicarakan.
Seratus tahun pun tidak akan selesai jika undang-undang rasuah tidak dipinda
untuk menghadapi kes istimewa Najib Tun Razak ini. Bagi rakyat, seluruh
pemimpin UMNO yang kaya raya sejak menjadi pemerintah Tanah Melayu wajib
dibicarakan. Tak seorang pun yang miskin sejak menjadi pemimpin UMNO. Sehabis
bangsat pun ada harta, apatah lagi yang besar-besar pangkatnya dan tinggi pula kedudukannya. Jika anda baca entri yang baru lepas yang
panjang itu, anda akan bertemu dengan konsep fasad dan islah. Dua
konsep ini penting dijadikan prinsip politik Malaysia. Tetapi Haji Hadi dan PAS
tidak pernah bangkitkan persoalan ini. Hairan juga. Kita perlukan penjelasan daripada mereka. Saya yakin 300 peratus PAS tidak akan tampil
secara anak jantan yang berani dan jujur untuk membicarakan dua perkara ini,
walaupun tidak (???) mengenai mereka.
Kesimpulannya,
kita telah dilambakkan dengan para pemimpin palsu yang cakap lain buatnya lain.
Adakah ini gerakan munafik baru dalam Malaysia Baru? Mohon kritikan dan pandangan kritis anda…! Pengalaman saya sebagai seorang penulis dan
pengkritik sastera memberikan saya satu pengalaman/pemerhatian yang
memeranjatkan di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera. Gerakan Munafik
Baru ini sangat jelas di kalangan mereka, apabila mereka menolak al-Quran dan
percubaan orang lain untuk mengambil pengajaran daripada al-Quran untuk
membahaskan dan memberi pendekatan baru kepada bidang kreatif dan kritikan
sastera. Mereka menolaknya untuk menyelamatkan gerakan Munafik Baru itu; pada
waktu yang sama mereka menegaskan (tak jelas pun tak mengapa) bahawa mereka
tidak menolak al-Quran; mereka hanya menolak Gagasan PB walaupun mereka tahu
gagasan itu berasaskan al-Quran sebagai sumber ilmu. Mengapa mereka tidak
bangkit dengan gagah perkasa membahaskan kepalsuan PB? Mereka tidak ada hujah; mereka juga tidak
ada hujah apabila kita membuat kesimpulan para sasterawan negara itu adalah
penulis picisan dan kewujudan mereka
dalam budaya Melayu bertentangan dengan hakikat budaya Melayu yang menghormati
para ulama dan cendekiawan yang budiman. Mereka meletakkan para sasterawan
negara lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan ini, dengan memberi
gelaran khusus kepada para sasterawan yang mesti disebut ketika misalnya kita
menyebut nama Muhammad Haji Salleh, mesti disebut panggilan rasmi Sasterawan Negara
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh. Bayangkan Pak Pandir benar-benar hidup
dan masih hidup (kena ingat ya Nabi Nuh itu berumur 1050 tahun! Kalau Pak
Pandir benar-benar wujud umurnya belum sampai 600 tahun lagi!!), tentulah
beliau akan tertawa ketika menyebut gelaran sasterawan negara itu, dan mungkin
akan menengking kita semua, “Apa ini? Kau Melayu bodoh sangatkah? Cukuplah kamu
sebut gelaran kami watak jenaka dari cerita-cerita jenaka yang diberikan
panggilan itu oleh penjajah Inggeris. …”
Bagi saya, konsep dan panggilan cerita jenaka itu penting, kerana
kedudukannya setaraf dengan kedudukan para sasterawan negara yang jelas
karyanya bertaraf picisan. Tampillah dengan tegas menolak kesimpulan
ini untuk faedah kita semua. Kerana
persoalan ini penting dalam pendidikan sastera, kita mesti jelas dalam masalah
ini, supaya kita tidak terus menerus membohongi para pelajar sastera dengan
memberi taraf yang tinggi kepada para penulis karya picisan yang kita beri
gelaran sasterawan negara itu.
Bagi saya
adalah jelas kita mempunyai golongan Munafik Baru ini dalam bidang sastera,
baik dalam bidang kreatif mahu pun dalam bidang akademik. Dalam bidang agama pun golongan Munafik Baru
ini sudah berada lama di kalangan kita. Siapakah mereka? Untuk menjawab soalan
mudah dalam dua perkataan ini kita perlu meneliti dengan kritis Amanat Agung
yang kita panggil Amanat Haji Hadi itu.
Jawapannya sudah pun diberikan oleh penulis yang menggelarkan dirinya Dato’
Shafei Daud dalam tulisan beliau yang panjang yang tertulis 2001.
Dalam huraiannya
tentang Amanat Haji Hadi, penulis yang bernama Dato’ Shafei Daud itu
memberitahu kita bahawa Amanat Agung itu telah diharamkan oleh kerajaan dalam
keputusan Jawatan Kuasa Fatwa Kebansaaan yang saya berikan rujukannya di atas.
Saya perlu
menyalin kesimpulan penulis Dato’ Shafie Daud ini untuk makluman pembaca.
Inilah kesimpulan beliau:
“Pembohongan
Yang Amat Nyata:
Suatu pembohongan
yang tidak boleh dimaafkan ialah penafian sembahyang dua imam. Hj. Abd Hadi
dalam ceramah umumnya di Kuala Besut, Terengganu yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 27 Januari 1983
menyebut beliau menafikan berlakunya
sembahyang tarawih dua imam dan Jumaat
bergilir dalam sebuah masjid di Kampung Gong Pasir, Besut pada bulan Jun-Julai
1982. Hj. Abd Hadi mengatakan: “Perkara ini adalah sengaja diada-adakan oleh
kerajaan bertujuan untuk memburukkan kepercayaan orang ramai kepada parti PAS.” Demi Allah saya dan jurukamera yang dikawal
rapi oleh dua buah kereta Land Rover polis Kg. Raja akan tetap menjadi saksi di
hadapan Allah SWT bahawa sembahyang dua imam tarawih dan Jumaat bergilir dalam
sebuah masjid di Gong Pasir itu BENAR-BENAR berlaku selama bulan Ramadan 1982.
Seluruh ahli jemaah masjid Gong Pasir
kira-kira 80 orang lelaki dan perempuan sebenarnya mengerjakan sembahyang
serentak berlawanan itu. Mengapakah Hj. Abd Hadi sanggup menutup bangkai gajah
yang sebesar itu dengan nyiru iklan buatan sendiri? Demikian seterusnya
mengenai Bank Islam. Dulu Hj Abd Hadi kata tidak bererti kerana hanya kulit
yang berlambangkan Islam tetapi telah memuji dan menggunakannya.” (p. 5).
Jika
kesimpulan beliau salah, berupa satu fitnah, dan segala bagainya, kita perlu
mendapat penjelasan rasmi dari PAS bahawa Amanat Haji Hadi itu tidak seperti
yang disimpulkan oleh penulis Dato’ Shafei Daud itu. Oleh sebab Islam menolak
pembohongan, seperti yang kita semua tahu, maka PAS mempunyai kewajipan besar
dan berat untuk memberi penjelasan. Kita tidak mahu kita semua berdosa kerana
tertipu sejak sekian lama dengan mempercayai parti PAS ini. Bantulah kami untuk
mendapat penjelasan yang benar supaya kami semua tidak berdosa menjadi
penyokong PAS.
Berhubung
dengan masalah “munafik”, ucapan Tun Dr. Mahathir di Kuantan (YouTube bertarikh
2/5/2018, bertajuk “Mahathir Belasah Hadi di Kuantan”), terang-terang menuduh
Ustaz Hadi Awang Ketua PAS sebagai seorang munafik. Bagaimana beliau boleh
sampai kepada kesimpulan ini tidak jelas; dia cuma membariskan beberapa perkara
yang menurutnya adalah tanda-tanda orang munafik, yang ketiga-tiganya dilakukan
oleh Ustaz Hadi Awang. Anda perlu rujuk YouTube yang saya rujuk. Masalahnya ialah ciri-ciri yang disebut oleh
Tun Mahathir itu adalah juga ciri-ciri yang terdapat pada dirinya. Adakah ini
bermakna beliau mengaku beliau juga seorang munafik? Persoalan yang begitu
berat saya selesaikan dalam entri berjudul “ Pembohongan sebagai strategi
politik yang amat berkesan.” (entri 17/3/2019).
Sama ada penyelesaian yang saya cadangkan itu praktikal atau tidak
terpulang kepada ahli politik. Jikalau mereka berasa lebih selesa untuk berada
di kalangan orang munafik, maka itu adalah pilihan mereka. Dari ucapannya di YouTube itu (published 2/5/2018), saya lihat Tun
Mahathir selesa berada dalam situasi itu.
Mungkin inilah pendirian ahli politik secara keseluruhannya. Kalau
kesimpulan ini benar, ternyata kehidupan ahli politik amat berbahaya jika
dilihat dari perspektif kerohanian menurut Islam. Cuma jika mereka bertaubat
dan tidak mengulangnya lagi, mereka diberi kesempatan untuk mendapat
pengampunan Allah SWT. Amin! Tetapi jika
mereka melakukan ini, maka mereka tidak lagi menjadi ahli politik. Jelas mereka
tidak mahu meninggalkan politik dan oleh itu bersedia untuk tenggelam dalam
gerakan Munafik Baru yang lahir dari kegiatan politik itu. Ini persoalan penting yang mesti diselesaikan
oleh para ulama untuk menyelamatkan rakyat yang tidak tahu menahu kesan gerakan
ini ke atas mereka.
Kata mengata
antara ahli politik di kalangan mereka sangat personal, jika diukur mengikut etika Islam maka perbuatan itulah
yang dinamakan mengumpat dan menghasut. Dua jenis perbuatan yang diilhamkan
oleh Iblis dan Syaitan ini menjadi “nasi makan air minum” para ahli politik,
seperti yang dapat dilihat dalam Amanat Agung Haji Hadi dan cacian Tun Mahathir
terhadap lawan politiknya. Mengapa ahli
politik memilih untuk menjadi biadab?
Yang boleh menjawab pertanyaan mudah ini hanya ahli politik. Kalau mereka mahu
menjawabnya kita dengar, kalau tidak mahu tidak jadi masalah kepada kita. Tetapi kita perlu tegaskan di sini bahawa
tidak ada di antara ahli politik itu yang boleh dipercayai kata-kata mereka dan
tindakan mereka. Adakah ini bermakna
semua ahli politik akan dilempar ke dalam neraka jahanam? Yang boleh menjawab
pertanyaan ini hanya Ustaz Haji Hadi Awang. Kita tunggu jawapan itu. Ada orang
memberitahu bukunya mengenai persoalan ini telah ditulis oleh beliau, tetapi saya belum tengok. Yang ada pada saya
sekarang bukan jenis yang kita mahu yang menjawab pertanyaan mudah itu.
Nampaknya
kita perlu membuat sedikit kesimpulan sekadar untuk menjadi peringatan kepada
kita semua. Pertama sekali, budaya
politik yang kita amalkan sekarang adalah budaya politik yang tidak wujud dalam
sejarah Islam. Kita telah menetapkan, mengikut perintah al-Quran, politik Islam
itu berasaskan sistem syura. Adakah demokrasi sama dengan Syura? Celakalah
sesiapa yang menyamakannya. Demokrasi adalah alat kapitalisme untuk mendapat
kuasa dan menggunakan kuasa itu untuk faedah mereka. Kita mesti jelas tentang
hal ini. Saya sudah acap kali menyebut konsep mobilization of bias dalam sistem demokrasi. Inilah yang kita
amalkan di Malaysia, termasuk di kalangan orang PAS sendiri. Tak boleh lari,
jika kita mahu sangat demokrasi. Jahatnya demokrasi telah kita lalui dengan
kesal apabila DAP mengisytiharkan kemenangannya setelah berjuang 52 tahun untuk
mewujudkan Malaysian Malaysia yang kini diberi nama Malaysia Baru. Bodoh sangatkah Melayu tidak sedar
dan tidak faham perkembangan ini?
Jahatnya demokrasi sudah pun ditunjukkan oleh Dr. Mahathir Mohamed yang
pergi mengemis seluruh dunia meminta para kapitalis dunia membina ekonomi
Malaysia. Bodoh sangatkah rakyat Malaysia, terutama orang Melayu, tidak faham
implikasi politik kapitalis ini dalam perkembangan ekonomi Malaysia. Kalau
engkau, wahai Melayu, terlalu bodoh, biar aku kasi tahu sama kamu mengapa kamu
masih miskin papa kedana dan kampung-kampung Melayu ditinggalkan terbiar? Kamu
diperlukan untuk mendapatkan undi dan kemenangan. Tetapi kamu akan disisihkan
dalam perkembangan ekonomi negara kerana kamu dianggap tidak produktif. Sungguh
celaka sistem politik yang mendiskriminasi rakyat seperti sistem demokrasi
ini!!
Sudah lama
saya berhasrat hendak menulis sebuah buku khas mengenai persoalan ini, untuk
mendapat reaksi dan kritikan dari pihak yang berminat. Kalau saya sudah dapat
merumuskan gagasan PB dalam penulisan dan kritikan sastera, maka saya akan
berusaha untuk merumuskan kaedah politik yang benar-benar memberi faedah kepada
rakyat dan benar-benar dapat menjamin keadilan untuk mereka. Insha Allah hajat
ini dimakbulkan!
Sudah pasti
Amanat Agung Haji Hadi Awang tidak boleh mencapai matlamat ini. Kita tidak
perlu ulama jenis ini untuk membina negara dan memberi keadilan kepada seluruh
penghuni atau rakyat negara ini. Kita juga tidak perlukan tokoh seperti Tun
Mahathir yang telah diberi gelaran Mahafiraun dan Mahazalim dan nampaknya
beliau tidak keberatan diberi gelaran itu. Kita perlukan pemikir politik yang
tidak terikat kepada parti seperti yang ada sekarang. Idea tentang politik
Melayu dan gagasan Persuratan Baru belum lagi disanggah oleh orang-orang yang
mengaku diri mereka berilmu. Diamnya mereka amat merugikan bangsa kita dan
sejarah kita. Sepatutnya mereka bersuara
… Jangan dengan sengaja mengenyahkan kebenaran jika kamu sendiri tidak berupaya
menegakkan kebenaran itu. Amaran ini bunyinya cukup bersahaja, tetapi makna dan
kesannya sangat besar. Anda mesti faham ini dengan seluruh kejujuran yang ada
pada anda.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 22 Mac 2019.
No comments:
Post a Comment